Jumaat, 7 September 2012

MANUSIA BANGGA MELAKUKAN MAKSIAT ANTARA TANDA DUNIA AKHIR ZAMAN

SETIAP individu mempunyai masa silam yang sudah dilalui sama ada baik atau buruk, dosa atau pahala yang diperoleh. Namun, perkara dosa yang telah dilakukan tidak perlu diungkit apatah lagi menyebarkan kepada orang lain kerana berbangga dengan maksiat itu.
Islam menganjurkan umatnya melupakan masa silam yang penuh kegelapan dengan bertaubat dan kembali ke pangkal jalan kerana semua manusia akan melalui kesilapan dalam perjalanan kehidupan mereka.
Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang menghadapi masalah ini (dosa lampau), maka hendaklah memohon supaya ditutup oleh Allah SWT.” (Hadis riwayat Malik dan Hakim)
Sabda Baginda SAW lagi: “Setiap anak Adam akan melakukan kesalahan dan sebaik-baik mereka ialah yang bertaubat.”
Kita hendaklah yakin dengan rahmat dan keampunan Allah SWT kerana kita sentiasa diberi peluang untuk berbuat demikian walaupun dalam keadaan genting.
Firman Allah SWT: “Dan apabila mereka melakukan perkara dosa atau menzalimi diri sendiri, lalu segera mengingati Allah dan bertaubat atas segala kesalahan mereka.” (Surah Al-Imran, ayat 135)
Sebuah hadis qudsi dari Baginda SAW yang bermaksud: “Allah bersabda: Wahai anak Adam, jika kamu banyak berdosa sehingga menjangkau langit sekalipun dosamu itu, lalu kamu memohon keampunan-Ku, nescaya akan Ku perkenankan.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Daripada Umar, bahawa beliau sedang masuk kepada seorang Ansar yang sedang nazak dan di sisinya Baginda SAW. Baginda menyuruh dia bertaubat tetapi mulutnya sudah tidak dapat berkata-kata tetapi matanya mengarah ke langit seolah-olah menyahut seruan Baginda SAW. Lalu Umar melihat Baginda tersenyum dan Umar RA bertanya: Kenapa engkau tersenyum wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Pesakit ini tidak dapat bertutur tetapi memberi isyarat dengan matanya dengan hati yang tulus suci lalu beliau diampunkan.” (Durratul Majalis).
Janganlah sekali-kali kita sebarkan apa yang sudah terlanjur dalam kehidupan kerana ia akan menimbulkan fitnah dan seterusnya melunturkan semangat serta azam untuk maju pada masa depan. Perkara itu tidak perlu dibanggakan kerana soal maruah dan kehormatan menyerlahkan kelemahan.
Ingatlah bahawa berbangga dengan maksiat adalah satu dosa dan inilah fenomena yang akan berlaku ketika dunia berada di akhir zaman. Apa lagi perkara maksiat itu dilakukan secara terang-terangan dan dianggap perkara biasa dalam sesebuah masyarakat.
Inilah perkara dibimbangi Baginda SAW ketika datangnya peristiwa hampirnya kiamat yang membawa petanda demikian. Melakukan maksiat secara terang-terangan adalah salah satu petanda daripada tanda kiamat.
Baginda SAW berkata, keadaan itu kini sudah menular dalam kalangan masyarakat di mana kita dapati maksiat menjadi perkara biasa malah menjadi satu kebanggaan jika maksiat itu diketahui umum.
Kemajuan teknologi digunakan untuk merealisasikan penyebaran ini dengan merakam aksi panas untuk tatapan umum atau melalui e-mel, telefon dan lain-lain. Ini menjadi satu perkara biasa dalam masyarakat.
Sabda Baginda SAW bermaksud: “Ketika dunia berada hampir di penghujungnya, kamu dapati maksiat dilakukan secara terang terangan. Zina dilakukan dengan sewenang-wenangnya persis seperti perilaku haiwan. Yang tinggal hanyalah manusia yang keji dan buruk perangainya. Ketika itulah berlakunya kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)
Islam adalah agama yang prihatin, menjaga serta berusaha menutup keburukan orang lain dalam mencari keredaan Allah SWT dan sentiasa berpegang kepada prinsip menjaga keaiban serta nasihat menasihati antara satu sama lain.
Mereka yang berusaha menutup keaiban orang lain akan mendapat anugerah terbaik di akhirat kelak di mana segala keburukannya akan ditutup oleh Allah SWT.
Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang semasa di dunia, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di akhirat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar berpendapat bahawa maksud hadis ini adalah berusaha menutup keaiban orang lain supaya tidak diketahui orang ramai. Sikap suka mencari keburukan orang lain dan menyebarkannya dengan tujuan buruk adalah perkara dibenci Allah SWT dan haram hukumnya di sisi agama Islam.
Daripada Nafi’ dan Ibnu Umar, Baginda SAW naik mimbar dan menyeru dengan suara yang lantang dalam sabda: “Wahai mereka yang mengaku dirinya beriman, janganlah kamu menyusahkan orang lain, janganlah kamu memalukan mereka serta berusaha mencari keburukan mereka serta menyebarkannya kerana Allah tidak akan melepaskan kamu dan keburukanmu akan terserlah walau di mana kamu berada.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin