Selasa, 11 September 2012

MASYARAKAT KETURUNAN SIAM MALAYSIA

"Sawasdee, Krap!"


Apabila kita pergi ke Thailand, penyambut tetamu di lapangan terbang Bangkok akan menyambut kita dengan menyusun sepuluh jari seperti "menyembah" kita dan diletakkan di paras dada sambil berkata "Sawasdee Krap" oleh lelaki dan "Sawasdee kah" oleh wanita. Sebenarnya mereka bukan menyembah, tetapi memberi salam hormat kepada kita sebagaimana "hello" dalam bahasa Inggeris dan "salam sejahtera" dalam bahasa Melayu.


Ucapan "sawasdee" ini tidak terhad di Thailand. Masyarakat Siam di Malaysia juga mengamalkannya. Perkara ini tidak ada kaitan dengan agama. Ia merupakan budaya orang-orang Siam yang diamalkan sejak sekian lama. Walaupun amalan menegur sapa dengan "sawasdee" ini bermula di Thailand, kerana kebaikan dan kemuliaannya, masyarakat Siam Malaysia turut menerima pakai. Mungkin faktor sejarah, kedudukan geografi dan pengaruh budaya antara penduduk Thailand dengan masyarakat Siam di Malaysia mudah berlaku. 
Walaupun belum menyeluruh, budaya "sawasdee" sedang diterapkan dengan jayanya di kalangan orang-orang Siam Malaysia. Jika kita pergi ke perkampungan orang-orang Siam di Kelantan, Kedah, Perak atau Perlis, kita akan melihat budaya "sawasdee" diamalkan oleh semua lapisan masyarakat Siam.
Kanak-kanak, misalnya diajarkan betapa pentingnya mereka mengucapkan "sawasdee" kepada ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan, tetamu dan sebagainya. Mereka mesti disedarkan bahawa "sawasdee" merupakan amalan mulia yang juga sebahagian daripada jati diri orang-orang Siam.
Bangun pagi, semasa hendak ke sekolah, anak-anak mesti diajarkan agar mengucapkan "sawasdee" kepada ibu bapa, abang dan kakak. Sewaktu balik dari sekolah, mereka mesti melakukannya sekali lagi. Apabila ke sekolah, terutama sekolah atau kelas bahasa Thai, mereka akan mengucapkan "sawasdee" kepada guru-guru.
Lazimnya, apabila berjumpa, orang lebih muda akan mengucapkan "sawasdee" terlebih dahulu, kemudian dibalas oleh orang yang lebih tua. Walaupun ini bukan suatu hukum yang kekal, namun lebih manis sekiranya orang muda terlebih dahulu memberi salam kepada orang tua.
Di Malaysia, mengucapkan "sawasdee" kepada orang yang bukan dari kalangan orang Siam jarang berlaku kerana ia kelihatan janggal. Amalan "sawasdee" merupakan amalan timbal balik yang melibatkan dua pihak sebagaimana kita berjabat tangan. Namun, kerana kaum lain tidak memahami budaya Siam, maka amalan timbal balik tidak berlaku. Oleh itu, amalan mulia ini hanya terbatas di kalangan orang Siam sahaja. Akan tetapi sejak kebelakangan ini, ramai kaum lain mula memahaminya dan membalas "sawasdee" oleh orang Siam. Malahan Pak Menteri, YB dan pemimpin parti politik daripada pelbagai kaum telah mula megamalkannya apabila mereka pergi melawat ke perkampungan orang Siam. Ini merupakan sesuatu yang baik.
Orang-orang Siam sendiri yang belum membiasakan diri dengan "sawasdeee", maka segeralah membiasakan diri. Jikalau orang luar boleh mengucapkan "sawasdee" tanpa rasa kekok, kenapa orang Siam harus rasa janggal. Pemimpin-pemimpin masyarakat Siam, khasnya harus berusaha menyebarluaskan amalan ini kerana ia budaya bangsa yang wajib dipelihara. Kita tidak mahu orang Siam menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul.  Di sekolah atau kelas bahasa Thai, kanak-kanak Siam diajarkan "sawasdeee" apabila berjumpa orang, tetapi apabila balik ke rumah, ibu bapanya tidak mengamalkannya.
Ungkapan  "hello" merupakan ungkapan yang banyak sekali diguna pakai sewaktu menerima panggilan telefon, bertemu kawan-kawan dan bertegur sapa. Orang-orang Siam pun banyak menggunakan ungkapan ini sehingga kita terlupa yang kita juga ada ungkapan yang sedap didengar, halus, sopan dan penuh bermakna. Ungkapan "sawasdee" telah lebih 68 tahun wujud di kalangan orang-orang Siam.
Individu pertama yang mewujudkan ungkapan "sawasdee" ialah Phraya Uppakitti Silapasal, iaitu pensyarah Universiti Chulalongkorn. Pada mulanya, beliau menganjurkan penggunaan ungkapan "sawasdee" di kalangan penuntut universiti sahaja. Selepas P. Pibun Songkram menjadi Perdana Menteri Thailand, beliau merasakan amalan "sawasdee" sangat baik dan digunakan secara rasmi di Thailand pada tahun 1943
Istilah "sawasdee" Phraya Uppakitti Silapasal diambil daripada istilah "soddhi" dalam bahasa Pali atau "sawasdee" dalam bahasa Sanskrit yang telah sekian lama digunakan dalam sastera Siam. "Sawasdee" membawa maksud baik, cantik, maju, makmur, selamat dan sejahtera.
Oleh sebab maksudnya sangat baik, maka amat sesuai ungkapan "sawasdee" digunakan sewaktu mula berjumpa dan berpisah. "Sawasdee" bukan sakadar ungkapan lazim bagi menegur sapa, malahan dipenuhi nilai persahabatan dan doa agar individu yang berjumpa kita mendapat kebaikan.
"Sawasdee" merupakan ungkapan tegur sapa yang istimewa yang tidak terdapat dalam ungkapan "hello" yang digunakan secara meluas di kalangan umat manusia. Ungkapan "apa khabar" yang diamalkan oleh masyarakat Cina juga tidak ada apa-apa yang istimewa, selain bertanya khabar. Begitu juga dengan ungkapan 3 waktu orang-orang Jepun sekadar ungkapan biasa sahaja.
Sewaktu mengucapkan "sawasdee", orang Siam akan menyusun sepuluh jari seperti "menyembah" dan diletakkan di paras dada. Susunan sepuluh jari terbentuk seperti sekuntum bunga teratai, bunga suci bagi orang-orang Siam. Susunan sepuluh jari itu pula diletakkan di paras dada, bermakna ungkapan "sawasdee" bukan sekadar di bibir, tetapi keluar dari segumpal hati yang ikhlas.
Walaupun dunia semakin maju, "sawasdee" tidak akan ketinggalan zaman dan tetap terpelihara selagi orang-orang Siam mengamalkannya. Jikalau orang kaum lain boleh menerima "sawasdee" dengan hati terbuka, kenapa orang-orang Siam harus keberatan menggunakannya? Siapakah yang bertanggungjawab mempertahankan budaya bangsa  jikalau bukan kita sendiri?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin