Jumaat, 7 September 2012

SABAH DAN SARAWAK

Tahukah anda bahawa Sabah & Sarawak mempunyai perlindungan dan kepentingan istimewa berbanding negeri-negeri lain? Pelajari tentang "Sabah & Sarawak" pada hari ini.

16 Sept 1963. Tarikh keramat yang mengukir sejarah, tarikh terbentuknya Persekutuan Malaysia. Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung menjadi satu. Lahirlah negara baru “Malaysia”. 

Perlembagaan Persekutuan adalah tunjang kepada negara ini.  Perlembagaan yang mulanya digubal untuk Persekutuan Tanah Melayu telah melalui pengubahsuaian ketara dengan terbentuknya Malaysia. 

Sebagai menyambut hari yang penuh bermakna ini dan dengan semangat ingin merakyatkan Perlembagaan, Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam (“Jawatankuasa”) melalui kempen MyConstitution (PerlembagaanKu) mempersembahkan kempen-mini melalui internet yang dipanggil, “Menghitung Hari ke Hari Malaysia”.

Bermula dari 7 Sept 2011 hinggalah 15 Sept 2011, Jawatankuasa akan menyebar ke seluruh pelusuk internet dua inisiatif utama MyConstitution iaitu Buku Panduan Rakyat (Rakyat Guides (“RG”)) dan juga video-video Pesanan Khidmat Rakyat (Rakyat Service Advertisements (“RSA”)).

Setiap hari anda akan disajikan dengan tema yang berlainan berkenaan dengan konsep-konsep asas yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Kami akan memaparkan teks yang menjadi kandungan RG.  Kami juga akan mempertontonkan RSA kami sebagai kesinambungan kepada tema hari tersebut. Sekiranya anda mengikuti kempen-mini ini, anda boleh memahami asas Perlembagaan Persekutuan dalam masa sembilan hari! 

Kami juga memerlukan kerjasama anda untuk membantu kami menyebarkan kempen-mini ini melalui saluran-saluran anda, supaya kita dapat sama-sama merakyatkan Perlembagaan. 

Pesanan Khidmat Rakyat (RSA)

Sila klik di sini untuk menonton RSA 7 bertemakan “Sabah & Sarawak”. 

Buku Panduan Rakyat (RG)

Bagaimana Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada Malaysia?

Untuk memahami bagaimana Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 1963, adalah penting untuk mengetahui sejarahnya. Sarawak diperintah oleh dinasti Rajah Sir James Brooke selama lebih 100 tahun manakala Sabah diperintah oleh Sultan Sulu dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British sebelum kedua-dua negeri tersebut menjadi koloni Empayar British selepas Perang Dunia Kedua. 

Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, penduduk Sabah dan Sarawak mula berbincang tentang kemerdekaan Negeri-negeri mereka. Persoalan tentang Sabah dan Sarawak membentuk persekutuan dengan negara lain menjurus kepada penubuhan Suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Cobbold untuk mendapat tahu kehendak penduduk Sabah dan Sarawak. 
 
Setelah bercakap dengan pelbagai pihak, Suruhanjaya tersebut melaporkan bahawa majoriti penduduk Sabah dan Sarawak akan bersetuju untuk membentuk persekutuan dengan Tanah Melayu jika terdapat perlindungan istimewa untuk memelihara kepentingan mereka. Sebuah Jawatankuasa Antara Kerajaan telah dibentuk yang terdiri daripada Kerajaan Tanah Melayu, Kerajaan British, Sabah dan Sarawak untuk merangka perlindungan istimewa untuk Sabah dan Sarawak.

Pada Julai 1963, “Perjanjian Malaysia” ditandatangani di London di antara Kerajaan-kerajaan British dan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan pihak-pihak lain (termasuk Singapore) untuk membentuk Malaysia, dan perjanjian tersebut termasuk kepentingan dan perlindungan istimewa untuk Sabah dan Sarawak yang disyorkan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan. 

Parlimen Tanah Melayu kemudian membuat perubahan kepada Perlembagaan tahun 1957 untuk menjadikannya Perlembagaan Persekutuan untuk Malaysia, dan perlindungan istimewa untuk Sabah dan Sarawak dimasukkan ke dalam Perlembagaan. 

Pada 16 September 1963, lahirlah Malaysia.

Apakah kepentingan dan perlindungan istimewa Sabah dan Sarawak?

Berikut adalah kepentingan dan perlindungan istimewa Sabah dan Sarawak:-

  •  Sabah dan Sarawak boleh mengawal kemasukan dan kemastautinan mereka yang bukan orang Sabah dan Sarawak ke dalam Negeri-negeri tersebut.

  •  Hanya peguam yang bermastautin di Sabah dan Sarawak atau telah memenuhi kelayakan kemastautinan Sabah dan Sarawak boleh mengamal undang-undang di Negeri-negeri tersebut.

  •  Sabah dan Sarawak mempunyai Mahkamah Tinggi yang berasingan yang dinamakan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak yang mempunyai bidangkuasa ke atas Sabah dan Sarawak. 

  •  Apabila hendak melantik Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, harus meminta fikiran Ketua-ketua Menteri Sabah dan Sarawak. 

  •  Selain daripada Mahkamah Syariah, terdapat juga Mahkamah Anak Negeri di Sabah dan Sarawak.

  •  Sabah dan Sarawak mempunyai sumber pendapatan dan pemberian kewangan khas daripada Kerajaan Persekutuan yang tidak dimiliki oleh Negeri-negeri lain di Malaysia dan juga mereka boleh mengenakan cukai jualan mereka sendiri. 

  •  Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak punya kuasa untuk gubal undang-undang berkenaan dengan perkara-perkara yang DUN Negeri-negeri lain tidak punya kuasa dan perkara ini termasuklah undang-undang dan adat anak negeri; perkhidmatan dan bekalan air; undang-undang peribadi berkenaan dengan perkahwinan, perceraian, penjagaan dan nafkah; bekalan kuasa air dan elektrik yang dijanakuasa melalui kuasa air dan perkara mengenai perkapalan. 

  •  Parlimen punya kuasa untuk gubal undang-undang mengenai beberapa perkara dalam Senarai Negeri bagi memastikan penyeragaman di Semenanjung Malaysia. Tetapi, kuasa ini tidak sampai ke Sabah dan Sarawak. Anda boleh mempelajari tentang Senarai Negeri di dalam Buku Panduan Rakyat: 3. Hubungan Persekutuan-Negeri

  •  Parlimen juga mempunyai kuasa untuk gubal undang-undang di dalam Senarai Negeri untuk memberi kesan kepada Rancangan Pembangunan Negara tetapi jika ia melibatkan Sabah dan Sarawak, persetujuan Yang di-Pertuan Negeri (YDPN) Negeri tersebut harus diperolehi. Anda boleh pelajari tentang Rancangan Pembangunan Negara di dalam Buku Panduan Rakyat: 3. Hubungan Persekutuan-Negeri.

  •  Sabah dan Sarawak juga boleh mendapat pinjaman untuk tujuan mereka dengan kebenaran Bank Negara Malaysia. 

  •  Anak negeri Sabah dan Sarawak menikmati kepentingan istimewa seperti kuota perkerjaan di dalam perkhidmatan awam, biasiswa, tempat di institusi pengajian awam dan lesen dan permit perniagaan. 

  •  Sabah dan Sarawak boleh menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, dan bahasa ibunda anak negeri Sabah dan Sarawak di dalam Mahkamah Anak Negeri atau bagi undang-undang atau adat anak negeri.

  • Bagaimana kepentingan istimewa ini dilindungi di bawah Perlembagana Persekutuan?

    Perlembagaan menyatakan bahawa sebelum apa-apa pindaan dibuat ke atas mana-mana kepentingan dan perlindungan istimewa tersebut, sekurang-kurangnya dua pertiga daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Parlimen harus bersetuju dan YDPN Sabah dan Sarawak (yang harus mengikut nasihat Kabinet Negeri) juga harus bersetuju. 

    Sekurang-kurangnya dua pertiga Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Parlimen juga harus bersetuju dan persetujuan YDPN Sabah dan Sarawak juga diperlukan sebelum apa-apa pindaan dibuat ke atas perkara-perkara berikut:-
     
  •  hak orang Sabah dan Sarawak untuk mendapat layanan saksama dengan warganegara Malaysia yang lahir atau tinggal di mana-mana Negeri di Malaysia;

  •  perlantikan, penggantungan dan pemecatan hakim-hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dan bidangkuasa Mahkamah itu; 

  •  Kuasa DUN Sabah dan Sarawak untuk gubal undang-undang dan kuasa Kerajaan Negeri untuk mentadbir mengikut undang-undang tersebut, dan juga penyusunan kewangan di antara dua Negeri tersebut dan Kerajaan Persekutuan;

  •  agama, penggunaan apa-apa bahasa samada di dalam DUN Sabah atau Sarawak atau Parlimen, dan kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak; 

  •  kuasa imigresen yang diberi kepada Sabah dan Sarawak untuk mengawal hak kemasukan dan kemastautinan di dalam kedua-dua Negeri itu dan perkara yang berkaitan.

  • Adakah Sabah dan Sarawak mempunyai kepentingan istimewa lain yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan?

    Bahagian VII Akta Imigresen 1959/1963 menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berasal daripada Sabah dan Sarawak harus mempunyai Permit atau Pas sah untuk masuk Sabah dan Sarawak, selain daripada ahli Kerajaan Persekutuan, hakim-hakim, kakitangan awam atau individu yang mempunyai tujuan tunggal untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti politik yang sah.
     
    Selain daripada itu, terdapat beberapa undang-undang persekutuan yang tidak diikuti di Sabah dan Sarawak seperti Akta Kerajaan Tempatan 1976, Kanun Tanah Negara dan Akta Pekerjaan 1955. Sabah dan Sarawak mempunyai undang-undang tersendiri tentang perkara-perkara ini. 

    Berapa lama harus kepentingan istimewa tersebut dilindungi?

    Selagi mana orang Sabah dan Sarawak merasakan bahawa kepentingan istimewa tersebut diperlukan. Kepentingan istimewa tersebut adalah perlindungan yang dikehendaki oleh orang Sabah dan Sarawak sebagai syarat menyertai Malaysia pada tahun 1963.

    Persetujuan YDPN harus diperolehi sebelum mana-mana kepentingan tersebut dimansuhkan dan YDPN harus mengikut nasihat Kabinet Negeri. Menteri-menteri Kabinet Negeri dilantik daripada ahli DUN Sabah dan Sarawak, yang dipilih oleh penduduk Sabah dan Sarawak. 

    Ini bermakna ia terpulang kepada orang Sabah dan Sarawak untuk menentukan melalui wakil rakyat mereka di DUN samada memansuhkan kepentingan istimewa mereka. 

    Sumber pendapatan tambahan bagi Sabah dan Sarawak yang tidak dinikmati oleh Negeri-negeri lain

    Perlembagaan juga memperuntukan pemberian khas dan sumber pendapatan tambahan bagi Sabah dan Sarawak yang tidak dinikmati oleh Negeri-negeri lain. 

    Contohnya, Kerajaan Persekutuan memberikan pemberian khas tahunan kepada Sabah dan Sarawak untuk kos perkhdimatan dan pengurusan Negeri-negeri tersebut. Pemberian khas ini disemak setiap lima tahun atau lebih (dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan dan Negeri). 

    Sabah dan Sarawak juga menerima pendapatan daripada tanah, lombong dan hutan, duti hiburan, yuran untuk perkhidmatan spesifik yang diberikan oleh jabatan-jabatan negeri, pendapatan daripada pihak berkuasa tempatan dan daripada bekalan air. 

    Di samping itu, Sabah dan Sarawak juga boleh mengenakan duti import dan eksais ke atas keluaran petroleum, duti eksport ke atas balak dan hasil hutan lain, cukai jualan dan yuran daripada pelabuhan.

    Apakah struktur Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak?

    Di dalam kedua-dua Negeri, Ketua Negeri atau YDPN adalah Gabenor yang pangkatnya adalah Tuan Yang Terutama (TYT). TYT dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. 

    TYT melantik Ketua Menteri sebagai ketua eksekutif Negeri. Jawatan Ketua Menteri selalunya dipenuhi oleh ketua parti politik yang mempunyai wakil paling banyak di dalam DUN. 

    DUN menggubal undang-undang yang tidak jatuh di bawah bidangkuasa Parlimen dan memantau dasar dan perbelanjaan Kerajaan Negeri. Wakil yang dipilih di dalam DUN dikenali sebagai Ahli DUN. 

    Kerajaan Negeri atau ‘Eksekutif’ terdiri daripada Ketua Menteri dan Kabinet Menteri yang dilantik oleh Ketua Menteri. Ketua Menteri juga boleh melantik Timbalan Menteri. Setiap Menteri dan Timbalan Menterinya bertanggungjawab ke atas Kementerian masing-masing. 
     
    Apakah undang-undang yang boleh digubal oleh DUN Sabah dan Sarawak?

    DUN Sabah dan Sarawak boleh gubal undang-undang tentang perkara yang terkandung di dalam ‘Senarai Negeri’ dan ‘Senarai Bersama’ Perlembagaan. DUN Sabah dan Sarawak boleh gubal undang-undang tentang perkara tambahan yang tidak boleh digubal oleh DUN Negeri-negeri lain. Senarai Negeri dan Senarai Bersama dibincangkan di dalam Buku Panduan Rakyat: 3. Hubungan Persekutuan-Negeri.

    Contoh-contoh perkara yang mana DUN Sabah dan Sarawak punya kuasa untuk gubal undang-undang adalah pentadbiran tanah di Sabah dan Sarawak, pekerjaan dan buruh, hutan, imigresen, perkapalan dan perikanan. 
     
    Soalan-soalan Lazim

    1. Mengapa ada rakyat Malaysia yang harus memenuhi Borang Imigresen ketika memasuki Sabah dan Sarawak?

    Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa untuk mengawal individu yang boleh memasuki sempadan mereka untuk memastikan bahawa hanya mereka yang boleh menyumbang kepada pembangunan dan tidak mengancam undang-undang dan ketenteraman dibenarkan untuk masuk dan tinggal di Negeri-negeri tersebut. 

    2. Adakah rakyat Malaysia dari Negeri-negeri lain perlu menunjukkan pasport atau memohon visa apabila memasuki Sabah dan Sarawak? 

    Tidak, mereka hanya perlu menunjukkan kad pengenalan nasional mereka dan akan diberikan pas lawatan apabila memasuki Sabah dan Sarawak. 

    3. Bukankah undang-undang imigresen ini suatu sekatan ke atas kebebasan seorang rakyat Malaysia untuk bergerak di dalam negara? 

    Walaupun Perlembagaan memberikan rakyat Malaysia kebebasan bergerak di dalam Malaysia dan tinggal di mana-mana, Perlembagaan juga menyekat hak ini apabila ia melibatkan Sabah dan Sarawak. Ini adalah sebahagian daripada kepentingan dan perlindungan istimewa Sabah dan Sarawak apabila mereka menyertai Malaysia pada tahun 1963.

    4. Bolehkah seseorang dari Negeri lain kerja di Sabah atau Sarawak? 

    Walaupun tiada undang-undang yang menghalang seseorang dari Negeri lain untuk bekerja di Sabah atau Sarawak, Kerajaan Sabah dan Sarawak boleh mengawal siapa yang boleh masuk dan tinggal di dalam Negeri-negeri tersebut. Maka untuk bekerja di Sabah atau Sarawak, seseorang dari Negeri lain masih perlu mendapatkan kebenaran untuk masuk dan tinggal di Sabah atau Sarawak daripada pihak berkuasa Negeri tersebut. 

    5. Mengapakah bahasa Inggeris masih merupakan bahasa yang digunakan di dalam DUN dan Mahkamah di Sabah dan Sarawak?

    Bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi DUN dan Mahkamah di Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia, 16 September 1963. Apa-apa perubahan bahasa rasmi kepada Bahasa Melayu hanya menjadi efektif apabila DUN Sabah atau Sarawak bersetuju untuk menerima undang-undang persekutuan yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. 

    6. Adakah Kerajaan Persekutuan pernah mengambilalih kuasa Kerajaan Negeri Sabah atau Sarawak? 

    Ya, pada tahun 1966 YDPN Sarawak cuba untuk memecat Ketua Menteri ketika itu, Stephen Kalong Ningkan. Tetapi Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pemecatan itu tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan kerana ia tidak mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak. Seterusnya, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Darurat mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. 

    Ini membolehkan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan Akta Darurat (Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak) 1966 yang memberi kuasa kepada YDPN untuk memecat Ketua Menteri walaupun  ia bertentangan dengan Perlembagaan Negeri Sarawak. 

    7. Mengapakah Sabah dan Sarawak menikmati kuasa yang lebih berbanding Negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia? 

     Budaya dan kepercayaan agama Sabah dan Sarawak adalah berbeza daripada Semenanjung Malaysia. Kedua-dua Negeri ini apabila digabungkan adalah lebih besar daripada Semenanjung Malaysia. Sabah dan Sarawak kaya dengan sumber asli seperti hutan, sungai dan petroleum. Sabah dan Sarawak ingin memastikan kebebasan dan kawalan yang lebih besar ke atas perkara-perkara dan sumber asli di dalam Negeri-negeri tersebut serta cara hidup mereka, ketika mereka menyertai Malaysia. Inilah sebab mengapa mereka mempunyai perlindungan istimewa di dalam Perlembagaan dan kuasa yang lebih berbanding Negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

    Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

    LinkWithin