Isnin, 3 September 2012

ADAKAH MASYARAKAT SIAM MALAYSIA ADALAH PENDATANG

Persoalan ini telah menjadi tanda tanya kepada semua orang terutamanya masyarakat Siam di Malaysia. Adakah masyarakat Siam pendatang di Malaysia?

Untuk mencari jawapannya kita perlu membuat kajian sehingga melangkau sempadan negara. Sekiranya kita hanya merujuk kepada hasil penulisan di dalam negara sahaja agak tidak begitu tepat. Maklum sajalah, penulis juga mempunyai agendanya tersendiri. Bukan semua maklumat dipaparkan. Sebahagian maklumat disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Terdapat beberapa bukti tentang pengwujudan masyarakat Siam di Malaysia. Antaranya ialah dalam sejarah ada disebutkan Parameswara membunuh Temagi, wakil Siam di Temasek (Singapura) lalu lari ke Melaka. Ini menunjukkan bahawa orang-orang Siam sudah ada di Semenanjung sebelum kedatangan orang-orang Melayu iaitu sebelum zaman Sri Vijaya kerana kedatangan Melayu dari Sumatera bermula pada zaman tersebut.

Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ada diceritakan tentang Phra Ong yang mengetuai kerajaan Kedah ketika itu. Ini menunjukkan bahawa dalam hikayat tersebut yang menulis tentang Kerajaan Kedah Tua juga ada sebut tentang kewujudan orang-orang Siam di Semenanjung.

Terdapat juga kesan peninggalan sejarah kuno iaitu kota Siam di negeri Johor yang dikenali “Khlangkeo” tidak dihebohkan oleh ahli sejarah kita. Mungkin maklumat ini tidak penting bagi orang-orang Melayu. Tetapi ia sangat penting bagi masyarakat Siam di Malaysia.

Hasil kajian En. Siri Neng Buah, Pengarah, Jabatan Warisan Negara.

"Sejarah Melayu (TM 1612) karangan Tun Seri Lanang menyebut bahawa negeri Ganggayu (Khlangkeo) dibina oleh orang Siam asli terletak di hulu sungai Johor. Kotanya diperbuat daripada batu hitam dan pemerintahnya, Raja Culan sebagai raja besar, dan segala raja di sebelah timur ini boleh dikatakan kesemuanya takut kepada baginda. Kerajaan Siam Gangga Negara dan Khlangkeo telah ditakluki oleh Raja Benua Hindi dan kerajaannya di Pahang telah ditewaskan oleh Melaka. Walaupun gagal memberikan tarikh sebagai suatu fakta sejarah, Tun Seri Lanang menegaskan bahawa Ganggayu ialah negeri Siam asli dan kotanya masih wujud semasa beliau menyiapkan buku tersebut.

Buku undang-undang Siam Kot Monthienraban (TM 1360) menyebut sebagai kerajaan taklukan Siam, dikenali sebagai kerajaan Wurawari terletak di Johor Tua Ganggayu (Khlangkeo). Para pengkaji sejarah hanya berbeza pendapat tentang nama kerajaan tersebut tetapi tidak menafikan tentang kewujudan Kerajaan Siam asli di Johor. Ini membuktikan bahawa orang Siam telah lama berada di Semennanjung Tanah Melayu, menjalani kehidupan berkerajaan secara aman dan perang dengan pihak lain, terutama Melaka yang kian muncul sebagai kuasa baru. Kehidupan mereka juga bercampur baur dengan Kerajaan Melayu lain seperti Pattani, Kelantan, Kedah dan lain-lain samada di bawah pengaruh Ayudhya atau tidak. "

Kalau kita perhatikan fakta-fakta sejarah dan hikayat, kita dapati orang-orang Siam sudah ada di Semenanjung (Tanah Melayu) sejak lama dahulu dan sukar untuk menentukan zamannya secara tepat. Dalam waktu yang sama, penghijrahan tetap berlaku. Oleh itu ada yang mengatakan orang Siam datang zaman Sukhothai, zaman Ayuthaya, zaman Bangkok dan sebagainya. Pada saya semuanya betul kerana penghijarahan manusia tidak pernah berhenti sehinggalah sekarang. Malah mungkin orang-orang Siam datang lebih awal lagi sehingga kedatangan mereka tidak boleh dikatakan "pendatang" kerana terlalu lama. Mereka penduduk asal di sini, di bumi ini.

Pada tahun 1909, Negeri-negeri Melayu di utara Semenanjung iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang selama ini dianggap oleh Kerajaan Inggeris sebagai ‘ Siamese Malay States ‘ diserahkan secara rasmi oleh Kerajaan Siam kepada Kerajaan Inggeris melalui Perjanjian Inggeris-Siam 1909. Fakta ini juga membuktikan bahawa kita bukannya pendatang tetapi Cuma perubahan sempadan negara sahaja yang menyebabkan kami orang-orang Siam merupakan penduduk asal di utara Semenanjung kekal berada di bawah kerajaan baru.

Selepas kedatangan Islam, ramai orang-orang Siam yang beragama Buddha memeluk Islam. Ini dapat dibuktikan dengan adanya orang-orang Melayu di utara Perak, Gerik misalnya yang berasal dari Siam. Malah pernah dibuat kajian bahawa orang-orang Melayu di Gerik adalah satu rumpun/keturunan dengan orang-orang Siam Malaysia (saya sudah lupa siapa yang buat kajian ini).

Apabila kita dapat berjumpa dengan orang Melayu Tobiar, Kubur Panjang, Changlun dll di Kedah yang bercakap bahasa Siam sesama mereka walaupun mereka adalah orang Melayu, kita jangan hairan. Kerana golongan ini juga merupakan orang Siam beragama Islam yang dikenali sebagai “Sam-sam”. Sekarang golongan ini telah diserapkan sebagai keturunan Melayu oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj semasa beliau menjadi Pegawai Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah sebelum menjadi Perdana Menteri Pertama Malaysia.

Profesor Madya Datuk Dr. Proom Promwichit, Pensyarah UKM berpendapat orang-orang Siam datang dari Ayuthaya berdasarkan kepada bahasa Siam dan perkataan-perkataan yang digunakan oleh Orang Siam Kedah, Perlis dan Perak adalah sama atau hampir sama dengan bahasa Siam yang dicakap oleh orang kampung di negeri sekeliling Ayuthaya dan termasuk Ayuthaya.

Pendapat ini disanggah oleh Sdr. Sonthaya, pengkaji sejarah Siam dari Tumpat, Kelantan. Menurut beliau, bahasa Siam Kelantan adalah hampir sama dengan bahasa Sukhothai. Hanya Kg. Semerak dan sekitarnya yang bahasa mereka hampir sama dengan bahasa Suphanburi. Beliau yakin bahawa orang-orang Siam Kelantan mempunyai kaitan dengan Sukhothai di mana zaman kegemilangan empayar Sukhothai sebelum zaman Ayuthaya lagi.

Menurut beliau lagi, “zaman Ayutthaya ramai tawanan perang dari Semenanjung (Kedah, Kelantan, Pattani, Terengganu dll) telah di bawa balik ke Ayutthaya. Sebab itulah terdapat perkampungan muslim di Ayutthaya sehingga sekarang.” Tambah beliau, “Jauh disudut hati saya juga pernah berfikir, pada zaman-zaman sebelum kegemilangan empayar Melaka,(seiringan atau sebelum zaman wujudnya kerajaan Langkasuka) sudah wujud kerajaan-kerajaan kuno di Kelantan seperti Chih-Tu yang mengamalkan ajaran Buddha, begitu juga dengan kerajaan Kedah Tua. Adakah sebenarnya nenek moyang kita tidak berasal dari tempat lain tetapi mereka telah menetap di sini sejak zaman tersebut lagi?”

Pendapat Sdr. Sonthaya disokong oleh Sdr. Prasert dari Kelantan. Menurut beliau, “kalau kita perhatikan fakta-fakta sejarah dan hikayat, kita dapati orang-orang Siam sudah ada di Tanah Semenanjung (Tanah Melayu) sejak lama dahulu dan sukar untuk menentukan zamannya secara tepat. Dalam waktu yang sama, penghijrahan tetap berlaku. Oleh itu ada yang mengatakan orang Siam datang zaman Sukhothai, zaman Ayuthaya, zaman Bangkok dan sebagainya.”

Tambah Sdr. Prasert, “Bagi saya, saya tidak menganggap semua orang Siam Kelantan berasal dari Sukhothai, tetapi mempunyai kaitan dengan empayar ini sejak zaman tersebut dari segi ketamadunan, kebudayaan, ugama, pembangunan, penghijrahan dll. Mungkin mereka mendapat banyak pengaruh dari empayar ini kerana pada zaman tersebut empayar ini merupakan antara empayar yang terkuat di rantau ini.

Menurut Sdr. Prasert lagi, “penghijrahan manusia tidak pernah berhenti sehinggalah sekarang. Malah mungkin orang-orang Siam datang lebih awal lagi sehingga kedatangan mereka tidak boleh dikatakan "pendatang" kerana terlalu lama. Mereka penduduk asal di sini, di bumi ini”.

Saya amat setuju dengan pendapat-pendapat pengkaji sejarah Siam di Malaysia. Semuanya betul kerana penghijrahan manusia tidak pernah berhenti sehinggalah sekarang. Tiada siapa yang betul-betul berhak memiliki alam semulajadi secara mutlak. Manusia adalah makluk bermasyarakat yang saling memerlukan di antara satu sama lain.

Walaupun kita tidak tahu asal-usul bangsa dan keturunan Temagi yang dibunuh oleh Parameswara tetapi apabila dia dikatakan wakil Kerajaan Siam, bermakna ketika itu kerajaan Siam mempunyai pengaruh sehingga ke Temasek. Dalam mana-mana sejarah kuno, kerajaan yang berkuasa akan menghantar rakyat mereka tinggal di tanah kekuasaan mereka. Jadi, pada zaman tersebut, pastinya rakyat Siam sudah ada di Temasek dan Semenanjung.

Dalam sejarah versi lain dikatakan Sang Nila Utama membuka Melaka. Sang Nila Utama ialah pewaris terakhir Kerajaan Sri Vijaya. Kerajaan Sri Vijaya dan Sri Vichai adalah kerajaan yang sama, tetapi versi tulisan Thailand dan Indonesia berbeza. Ini kerana penulis sejarah melihat dari sudut yang berlainan. Sebenarnya penulis sejarah selalu terpengaruh dengan semangat kebangsaan dan keagamaan yang menyebabkan fakta sejarah terseleweng. Lagipun penulis sejarah di rantau Asia Tenggara ketika itu (manuskrip lama) tidak ada disiplin ilmu penulisan sejarah dalam penulisan mereka. Sebab itulah Sejarah Melayu tetapi isinya bercampur sastera bukan sejarah seperti namanya. Kerana kelemahan penulisan sejarah, maka pengkaji sejarah lebih yakin kepada sejarah hasil penulis Barat, R.O Winstet misalnya. Malah kalau kita membentangkan kertas kerja tentang sastera sejarah sekalipun, kita mesti selitkan hasil kajian penulis Barat barulah kertas kerja kita dipercayai.

Banyak lagi bahan yang boleh digunakan untuk membuktikan kita bukan pendatang. Kalau nak sebut pendatang pun boleh, tetapi pendatang yang lebih awal daripada Melayu dan Mamak yang menjadi menjadi Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin