Jumaat, 11 Oktober 2013

BERDOA MUSTAJAB

Doa dan zikir sebagaimana solat, puasa, zakat, dan haji, ia termasuk bentuk-bentuk ibadah yang memiliki adab dan tatacara ditetapkan sebagai tanda ketaatan dan ketundukan kepada Allah. Sesiapa yang melaksanakan sebagaimana dikehendaki sama ada diperkenankan atau pun ditunda, ia tetap mendapat pahala dan ganjaran dari Allah.
Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
“Doa adalah ibadah. Tuhan kalian berfirman, berdoalah kepadaku, nescaya akan aku perkenankan untukmu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari mengibadahi-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan yang hina.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3247)
Di antara adab-adab penting dalam berdoa adalah dengan mengikhlaskan hati, penuh harapan, tidak tergesa-gesa, merendah diri, dengan suara yang lembut, dan tidak melampaui batas.
Kata Allah Ta’ala dalam firmannya,
“Maka berdoalah kepada Allah dengan memurnikan ibadah kepada-Nya walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya.” (Surah al-Mukmin, 40: 14)
Di antara syarat doa adalah dengan hati yang ikhlas semata-mata memohon hanya kepada Allah, tidak boleh syirik dengan berdoa meminta kepada selain Allah. Sebagaimana contoh yang dilakukan oleh kaum Syi’ah yang berdoa kepada ‘Ali, Hasan, Husain, dan Fathimah. Tidak boleh juga sebagaimana sebahagian kaum sufi yang berdoa menyeru kepada ‘Abdul Qadir Jailani, tok-tok wali, tok-tok guru, dan seumpamanya.
Dalam berdoa, kita tidak boleh lalai dan sambil lewa. Sebaliknya kita perlu berdoa dengan penuh kesungguhan lagi penuh harapan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
“Berdoalah kepada Allah Tabaraka wa Ta’ala dalam keadaan kalian yakin ia diperkenankan. Ketahuilah bahawa Allah Ta’ala tidak akan menerima doa dari hati yang lalai lagi sambil lewa.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3479)
Oleh sebab itulah doa orang-orang yang dalam kesusahan, teraniaya, dan dihimpit musibah biasanya lebih berpeluang diterima doa-doa mereka. Kerana pada masa tersebut doanya lebih khusyuk dan harapannya menggunung tinggi.
Rendah Diri Ketika Berdoa
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),
“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut, sesunggunya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raaf, 7: 55)
Termasuk adab utama dalam berdoa adalah dengan tidak menyombongkan diri kepada Allah, sebaliknya hendaklah rendah diri, tenang, dan merasa kerdil di hadapan Allah. Di samping merendahkan diri dalam berdoa, Allah dan Nabi-Nya turut memerintahkan supaya berdoa dengan suara yang perlahan dan lembut, iaitu seperti suara orang sedang berbisik-bisik.
Diriwayatkan daripada al-Hasan, kata beliau,
“Kaum muslimin dahulu sangat bersungguh-sungguh dalam berdoa, tetapi suara mereka tidak kedengaran melainkan hanya bisik-bisik antara mereka dengan Tuhan mereka. Ini kerana Allah berfirman, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut.”.” (Tafsir Ibnu Katsir, 3/428)
Sebagai motivasi dan iktibar dari tafsir ayat ini, dalam awal Surah Maryam Allah menceritakan kisah Nabi Zakariya yang tidak pernah putus asa dan tidak pernah kecewa dalam berdoa meminta agar dikurniakan zuriat walaupun dirinya telah tua beruban, dan isterinya pula mandul. Beliau kental yakin dengan berdoa dan terus berdoa kepada Allah dengan suara yang lembut. Sehingga akhirnya Allah beri khabar gembira untuknya dengan kurniaan zuriat bernama Yahya.
Fokus yang hendak dikemukakan dari kisah Nabi Zakariya ini adalah doa dengan penuh harap, tidak putus asa, dan dengan suara yang lembut. Iaitu kunci untuk mendapat doa mustajab.
Adapun doa dengan suara perlahan dengan cara bisik-bisik ini adalah kaedah dan adab yang bersifat umum untuk setiap doa dan zikir. Terkecuali bagi doa-doa yang dikhususkan padanya dengan suara kuat dan lantang. Seperti Doa qunut witir, qunut nazilah, doa istisqa’ (solat memohon hujan), doa dalam khutbah Juma’at dan hari raya, atau yang seumpamanya yang padanya terdapat dalil bersifat khusus.
Keumuman doa dengan suara perlahan ini dijelaskan dengan banyak dalil, termasuk dalil-dalil hadis dan atsar para salaf. Antaranya sebagaimana dalam sebuah hadis ketika mana para sahabat yang sedang dalam perjalanan bersama-sama Rasulullah, mereka masing-masing bertakbir, berdoa, dan berzikir dengan suara yang kuat. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:
“Wahai manusia, kasihanilah diri kamu. Kerana kamu sebenarnya tidak berdoa kepada yang pekak dan yang jauh, sesungguhnya Dia bersama kamu, Maha Mendengar lagi sangat dekat. Maha suci Nama-Nya dan maha Tinggi Kebesarannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2992)
Dalam sebuah atsar riwayat Imam ‘Abdurrazzaq pula disebutkan,
“Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mereka membenci mengangkat suara pada tiga keadaan. Iaitu ketika berperang, ketika di sisi jenazah, dan ketika berzikir.” (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, no. 34104)
Inilah sebahagian adab-adab berdoa yang banyak diabaikan oleh masyarakat Islam pada hari ini di pelbagai tempat dan situasi. Mereka memandang enteng adab-adab ini sampai ada yang seronok berdoa dengan suara-suara yang lantang dibantu alat-alat pembesar suara.
Jangan Melampau Dalam Berdoa
Dalam ayat 55 surah al-A’raaf tadi, Allah turut mengingatkan agar tidak melampau dalam berdoa. Seperti disebutkan dalam kitab-kitab tafsir, maksud melampau di situ adalah dengan memohon sesuatu di luar batas munasabah dan perkara terlarang. Seperti memohon kedudukan para Nabi, memohon hidup kekal abadi, memohon agar hidup tanpa makan dan minum, memohon untuk menjadi perompak handalan dan seumpamanya.
Termasuk dalam maksud melampaui batas dalam berdoa adalah dengan mengeraskan suara ketika berdoa sehingga didengari orang. Termasuk contoh ini adalah berdoa dengan menjerit, dengan nyanyian, dan dengan melagukan doa mengikuti lenggok-lenggok muzik tertentu. Ini turut berlaku dalam siri-siri doa dan zikir-zikir berjama’ah sebaik selesai solat dalam kalangan masyarakat hari ini.
Sedangkan apa yang benar, berdoa dan berzikir sebaik selesai solat fardhu itu adalah dengan cara sendiri-sendiri dan perlahan-lahan, cukup diri sendiri yang mendengarnya. Bukan dengan cara berjama’ah beramai-ramai, senada dan seirama. Hal ini ditegaskan antaranya oleh ramai ulama terkemuka termasuk imam asy-Syafi’i rahimahullah dan para pembesar mazhabnya. Tetapi entah kenapa ramai kalangan pengamal mazhab asy-Syafi’i di negara kita hari ini boleh menyimpang dari batas-batas ini.
Di antara contoh lain yang banyak berlaku hari ini adalah amalan menyusun bait-bait lirik, qasidah, dan sya’ir-sya’ir tertentu dalam bentuk doa lalu dijadikan sebagai nyanyian, hiburan, nasyid, persembahan konsert, dan mencari populariti serta imbuhan. Ini adalah perbuatan yang bersalahan dengan sunnah dan menyimpang dari ruh asal doa. Malah ada yang menyangka dengan perbuatan seperti ini dapat menjadi wasilah mendekatkan diri kepada Allah.
Hakikatnya, Allah tidak pernah meminta jika seseorang mahu berdoa atau berzikir, hendaklah ia melakukannya dengan cara melagukannya sambil diringi irama-irama muzik tertentu. Bahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya benci cara yang seperti itu. Para ulama juga turut melarang amalan doa seperti ini sebagaimana ditegaskan para imam mazhab yang empat dan pembesar-pembesar mazhab mereka.
Mereka memanggil golongan yang memperlakukan amalan-amalan doa dan zikir seperti itu sebagai kaum zindiq lagi tidak berakal. Sejarah berdoa dan berzikir dengan suara yang kuat dan beramai-ramai asalnya dipelopori oleh golongan khawarij di pertengahan zaman para sahabat. Kemudian dikembangkan lagi oleh kaum sufi tasawuf dengan iringan gendang dan muzik, bahkan sampai ada yang menari-nari. Subhanallah…
Akhir kata, panjatkanlah doa-doa kepada Allah dan berzikirlah dengan zikir-zikir yang mulia di atas petunjuk wahyu sebagaimana amalan kaum salaf, iaitu para sahabat dan tabi’in. Hanya dengan kaedah yang benar, amalan doa dan zikir akan membuahkan barakah lagi tidak sia-sia walau ditunda pengkabulannya. Bahkan ia menjadi tanda sempurnanya pengabdian kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang sombong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin