Sabtu, 19 Oktober 2013

KISAH ANCAMAN PEMIMPIN YANG ZALIM KEPADA RAKYAT

Perbuatan khianat dan zalim merupakan dosa besar yang mendapat ancaman berat, tidak kira dilakukan oleh siapa pun. Allah SWT memberi amanah kepada setiap manusia maka siapa saja yang mengkhianatinya nescaya tersedia baginya azab yang pedih. Nabi SAW bersabda, “Takutlah kamu kepada kezaliman, kerana kezaliman adalah kegelapan pada Hari Kiamat.” (Bukhari & Muslim)
Hakikatnya setiap manusia adalah pemimpin, cuma bezanya adalah kecil atau besar kekuasaan. Ini sebagaimana sabda Nabi, “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpin. Seorang ketua adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya dan dia akan ditanya tentang mereka. Seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya dan dia akan ditanya tentang harta tersebut.” (Bukhari & Muslim)
Pemimpin negara adalah orang yang paling berat memikul amanah kerana besarnya jumlah orang yang di bawah pimpinannya. Dia akan disoal tentangnya di Akhirat kelak. Pemimpin negara juga lebih mudah membuat kezaliman disebabkan kuasa ada padanya, serta lebih terdedah kepada penyakit nifaq seperti disebut ciri-cirinya dalam hadis; “Apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi amanah dia khianat.”
Maka hendaklah para pemimpin bertakwa kepada Allah dan bertaubat atas perbuatan zalim yang pernah dilakukan. Beratnya beban yang dipikul dan akan dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin, sehingga Nabi SAW bersabda, “Tidak ada seorang hamba diberikan kepimpinan oleh Allah, mati pada hari matinya dalam keadaan khianat kepada rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya Syurga.” (Riwayat Muslim)
Ironinya pada hari ini kita dapati manusia merebut-rebut jawatan kepimpinan. Apa yang disebutkan oleh Nabi 1400 tahun dahulu menjadi nyata, “Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita terhadap kepemimpinan, padahal kelak di Hari Kiamat ia menjadi penyesalan.” (Bukhari)
Islam hakikatnya melarang dari meminta jawatan kepimpinan, dan melarang memberi jawatan kepada orang yang memintanya. Perintah Syarak ini lazim dilanggar dalam politik demokrasi. Ini merupakan satu musibah demokrasi tanpa kita sedari.
Sabda Rasulullah SAW, “Kami tidak akan memberi jawatan pemerintahan kepada orang yang meminta dan orang yang bercita-cita untuk mendapatkannya.” Rasulullah juga bersabda, “Wahai Abdurrahman bin Samurah, janganlah engkau meminta kepemimpinan. Kerana jika engkau diberi tanpa meminta nescaya engkau akan ditolong. Namun jika diserahkan kepadamu kerana permintaanmu nescaya ia akan dibebankan kepadamu.” (Riwayat Bukhari)
Oleh itu, orang yang tidak cekap dan tidak berkebolehan untuk memimpin dan mengurus tadbir tidak boleh mengambil jawatan. Sabda Nabi SAW: “Apabila urusan diserahkan kepada selain ahlinya, nantikanlah hari kiamat.” (Riwayat Bukhari)
Abu Zar Al-Ghifari ra. pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau ingin memberi aku jawatan (kepimpinan)?” Rasulullah menepuk bahu Abu Zar dan berkata; “Wahai Abu Zar, engkau seorang yang lemah sedangkan kepemimpinan adalah amanah dan pada hari kiamat nanti ia menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali orang yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan apa yang harus dia tunaikan dalam kepimpinan tersebut.” (Riwayat Muslim)
Seorang pemimpin wajib berlaku adil hatta dalam urusan yang melibatkan keluarga sendiri. Ketika orang menyuruh Usamah bin Zaid ra. meminta kepada Rasulullah supaya diringankan hukuman seorang wanita yang mencuri kerana keturunannya yang mulia, Rasulullah dengan tegas berkata, “Sekiranya Fatimah binti Muhammad (puteri kesayangan Baginda) mencuri, pasti aku potong tangannya.”
Ini contoh yang mesti diikuti, iaitu adil tanpa pilih kasih. Maka sebelum mengambil jawatan kepimpinan, tanyalah pada diri, adakah kamu mampu adil kepada rakyat dan ahli keluarga apabila memiliki kuasa? Ternyata bukan semua orang mampu melakukannya. Ia adalah amanah yang cukup berat. Hendaklah para pemimpin bertakwa kepada Allah dengan menunaikan amanah yang dibebankan atas mereka secara saksama.
Adapun rakyat, hendaklah mereka juga bertakwa kepada Allah dengan menunaikan kewajipan mereka terhadap pemerintah, iaitu dengar dan patuh dalam hal makruf, bersabar atas perkara yang tidak disukai, serta tidak merebut kepemimpinan sesuai amaran Rasulullah yang disebutkan dalam banyak hadis sahih.
Jika hak mereka tidak dipenuhi, mereka tetap wajib taat sebagaimana hadis Salamah Al-Ju’fi ra. yang bertanya kepada Rasulullah: Wahai Nabi Allah, bagaimana jika kami diperintah oleh pemerintah yang meminta hak mereka tetapi tidak memberi hak kami. Apa yang patut kami lakukan? Rasulullah SAW bersabda, “Hendaklah kamu dengar dan patuh, mereka akan memikul tanggungjawab mereka dan kamu akan memikul tanggungjawab kamu.” (Riwayat Muslim).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin