Dari mana datangnya Empayar Langkasuka-Chermin? Kenapa kita tidak mengetahui sejarah kewujudan empayar Melayu silam ini dalam buku teks sejarah? Mari saya cuba jawab mengikut apa yang saya tahu:
1) Suatu masa dahulu, a very long long time ago, seluruh Nusantara (Dunia Rumpun Melayu) ini disatukan dalam satu Empayar Rumpun Melayu yang pertama iaitu SRIVIJAYA. Ia adalah empayar maritim terbesar di dunia ketika itu. Kita adalah kuasa maritim ketika itu sehingga catatan mengenai kehebatan pembuatan kapal dan perlayaran Rumpun Melayu itu juga tercatat dalam Catatan Empayar China silam.
2) Empayar hebat SRIVIJAYA ini akhirnya runtuh setelah diserang berkali-kali oleh Kerajaan Tamil Chola dari Selatan India. Sungguh pun begitu, penjajahan Kerajaan Tamil Chola ke atas Nusantara itu tidak bertahan lama atas sebab-sebab yang kurang jelas serta misteri.
3) Setelah kejatuhan Empayar SRIVIJAYA, dunia Nusantara berpecah tanpa wujudnya satu kerajaan besar dan kuat seperti SRIVIJAYA dahulu yang menguasainya.
4) Dari pecahan tersebut, maka lahirnya Kerajaan Langkasuka di tanah Patani dan Kerajaan Majapahit di Pulau Jawa.
5) Kerajaan Langkasuka dari Patani sejahtera dan membesar sehingga memasukkan hampir keseluruhan kerajaan-kerajaan lain yang lebih kecil di sekitar utara semenanjung dan kawasan Segenting Kra seperti Singgora (kini Songkhla), Pattaya, Kerajaan Tanah Serendah Sekebun Bunga Cik Siti Wan Kembang di Kelantan, Kerajaan Kedah Tua (juga dikenali sebagai Kedah Zamin Duran), Kerajaan Gangga Negara di Perak, sehinggalah ke Terengganu dan sebahagian Pahang.
6) Manakala Kerajaan Majapahit di Pulau Jawa pula membesar dengan hebat sehingga berjaya menakluk Kerajaan Palembang di Sumatera, menyebar ke Pulau Sulawesi di tempat Kerajaan Bugis Makassar, dan sampai ke persisiran pantai Borneo Barat. Sekarang Kerajaan Majapahit itu telah mencapai status sebuah Empayar maritim.
7) Ketika itu Empayar Majapahit belum lagi menyebar ke kawasan Semenanjung Tanah Melayu.
8) Kerajaan Langkasuka akhirnya memasukkan wilayah Kerajaan Samudra-Pasai (yakni kawasan Acheh sekarang) ke dalam naungannya melalui perkahwinan Diraja. Dalam masa yang sama Kerajaan Melayu Champa yang sekarang terletak di negara Vietnam juga telah menjadi sebahagian dari Kerajaan Langkasuka juga melalui perkahwinan Diraja. Maka sekarang Kerajaan Langkasuka telah mencapai status sebuah EMPAYAR dengan nama CHERMIN. Atau kita panggil sebagai Empayar Langkasuka-CHERMIN. Sejarahnya ada tercatat dalam prasasti-prasasti Kerajaan Majapahit dan Empayar China Silam. Sila kaji.
9) Ketika pembentukan Empayar Langkasuka-Chermin ini berlaku, Bangsa Thai dari Kerajaan mereka yang bernama Sukhotai di kawasan Indo-China (atas dari Segenting Kra) telah berasa terancam dan melakukan serangan bertubi-tubi terhadap Empayar Melayu Langkasuka-Chermin ini tadi.
10) Hampir semua wilayah Empayar Langkasuka-Chermin ini telah diserang oleh Bangsa Thai ini tadi seperti Patani, Kelantan, Kedah dan lain-lain. Dalam masa yang sama wilayah Champa (sekarang di negara Vietnam) yang merupakan sebahagian dari wilayah Empayar Langkasuka-Chermin telah diserang oleh Bangsa Annam (bangsa majoriti rakyat Vietnam sekarang) dari arah utara. Ramai Melayu Champa yang terbunuh dan masyarakat Champa akhirnya kehilangan kerajaan serta tanah mereka di sana. Kini Champa sudah lenyap dalam negara Vietnam.
11) Kerajaan Bangsa Thai ini tadi berubah kepada Kerajaan Ayutthaya setelah kejatuhan dinasti kerajaan Sukhotai sebelum ini. Kerajaan Ayutthaya mencapai status empayar sementara setelah berjaya menjajah kawasan bangsa Mon di Myanmar dan kawasan Bangsa Khmer di Kemboja. Bandar Angkor Wat milik bangsa Khmer berjaya ditembusi oleh serangan Bangsa Thai dari Kerajaan Ayutthaya ini tadi. Begitulah bagaimana Kerajaan Ayutthaya milik bangsa Thai ini tadi mencapai status empayar di kawasan Indo-China.
12) Maka serangan Empayar Thai Ayutthaya ke atas Empayar Melayu Langkasuka-Chermin telah menjatuhkan empayar Melayu di utara semenanjung tersebut. Maka banyak kawasan-kawasan milik Empayar Langkasuka-Chermin ini tadi telah dijajah oleh Empayar Ayutthaya termasuk Kedah, Kelantan, Patani, Singgora sehingga Empayar bangsa Thai ini tadi meneruskan misi penjajahan mereka sehingga lebih selatan lagi sampai ke Temasek. Kerana itu bila kita baca sejarah, Temasek ada wakil Kerajaan Thai yang bernama Temagi, yang dibunuh Parameswara semasa dia melarikan diri dari Palembang dahulu.
13) Kerajaan Ayutthaya yang tamak dan ganas ini cuba menakluki keseluruhan Dunia Rumpun Melayu (Nusantara) apabila mereka cuba merentasi lautan untuk cuba sampai ke Pulau Jawa. Perhitungan mereka silap besar apabila pihak mereka telah bertemu dengan Armada Empayar Majapahit. Kekuatan maritim Majapahit berjaya mematahkan serangan Empayar Ayutthaya ini. Bangsa Thai ini dikejar oleh Tentera Empayar Majapahit sehingga ke utara semenanjung. Ketika itu Empayar Majapahit diwakili oleh "Perdana Menterinya" yang digelar Mahapatih Gadjah Mada. Sebab itu nama tokoh ini masuk buku teks sejarah kita, sebab ia penting ada kena mengena dengan Semenanjung juga. Patih = Menteri (Minister), Maha = Agung (Grand), maka Mahapatih = Grand Minister.
14) Mahapatih Gadjah Mada dan tentera Empayar Majapahit lah yang telah membebaskan wilayah-wilayah bekas Empayar Langkasuka-Chermin di utara semenanjung dari cengkaman Empayar Thai Ayutthaya. Saya tidak mahu menggunakan istilah SIAM di sini kerana ada warga Melayu Kedah merujuk istilah SIAM itu untuk mereka, bukannya untuk Bangsa Thai tersebut.
15) Mahapatih Gadjah Mada memerdekakan kawasan Kelantan dengan memberi gelaran kepada kerajaan baru Kelantan yang terbentuk itu dengan panggilan MAJAPAHIT BARAT. Kerajaan Kelantan MAJAPAHIT BARAT menguasai kembali wilayah-wilayah bekas Empayar Langkasuka-Chermin dahulu, dan akhirnya Kerajaan Kelantan MAJAPAHIT BARAT ini menukar namanya kepada Kerajaan Chermin-Jiddah kerana kedudukan pusat kerajaan ini bernama Jiddah di Kelantan. Kerajaan Melayu ini sebahagian dari naungan Empayar Majapahit yang berpusat di Pulau Jawa itu.
16) Hubungan antara etnik Javanese dari Empayar Majapahit di Pulau Jawa dengan etnik Kelantanese-Patanese (etnik Yawi/Jawi) terbentuk sangat erat sekali. Sehingga kini keris kebesaran istana Kelantan yang bernama KERIS PELANGI MERBO juga digelar sebagai KERIS MAJAPAHIT, simbol Empayar gabungan bersama Rumpun Melayu menentang siri penjajahan Empayar Bangsa Thai dari arah utara.
17) Begitulah kisahnya... sehinggalah akhirnya Kerajaan Chermin-Jiddah ini tadi runtuh akibat serangan Bangsa Thai dan perselisihan dalaman istana Melayu itu sendiri. Maka terbentuklah pula Kerajaan baru di Kelantan bernama Kerajaan MAJAPAHIT II. Sewaktu kerajaan MAJAPAHIT II di bawah Sultan Mansur Syah, Kelantan telah diserang sebanyak dua kali oleh Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang sedang membesar di bawah Sultannya terakhir iaitu Sultan Mahmud Syah. Maka jatuhlah Kelantan di tangan Melaka, hanya untuk sementara waktu sebelum Melaka pula jatuh di tangan Portugis. Kejatuhan Kerajaan Kelantan MAJAPAHIT II di tangan Melaka terjadi setelah tentera Kelantanese telah dilemahkan terlebih dahulu oleh serangan Bangsa Thai yang bertubi-tubi dari arah utara.
18) Dalam masa yang sama Empayar Majapahit dari Pulau Jawa itu pun mengalami kemerosotan teruk sewaktu Empayar Melaka meluaskan pengaruhnya di kawasan-kawasan yang pernah menjadi jajahan Empayar Majapahit.
19) Sewaktu kejatuhan Kerajaan Kelantan Majapahit II di tangan Melaka, maka di Patani pula lahirlah apa yang dinamakan Persekutuan Patani Besar/Raya. Raja Sakti I dari Kota Mahligai, Kelantan telah mengasaskan penubuhan Persekutuan tersebut, baginda memindahkan pusat pemerintahan Persekutuan ini dari Kota Mahligai ke Patani. Persekutuan ini dimulai dengan pemerintahan ratu-ratunya di Patani telah berjaya menakluki semula tanah bekas jajahan Empayar Melayu Melaka yang telah terbebas dari Melaka setelah empayar itu jatuh diserang Portugis. Antara wilayah-wilayah yang dinaungi Persekutuan Patani Besar/Raya itu tadi ialah Kelantan, Terengganu dan sebahagian Pahang.
20) Dalam masa yang sama, di Selatan Semenanjung Tanah Melayu pula terbentuklah Empayar Johor-Riau-Lingga yang merupakan sebuah empayar lebih kecil hasil dari kejatuhan Empayar Melaka tersebut. Dalam erti kata lain, di utara semenanjung ketika itu kita ada sebuah PERSEKUTUAN (Federation) manakala di Selatan pula kita ada sebuah EMPAYAR (EMPIRE).
21) Persekutuan Patani Besar/Raya didominasi oleh etnik Melayu Kelantanese-Patanese, keturunan Melayu Empayar Langkasuka-Chermi dahulu. Kerana itu Melayu di Selatan Thai kini bahasa pertuturannya sama dengan loghat Kelantan kerana mereka merupakan suatu etnik Melayu yang sama suatu masa dahulu dikenali secara spesifiknya sebagai etnik Yawi/Jawi.
22) Manakala Empayar Johor-Riau-Lingga pula didominasi oleh Melayu Johor (Johoreans), keturunan kepada Melayu Melaka dan Melayu dari Sumatera Timur (seperti Palembang). Kerana itu etnik Melayu di Sumatera Timur terutama di Palembang bahasa pertuturannya lebih kurang sama dengan etnik Melayu di Johor dan Melaka yang kini loghat mereka telah menjadi bahasa pertuturan Melayu umum di Malaysia.
23) Sebelum Persekutuan Patani Besar/Raya yang meliputi Kelantan, Terengganu dan sebahagian Pahang itu terbentuk, Patani terlebih dahulu diperintah oleh beberapa orang Ratu yang cukup terkenal seperti Ratu Hijau, Ratu Biru, Ratu Ungu dan Ratu Kuning. Semua ratu-ratu Patani itu adalah dari keturunan Sultan Mansur Syah yakni Sultan Kerajaan Kelantan Majapahit II terdahulu yang telah kalah diserang Empayar Melaka.
24) Dalam masa yang sama, kesan daripada kejatuhan Empayar Melaka akibat diserang armada Portugis telah menyebabkan beberapa kawasan di sekitar semenanjung ini tiada penaung, oleh kerana itu kekosongan tempat-tempat tersebut telah diisi oleh kedatangan etnik Bugis dari Pulau Sulawesi yang akhirnya menjadi golongan pemerintah (istana) di tempat-tempat seperti Selangor, Perak, dan Pahang.
25) Pada asalnya Pahang, Johor dan Terengganu itu sendiri tidak dipengaruhi oleh etnik Bugis ini tadi kerana pemerintah asal ketiga-tiga tempat tersebut adalah dari susur galur Empayar Melayu Melaka (kecuali Terengganu). Namun setelah berlaku beberapa krisis dalaman istana yang diperparahkan lagi oleh kematian waris asal pemerintah tempat tersebut, ditambah pula faktor perkahwinan campur, maka pengaruh Bugis mula menguasai istana Pahang, Johor dan Terengganu.
26) Berbalik kepada Persekutuan Patani Besar/Raya, kerajaan itu telah berterusan menghadapi serangan dari Empayar Thai Ayutthaya yang kini telah membuka kota baru mereka di Bangkok, selatan sedikit dari kota Ayutthaya, lebih dekat dengan "Alam Melayu" di selatannya.
27) Serangan bertubi-tubi dan ganas dari tentera Bangsa Thai yang hebat ini telah menyebabkan pihak etnik Melayu dalam Persekutuan Patani Besar/Raya ini tadi, yakni etnik Yawi/Jawi, membina kota-kota pertahanan yang mantap dilengkapi dengan meriam-meriam bersaiz gergasi terbesar di Asia Tenggara ketika itu seperti meriam Seri Patani, Seri Nagara dan yang lebih kecil bernama meriam Mahalela.
28) Kerana itu di bahagian utara semenanjung terutama di pantai timur, kita dapat menjumpai nama "Kota" seperti Kota Mahligai (sudah lenyap) dan paling terkini ialah Kota Bharu (kota paling baru) di Kelantan. Ciri-ciri kota ialah ia sebuah pusat pemerintahan yang dikelilingi oleh tembok benteng pertahanan. Tun Dr. Mahathir ada mengakui soal kemahiran senibina berasaskan BATU oleh etnik Melayu Kelantan dalam bukunya The Malay Dilemma, cuba anda kaji.
29) Adalah teramat penting untuk sesebuah kerajaan Melayu yang terbina di perbatasan alam Melayu yang berjiran pula dengan suatu bangsa bukan Melayu seagresif Bangsa Thai ini tadi untuk mempunyai Kota pertahanan yang mantap. Jika tidak, sudah lama etnik Melayu Kelantanese-Patanese ini tadi lenyap seperti lenyapnya Kerajaan Melayu Champa di Vietnam dek kerana serangan Bangsa Annam dari Selatan China. Maka ketika peperangan di antara Bangsa Thai dan Melayu itu terjadi di Utara Semenanjung Tanah Melayu, Persekutuan Patani Besar/Raya secara tidak langsung menjadi benteng terkehadapan dunia Melayu ketika itu dalam menghadapi ancaman penjajahan oleh Kerajaan Thai Ayutthaya. Siri-siri peperangan yang berlanjutan selama beratus-ratus tahun telah membentuk identiti kasar dan GEDEBE etnik Kelantanese-Patanese di sana. Sifat berani dan bersatu etnik Melayu terbentuk hasil pendedahan berterusan dengan ancaman luaran yang bersifat tidak mengira waktu.
30) Dalam masa yang sama, Empayar Johor-Riau-Lingga, melalui pertalian Diraja dan akidah Islam yang sama, telah menghantar bantuan ketenteraannya untuk membantu saudara sebangsa dan seakidah mereka di utara semenanjung untuk menghadapi serangan dari Bangsa Thai tersebut. Dalam kata lain, Empayar Johor-Riau-Lingga bersatu dengan Persekutuan Patani Besar/Raya menentang musuh alam Melayu itu bersama. Ia adalah saat PERPADUAN yang dikenang dalam sejarah Tanah Melayu ketika itu.
31) Namun tiba saatnya Empayar Johor-Riau-Lingga tidak mampu lagi untuk meneruskan bantuan ketenteraannya kerana masalah dalaman dengan Yamtuan Riau yang berdarah Bugis. Maka Persekutuan Patani Besar/Raya pun keseorangan dalam menghadapi asakan kuat dari Bangsa Thai tersebut. Akhirnya Persekutuan Patani Besar/Raya itu pun jatuh digantikan dengan kerajaan Melayu yang lebih kecil lagi bernama Kesultanan Melayu Patani.
32) Sultan Patani terakhir iaitu Sultan Abdul Kadir yang mempunyai hubungan rapat dengan Empayar Turki Uthmaniyyah telah menerima bantuan ketenteraan dalam jumlah yang kecil dari pihak Khalifah Islam itu bagi menghadapi siri penaklukan pihak Bangsa Thai yang kini membentuk Kerajaan Thai Bangkok.
33) Namun kerjasama Kerajaan Thai Bangkok dengan Belanda akhirnya membuahkan hasil sehingga Kesultanan Melayu Patani hancur terjajah. Walaupun Kesultanan Melayu Patani ada mendapat bantuan logistik dari pihak Portugis, yang ketika itu sedang bermusuhan dengan Belanda, namun Portugis sendiri merupakan pihak Barat yang sudah lemah di Asia Tenggara.
34) Maka Sultan terakhir Patani itu Sultan Abdul Kadir lari berlindung di Kelantan. Puterannya, Tengku Mahmood Mahyiddeen merupakan seorang berpangkat Mejar dalam pasukan askar Melayu di bawah British. Beliau adalah antara tokoh komando Melayu terawal dalam pasukan khas tentera British bernama FORCE 136 HARIMAU MALAYA untuk menghadapi penjajahan Jepun. Setelah perang dengan Jepun tamat, putera Patani ini cuba memujuk British untuk turut memerdekakan kawasan Selatan Thai yang dahulu merupakan tanah Kesultanan Melayu Patani itu tadi dari cengkaman Kerajaan Thai Bangkok.
35) Namun British menikam belakang Tengku Mahmood Mahyiddeen apabila secara terbuka membuat suatu perjanjian antara Bangkok dan Britain yang telah menyebabkan British mengiktiraf kawasan Melayu-Islam di tanah Patani itu adalah milik Kerajaan Thai Bangkok (kini Thailand). Oleh itu kawasan tersebut ditukar nama menjadi Selatan Thai. Maka meninggal lah putera Patani itu di Kelantan sambil meninggalkan suatu legasi keberanian ketenteraannya disamping jasanya setelah bersara dari tentera dalam membangunkan kesedaran pendidikan di kalangan warga Melayu-Islam di wilayah Patani yang sedang terjajah hingga kini.
36) Maka terbelah dualah suatu etnik Melayu yang kita kenal sebagai Etnik Yawi/Jawi suatu masa dahulu ketika zaman kegemilangan Empayar Langkasuka-Chermin. Suatu etnik yang bertutur dalam bahasa yang sama, yang mempunyai jalur keturunan yang sama serta budaya yang sama. Kini terpisah di antara negara Malaysia dan negara Thailand. Yang merdeka dalam Malaysia hidup di wilayah Kelantan (kini menjadi negeri) digelar sebagai Kelantanese oleh British. Manakala yang kurang bernasib baik masih dijajah Bangsa Thai dalam negara Thailand digelar sebagai Pattanese oleh para sarjana Barat.
37) Bersyukurlah keturunan kita lahir dan merdeka dalam negara Islam Malaysia ini. Alhamdulillah. Pentingnya perpaduan ummah serta permuafakatan sesama Melayu-Islam. Perjuangan masih belum selesai... masih ramai saudara sebangsa malah seakidah kita seluruh dunia yang masih terjajah oleh kuasa KAFIR HARBI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan