Penciptaan
manusia yang bermula dari setitis air mani yang mengandungi
berjuta-juta sperma, telah jelas diterangkan di dalam al Quran. Hari
ini, sains juga telah menceritakan perkara yang sama sepertimana yang
terkandung di dalam al Quran, tetapi masih ramai yang lupa bahawa
dirinya sememangnya hina.
Bayangkanlah,
dalam berjuta-juta sperma, kita adalah salah satu yang “bertuah” dapat
bergabung dengan ovum, lalu membentuklah diri kita. Semua ini adalah
kerana kasih sayang Allah. Pernahkah anda terfikir, apakah yang akan
terjadi sekiranya sperma lain yang bergabung dengan ovum? Adakah diri
kita ini juga yang akan terbentuk? Atau kita tidak akan wujud?
Semua
persoalan ini sudah jelas di hadapan mata manusia, tetapi mereka masih
angkuh dengan kedudukan dan pangkat yang ada. Hinanya manusia. Dengan
bermula dengan sperma yang berenang di dalam air mani yang tiada harga,
manusia masih boleh memperlecehkan hukum Allah.
Allah SWT berfirman
Kamilah
yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada – wahai golongan
yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu
hidup semula pada hari kiamat). (Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah
kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)
(Surah al Waqiah : 57-58)
FirmanNya lagi
Sesungguhnya
Kami (Allah) telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya
(dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia
panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami
(Allah) kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang
rendah, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka
beroleh pahala yang tidak putus-putus. (Surah at Tin : 4-6)
Jenis Manusia Yang Tidak Sedar
Sesungguhnya
Kami (Allah) telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya
(dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)
Allah
SWT telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan
berkelengkapan sesuai dengan keadaan manusia. Dengan segala anggota yang
cukup dan lengkap, yang mampu untuk digunakan untuk ke jalan yang betul
dan akal yang sempurna. Akallah yang membezakan manusia dengan binatang
yang hanya hidup untuk kepuasan nafsu semata-mata.
Hari
ini, bentuk manusia yang cantik ini, telah dijadikan sebagai alat untuk
menjahanamkan Islam dari dunia ini, sedangkan tubuh mereka itu sendiri
diciptakan oleh Allah. Lihatlah, dengan menggunakan lidah, mereka
memburuk-burukkan Islam, mengkritik hukum Allah dan mencemuh alim
ulama’.
Tangan
yang pada mulanya lembut diciptakan dengan penuh seni, apabila dewasa,
tangan inilah yang menyekat dakwah Islam, menerima duit-duit haram dan
mengenakan tindakan untuk memastikan Islam lenyap. Mereka lupa Allah,
Tuhan empunya Islam, yang telah menghidupkan mereka dengan kasih sayang
sehingga mereka dapat menghirup nikmat Allah pada hari ini.
Akal
mereka yang menjadi tembok perbezaan dengan binatang, telah hancur atas
sebab penyalahgunaan terhadapnya. Dengan menggunakan akal, mereka
berfikir strategi-strategi untuk meranapkan Islam, memikirkan bagaimana
hendak melenyapkan institusi ulama, memikirkan bagaimana hendak
mengasingkan Islam dan politik.
Mereka
ini telah menyalahgunakan anggota tubuh yang diciptakan oleh Allah
dengan begitu unik dan cantik. Apakah masih tidak cukup penciptaan Allah
itu, sehingga perempuan-perempuan murahan bertungkus lumus menyolekkan
muka mereka sehingga memperlihatkan kehuduhan? Tidak cukupkah dengan
tubuh yang ada sehingga sanggup ber“korban” untuk mencantikkan tubuh
kononnya?
Jenis Manusia Yang Tak Reti
Kemudian
(jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan
itu), Kami (Allah) kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat
orang-orang yang rendah,
Apabila
manusia sudah mencapai umur yang tua, sebahagian daripada mereka
kembali menyedari perbuatan mereka, tetapi masih ramai yang terus sesat
di dalam kekaratan jahiliyyah. Adakah mereka yang tua sahaja perlu
diberi peringatan? Tidak, orang yang muda yang menyalahgunakan anggota
mereka juga termasuk di dalam peringatan ini.
Ramai
orang yang tua, apabila sudah sampai waktunya, mereka kembali nyanyuk
atau berdifat seperti sifat kebudak-budakan. Tetapi kita jangan lupa,
soleklah seberapa mampu, muka itu tetap akan berkedut. Akan ternampaklah
lipatan-lipatan, walaupun kamu menggunakan apa sahaja alat solek
sekalipun. Soleklah, kamu akan berkedut juga.
Orang
yang menggunakan kelengkapan yang diberikan kepada mereka untuk
menjahanamkan Islam, mereka lebih teruk daripada mana-mana haiwan.
Binatang yang tidak reti untuk berfikir, lebih mulia daripada mereka.
Anjing atau babi bukanlah gelaran yang sesuai bagi mereka, bahkan lebih
teruk.
Allah SWT berfirman
Dan
sesungguhnya Kami jadikan neraka jahanam banyak dari jin dan manusia
yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat
Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya
(bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu
mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang
ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang
lalai. (Surah al Araf :179)
Inilah
manusia yang menyalahgunakan kelengkapan anggota yang telah dibentuk
oleh Allah SWT untuk melakukan perintah, dan menjauhi laranganNya,
tetapi mereka telah melakukan jenayah. Sebuah jenayah terhadap Tuhan,
yang layak dihakimi di mahkamah Allah SWT yang langsung tiada penipuan,
rasuah dan sebagainya sepertimana mahkamah manusia.
Kesimpulan : Manusia Yang Mendapat Tempat
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
Inilah
satu perbandingan mudah yang Allah SWT sebut di dalam al Quran. Tetapi
golongan ini sentiasa ditindas oleh golongan sebelum ini. Pelbagai
cemuhan dan tohmahan terus ditujukan kepada mereka dengan tujuan
menjahanamkan orang-orang Soleh ini dari muka bumi maksiat mereka.
Walaupun
mereka sentiasa dibelenggu kesusahan, tetapi mereka inilah yang
mendapat tempat di sisi Allah. Mereka sentiasa teguh dengan iman dan
Islam mereka walaupun dijatuhkan dari segenap sudut melalui
perancangan-perancangan jahat golongan pertama tadi. Golongan inilah
yang bakal menghuni neraka yang sememangnya disediakan untuk mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan