Rabu, 16 Oktober 2013

KERAJAAN BARISAN NASIONAL MENZALIMI RAKYAT

Jalan raya mulai dipasang kamera bagi memerangkap mana-mana kenderaan yang memandu lebih dari had laju yang ditetapkan – biasanya 90 kilometer per jam.
Belumlah kamera itu ada di setiap batu di setiap jalan. Setakat beberapa belas yang baru dipasang di jalan-jalan yang tidak putus-putus lalu lalangnya, luar biasa jumlah yang telah diperangkap. Atas satu mangsa dikenakan RM300, berpuluh, bahkan beratus ribu denda dapat dipungut kerajaan buat satu hari.
Ia boleh mengalahkan pungutan tol oleh syarikat konsesi jalan bertol.
Setiap pemandu itu samalah nasibnya dengan pelanduk dekat jerat. Pelanduk memang lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Mana jerat yang dipasang di tempat laluan pelanduk, maka mengena sajalah jerat. Suka atau tidak suka pelanduk akan masuk perangkap, bukan sekali dua bahkan berkali-kali.
Tujuan kamera perangkap itu adalah bagi mencegah kemalangan trafik gara-gara 10 peratus pemandu gila. Pemandu gila inilah kira-kira yang menjadi punca utama kemalangan itu. Memandu lebih had boleh menyebabkan kemalangan tetapi tidak semestinya jadi punca utama kemalangan.
Bukan saja memandu laju mengundang malang, tetapi memandu terlalu perlahan pun boleh mengundang kecelakaan. Bahkan kereta yang tidak bergerak di tepi jalan boleh menyebabkan kenderaan lain berlanggar.
Seperti sudah disepakati punca kecelakaan ialah oleh 10 peratus pemandu gila yang tidak sayangkan nyawa dan keselamatan, membabi buta di jalan raya dan jalan raya itu macam dia saja yang punya. Adalah 90 peratus lagi, sekalipun memandu lebih daripada had laju, tetapi mereka bukan gila, ia tidak dikira punca kecelakaan.
Apakah patut dan adil gara-gara 10 peratus pemandu gila-gila itu, maka 90 peratus lagi yang berhati-hati terpaksa menanggung hukuman yang disebabkan oleh orang lain? Dibimbangi tindakan itu menzalimi 90 peratus pemandu yang sopan.
Ada pun hukuman atas kecelakaan itu telah diswastakan. Yang berkuasa atas urusan mendenda itu ialah syarikat membekalkan kamera itu. Hanya RM150 daripada denda itu untuk kerajaan manakala separuh lagi pergi kepada syarikat yang membekalkan kamera.
Yang mengaut untung atas kecelakaan itu ialah syarikat yang membida kamera. Siapa yang dapat konsesi menghukum pemandu itu? Ia diyakini tidak ditender. Sama seperti syarikat kroni lain, ia diyakini diberi kepada kroni yang tahu bagaimana laba besar boleh diperoleh daripada masalah lalu lintas dan kecelakaan jalan raya.
Maka sistem memasang kamera itu yang utamanya ialah untuk mendapatkan keuntungan daripada masalah yang hadapi, ada pun soal mencegah kecelakaan itu telah jadi tujuan sampingan. Apabila mencari duit jadi motif utama, maka kerajaan boleh didakwa sebagai pihak yang lebilh suka melihat banyaknya kecelakaan – kecederaan dan kematian.
Kerajaan dan syarikat konsesi telah berkongsi keuntungan daripada kecelakaan jalan raya. Lebih banyak kemalangan lebih baik kerana kerana memberi pulangan yang banyak kepada kerajaan dan konsesi.
Justeru, kerajaan boleh ditempelak, ia tidak suka kecelakaan lalu lintas berkurangan atau diminimakan kerana merugikan konsesi.
Pihak konsesi tahu bahawa kecelakaan jalan raya akan sentiasa berlaku dan ia sukar dicegah. Sistem jalan raya yang baik, dan kereta dan motosikal bertambah setiap masa, teknologi bertambah canggih bagi melanjukan kenderaan, orang yang berpendapatan kecil pun boleh memiliki kenderaan, maka semuanya ini mengundang kecelakaan jalan raya.
Daripada menyaksikan kecelakaan itu sebagai suatu tragedi, maka ada untungnya kalau ia mendatangkan duit dengan senang.
Dengan fikiran yang sedemikian pemandu yang tidak gila terpaksa didenda. Tidakkah ia menzalimi orang yang banyak dan tidakkah langkah memasang kamera itu sama dengan apa yang dibahasakan marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin