Saya dilahirkan di Malaysia sebagai anak Melayu. Gadis yang
bongsu dari lima beradik, Ibu dan bapa saya membesarkan saya dengan ajaran Islam
sejak kecil lagi. Setiap hari saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan
saya emak dan bapa serta keluarga yang dengan penuh kasih sayang menanggung dan
mengajar saya hidup sebagai seorang Islam. Mereka memberi segala pengetahuan
yang saya perlu untuk mengetahui yang Tuhan itu ada, dan saya bertanggungjawab
atas segala kelakuan dan keputusan yang saya ambil. Oleh sebab itu, saya
senantiasa cuba sedaya upaya untuk menjadi seorang Muslimah yang patuh terhadap
ajaran Allah dan tidak berani untuk menyimpang dari ajaran Islam. Jika saya
tidak patuh kepada Allah, maka saya berdosa terhadapNya, tetapi bila saya berbuat
amalan baik, ganjarannya saya dapat pahala, dan lagi banyak pahala lagi bagus.
Pasal itulah saya cuba tidak tinggal sembahyang, baca Al Quran betul betul,
puasa bulan Ramadan dan segalanya yang menjadi amalan saya. Tetapi dalam masa
yang sama, di dalam hati saya, saya akui dan sedari yang walaupun saya mencuba
sedaya upaya untuk menjadi solehah, muslimah yang patuh, saya tidak boleh capai
taraf atau mutu yang dikehendaki Allah!
Saya pasti semua orang Muslim setuju dengan saya, bila saya
katakan yang Tuhan itu SUCI, bersih dan murni. Dia TIDAK ADA dosa dan TIDAK BOLEH berdosa
dan TIDAK SUKA akan dosa. Jadi soalan pertama saya kepada kamu ialah bagaimana
harus kamu menyucikan diri mu dari segala dosa-dosa untuk menemui Tuhan ini di
akhirat? Tidak semestinya dosa–dosa yang besar yang harus dipersoalkan, biarpun
yang kecil, seperti mengumpat, menipu, tidak membaca Quran betul-betul atau niat dosa
yang di dalam hati dan kepala, apa yang kita fikirkan..yang mungkin tidak diketahui oleh
sesiapapun, tapi Tuhan tahu segalanya tentang fikiran kita yang baik ataupun
yang buruk. Mungkin kamu menjawab soalan saya dengan jawapan..kita cuma boleh
berusaha saja, Tuhan yang akan menentukan akhirnya. Ya..tapi kenyataannya ialah
TUHAN itu SUCI dan kita manusia ini sudah tercemar dan kotor dengan dosa, jadi bagaimana
kawan-kawan? Inilah soalan yang dahulunya senantiasa dalam hati dan fikiran saya
walaupun dari luar dan lahiriah, saya dilihat seperti orang-orang Islam Melayu yang lain,
memakai tudung dan patuh dengan ajaran agama.
Semasa usia saya 18 tahun, saya pergi ke luar negara untuk
belajar. Sebagai anak Melayu di negeri orang, walaupun saya jauh dari keluarga
saya masih patuh dengan ajaran Islam yang telah sebati dengan kehidupan saya
seharian. Saya masih puasa dan sembahyang kerana saya tahu yang Allah masih
melihat saya tidak kiralah di mana saya berada. Lagipun saya amat bangga sebagai
seorang Islam, anak Melayu di perantauan. Tetapi semakin hari beban dosa-dosa
saya, sama ada yang kecil atau yang besar semakin berat di dalam hati saya. Saya
sedar yang jika saya mati, saya akan menemui Tuhan seorang diri, dan tidak ada
apapun yang keluarga atau negara boleh buat untuk saya bila saya meninggal
dunia ini. Hanya antara Tuhan dan diri saya saja. Jadi apa yang harus saya
lakukan tentang dosa saya supaya saya bersedia untuk menemui Tuhan? Apa jadi
sekiranya amal ibadah saya tidak cukup, tidak sampai ke taraf Tuhan yang suci?
Mengapa dalam surah Al Fatihah, sekurang-kurangnya lima kali sehari umat
Islam,berdoa kepada Tuhan supaya ‘tunjuk kami ke jalan yang benar’? Kalau
Islam bukan jalan yang benar..apa yang benar? Saya telah melihat penganut agama
Buddha dan Hindu, mereka hanyalah penyembah berhala.Bagaimana pula penganut
agama Kristian? Adakah mereka juga hanya semata-mata penyembah berhala? Apa
sebenarnya di dalam kitab Injil? Mengapa di dalam Quran ada menyatakan untuk
mengasihi ahli-ahli kitab iaitu orang Kristian Nasrani. Jauh di dalam hati saya,
saya tahu yang saya MESTI mencari jawapan terhadap segala persoalan ini. Tetapi
apa yang selalunya terjadi ialah saya cuba menolak dan melupakan soalan ini
kerana takut menjadi murtad.
Sementara itu, seorang kenalan saya, seorang penganut Kristian,
(maknanya pengikut Christ = Al-Masih) memberitahu saya yang orang
Kristian sebenarnya tidak menyembah berhala.Dia memberikan saya senashkah Kitab
Suci Injil untuk dibaca bermula dari ‘Perjanjian Baru’. Sebagai seorang
Muslim, saya takut untuk membaca Kitab Injil sebabnya saya diajar dan di beri
amaran dari kecil lagi supaya jangan baca Kitab Injil. Rakan saya itu pula
mencabar saya dengan mengatakan kalau saya kata yang Islam dan Quran itu benar
saya tidak harus takut membaca Injil. Ya betul,saya setuju dengan dia sebab mak
saya selalu suruh saya berkata benar kerana kebenaran akan menjadi nyata. Jadi
saya tujukan soalan yang sama kepada kamu, kalau Islam itu benar, jalan yang
benar, kenapa kamu semua takut membaca kitab Injil/ Bible?
Yohanes 8:32
: "..dan
kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan memerdekakan kamu."
Ya kawan-kawanku, kebenaran akan membebaskan kamu daripada beban,
kutukan dan kongkongan dosa-dosa kamu sendiri.
Segala jawapan yang saya mencari-cari,
telah saya temui di dalam Kitab
Injil. Soalan seperti mengapa saya senantiasa melakukan dosa, mengapa lebih
senang menjawab dengan helah (tipu sunat konon), mengapa lebih senang menyakiti
hati orang lain dari memuji…semua ini dosa-dosa yang selalunya dilakukan tanpa
disedari lagi. (Walaupun kita cuba sedaya upaya untuk menjadi soleh dan tidak
melakukannya..kita tidak boleh lari dari berdosa!!) Jawapan dari Kitab Injil
ialah SEMUA manusia dilahirkan berdosa, dan mempunyai sifat semulajadi untuk
berdosa,untuk menentang dan melawanTuhan.
Roma 3:23 Kerana semua orang telah
berbuat dosa dan telah kehilangan kemuliaan Allah.
Kita hanya perlu perhatikan seorang anak kecil, sejak bayi lagi punya perangai
yang boleh memberontak( tidak mahu menyusu umpamanya), melawan, naik angin,
tidak dengar kata, lebih senang menjadi nakal dari baik kerana ini sifat
semulajadi bayi itu iaitu sifat semulajadi semua manusia. Belum pernah ditemui
seorang ibu yang mengajar anaknya untuk menjadi nakal, tetapi sebaliknya
terjadi,kita sering jumpa ibu–ibu yang kerap kena mengajar anak-anaknya untuk
menjadi baik, dan mendengar kata. Kitab Injil berkata
Jer 17:9 Hati manusia tak dapat diduga,
paling licik dari segala-galanya dan terlalu parah penyakitnya.
Sesungguhnya punca masaalah kita bukan apa yang boleh dilihat dari luar tetapi
punca masaalah kita atau punca dosa kita adalah dari dalam hati kita sendiri.
Hati dan jiwa yang kotor. Ya, kita boleh sembahyang lima kali sehari, berpuasa
di bulan Ramadhan, pergi Mekah setiap tahun dan bila balik ’rasa’ diri kita ini
suci,bersih ..tetapi dalam hati kita hanya Tuhan saja yang tahu. Lagipun Tuhan
tidak hanya melihat kerja amalan kita yang diluar yang hanya boleh dilihat oleh
manusia tetapi Tuhan melihat apa yang ada di dalam hati kita. Dalam Kitab
Suci Injil
ditemui ayat - 1 Samuel 16:7,
yang berfirman "Tetapi
TUHAN berkata kepada Samuel, 'Janganlah kau terpikat oleh rupanya yang elok dan
tinggi badannya; bukan dia yang Kukehendaki. Aku tidak menilai seperti manusia
menilai. Manusia melihat rupa, tetapi Aku melihat hati'."
Oleh itu, teman Muslim saya, cubalah
merenungkan sejenak kebenaran ini. Saya
tujukan soalan ini pada kamu sekali lagi. Bersih ke?, Suci ke hati kamu itu?
Saya tidak tanya sama ada kamu dah sembahyang ke belum, sama ada kamu berpuasa
penuh sebulan Ramadan, atau berapa kali dah pergi Mekah…saya cuma tanya sama ada
hati kamu, hati kita bersih ke dari dosa-dosa seharian seperti dengki, iri
hati, menyumpah, marah, kesombongan, mengata-ngata ataupun fikiran yang melayang tanpa
tujuan, fikiran yang kotor. Hanya KAMU SENDIRI saja yang boleh menjawab soalan
ini, dan soalan ini HARUS dijawab kerana Tuhan tahu dan kenal apa yang ada dalam
hati kamu itu. Hati dan jiwa kamu mestilah bersih dari dosa, kotoran, untuk berada
di syurga bersama Tuhan. Jadi masaalah kita ialah yang sebenarnya kita SEMUA
punya hati dan jiwa yang penuh pencemaran dosa dan
kekotoran. Dan dosa mesti ada hukuman iaitu
maut atau kematian.
Jadi setelah mengetahui dari Kitab Injil yang
saya telah berdosa terhadap Tuhan dan mengaku akan kebenaran ini, bagaimanakah
seseorang itu boleh membersihkan hati dan jiwanya dari dosa dan bebas dari
hukuman dosa? Inilah jawapan yang diberikan di dalam Kitab Injil, dan inilah
sebabnya mengapa saya menjadi seorang Kristian..pengikut Isa Al Masih bukan
penyembah berhala. Mengapakah Isa (as) atau Isa Al-Masih
telah mati disalibkan? Hakikatnya ialah: Baginda telah
disalibkan dan mati kerana ANDA dan SAYA.
Dia telah mengambil tempat saya. Sepatutnya
sayalah yang harus dihukum TETAPI Dia yang dihukum dan digantung di salib oleh
kerana dosa-dosa saya. Yohanes
19:30 : ‘Sudah Selesai’, kataNya Segala kerja hukuman yang
sepatutnya untuk diri saya DIA telah harungi. Kita tidak boleh membersihkan
hati, jiwa kita sendiri, kita tidak boleh membuat segala amalan baik untuk
membersihkan diri kita sendiri dengan harapan semoga Tuhan menerima amalan kita
dan dapat pahala kerana kita TIDAK SAMPAI ke taraf kemurnian yang
dikehendaki Allah. Sesungguhnya, Tuhan
Allah yang mencipta manusia, yang tahu asal usul kita, dan yang
tahu apa yang di dalam hati kita, semestinya Dia juga tahu kita hanya manusia
ciptaanNYa yang lemah penuh dosa dan tidah boleh dengan usaha sendiri menyucikan
dan membersihkan diri kita dari dosa. Telah dinyatakan dalam Kitab Injil
iaitu Joh 3:16 Karena Allah
begitu mengasihi manusia di dunia ini, (Dia
mengasihi saya) sehingga Ia
telah
mengirimkankan Kalimat-Nya yang tunggal, supaya setiap orang
(setiap orang termasuk saya)
yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan mendapat
kehidupan sejati dan kekal
abadi - di Akhirat nanti.
Kehidupan yang kekal selamanya dan bukan
kematian. Hanya DIA sahaja yang boleh membersihkan dan menyucikan hati kita dari
segala
dosa-dosa kita. Inilah sebabnya mengapa Dia dilahirkan
melalui seorang Perawan, Siti Mariam, dan telah memasuki
dunia ini. Dia datang untuk mati disalibkan. Dia TIADA dosa, Dia TIDAK BOLEH
berdosa, menyerupai manusia tetapi tidak mempunyai sifat semulajadi manusia
iaitu kebolehan untuk berdosa. Dia diperanakkan bukan seperti manusia
diperanakkan, tetapi melalui Roh Allah Sendiri.
Siti Mariam hanya digunakan sebagai alat
iaitu tubuh untuk mengirim Firman Tuhan yang hidup
itu untuk nuzul -yakni turun, ke dalam dunia ini.
Mariam sendiri tidak
memiliki kuasa, atau keistimewaan
yang khas. Tetapi, semua ini adalah dalam
rancangan Allah. Tuhan Allah tahu
yang kita manusia perlukan Penebus, iaitu
seorang suci dan murni yang dapat
menyelamatkan kita daripada hukuman dosa, jadi Dia
berikan kepada kita satu-satu PuteraNya. Kita mesti,
setiap insan dengan sendiri, dengan hati yang tulus ikhlas mengakui yang kita
ini lemas dalam dosa kita sendiri dan perlukan PENEBUS dan
PENYELAMAT yang telah dianugerahkan Allah itu kepada kita.
Lalu kita setiap orang dengan sendirinya harus menerima dan percaya yang Dia
telah menanggung hukuman segala dosa-dosa kita semasa Dia
disalibkan. Kerana kasihNya kepada saya yang berdosa ini, saya sudah
diampunkan dari segala hukuman dosa-dosa yang saya patut
terima. Dia telah diwafatkan sesuai dengan
kehendak Allah Sendiri, demi untuk kesejahteraan dan
pemurnian jiwa raga saya. Sekarang, saya
sudah bebas daripada hukuman dosa
dan juga hambatannya yang laknat itu! Tuhan Allah
telah mengampuni saya, demi hasil penebusan yang sudah pun dibereskan
oleh Isa Al-Masih dengan muktamadnya. Syukur Alhamdulillah!
Oleh kerana inilah saya telah membuat keputusan dengan sendiri, bukan dengan
paksaan dan ganjaran dari mana-mana pihak,
atau bukan dengan "kelahiran
ke dalam agama Kristian"…saya telah membuat keputusan
untuk menerima Nya dan kematian Nya disalib kerana saya, mengakui bahawa Dia
adalah Rabbi dalam hidup saya sehari-hari. Dia
telah mengampuni saya di dalam Sayidina Isa al-Masih, dan kini Dialah
yang membimbing jiwa dan hidup saya dalam jalan-Nya yang lurus dan indah itu!
Segala pujian kepada Allah atas perhubungan yang cukup istimewa ini!
1 Yohanes
1:7 berkata: '..darah Isa (as),
Kalimat-Nya, telah membersihkan kita dari segala dosa.'
Saya yang dahulunya terpisah daripada Tuhan disebabkan oleh
kekotoran dosa-dosa saya,
sekarang saya punya rumah di Syurga. Semuanya oleh kerana
Sayidina Isa
Al-Masih yang mengasihi diri saya, dan mengorbankan
nyawaNya untuk diri saya. Jadi kehidupan saya sekarang
ini, saya hidup dengan kuasaNya dan untuk kemuliaanNya. Segala beban dosa saya
telah diambil olehNya apabila saya telah percaya akan kewafatan-Nya
di atas salib. Saya seorang yang berdosa tetapi telah
diselamatkan dari hukuman dosa kerana kasih kurnia-NYA
bagi saya, yang saya tidak sama sekali layak untuk
menerimanya, inilah Kasih dan Sayang Allah (swt) yang benar-benar sejati-Rahman
dan rahim-Nya yang sudah pun saya nikmati, tetapi juga pada setiap hari
saya masih sedang mengalami, melalui taufik dan hidayah-Nya itu.
Mahukah anda menghayati
kepastian ini, teman-temanku? Saya
sekarang sudah pasti dan tahu serta kenal siapa yang saya percaya. Tahukah
anda siapa yang anda percayai?
Ulangan 4:29 bersabda: 'Lalu kamu akan
mencari TUHAN Allahmu, dan kalau kamu mencari-Nya dengan segenap hatimu, kamu
akan menemukan Dia.' Carilah
Tuhan Allah, teman-temanku, dengan segenap hati, selesaikan dengan Tuhan segala hutang
dosamu itu dan pastikanlah yang segalanya adalah baik antara
diri anda dan Tuhan Sendiri.
Temanku yang dikasihi, hakikat ini tidak
berakhir di sini sahaja. Kepada
kami yang percaya akan hasil Penebusan-Nya, kami juga tahu Penyelamat kami hidup kerana Dia
telah dibangkitkan pada hari yang ketiga sesudah
dia disalibkan, dan Dia akan datang
kembali selepas itu! Soalan terakhir saya kepada
anda ialah saatnya makin hampir. Sayidina Isa (as)
akan kembali lagi. Apakah anda semua
sudah bersedia untuk bertemu denganNya?
Untuk memperolehi ketenangan jiwa
yang abadi itu? Ini bukan hanya propaganda agama.
Ini sebenarnya mencerminkan perhubungan
peribadi yang erat dengan Tuhan Allah.
Keputusan mestilah dibuat oleh setiap orang. Tidak cukup
dengan hanya merasa baik dan alim dengan agama yang
anda telah dilahirkan, TETAPI kita harus
buat keputusan sendiri tentang Sayidina Rabbani ISA Al-Masih.
Siapakah Dia sebenarnya dalam hati kamu, di dalam jiwa kamu? Dan
apakah yang akan anda
lakukan dengan pengetahuan kebenaran ini,
dan tentang dosa-dosa kamu serta ganjaran mereka - yaitu MAUT dan
perpisahan kekal abadi dari Syurga dan hadhirat Allah(swt) - untuk menghuni di
Neraka jahannam selama-lamanya ?
Lewat kebelakangan ini kita lihat peperangan,
kita dengar berita tentang peperangan, tsunami, gempa bumi, teroris, banjir,
ribut, taufan, dunia ini semakin gelap dan menakutkan. Tidak kiralah sama ada
kamu Muslim, Kafir atau Musyrik... Segala kegelapan ini boleh terjadi kepada sesiapa
saja. Kitab Suci Injil bersabda ini hanyalah permulaan kesedihan
dan keperitan, dan banyak lagi musibah-musibah
akan mendatang yang jauh lebih
dahsyat kemusnahannya. Amaran ini sangat PENTING!!!!
Carilah Tuhan sementara ada masa, bersedialah untuk menemuiNya, dan
pangillah
akan Dia…
Wahyu 22:12 :
"Perhatikanlah ini!" kata Saydina Isa, "Tidak lama lagi Aku akan datang dengan membawa upah untuk membalas setiap orang menurut apa yang telah dilakukannya. Dan setiap lutut akan menyembah... "
Filipi 2:10-11 :
"Maka untuk menghormati Isa al-Masih, semua makhluk yang di syorga, dan yang di bumi, serta yang di bawah bumi, akan menyembah Dia. Mereka semuanya akan mengaku bahwa Isa al-Masihlah Rabbani; dengan demikian Allah Bapa dipermuliakan".
Sayidina Isa Al-Masih amat mengasihi setiap orang Muslim - TERMASUK ANDA,
temanku. Dengan tangan yang
terbuka Dia menunggukan kamu untuk datang kepadaNya untuk melepaskan bebanan dosa-dosa kamu
kepadaNya dan Dia sanggup memberikan anda kedamaian, kesejahteraan jiwa serta kehidupan yang
kekal - di Dunia mahupun di Akhirat nanti. Ini bukanlah hanya sesuatu 'ajaran agama barat' ataupun
hasil "fikiran orang putih". Ini adalah
kasih-sayang Tuhan YANG SEJATI kepada umat ciptaanNya yang sudah jatuh ke dalam jurang
perpisahan daripada-Nya, tetapi masalah itu telah diselesaikan seratus peratus
oleh Allah (swt) Sendiri - di atas salib.
Temanku, doa-doa saya sentiasa menyertai kamu semua. Jika ada, sila tujukan soalan-soalan
anda kepada alamat emel yang dipaparkan di dalam Lamanweb ini. Wassalaam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan