Isnin, 11 Julai 2011

ADAKAH PENGANUT AGAMA BUDDHA MENYEMBAH BERHALA.

MENGHORMATI OBJEK
Di dalam setiap agama terdapat objek-objek atau simbol-simbol yang diberi penghormatan. Di dalam agama Buddha terdapat tiga objek agama yang utama untuk tujuan tersebut, iaitu:-
1. Saririka atau relik-relik Buddha.
2. Uddesika atau simbol-simbol agama seperti imej Buddha dan pagoda
3. Paribhogika atau barang-barang peribadi yang digunakan oleh Buddha
Sudah menjadi resam bagi semua penganut agama Buddha di seluruh dunia untuk memberi penghormatan kepada objek-objek di atas. Satu lagi tradisi Buddhis ialah mendirikan imej Buddha, pagoda serta menanam pohon Bodhi di setiap Vihara sebagai objek agama untuk diberi penghormatan.
Ramai yang salah faham dan menggangap penganut agama Buddha sebagai penyembah berhala. Salah faham ini disebabkan oleh kurangnya pengetahuan tentang ajaran Buddha serta adat-resam dan tradisi penganut agama tersebut.
Menyembah berhala secara amnya bermaksud mendirikan patung dewa-dewi di dalam berbagai bentuk untuk disembah, meminta restu dan perlindungan serta mengharapkan kemewahan, kesihatan dan kekayaan daripadanya di dalam agama-agama yang berunsurkan ketuhanan. Terdapat juga mereka yang berdoa untuk diberkati berbagai kesenangan walaupun kesenangan itu diperolehi dengan cara yang salah. Mereka juga berdoa agar dosa mereka diampunkan.
Menyembah kepada imej Buddha sebenarnya berlainan daripada konsep yang diterangkan diatas. Perkataan "menyembah" itu sendiri tidak memenuhi maksud sebenar daripada sudut pandangan agama Buddha. "Memberi penghormatan" merupakan istilah yang lebih tepat. Umat Buddhis tidak menyembah berhala atau imej. Mereka memberi penghormatan kepada seorang guru agama yang agung. Gambar-gambar dan imej didirikan bagi bagi tujuan menghormati dan menghargai Pencerahan Sempurna dan kesempurnaan tertinggi yang dicapai oleh Buddha. Bagi seseorang Buddhis, imej Buddha hanya merupakan satu simbol yang membantunya mengingati Buddha.
Seseorang Buddhis melutut dan memberi hormat kepada imej Buddha yang sebenarnya mewakili Buddha. Mereka tidak harus memohon pertolongan daripada imej tersebut. Mereka merenung dan bermeditasi tentang Buddha untuk mendapatkan inspirasi daripada ciri-ciri peribadi Beliau yang mulia. Mereka cuba mengikuti ciri-ciri kesempurnaan Buddha dengan mengamalkan ajaran-ajaran Bhagava yang suci itu.
Seseorang Buddhis menghormati kebaikan dan kesucian guru agamanya yang diwakili oleh imej tersebut. Malah, penganut semua agama membentuk imej yang mewakili guru agama mereka sama ada yang boleh dilihat atau digambarkan di dalam fikiran mereka untuk tujuan menghormati guru agama mereka. Oleh itu, tidak tepat dan tidak adil untuk mengkritik dan menyatakan bahawa penganut agama Buddha merupakan penyembah berhala.

Amalan memberi penghormatan kepada seorang yang mulia seperti Buddha bukan satu perbuatan yang dilakukan atas sebab takut atau untuk memohon kebahagiaan duniawi. Seseorang Buddhis percaya bahawa perbuatan menghargai dan menghormati ciri-ciri suci yang dipunyai oleh guru agama mereka merupakan satu perbuatan yang berpahala dan membawa berkat. Seseorang Buddhis juga percaya bahawa mereka sendiri yang bertanggungjawab diatas penyelamatan diri mereka; tidak harus bergantung kepada sesiapapun untuk penyelamatan mereka.
Walau bagaimanapun, terdapat juga mereka yang berpendapat bahawa mereka boleh mendapat penyelamatan diri melalui perantaran pihak ketiga. Golongan ini yang mengkritik penganut agama Buddha sebagai penyembah imej seorang yang sudah tiada lagi di dunia. Jasad seseorang boleh mengalami disintegrasi dan menjadi juzuk konstituen (pepejal, cecair, haba dan arus) tetapi kemuliannya akan kekal selama-lamanya. Seseorang Buddhis menghargai dan menghormati sifat-sifat mulia ini. Oleh itu, tuduhan melulu terhadap penganut agama Buddha merupakan satu perkara yang begitu malang, salah sama sekali serta tidak berasas.
Apabila kita mempelajari ajaran Buddha, kita akan memahami bahawa Bhagava telah menyatakan yang Buddha hanya merupakan seorang guru yang telah menunjukkan jalan yang benar untuk penyelamatan diri. Maka terpulang kepada penganutnya untuk menjalani kehidupan beragama dan menyucikan minda mereka untuk penyelamatan diri tanpa bergantung kepada guru agama mereka. Menurut Buddha, tiada tuhan atau guru agama yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga atau neraka. Manusia mencipta syurga atau nerakanya sendiri melalui pemikiran, tindak-tanduk serta pertuturan mereka.
Oleh itu, menyembah kepada pihak ketiga untuk penyelamatan diri tanpa menyingkirkan fikiran yang jahat merupakan satu perbuatan yang sia-sia. Namun begitu, terdapat juga sesetengah orang termasuk penganut agama Buddha yang apabila sembahyang di hadapan imej Buddha akan mencurahkan masalah-masalah mereka, nasib malang yang dialami serta kesusahan yang dihadapi dan meminta pertolongan Buddha bagi menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Walaupun perbuatan tersebut bukan satu amalan Buddhis yang sebenar, tetapi perbuatan yang sedemikian dapat mengurangkan ketegangan emosi, memberi inspirasi dan ketabahan hati serta azam kepada mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Perkara ini juga satu kebiasaan di dalam agama-agama lain.
Bagi mereka yang benar-benar dapat memahami punca sebenar sesuatu masalah, mereka tidak akan melakukan amalan yang sedemikian. Semasa seseorang Buddhis memberi penghormatan kepada Buddha, dia menghormati Bhagava dengan melafazkan kalimat – kalimat yang memerincikan kemuliaan dan kesucian Buddha. Kalimat – kalimat ini bukan untuk meminta maaf daripada tuhan atau dewa – dewi di atas kesalahan dan dosanya. Kalimat – kalimat ini hanya bertujuan memberi pujian kepada seorang guru yang agung yang telah mencapai Pencerahan Sempurna serta menunjukkan cara hidup yang betul untuk kebaikan manusia. Penganut agama Buddha menghormati guru agama mereka kerana berterima kasih manakala penganut agama lain berdoa untuk mendapat kebaikan dan kesenangan. Buddha juga menasihati kita untuk “menghormati mereka yang wajar dihormati.” Oleh yang demikian, seseorang Buddhis boleh menghormati sebarang agama lain yang wajar dan layak dihormati.
Seseorang Buddhis tidak sembahyang. Sebaliknya dia mengamalkan meditasi untuk latihan minda dan disiplin diri. Untuk tujuan meditasi, sesuatu objek diperlukan. Tanpa objek, agak sukar untuk menumpukan minda kita. Kadang – kala, umat Buddhis

menggunakan imej atau gambar Buddha sebagai objek penumpuan fikiran dan pengawalan minda mereka.
Antara banyak objek meditasi, objek yang boleh dilihat dengan ketara mempunyai kesan yang lebih berkesan ke atas minda seseorang. Diantara lima pancaindera, objek yang kita tanggap melalui indera penglihatan (mata) mempunyai lebih pengaruh ke atas minda seseorang berbanding dengan indera yang lain. Pengaruh indera penglihatan ke atas minda seseorang lebih tinggi daripada indera lain. Oleh itu, objek yang dapat dilihat membolehkan minda kita mencapai penumpuan dengan lebih mudah dan lebih baik.
Imej yang kita tanggap merupakan pengetahuan subsedar (subconscious). Sekiranya Imej Buddha terbayang di dalam minda seseorang sebagai penjelmaan seorang yang sempurna, renungan seperti ini akan kekal di dalam subsedar. Kalau cukup kuat penumpuannya, renungan ini secara automatik menghalang kecenderungan yang jahat daripada mempengaruhi seseorang.
Sebagai satu objek yang dapat dilihat, Imej Buddha mempunyai kesan yang baik ke atas minda seseorang. Merenung pencapaian Buddha dapat menghasilkan kegembiraan, mengukuhkan minda serta menghapuskan keadaan tegang, resah dan kecewa di dalam diri seseorang.
Salah satu tujuan meditasi “Buddha – nussati”, iaitu renungan tentang ciri-ciri Buddha ialah untuk mewujudkan keyakinan terhadap Buddha dengan menyedari dan menghargai keagungan Beliau. Oleh itu, “menyembah” Imej Buddha merupakan satu pemusatan minda. “Menyembah” Imej Buddha tanpa puja, bernazar dan upacara keagamaan tidak harus dianggap sebagai penyembahan berhala tetapi sebagai satu cara penyembahan (memberi penghormatan) yang unggul.
PENGHORMATAN
Sesetengah daripada kalimat yang dibaca oleh penganut agama Buddha untuk mengenang guru mereka yang agung sebagai tanda menghormati dan memuji Buddha berbunyi seperti berikut:-
Namo Tassa Bhagavato Arahato Sammasambuddhassa – Terpujilah Bhagava, Yang Maha Suci, Yang Telah Mencapai Pencerahan Sempurna.
Selanjutnya mereka membaca kalimat yang menerangkan ciri – ciri agaung dan kesucian Buddha seperti berikut:-
“Iti pi so Bhagava Araham Samma sambuddho vijja carana – sampanno
Sugato Lokavidu Anuttaro Purisa dammasarathi Sattha Devamanussanam Buddho Bhagava ti”
Keseluruhan kalimat ini di dalam bahasa Pali. Sekitanya anda tidak biasa dengan bahasa ini, anda boleh melafazkan ayat – ayat tersebut di dalam bahasa yang anda ketahui. Terjemahannya di dalam bahasa Malaysia seperti berikut:-
“Demikianlah Bhagava, Yang Maha Suci, Yang Telah Mencapai Pencerahan Sempurna, Sempurna Pengetahuan serta tindak – tanduknya, Sempurna menempuh jalan (ke Nibbana), Pengenal segenap alam, Pembimbing yang tiada taranya, Guru para dewa dan manusia, Yang sedar, Yang patut dimuliakan”

SEBUAH CERITA BUDDHIS
Terdapat sebuah cerita yang dapat membantu kita memahami kepentingan Imej Buddha untuk memberi inspirasi kepada kita serta mengenang Buddha. Cerita ini terdapat di dalam kitab suci Buddhis tetapi tidak di dalam Tipitaka Pali.
Beberapa ratus tahun selepas Buddha mangkat, terdapat seorang bhikkhu yang setia di India bernama Upagupta. Beliau merupakan penyebar agama yang paling popular pada masa itu. Setiap kali beliau menyampaikan ceramah Dhamma, beribu – ribu orang datang mendengar ceramah Dhamma yang disampaikannya.
Pada suatu hari, Mara berasa iri hati dengan kemasyhuran Upagupta. Mara mengetahui bahawa kemasyhuran Upagupta disebabkan penyebaran agama Buddha. Mara tidak suka ajaran Buddha mengambil tempat di hati dan fikiran orang ramai. Justeru itu, Mara menggunakan tipu muslihat untuk mempengaruhi orang ramai. Beliau merancang untuk menghalang orang ramai daripada mendengar penyampaian ceramah Dhamma oleh Upagupta. Pada suatu hari, semasa Upagupta memulakan penyampaiannya, Mara mengadakan satu pertunjukan bersebelahan dengan tempat penyampaian Dhamma oleh Upagupta. Satu pentas yang cantik muncul dengan tiba – tiba. Terdapat penari – penari wanita yang cantik serta ahli – ahli muzik yang menyeronokkan.
Orang ramai yang mendengar syarahan Upagupta mula beralih tempat untuk menikmati persembahan Mara. Upagupta memerhatikan bahawa ramai orang yang tertarik dengan persembahan itu meninggalkannya. Kemudian beliau juga bercadang untuk turut serta menyaksikan persembahan tersebut. Selepas itu Upagupta bercadang untuk memberi satu pengajaran kepada Mara.
Selepas persembahan itu tamat, Upagupta menghadiahkan satu kalungan bunga kepada Mara.
“Kamu telah mengadakan satu persembahan yang sungguh menarik, “kata Upagupta.
Mara sudah tentu berasa gembira dan bangga dengan pencapaiannya. Dengan sukacitanya, Mara menerma kalungan bunga itu daripada Upagupta. Tiba – tiba kalungan bunga itu menjadi seperti satu lingkaran ular. Secara perlahan – lahan lingkaran itu menjadi semakin ketat dan mencerut leher Mara. Cerutan lingkaran itu sungguh sakit lalu cuba dibuka oleh Mara. Walau berapa kuat Mara menariknya, lingkaran itu tidak juga terbuka dari lehernya. Beliau bercadang untuk meminta pertolongan daripada Sakka, iaitu raja bagi segala deva. Beliau meminta Sakka membuka lingkaran itu. Sakka juga tidak dapat membukanya. “Saya tidak dapat membukanya,” kata Sakka. “Pergilah kamu berjumpa Maha Brahma yang paling berkuasa itu.”
Jadi, Mara pun pergi berjumpa dengan Maha Brahma dan meminta pertolongannya. Maha Brahma juga tidak berjaya membukanya. “Saya tidak dapat membuka lingkaran ini. Orang yang dapat membuka lingkaran ini ialah orang yang meletakknya di atas kamu," kata Maha Brahma.
Jadi, Mara terpaksa berjumpa dengan Bhikkhu Upagupta.
“Tolong bukakan lingkaran ini; ia sungguh menyakitkan, “rayu Mara.

“Baiklah, saya boleh melakukannya tetapi dengan dua syarat,” kata Upagupta. “Syarat pertama ialah kamu mesti berjanji tidak akan mengganggu penganut agama Buddha pada masa hadapan. Syarat kedua ialah kamu mesti menunjukkan rupa Buddha yang sebenarnya kepada saya kerana saya tahu awak pernah melihat Bhagava beberapa kali tetapi saya tidak pernah melihatnya. Saya ingin melihat rupa yang betul – betul serupa dengan Buddha berserta 32 tanda istimewa yang terdapat pada tubuhnya.”
Mara berasa sungguh gembira. Dia bersetuju dengan syarat – syarat Upagupta. “Tapi hanya satu perkara", pohon Mara. “Sekiranya saya menukar diri saya menjadi rupa Buddha, kamu mesti berjanji tidak akan menyembah saya kerana saya bukannya seorang yang suci seperti kamu.”
“Saya tidak akan menyembah kamu,” janji Upagupta.
Tiba – tiba Mara berubah rupa menjadi seakan – akan rupa Buddha. Apabila Upagupta melihat imej itu, perasaanya dipenuhi dengan inspirasi dan kebahagiaan. Satu perasaan setia dan kebaktian wujud di hatinya. Dengan tangan yang beranjali, beliau menyembah Imej Buddha itu.
“Kamu telah memungkiri janji kamu,” jerit Mara. “Kamu berjanji tidak akan menyembah saya. Sekarang, kenapa kamu menyembah saya?”
“Saya tidak menyembah kamu. Kamu mesti faham yang saya sedang menyembah kepada Buddha,” kata Bhikkhu Upagupta.
Berdasarkan cerita ini, kita dapat memahami mengapa Imej Buddha penting untuk memberi perangsang kepada kita bagi mengingati Buddha supaya kita dapat menghormatinya. Sebagai penganut agama Buddha, kita sebenarnya tidak menyembah simbol atau bentuk yang hanya mewakili Buddha tetapi kita memberi penghormatan kepada Buddha.
มากกว่าหนึ่งปี · รายงานผู้ดูแลระบบ

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin