AJARAN AGAMA BUDDHA.
Sebelum kita membincangkan persoalan ‘Kenapa memilih agama Buddha’, kita harus tahu bagaimanakah idea tentang agama mula – mula muncul di dalam pemikiran manusia.
Beribu – ribu tahun dahulu, setelah menyaksikan banyak peristiwa yang menakjubkan, manusia mula memikirkan tentang berbagai fenomena semulajadi di dalam alam ini. Adakalanya mereka terpaksa menderita disebabkan oleh malapetaka dan peristiwa yang mengerikan. Kadangkala fenomena itu membawa keuntungan.
Mereka mula berikhtiar untuk mencari jalan untuk menghalang berulangnya peristiwa yang menyebabkan ketakutan, penderitaan, tekanan emosi, syak wasangka dan sebagainya. Mereka sedia maklum bahawa kebanyakan peristiwa ini adalah di luar bidang pengetahuan mereka. Justeru itu, mereka merasakan bahawa terdapat suatu kuasa luar yang ghaib disebalik semua peristiwa yang luar biasa itu; mungkin “tuhan atau dewa”.
Upacara menghorbankan binatang dan menyembah diadakan dengan harapan dapat memuja kuasa luarbiasa ini. Bila tuah mendatang, mereka akan mengadakan majlis kesyukuran sebagai tanda berterima kasih kepada tuhan kerana berpendapat mungkin tuhan yang bertanggungjawab disebalik tuah itu. Mereka berharap mendapat perlindungan daripada tuhan melalui upacara keagamaan seperti ini supaya tidak menghadapi banyak kesulitan di dalam hidup. Dengan berkembangnya konsep ini, ritual, upacara dan perayaan keagamaan pun mula berkembang.
Masyarakat yang berlainan mengadakan perayaan yang berbeza mengikut keperluan serta kedudukan geografi mereka. Dengan bertambahnya upacara pemujaan ini serta falsafah disebaliknya, ‘agama’ menjadi satu bahagian intrinsik di dalam setiap tamadun manusia. Asas agama pada mulanya adalah untuk kemandiran manusia (survival) yang berpunca daripada syak wasangka dan salah faham tentang hidup serta fenomena semulajadi alam yang mengerikan. Kesemua ini merupakan asas bagi agama sebagaimana bahan – bahan seperti batu – bata, simen dan tanah digunakan untuk membina asas bagi sesebuah bangunan.
Agama kemudian diperkayakan lagi rupanya supaya kelihatan menarik dengan memperkenalkan unsur keyakinan, pemujaan, penyembahan, etika, moral serta nazar yang kesemuanya dijalankan di atas nama tuhan demi mengawal umat manusia. Mereka juga berharap dapat mencapai satu alam kebahagiaan yang berkekalan serta ketenangan roh.
ASAS AGAMA BUDDHA
Beberapa ratus tahun kemudiannya, satu agama baru, agama Buddha muncul. Buddha tidak memperkenalkan atau menggunakan sebarang daripada kepercayaan kuno itu. Beliau tidak mengeksploitasikan konsep tuhan, teori roh, syurga atau neraka yang berkekalan untuk membentuk agama Buddha. Beliau tidak mengeksploitasikan ketakutan manusia atau salah faham mereka tentang fenomena yang berlaku di dalam alam semesta untuk menyokong ajarannya. Beliau tidak menuntut umatnya menerima ajarannya dengan membuta tuli atau mengadakan upacara yang sia – sia. Beliau tidak menggalakkan amalan menyeksa diri atau menurunkan hukum yang wajib untuk pengikutnya. Beliau tidak
menuntut kewibawaan sebarang kuasa ghaib untuk mengukuhkan hujjahnya. Buddha juga telah memperkenalkan banyak perkara seperti sifat sebenar kehidupan duniawi, fenomena alam dan kosmik, ciri sebenar minda1 dan jasad, kaitan juzuk dan tenaga, moral, perkembangan spiritual, disiplin, latihan pemikiran mental, pengetahuan, kearifan dan Pencerahan Sempurna.
Beberapa konsep yang diajarnya juga terdapat di dalam agama lain, misalnya kamma – hukum sebab dan akibat serta etika – etika tertentu. Akan tetapi Buddha tidak mengajarnya dengan cara yang sama atau memberi pengertian yang sama kepadanya. Beliau telah memperbaiki dan memperkenalkannya secara saintifik dan rasional.
AGAMA YANG BEBAS
Agama Buddha bukan satu gabungan beberapa agama atau idea – idea agama yang berbeza. Buddha tidak mengambil ajaran daripada agama lain, mengumpulkannya dan kemudian memperkenalkannya sebagai agama Buddha. Sebaliknya., Beliau menyedari bahawa tiada seorang guru agama pun yang dapat menemui kebenaran mutlak dan jalan untuk membebaskan diri daripada belenggu hidup. Beliau menerangkan bahawa guru agama lain hanya dapat mencapai tahap tetentu sahaja di dalam pencapaian kuasa duniawi dan perkembangan spiritual mereka. Mereka masih tidak dapat mencapai minda yang suci sepenuhnya atau membebaskan diri daripada tanggapan yang salah, khayalan, kejahilan, kecemaran minda, salah faham, imaginasi dan kepercayaan yang karut.
Tujuan sebenar suatu ‘agama’ boleh difahami apabila kita mengkaji cara Buddha memperkenalkan “jalan hidup beragama yang mulia” ini. Jika kita menggunakan istilah ‘agama’ apabila membincangkan ajaran Buddha, kita juga harus memahami tafsiran berlainan yang diberikan bagi istilah ini oleh pengikut agama lain. Justeru itu, sesiapa pun dapat memahami mengapa agama Buddha diperlukan walaupun terdapat begitu banyak sekali agama lain di dalam dunia ini.
KETIADAAN DOGMA
Buddha telah berjaya menyingkirkan beberapa tanggapan yang salah yang menjadi pegangan manusia selama beberapa ribu tahun. Tanggapan bahawa roh itu merupakan suatu entiti yang berkekalan dan diwujudkan oleh tuhan terpaksa ditolak apabila Buddha memberikan beberapa hujah yang konkrit dan bernas untuk menyangkal kewujudan sesuatu entiti yang berkekalan selama – lamanya. Tanggapan ini hanya suatu khayalan sahaja. Tanggapan ini seperti pelangi yang boleh dilihat tetapi bukannya realiti. Buddha menerangkan bahawa konsep roh ini merupakan satu salah faham tentang kesedaran deria (consciousness) manusia. Konsep roh ini sangat penting di dalam setiap agama lain. Akan tetapi Buddha sahaja yang menyatakan dengan jelasnya bahawa tiada sebab untuk kita mempercayai tentang kewujudan roh.
Perkara ini sama seperti pada masa dahulu apabila semua orang percaya bahawa matahari dan bulan mengelilingi bumi kita setiap hari. Manusia mempunyai tanggapan yang salah. Hal ini disebabkan oleh kurangnya pengetahuan tentang cakerawala kita. Apabila Copernicus membuktikan bahawa bukannya matahari yang mengelilingi bumi, sebaliknya bumi yang mengelilingi matahari, manusia mula menyedari kebenaran itu.
Terdapat satu lagi tanggapan tentang bumi yang dipegang oleh manusia. Selama beribu –
1 minda= mind. Buddha menerangkan bahawa minda terdiri daripada empat kelompok mental, iaitu perasaan (feelings), tanggapan (perception), formasi mental (mental formations) dan kesedaran deria (consciousness)
ribu tahun, manusia mempercayai bahawa bumi kita rata. Akan tetapi Galileo telah membuktikan bahawa bumi kita bulat dan bukannya rata. Lama – kelamaan manusia juga menerima kebenaran tersebut.
Apabila Copernicus menemui bahawa matahari merupakan pusat sistem suria kita, manusia terpaksa menolak kepercayaan lama yang berasaskan bumi sebagai pusat alam semesta.
Kepercayaan kebanyakan ahli falsafah tradisional sehingga abad ke – 19 bahawa atom merupakan entiti mutlak jasad dan mustahil untuk membelahkan atom tersebut. Kepercayaan ini terpaksa ditolak apabila saintis nuklear berjaya membelahnya.
Teori evolusi yang dirumuskan oleh Charles Darwin telah menolak “Teori penciptaan” yang popular itu; bahawa kehidupan dicipta oleh Tuhan. Ahli geologi, biologi dan fisiologi telah menerangkan dengan terperincinya bahawa kewujudan kehidupan yang pertama di dalam dunia ini telah mengambil masa beberapa juta tahun dan bukannya di dalam tempoh beberapa hari. Semua fakta ini tidak bertentangan dengan ajaran Buddha daripada mana – mana aspek pun. Penemuan moden tentang perkembangan kehidupan mineral, tumbuhan, benda dan makhluk hidup secara beransur-ansur selari dengan ajaran Buddha.
Apabila kita mengkaji penerangan Buddha tentang alam semesta, kita mendapati bahawa Beliau telah menyentuh tentang wujudnya beberapa jenis makhluk hidup yang bahagia dan juga yang tidak bahagia, bukan sahaja di dalam dunia ini tetapi juga di dalam beberapa planet lain yang tertentu.
Para saintis moden dan juga ahli astronomi mempunyai pandangan yang terbuka tentang aspek ini. Mereka mengakui bahawa adanya kemungkinan tentang wujudnya beberapa jenis makhluk hidup di planet – planet lain yang tertentu. Banyak kepercayaan karut pada masa kini sama dengan kepercayaan primitif tentang sistem dunia dan asalnya hidup. Akan tetapi ajaran Buddha mengesahkan penemuan baru tersebut.
Buddha tidak menyokong kepercayaan bahawa upacara agama dan ritual merupakan satu – satunya cara untuk seseorang menyelamatkan dirinya. Mengikut Buddha perkembangan moral, penumpuan minda serta penyucian minda merupakan aspek yang penting dalam menjalani kehidupan beragama sehingga tercapainya Nibbana. Beliau menyatakan bahawa seseorang yang berpegang teguh pada agama harus menjalani kehidupan yang tidak tercela, menjalani kehidupan yang terhormat, suci, senonoh, mulia serta tidak menyakiti orang lain. Hanya dengan menyembah ataupun memuja tidak dengan sendirinya menjadikan seseorang itu seorang yang berpegang teguh pada agama atau membolehkannya mencapai kesempurnaan dan penyelamatan diri.
Buddha juga menasihati manusia supaya menjauhkan diri daripada amalan jahat. Tujuan kita menghindarkan diri daripada amalan jahat demi kebajikan makhluk hidup yang lain dan bukan kerana takutkan tuhan ataupun hukuman daripada tuhan atau tindakan polis dan kehakiman ngara. Pada masa yang sama, Beliau juga menasihati kita untuk memupuk ciri – ciri kemanusiaan yang baik, mempraktikkan amalan yang baik serta menolong orang lain tanpa mempunyai tujuan kepentingan diri yang tersembunyi.
Buddha merupakan satu – satunya guru yang telah memberikan penghormatan yang tinggi kepada kebijaksanaan manusia. Beliau menasihati kita supaya tidak mengabdikan diri kepada kuasa luar. Sebaliknya kita digalakkan untuk memperkembangkan potensi kita dengan mempunyai keyakinan pada kebolehan diri sendiri.
Beliau juga mengatakan bahawa manusia yang bertanggung – jawab bagi semua perkara yang berlaku di dalam dunia ini. Penderitaan serta kebahagiaan diwujudkan oleh dirinya sendiri. Manusia mempunyai kebolehan untuk menyingkirkan penderitaannya serta menetapkan suatu suasana yang tenteram dan bahagia melalui usaha sendiri tanpa bergantung kepada kuasa luar. Disebabkan minda manusia yang tidak terlatih itulah, mereka menghadapi banyak masalah, malapetaka dan pergolakan hidup. Jika minda manusia digunakan dengan betul, mereka akan dapat menukarkan situasi yang tidak menguntungkan itu dan menjadikan dunia ini lebih aman, makmur serta bahagia. Hanya intelek terlatih yang mempunyai tenaga mental yang suci berkebolehan menjayakannya.
HADAPI KENYATAAN
Agama ini selalu menggalakkan manusia menghadapi kenyataan hidup tanpa bertindak sebagai seorang hipokrit. Kita harus menerima kenyataan apabila menghadapinya. Oleh itu, umat Buddhis tidak menolak fakta berkenaan dengan dunia ini yang dijumpai oleh para saintis dan para cendekiawan. Walaupun Buddha telah memberi lebih penekanan kepada perkembangan spiritual, Beliau tidak pernah mengabaikan kemajuan duniawi manusia. Di dalam ajarannya kita akan menemui nasihat yang praktikal untuk bekerja dengan betulnya tanpa membuang masa serta berusaha dan bertindak dengan bijaknya demi kemajuan umat manusia. Beliau menyatakan bahawa seseorang harus menunaikan kewajipannya kepada keluarga, sanak–saudara, rakan–rakan, masyarakat setempat negara serta seluruh dunia.
Oleh itu umat Buddhis tidak harus mengabaikan tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk menjadikan dunia ini lebih aman dan bahagia. Mereka boleh membuat demikian dengan menyumbangkan tenaga mengikut kemampuan masing – masing. Buddha tidak campur tangan di dalam urusan kerajaan atau undang – undang yang ditetapkan oleh kerajaan. Buddha tidak menentang sebarang adat sosial dan tradisi sekiranya adat itu tidak merugikan tetapi sebaliknya memberi manfaat kepada masyarakat. Pada masa yang sama Beliau tidak menggunakan kuasa politik atau tentera untuk mengembangkan ajarannya walaupun terdapat raja dan menteri yang menjadi pengikutnya.
Agama ini yang mengajar kita untuk berbakti kepada orang lain, mengorbankan keselesaan hidup untuk menolong umat manusia serta mengikuti disiplin dan peraturan agama bukannya kerana telah diturunkan oleh suatu kuasa ghaib tetapi diamalkan secara sukarela. Dengan mengikuti prinsip yang baik seperti ini berdasarkan keyakinan diri, kita bukan sahaja mendapat peluang untuk menjadi sempurna tetapi kita juga dapat membantu orang lain hidup dengan tenteram.
Penyempurnaan ini merupakan tahap tertinggi yang harus dicapai demi menyelamatkan diri seorang. Penyempurnaan ini tidak boleh dicapai melalui pertolongan mana – mana tuhan ataupun orang tengah.
Mengikut agama ini, kita dapat melihat akibat semua perbuatan baik atau buruk di dalam jangka hidup ini sendiri. Kenikmatan syurga atau Nibbana dapat diselami di dalam hidup ini juga. Tidak perlu tunggu hingga mati untuk melihat akibat tersebut seperti yang diajar di dalam agama lain.
Buddha selalu mempersilakan kita untuk datang dan menyelidik ajarannya, bukannya datang dan mempercayai secara membuta tuli. Beliau juga menasihati kita untuk memilih satu agama yang sesuai dengan menimbangkan serta menyelidik dengan berbagai cara tanpa berdasarkan emosi ataupun kepercayaan membuta tuli. Justera ini sebabnya agama Buddha dikenali sebagai ajaran yang berasaskan analisis. Di sini, kita dapat melihat
analisis minda dan jasad daripada segi saintifik mahupun falsafah. Aspek ini sudah tentu merupakan suatu aspek yang dihargai oleh para cendekiawan moden.
HUKUM SEJAGAT
Buddha merupakan guru yang telah menemui sifat sebenar hukum semulajadi kamma dan Beliau menasihati kita supaya hidup selaras dengan hukum ini. Beliau menyatakan bahawa mereka yang melanggar hukum ini, misalnya menetang alam semulajadi dan menjalani hidup yang tidak bermoral mesti bersedia untuk menghadapi akibatnya.
Bukti hukum kamma tersebut dapat dilihat dewasa ini. Sejak revolusi industri pada abad yang lalu, kawasan yang luas telah dibiarkan begitu saja. Lautan dan sungai juga telah tercemar ke satu tahap yang tidak mungkin dapat dipulihkan semula. Perkara ini berlaku kerana manusia terlalu tamakkan kemewahan material serta jahil tentang keseimbangan di antara manusia dengan alam semulajadinya.
Adalah mustahil untuk kita melarikan diri daripada kejadian semulajadi seperti ini dengan hanya sembahyang atau menyembah kepada tuhan kerana hukum sejagat ini adil dan saksama bagi semua. Buddha telah mengajar kita cara untuk menghentikan sebahagian daripada amalan jahat dengan melaksanakan lebih banyak amalan baik. Kita dapat melakukannya dengan melatihkan minda kita serta menyingkirkan fikiran yang jahat daripada minda. Setelah melanggar hukum alam semulajadi, tidak ada cara lain untuk menghalang akibatnya daripada bertindak kecuali berusaha selari dengan hukum tersebut. Sikap semata – mata mementingkan diri sendiri harus diubah kepada semangat ingin berbakti kepada orang lain. Sikap tamak haloba pula harus diubah menjadi sikap kedermawan.
Buddha telah mengajar tentang kamma. Seorang ahli psikologi yang terkenal bernama Carl Jung telah menerima serta mengakui Kamma sebagai kesedaran deria terkumpul (collective consciousness) yang sebenarnya merupakan pengumpulan benih kamma di dalam tenaga mental. Selagi kesedaran deria terkumpul dan kemahuan untuk terus hidup masih berada di dalam minda sebagaimana yang diterangkan oleh ahli – ahli falsafah, tumumbal lahir (kewujudan semula) akan terus berlaku tidak kira sama ada kita mempercayainya atau tidak.
Unsur jasad akan mengalami disintegrasi tetapi arus mental bersama dengan “Kemahuan untuk terus hidup” akan disalurkan dan satu tumimbal lahir yang baru akan terbentuk bergantung kepada kesedaran deria terkumpul tadi.
Hukum graviti dan keabadian tenaga yang dirumuskan oleh ahli sains moden seperti Newton menyokong ajaran tentang kamma (hukum sebab dan akibat) yang telah diajar oleh Buddha.
Mengikut Buddha, seorang manusia pun berkebolehan menjadi tuhan jika dia hidup berlandaskan satu jalan hidup yang benar tidak kira apapun agamanya. Buddha menolak konsep kewujudan satu Tuhan Yang Maha Esa yang telah mencipta seluruh alam sejagat serta makhluk – makhluk hidup di dalamnya. Akan tetapi agama lain pula menasihati umat manusia untuk sembahyang kepada tuhan supaya diberkati rahmatnya. Agama lain juga mengajar bahawa hanya selepas kematian seseorang, barulah dia akan pergi ke syurga. Akan tetapi kenikmatan syurga itu tidak bermaksud bahawa manusia dapat menjadi seorang tuhan. Bagaimanapun konsep Buddhis tentang tuhan berbeza dengan agama lain.
Semua pengasas agama lain tidak pernah menyatakan pengikutnya juga mempunyai peluang untuk mencapai kebahagiaan, ketenteraman, kenikmatan dan penyelamatan diri sama seperti yang diperolehi oleh pengasas agama tersebut. Akan tetap, Buddha pula menyatakan sesiapa pun dapat menjadi seorang Buddha jika beliau sanggup mengamalkan kesempurnaan dan jalan yang telah dipraktikkan olehnya
KETURUNAN SIAM MALAYSIA.
Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan