Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian
dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala, Empunya seluruh alam,
Pentadbir seluruh alam, Pencipta seluruh alam. Tiada tuhan melainkan Dia.
Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu
‘alayhi wasallam, juga ke atas ahli keluarga baginda yang mulia serta
barisan para sahabat baginda yang terpuji.
Dalam dunia ‘moden’ di mana umat Islam rata-ratanya sudah semakin jauh
daripada tradisi-tradisi dalam arena keilmuan Islam – yang secara pastinya jauh
lebih baik dan lebih dekat kepada kebenaran – untuk menjaga hubungan antara
seorang guru dan seorang murid itu memang sangat sukar. Malah, ramai yang tewas
dengan hasutan nafsu dan syaitan sehingga meruntuhkan adab-adab yang seharusnya
dipelihara antara guru dan murid, sehingga menyebabkan cahaya ilmu Allah itu
sukar menusuk ke dalam hati. Inilah yang dimaksudkan oleh Waqi’, guru kepada
Imam Syafie, apabila berwasiat kepada Imam Syafie supaya “meninggalkan
maksiat”. Hal “maksiat” yang dimaksudkan oleh guru Imam Syafie bukanlah
semata-mata merujuk kepada perilaku yang umum dimaklumi tidak baik seperti
zina, minum arak dan sebagainya, tetapi merujuk juga kepada “maksiat hati”
yakni perkara-perkara seperti hasad dengki, sangka buruk dan sebagainya. Apatah
lagi jika “maksiat hati” itu sasarannya adalah kepada seorang guru yang
mengajarkan ilmu pengetahuan; sudah tentu terlebih besar darjat kesalahannya.
Dalam hal adab antara seorang anak murid dan guru, kisah antara Nabi
Musa ‘alayhissalam dan Nabi Khidir ‘alayhissalam merupakan contoh
tersohor yang sangat baik.
Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah Al-Kahf ayat 65-82
yang lebih kurang maksudnya:
65. Lalu
mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami Yang telah Kami kurniakan kepadanya
rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.
66. Nabi
Musa berkata kepadanya: bolehkah aku mengikutmu, Dengan syarat engkau
mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi
petunjuk bagiku?"
67. Ia
menjawab: "Sesungguhnya engkau (Wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat
bersabar bersamaku.
68. Dan bagaimana
engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara
meliputi?
69. Nabi
Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, Insya Allah: orang yang sabar; dan aku
tidak akan membantah sebarang perintahmu".
70. Ia
menjawab: "Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya
kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu".
71. Lalu
berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia
membocorkannya. Nabi Musa berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang
akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau
telah melakukan satu perkara yang besar".
72. Ia
menjawab: "Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali
akan dapat bersabar bersamaku?"
73. Nabi
Musa berkata: "Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan
syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam
urusanku (menuntut ilmu)".
74.
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang
pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau membunuh
satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau
telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!"
75. Ia
menjawab: "Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak
sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?"
76. Nabi
Musa berkata: "Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah
ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; Sesungguhnya engkau
telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan
pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku".
77.
Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk
sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu
orang-orang itu enggan menjamu mereka. kemudian mereka dapati di situ sebuah
tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: "Jika engkau
mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!"
78. Ia
menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan
kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat
bersabar mengenainya.
79. Adapun
perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut;
oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang
mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak
cacat.
80. Adapun
pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami
bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan
kufur.
81. Oleh
itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang
lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih
sayangnya.
82. Adapun
tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu;
dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa
mereka pula adalah orang yang soleh. maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka
cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu
rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). dan (ingatlah) aku tidak melakukannya
menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan
perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".
Peristiwa yang
dirakamkan di dalam ayat Al-Qur’an di atas merupakan satu pengajaran daripada
Allah Subhanahu wa ta’ala kepada Nabi Musa ‘alayhissalam. Antara
pengajaran-pengajaran penting yang boleh diperolehi daripada kisah Nabi Musa ‘alayhissalam
dan Nabi Khidir ‘alayhissalam:
1. Boleh jadi seorang
murid itu lebih mulia dan lebih soleh daripada seorang guru, tetapi itu tidak
melayakkan seseorang murid itu untuk membantah atau tidak menghormati gurunya.
2. Seseorang murid
perlu bersabar dengan tindakan gurunya, dan tidak terlalu gopoh dalam menghukum
atau menilai perlakuan gurunya sedangkan ia tidak mempunyai pemahaman atau
pengetahuan yang mendalam tentang apa yang dilakukan.
3. Seseorang murid
yang yang tidak menyempurnakan syarat-syarat hubungan guru dan murid, seperti
menghilangkan adab dan rasa hormat, akan “terhalau” daripada hadrat gurunya.
4. Seorang murid
yang hendak mengambil manfaat daripada gurunya hendaklah mengikuti perjalanan
gurunya dengan penuh sabar dan taat.
5. Seorang murid
perlulah mengikut perjalanan gurunya dengan penuh sabar dan rendah diri dan
tidak terlalu cepat (terburu-buru dan tidak sabar) ingin memahami sesuatu
perkara kerana kefahaman itu datang daripada Allah.