Jumaat, 22 November 2013

MASYARAKAT ISLAM DI SELATAN THAI.







 
Selatan Thailand yang meliputi wilayah-wilayah (provinces) seperti Pattani, Yala, Narathiwat, Satun dan sebahagian dari wilayah Songkhla, dikenali juga sebagai Patani. Daerah yang berbatasan dengan Malaysia ini menjadi titik perhatian masyarakat antarabangsa sejak hampir sedekad lalu kerana berbagai kejadian keganasan seperti baku tembak, penembakan sepihak, peledakan bom, car-bomb dan sebagainya. 
Dalam kertas kerja ini saya hanya menyorot beberapa aspek dalam kaitan dengan kehidupan masyarakat Islam di Selatan Thailand. Dan kertas kerja ringkas ini tidak bermaksud untuk mencampuri urusan pemerintahan, selain semata-mata untuk menjalankan tugas saya sebagai salah seorang warga masyarakat yang cinta kepada kedamain. 
Permasalahan Selatan Thai 
Seperti kita sedia maklum, isu kekerasan dan keganasan tidak hanya terjadi di sesebuah negara yang di dalamnya terdapat ummat Islam. Tetapi anehnya, kenapa Islam dan ummatnya kerap dijadikan kambing hitam dalam kaitan dengan keganasan di belahan dunia manapun? Setiap ada tindak kekerasan, selalu dihubungkaitkan dengan Islam sehingga ummatnya sering dianggap sebagai teroris atau kaum pengganas. Kesan daripada anggapan tersebut menyebabkan timbulnya kebencian meluas terhadap Islam dan ummatnya, yang dikenali dengan istilah Islamofobia. 
Islamofobia adalah istilah kontroversial yang mengarah kepada prasangka buruk dan pencitraan negatif terhadap Islam dan muslim. Istilah itu sendiri sudah digunakan jauh sebelum tahun 1980-an tetapi menjadi sangat popular pasca-serangan World Trade Centre, 11 September 2001. 
Selepas peristiwa 11 September tersebut, pandangan negatif terhadap Islam bertambah buruk. Media massa yang tidak ramah Islam pula seperti dengan sengaja melaporkan secara berlebihan tentang berbagai tindak kekerasan yang dikaitkan dengan Islam dan ummatnya. Dan hujung-hujungnya terbentuklah opini masyarakat dunia,yang menganggap Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya menjadi pengganas. 
Masyarakat Islam di Thailand juga menerima tempias sangat berat daripada kebijakan (policy) Amerika Syarikat dalam apa yang dikenali sebagai “The War of Terrorist”. Kebijakan ini menimbulkan kecurigaan di kalangan masyarakat Islam. Padahal kalau diteliti secara mendalam, kita dapati bahawa fahaman golongang yang dikenali dengan nama Ahli Sunnah wal Jamaah -- di dalam dan luar negara -- itu, sangat moderat. Bentuk perjuangan mereka lebih mengarah kepada aktiviti bercorak akademik dengan tujuan untuk membentuk dan membina perdamaian dengan mengadakan aktiviti-aktiviti positif seperti seminar, diskusi, forum, penelitian dan sebagainya dalam mencari kedamaian serantau. 
Hasil penelitian dan penyelidikan membuktikan bahawa ketegangan dan kekerasan yang berlaku di kawasan Selatan Thailand, bukan ditunggangi golongan ekstremis Islam dari luar negara. Kita dapati bahawa ketegangan dan kekerasan di Selatan Thailand merupakan konflik internal yang bersumber daripada perbedaan etnik, bahasa dan budaya.. Yakni reaksi ketidak-puasan historikal sekelompok orang terhadap pihak berkuasa. Namun yang membuat keadaan di Selatan Thailand menjadi lebih parah justeru disebabkan kebijakan memerangi keganasan itu sendiri yang tidak benar. Mahu membuat suasana menjadi dingin, aman damai ternyata yang terjadi adalah sebaliknya. Keadaan semakin panas dan bertambah tidak karuan. 
Ketegangan era baru di Selatan Thailand berawal dengan tragedi penyerangan dan perampasan senjata di kem tentera, Rachanakarin Camp, dalam wilayah Narathiwat, pada 4 Januari 2004. Sejak kejadian itu sampai sekarang ini, Selatan Thailand tidak pernah sepi dari baku tembak, pengeboman, pembakaran sekolah, pembunuhan dan sebagainya. 
Selang berapa bulan kemudian, 28 April 2004, terjadi pula baku tembak secara serentak dalam wilayah-wilayah Pattani, Yala dan Songkhla. Kejadian ini berakhir dengan tragedi di Masjid Keresik, dalam wilayah Pattani apabila pihak berkuasa menembak dan menyerang tanpa ampun mereka yang berlindung di dalamnya. Sebanyak 32 orang terbunuh dalam masjid batu yang dibina pada awal kemusukan Islam di Patani tersebut. 
Peristiwa tersebut memberi tamparan yang berat kepada pihak pemerintah apabila beberapa NGO dalam negeri dan asing berpendapat bahawa tindakan penyerangan terhadap masjid tersebut sebagai pelanggaran serius terhadap Hak Asasi Manusia (HAM) dan sangat tidak manusiawi. 
Pada 25 Oktober 2004, wilayah Selatan Thailand sekali lagi digegarkan dengan tragedi Tak Bai. Ceritanya berawal dengan aksi demonstrasi aman di depan Balai Polisi Tak Bai, Narathiwat. Tujuannya untuk meminta pihak berkuasa membebaskan 6 sukarelawan keselamatan yang ditangkap beberapa hari sebelumnya atas tuduhan mencoba untuk mencetuskan pemberontakan terhadap pemerintah. Tindakan pihak berkuasa dalam membubarkan para demonstran itu berakhir dengan kekerasan. 
Kejadian yang menyayatkan hati itu berlaku dalam bulan Ramadhan. Sebanyak 88 orang penunjuk perasaan meninggal dalam keadaan sangat menyedihkan. Mereka kehabisan nafas kerana bersusun tindih seperti ikan sardin di belakang trak tentera yang membawa mereka ke sebuah kem tentera untuk diinterogasi sejauh 100 kilometer lebih. 
Posisi Ummat Islam 
Pemaparan sekilas kondisi ummat Islam dan perkembangan pendidikan Islam di Thailand, khususnya di wilayah-wilayah Selatan Thailand sangat penting dalam memahami permasalahan sebenar apa yang berlaku. Islam adalah agama damai yang cinta kedamaian. Kehadiran Islam di Thailand juga melalui jalur kedamaian. 
Thailand adalah sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha dan berbahasa serta berbangsa Thai (Siam). Terdapat sekitar 10% dari keseluruhan jumlah penduduk Thailand yang beragama Islam. Daripada jumlah tersebut, kebanyakan masyarakat Islam tinggal di Selatan Thai (Patani). 
Mereka berbangsa dan berbahasa Melayu. Agama Islam dan bahasa Melayu di Selatan Thai atau Patani merupakan agama dan bahasa majoriti. Agama Islam dan bahasa Melayu merupakan dua komponen yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan kelompok majoriti di Selatan Thai. Jumlah populasi orang Melayu Islam di Patani adalah 85 peratus. 
Kenyataan ini sangat jelas memperlihatkan perbedaan antara ummat Islam di Selatan Thai dan majoriti rakyat Thai. Majoriti rakyat Thai berbangsa Siam, berbahasa Siam dan beragama Buddha. Sedangkan ummat Islam di Selatan Thai berbangsa Melayu, berbahasa Melayu dan beragama Islam. 
Prof. Madya Dr. Ahmad Omar Chapakia berpendapat, kendati penduduk Islam di Thailand merupakan kelompok minoriti, tetapi posisi mereka dianggap sangat penting dalam strategi keamanan dan kestabilan politik negara. Kedudukan mereka sebahagian besar bertumpu di kawasan selatan, khususnya di wilayah-wilayah yang berbatasan dengan negara Malaysia yaitu Pattani, Yala, Narathiwat, dan Satun. Di wilayah lain, walaupun mereka sebagai golongan minoriti, sebahagian besar dari pada mereka adalah majoriti dan dominan di kawasan tertentu. Contohnya di wilayah Songkhla kedudukan mereka hanya 20 peratus dari pada jumlah populasi penduduk keseluruhan wilayah tersebut, tetapi mereka menjadi dominan di empat daerah (district) penting yaitu Chanak, Natawi, Thepha dan Sabayoi. 
Menurut catatan Pusat Statistik Nasional Thailand (2000) penduduk Islam di Thailand berjumlah 2.8 juta orang atau 4.6 peratus. Namun demikian, kebanyakan pertubuhan Islam menganggap angka tersebut tidak selaras dengan kenyataan. Mereka meletakkan jumlah peratusan dan bilangan penduduk Islam yang lebih jauh berbeda dengan perhitungan resmi kerajaan. Menurut Prof. Madya Dr. Charan Malulim, pada tahun 2004 populasi penduduk Islam di Thailand diperkirakan sekitar 6 juta orang atau 1:10 daripada jumlah penduduk Thailand. 
Faktor Pencetus Konflik di Selatan Thai 
Dalam draf laporan Jawatankuasa Institut Prapokklau tentang Pembangunan Masyarakat Sejahtera menyebut hasil penelitiannya yang menyimpulkan bahawa pergolakan di wilayah selatan sebagai konflik politik dan budaya, yang mesti diselesaikan dengan cara damai tanpa kekerasan. Tetapi apa yang dapat dilihat sekarang ini langkah yang ditempuh pihak berkuasa adalah penyelesaian dengan kekuatan persenjataan.Penyelesaian model ini, di sesetengah tempat seperti menyiramkan petrol dalam unggun api. Suasana yang sudah panas, justeru menjadi lebih panas lagi. 
Menurut pendapat saya, penyebab utama ketegangan dan kekerasan ialah ketidakadilan yang terjadi dalam semua sektor. Seperi semua maklum, kebanyakan pegawai dan petugas kerajaan yang ditempatkan di Selatan Thai berasal dari luar kawasan tersebut. Di mana mereka umumnya tidak faham tentang bahasa lokal, buta tentang agama (Islam), tradisi dan budaya penduduk Islam setempat. Manakala orang Melayu Islam di kawasan selatan sampai sekarang belum mendapat tempat dalam sektor kerajaan kecuali sekadar 20 peratus sahaja sedangan jumlah mereka dalam kawasan tersebut adalah 85 peratus. 
Dalam buku berjudul ISLAM AGAMA PENJANA KEDAMAIAN SEJAGAT atau ISLAM THE RELIGION FOR PEACE saya menegaskan bahawa Islam adalah agama yang ciptakan kedamaian.Islam tidak melarang penganutnya bekerjasama dengan penganut atau pengikut agama lain. Dan proses perdamaian dalam skala apapun harus sesuai dengan prinsip perdamaian secara Islam. Kesan dan tujuan isi dalam buku ini adalah supaya masyarakat Islam dan bukan Islam baik dari dalam maupun luar negara, dapat memahami hakikat yang sebenarnya tentang Islam, yang merupakan agama yang benar-benar menciptakan kedamaian yang hakiki. (lihat pengenalan buku ini dalam lampiran). 
Tetapi apa yang terjadi di lapangan, dalam usaha untuk menciptakan kedamaian di antara satu pihak dengan pihak yang lain masing-masing berjalan mengikut kemahuan sendiri-sendiri. Tidak ada persefahaman dalam menuju ke arah perdamaian, khususnya di antara sesama dalam sektor pemerintahan. Demikian juga dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sejauh ini tidak mendapatkan kerjasama sepenuhnya dari pihak berwenang. 
Padahal soal bahasa Melayu ini tidak kalah pentingnya dalam usaha untuk mencipta kedamaian di Selatan Thai. Bahkan dalam hal-hal tertentu, komuniti Melayu Patani merasakan ada usaha secara halus dari pihak-pihak tertentu untuk menguburkan bahasa Melayu sebelum ianyamenjadi bahasa komunikasi penting dalam kalangan masyarakat Asean menjelang tahun 2015 nanti. 
Seperti dilaporkan Organisasi Kerjasama Negara Islam (OIC) berdasarkan laporan utusannya yang berkunjung ke wilayah-wilayah Selatan Thailand pada 8 – 11 Mei 2012 yang menyimpulkan antara lain: 
1. Kemajuan dalam pelaksanaan resolusi 2007 (berkaitan dengan pemartabatan bahasa Melayu di Selatan Thai) dalam tempo lima tahun (setelah 2007) didapati masih sangat sedikit dan terlalu lamban. 
2. Kerajaan Thailand masih memberlakukan dekri atau undang-undang darurat tentera di wilayah-wilayah Selatan Thai serta masih terdapat terlalu banyak personil tentera di kawasan tersebut. 
3. Dalam aspek penggunaan bahasa Melayu dalam korikulum sekolah-sekolah yang majoriti pelajarnya berasal dari etnik Melayu didapati perkembangannya sangat sedikit, lemah dan terlalu perlahan. 
4. Penubuhan Angkatan Pertahanan Awam yang merekrut orang awam untuk mengikuti latihan ketenteraan harus dihentikan. Sebab cara membahagi-bahagikan senjata kepada orang awam daripada etnik tertentu kelaktidak akan menyelesaikan masalah secara tuntas. Sebab apabila disalah-gunakan kesempatan tersebut boleh menyebabkan tercetusnyapeperangan antar-etnik (Melayu vs Siam). 
5. Secara khusus OIC memuji dan menyampaikan rasa hormat kepada pemerintah Thailand yang sejauh ini menunjukkan sikap proaktif dalam membantu proses perdamaian di Palestin. Hal yang sama juga harus ditunjukkan dalam menyelesaikan masalah internalnya sendiri. 
Solusi 
Apa yang dipaparkan di atas hanya sekelumit masalah yang dihadapi masyarakat Islam di Selatan Thai. Adapun penyelesaian masalah tersebut harus ditempuh langkah-langkah antara lain seperti berikut: 
1. Memberikan kebebasan dan ruang kepada ummat Islam untuk menghayati dan mengamalkan syariat Islam dalam kehidupan harian mereka. Yakni dalam bidang-bidang yang tidak menjejaskan kestabilan dan keamanan negara. 
2. Memberikan kebebasan dan kesempatan kepada penduduk Melayu Islam untuk menghidupkan budayamereka dalam setiap aspek serta menghidup-suburkan bahasa Melayu sesuai dengan hasrat Asean untuk memartabatkan bahasa tersebut sebagai bahasa komunikasi penting dalam kalangan anggota pertubuhan (Asean). 
3. Wujudkan persefahaman yang baik di antara semua pihak yang berkenaan. Dalam hal ini masyarakat setempat perlu memberikan kerjasama yang baik dan serius, sementara di antara pihak-pihak dalam pemerintahan sendiri juga harus bergerak seiring sejalan. Tidak ada percanggahan di antara kebijakan sivil dan tentera. 
4. Wujudkan jaringan kerjasama antar-agama untuk menciptakan kedamaian dalam arti yang lebih luas. Ia meliputi kerjasama antar-agama untuk berdialog dan diskusi dengan para pemimpin agama, para pejuang hak-hak asasi manusia, para ilmuan serta orang-orang yang berfikiran terbuka dalam upaya menciptakan suasana aman damai di Selatan Thai. 
5. Pemerintah juga harus konsisten berusaha meningkatkan kualiti hidup rakyat di wilayah-wilayah selatan dalam berbagai bidang, tanpa mengabaikan faktoragama, bahasa, budaya dan cara hidup masyarakat setempat. 
6. Pemerintah harus dapat membedakan di antara para tetamu yang berniat baik dengan tetamu yang tidak dikehendaki. Sebahagian tetamu terutama yang datang dari negara-negara Teluk, Arab dan Islam lainnya sering merungut tentang sikap sesetengah pegawai pemerintah. Mereka dicurigai dan diekori untuk mengetahui dengan siapa mereka berhubung di Selatan Thai. Padahal sesetengah tetamu berkunjung ke Thailand dengan niat untuk menghulurkan bantuan kepada institusi pendidikan, yayasan-yayasan amal atau badan-badan kebajikan. Sesetengah pegawai pemerintah terkadang tidak dapat membedakan di antara yang membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara dengan tetamu yang mendatangkan kemudharatan. Padahal seperti kita maklum, orang Islam di negeri Arab sangat suka dengan kelakuan, perangai lemah lembut dan budi bahasa rakyat Thai. 
Dalam kaitan dengan usaha untuk mengaplikasikan konsep damai dan perdamaian yang hakiki seperti yang dikehendaki Islam, pihak Universiti Islam Yala (YIU) telah menubuhkan Institut Al-Salam. Tujuan institut ini antara lain untuk menyebarluaskan gagasan dan pengetahuan tentang damai dan kedamaian berdasarkan prinsip Islam. Dalam hal ini diupayakan agar semua pihak terlibat dan ikut ambil bahagian secara proaktif untuk mewujudkan dialog kedamaian dan melahirkan jaringan kerjasama dengan berbagai pihak, baik di dalam maupun di luar negara dalam menciptakan keharmonian sosial dan keamanan serantau. 
Dalam kaitan dengan usaha untuk mewujudkan masyarakat harmoni, pihak Universiti Islam Yala juga sedang merintis sebuah projek mega contoh yang diberi nama Projek Patani Jaya (Madinatul Salam/Kota Sejahtera). Tujuannya untuk menerapkan prinsip kedamaian Islam ke dalam kehidupan nyata masyarakat setempat. Ini merupakan salah satu model perjuangan secara aman dan damai. 
Projek ini merangkumi pembangunan universiti, hospital, Pusat Islam, perkampungan Islam contoh, pusat-pusat perniagaan dan sebagainya. Salah satu objektif penyelenggaraan projek ini adalah untuk meningkatkan kualiti hidup dan kehidupan masyarakat sejalan dengan tuntutan Islam. 
Kesimpulan 
Islam adalah agama yang damai. Islam menentang kekerasan dan keganasan dalam bentuk apapun. Dalam menghadapi berbagai tuduhan dan kesan buruk yang telah dicapkan oleh pihak Barat dan sekutunya, ummat Islam harus lebih sabar dan bersikap rasional; al-Qur’an menjelaskan bahawa: “Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar dari orang-orang yang diberikan kitab sebelum kamu dan dari orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.” (Terjemahan surah Ali ‘Imran (3): 186). Adalah menjadi prinsip dalam ajaran Islam bahawa segala macam persoalan haruslah terlebih dahulu diselesaikan dengan cara-cara damai dan sabar. Menggunakan kekerasan sebelum berupaya menempuh jalan damai akan membawa ummat ini kepada keadaan jahiliyah, yang akibatnya adalah kehancuran. 
Ummat Islam tidak dibenarkan bertindak atau menghukum dengan cara pukulrata (generalisation). Al-Qur’an menjelaskan bahawa “Dan tidaklah seseorang yang berdosa akan memikul dosa orang lain”. Maksudnya tiap orang hanya bertanggungjawab ke atas kesalahan dirinya sendiri dan tidak dibebankan ke atasnya kesalahan orang lain (Lihat surah: al-An'am (6): 164; al-Isra' (17): 15; Fathir (35): 17; al-Zumar (39): 7; al-Najm (53): 38). 
Pihak Barat hendaknya memandang ummat diluar komuniti mereka juga mempunyai maruah dan harga diri, sama seperti diri mereka sendiri. Keharmonian hubungan antara bangsa akan wujud apabila seluruh kaum boleh menghormati dan menghargai antara sesama mereka. Oleh itu, hal-hal sensitif yang berkenaan dengan harga diri sesuatu kaum haruslah dipelihara. Kebebasan bersuara dan menyampaikan pandangan bukanlah bermakna bebas menghina dan melecehkan maruah orang lain. 
Himbauan dan pesan yang disampaikan oleh ummat Islam haruslah benar-benar diperhatikan, sebelum mereka menyampaikannya dengan menggunakan “bahasa yang bukan berupa kata-kata.” Dengan menggunakan cara damai atau diplomasi santun, ummat Islam di Selatan Thai dapat menghilangkan berbagai coreng hitam dan kesan buruk dari para pembuat fitnah baik daripada pihak luar maupun pihak dalam negeri sendiri. 
- - 
Selaku Rektor, saya berbangga kerana Universiti Islam Yala yang saya pimpin lahir, membesar dan berkembang pesat pada masa dan keadaan yang tepat. Pada peringkat awal sehingga sekarang ini kita menyaksikan kerjasama timbal balik yang sangat baik di antara kerajaan dan pihak Universiti. Juga ada persefahaman yang baik di antara kerajaan dan masyarakat Islam Thailand, terutama yang tinggal di wilayah-wilayah selatan. Lebih-lebih lagi dalam era pemerintahan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra. Kerjasama yang baik itu sangat dirasakan sekali sejak Pol. Col. Thawee Sodsong dilantik menjadi Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan atau South Border Provinces Administration Centre (SBPAC). 
Beberapa perkara positif yang dapat kita saksikan antara lain seperti berikut: 
1. Dalam bidang pendidikan kita menyaksikan keseriusan pihak kerajaan untuk merehabitasi kebijakan (policy) yang tidak bijaksana sebelumnya dengan mencipta iklim yang kondusif. Di antaranya dengan mengarahkan agar segera dibuka semula Sekolah Islam Burapha di Sapom, Narathiwat yang ditutup pihak berkuasa sebelumnya. Selain itu kita nampak komitmen kerajaan dalam upaya membantu pelajar-pelajar yang punya potensi untuk maju dengan memberikan beasiswa untuk mereka menyambung pelajaran di dalam dan luar negara, khususnya Malaysia dan Indonesia. Terutama kepada keluarga mangsa dari berbagai insiden keganasan. 
2. Dana khusus sebanyak 175 juta Baht juga disumbangkan kepada Universiti Islam Yala dalam bentuk infrastruktur berupapa Bangunan Memorial ‘Chalerm Prakiat’, yang sedang dibangunkan. Sumbangan tersebut sempena Hari Keputeraan Raja Bhumipol Adulyadej ke-84. 
3. Dalam bidang kerukunan hidup antar-umat berbagai agama dimanifestasikan dengan terselenggaranya Seminar Antarabangsa tentang “Religion and Peace Building in ASEAN” yang berlangsung di Hotel Sukhosol, Bangkok dan Universiti Islam Yala pada 17 – 19 September 2012. Dalam seminar tersebut hadir tokoh-tokoh agama dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Brenei Darussalam, Laos, Myanmar, Amerika Syarikat, Saudi Arabia, Jepun dan Vietnam. Seminar diselenggarakan Majlis Kerjasama Antar-agama untuk Kedamaian Negeri Thai yang disponsori Liga Dunia Muslim (Muslim World League) dan bekerjasama dengan Pusat Pentadbiran Wilayah Selatan (Thailand). Salah satu resolusi seminar ialah dipertegaskan kembali bahawa agama bukanlah faktor yang menyebabkan timbulnya keganasan dan kekerasan dalam masyarakat. Agama pada hakikatnya adalah pembawa perdamaian untuk masyarakat manusia sejagat. Segala permasalahan dalam masyarakat dan negara tidak ada solusi terbaik selain agama, khususnya konflik di rantau Asean yang majoriti penduduknya adalah ummat beragama. Kerjasama antara penguasa dan masyarakat dalam semua sektor sangat penting dalam upaya mengatasi dan menyelesaikan masalah kekerasan yang terjadi di Selatan Thai. 
4. Dalam bidang bahasa pula kita nampak adanya sikap lunak kerajaan dengan memberikan ruang udara yang segar terhadap perkembangan Bahasa Melayu. Hal itu dapat disaksikan dengan Seminar Antarabangsa “Memartabatkan Bahasa Melayu di ASEAN” yang diselenggarakan Universiti Islam Yala dengan kerjasama Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan. Seminar yang berlangsung di Park View Resort, Pattani, 13 – 15 Oktober 2012 tersebut mendapat kerjasama dari beberapa perguruan tinggi awam dalam dan luar negara. 
5. Dalam kaitan dengan masa depan Bahasa Melayu juga kita dapat merasakan bahawa di depan sana terdapat semacam suatu era baru yang cerah sedang menunggu kita. Bahawa kelak masyarakat Islam yang merupakan kaum majoriti penutur Bahasa Melayu di bahagian Selatan Thai akan dapat menikmati siaran radio dan televisyen dalam bahasa ibunda mereka secara terus menerus 24 jam sehari. Komitmen tersebut disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nivattamrong Boonsongpaisal seperti dikutip harian The Nation, edisi 2 Oktober 2012. Menurutnya, mulai tahun depan Perkhidmatan Penyiaran Kebangsaan Thailand (NBT) akan mengadakan siaran radio dan televisyen dalam Bahasa Melayu di wilayah-wilayah yang majoriti penduduknya bercakap dalam bahasa tersebut. Sekiranya sebelum ini siaran dalam bahasa Melayu hanya beberapa jam sahaja, mulai Januari tahun depan akan ditambah (bukan hanya radio, bahkan televisyen juga) menjadi 24 jam 
6. Dalam hal kebajikan para mangsa keganasan dan kezaliman juga nampak ada perhatian serius dari pihak-pihak yang berwenang. Dalam hal ini dapat dilihat sikap proaktif Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) dalam menyantuni anggota keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam berbagai insiden keganasan sebelum ini. Yakni dengan memberikan konpensasi (ganti-rugi) kepada keluarga (ahli waris) yang ditinggalkan berupa wang tunai sebanyak 7.5 juta Baht untuk setiap mangsa yang meninggal seperti apa yang dikenali dengan Tragedi Takbai (Narathiwat), Insiden Nongchik(Pattani), mangsa tragedi Masjid Kerisek, tragedi Ai Payae, Chok Airongdan sebagainya. 
7. Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan juga membiayai sebanyak 200 orang mangsa tragedi kekerasan di Selatan Thai untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun 2012 yang lalu. Kerajaan juga meluluskan bajet saguhati kepada para guru fardhu ‘ain, imam, khatib, bilal, ahli jawatan kuasa (AJK) masjid dan Majlis Agama Islam di wilayah-wilayah selatan. 
- - - 
Dengan perkembangan yang positif dalam pelbagai aspek tersebut, saya secara peribadi sangat optimis sekiranya semua sektor punya komitmen yang tinggi dalam penyelesaian masalah dengan cara damai secara sepadu. Yakni dengan menggunakan prinsip agama untuk memimpin politik dan ketenteraan. Juga diharapkan semua sektor dalam pemerintahan dan rakyat dapat bekerjasama dengan baik demi terciptanya kedamaian serantau serta memimpin masyarakat Selatan Thai ke arah masyarakat madani yang aman damai, maju jaya serta mulia dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin