Pada
hari ini dalam tahun 1909, Perjanjian Britain-Siam yang dikenali juga
sebagai Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani di Bangkok, ibu negeri
Siam. Di antara perkara-perkara penting yang terkandung dalam perjanjian
ini ialah:
- Kerajaan Siam bersetuju menyerahkan kepada Britain kedaulatan, pertahanan, pentadbiran dan segala hak milik ke atas negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan pulau-pulau yang berdekatan;
- Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan menangugung semua hutang-piutang keempat-empat negeri Melayu itu terhadap Kerajaan Siam;
- Britain hendaklah menyerahkan hak-hak ekstrateritorialnya (extraterritorial rights) di Siam kepada Kerajaan Siam.
Perjanjian
ini sebenarnya adalah di luar pengetahuan Sultan negeri-negeri yang
terlibat. Hal ini kemudiannya dibangkang oleh negeri-negeri itu,
misalnya Kedah. Kedah tidak menentang pertuanannya dipindahkan oleh
Kerajaan Siam kepada Kerajaan British, malah menyukainya, “. . . .
tetapi apa yang dibangkangnya ialah mengapa ia tidak dirundingkan
terlebih dahulu berkenaan dengan segala hal itu”. Perjanjian
ini adalah hasil dari rundingan-rundingan sulit Siam-British mengenai
masalah-masalah kawasan pengaruh (bagi British) dan maruah (bagi Siam).
Britain khuatir dengan saingan perdagangan dan pengaruh Perancis, Rusia
dan German, sementara Siam pula ingin mendapatkan kembali maruah dan
dignitinya yang telah hilang akibat hak-hak ekstrateritorial yang
terpaksa diberikannya kepada kuasa-kuasa Barat itu - Perancis dan
British. (Siam telah memberikan hak-hak ekstrateritorial kepada Britain
melalui Perjanjian Bowring 1855). Dengan memberikan hak-hak itu kepada
kuasa-kuasa asing, Siam walaupun bebas dalam hal ehwal politiknya tetapi
terhad kuasa jurisdiksinya ke atas sebahagian penduduknya, terutamanya
ke atas rakyat British dan Perancis. Dalam tahun 1874 dan 1883 Britain
telah menyerahkan semula beberapa aspek dari hak-hak ekstrateritorialnya
kepada Siam kerana bimbangkan persaingan Rusia dan German di Siam.
Dalam tahun 1907 Perancis telah menyerahkan seluruh hak ekstrateritorial
terhadap rakyatnya yang berbangsa Asia kepada Siam. Memandangkan
keadaan itu pihak British terpaksa berbuat yang sama jika mahu memenangi
hati Siam. Pihak British dapat berbuat demikian dengan mengambil
kesempatan dari hubungan persahabatannya yang baik dengan Perancis hasil
dari Perjanjian Inggeris-Perancis (AngloFrench Treaty 1904) yang
ditandatangani pada 8 April, 1904. Perjanjian itu telah menamatkan
permusuhan Perancis-Inggeris di Siam dan dengan itu menghilangkan
kekuatiran pihak British untuk melaksanakan dasar campur tangan di
negeri-negeri utara Tanah Melayu kerana Perancis tentu tidak akan
menentang. Dengan itu rundingan-rundingan pun dijalankan untuk Britain
menamatkan seluruh hak ekstrateritorialnya di Siam dan Siam pula untuk
menyerahkan negeri-negeri utara Tanah Melayu kepada Kerajaan British.
Perunding bagi pihak Kerajaan Siam ialah Ketua Penasihatnya, Strobel
(bangsa Amerika) dan bagi pihak Kerajaan British ialah Menterinya di
Bangkok, Ralph Paget. Oleh kerana Kerajaan Siam merasakan sukar untuk
mengawal ekonomi dan pentadbiran negeri-negeri utara Tanah Melayu yang
berlainan bangsa, budaya dan agama darinya itu dan ingin pula
menitikberatkan pembangunan dalam negerinya sendiri, dan Inggeris pula
sanggup melindungi negeri-negeri tersebut maka persetujuan pun mudah
tercapai. Hasilnya, pada hari ini dalam tahun 1909 Perjanjian
Britain-Siam ditandatangani. Dengan perjanjian itu yang meletakkan
negeri-negeri utara Tanah Melayu-Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu
(dulunya Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu) ke dalam kekuasaan British
maka seluruh Tanah Melayu termasuk dalam kawasan pengaruh British
sepenuhnya. Bagaimanapun perjanjian ini hanya disahkan pada 9 Julai,
1909 dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Berikutan dari
perjanjian itu, Kelantan adalah merupakan negeri yang pertama
menandatangani perjanjian dengan Britain dan menerima Penasihat British
pada tahun 1910. Pada 14 Julai, 1909 istiadat memindahkan kuasa
pemerintahan Terengganu daripada tangan Siam kepada British
dilangsungkan. Bagaimanapun hanya pada bulan April 1910 seorang pegawai
British bertaraf Konsul dilantik di Terengganu, dan pada tahun 1919
barulah dilantik seorang Penasihat British apabila Terengganu
menandatangani perjanjian dengan Britain dan menerima pemerintahan
British. Kedah pula menerima Penasihat British pada 15 Julai, 1910
tetapi hanya menandatangani perjanjian dengan Britain sebagai negeri
naungan pada tahun 1923. Pada tahun 1930 Perlis pula menandatangani
perjanjian dengan Britain. Dengan itu Semenanjung Tanah Melayu dikuasai
sepenuhnya oleh Britain dan hubungan dengan negeri Siam terus terputus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan