Isnin, 25 November 2013

ALLAH SWT TURUNKAN UJIAN KEPADA HAMBA-HAMBANYA.

Al-Fatihah.  Kita dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, Selangor yang menimpa Rumah Anak Yatim dan Madrasah At-Taqwa.  Ketika artikel ini ditulis, 16 orang mangsa telah meninggal dunia dan 9 yang lain cedera.  Dua daripada mangsa terpaksa dipotong kakinya.  Semoga roh mereka yang meninggal dunia ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan solehah dan mendapat keampunan serta rahmat Allah.  Kepada mereka yang terselamat pula, semoga diberikan kesabaran dan kekuatan dalam mengharungi ujian Allah yang menimpa ini.  Yakinlah, ada hikmah dan rahmat disebalik dugaan ini.  Kita sedih, sebak, pilu, simpati dan pelbagai lagi bentuk perasaan yang ada.  Seorang sahabat berkata kepada saya, kenapa Tuhan tidak berikan bala dan bencana ini kepada pusat judi, pusat hiburan dan sarang pelacuran.  Kenapa mesti rumah anak yatim yang tidak berdosa ini.  Saya hanya senyum dan berkata wallahu a’lam.  Hanya Allah yang lebih mengetahui.

Fikirkanlah sejenak.  Sebelum peristiwa tanah runtuh ini berapa ramaikah diantara kita yang pernah tahu akan kewujudan rumah anak yatim ini?  Mungkin orang Hulu Langat sendiri pun masih ramai yang tidak mengetahuinya.  Rumah saya di Batu 10 Hulu Langat dan rumah anak yatim ini pula letaknya di Batu 14.  Jaraknya hanya empat batu sahaja dan saya sendiri tidak pernah mengetahui tentangnya.  Berapa ramai Menteri yang pernah dengar nama rumah anak yatim ini dan jika mereka meminta sumbangan sebelum kejadian ini agak-agaknya berapa banyak yang mereka dapat?  Kematian adalah sesuatu yang pasti dan apabila sampai waktunya semua kita pasti akan menghadapinya.  Jangan kata dalam tragedi sebegini malah kalau menyorok dalam bangunan kalis nuklear sekali pun Malaikat Maut akan tetap datang juga.  Anak-anak yang menjadi mangsa insya Allah menjadi penghuni syurga.  Tetapi hikmah besar yang Allah berikan kepada rumah anak yatim ini ialah, kini semua orang berlumba-lumba memberikan bantuan dari segi pakaian, makanan, tempat tinggal dan wang.  Insya Allah dengan bantuan ini nanti pihak pengurusan rumah anak yatim ini dapat wujudkan tempat tinggal yang lebih baik dan pendidikan yang lebih sempurna.  Bukankah itu rahmat Allah.

Apakah hikmah di sebalik dugaan:

1.     Allah tingkatkan darjat dan keimanan kita.  Dalam surah al-Ankabut ayat 2, Allah telah berfirman yang mafhumnya, “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji?”.  Bermakna apa juga musibah, bala atau ujian ia Allah datangkan dan izinkan berlaku bagi meningkatkan lagi keimanan dan darjat seseorang hamba itu di sisi Nya.  Ada orang apabila ditimpa masalah, mereka semakin jauh dari Allah kerana kufur mereka.  Ada pula orang, setiap ujian yang datang akan mendekatkan lagi diri dan pergantungannya kepada Allah.  Hendaklah kita yakin bahawa tidak akan berlaku sesuatu musibah itu kecuali dengan kehendak Yang Maha Pencipta.

2.     Allah tarik sedikit nikmat untuk diberikan nikmat yang lebih besar.  Ada ketikanya Allah berikan kita ujian dan menarik nikmat yang telah diberikannya kepada kita selama ini bagi melihat dan menguji kesabaran kita sebagai hamba.  Sekiranya kita sabar dan redha maka Allah akan tambah dengan nikmatnya yang berlipat kali ganda lagi.  Kita menyesali akan nikmat yang telah Allah uji namun fikirkanlah betul-betul kita masih punya dua mata, dua telinga, dua tangan dan kaki, anak-anak, kesihatan tubuh badan, kasih sayang kedua ibu bapa, pekerjaan yang tetap, rumah tempat berteduh dan banyak lagi.


"Maka nikmat Rabb kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
(QS. Ar-Rahman: 13)

Tiga puluh dua kali Allah sebut ayat yang sama dalam Surah Ar-Rahman!

3.     Allah berikan satu musibah bagi mengalih musibah yang lebih besar.  Ada ketikanya Allah berikan satu musibah kecil berlaku ke atas kita kerana menghalang satu musibah yang lebih besar.  Misalnya dalam perjalanan ke pejabat tiba-tiba kereta kita rosak dan memaksa kita berhenti di bahu jalan.  Kita mungkin marah sebab ada urusan penting yang perlu disegerakan hari itu.  Tapi apa pula persepsi kita tidak jauh daripada tempat kita berhenti itu telah berlaku satu kemalangan yang meragut nyawa dan kita tahu kalau tidak kerana kereta kita rosak maka kita adalah salah seorang yang mungkin terlibat dengan kemalangan tersebut kerana beza masanya hanya beberapa minit sahaja daripada masa berlaku kerosakan pada kereta tersebut.

4.     Sebagai menghapus dosa.  Dalam hidup ini tiada siapa yang tidak melakukan dosa sama ada dosa-dosa kecil atau besar.  Oleh itu Allah turunkan sedikit ujian dan dugaan bagi menguji sejauh mana kita sanggup menerimanya.  Sekiranya kita bersyukur maka Allah hapuskan dosa-dosa kita itu.

5.     Memberikan kesedaran kepada kita.  Jika manusia ini tidak ditimpa musibah sehinggakan segala apa yang mereka mahukan mereka dapat dan semua yang mereka lakukan, menjadi; maka akan timbullah rasa sombong, riak, takbur dan sebagainya.  Ujian dan bala yang Allah turunkan itu adalah sebagai peringatan kepada kita sebagai hamba bagi mengingatkan diri kita betapa lemah dan kerdilnya kita.  Bak kata pepatah Melayu ‘bila terhantuk barulah tertengadah’.   Bila kena barulah mahu beringat-ingat. 

6.     Memberikan iktibar kepada orang lain.  Setiap dugaan yang berlaku sebenarnya mengandungi banyak rahsia, maksud dan ingatan yang tersirat bukan sahaja buat mereka yang ditimpa musibah tetapi juga buat seluruh umat manusia.  Bagi mereka yang berfikir dan mahu mengambil pengajaran maka mereka pasti dapat lihat bagaimana Allah boleh turunkan bencana dan dugaan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.  Tiada siapa pun yang boleh lari dari ujian Allah ini dan hanya mereka yang beriman dan bertakwa sahaja yang mampu tenang disaat berlakunya musibah dan ujian.

7.     Tanah subur bagi mereka yang mahu menyemai.  Musibah yang menimpa orang lain membuka ruang dan peluang kepada mereka yang mempunyai lebihan harta dan wang untuk menderma dan menghulurkan bantuan.  Apabila apa yang diberikan itu dengan niat yang ikhlas maka Allah akan lipatgandakan lagi rezeki kita seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 265 yang mafhumnya:

“Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai menghasilkan 100 biji. Allah melipatgandakan pahala kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) serta Maha Mengetahui.”   Begitulah luasnya rahmat Allah yang meliputi seluruh langit dan bumi.

8.     Tanda Allah masih sayangkan kita.  Setiap dugaan yang Allah berikan itu adalah sebagai tanda Tuhan masih sayangkan kita lalu diberikan oleh Nya peringatan agar kita cepat sedar dan beristighfar serta kembali ke pangkal jalan.  Jika Allah tidak sayangkan kita maka pastilah Allah biarkan sahaja kita lakukan sesuka hati dan dibiarkan mati dalam keadaan sesat dan kufur.  Allah suka apabila kita memujiNya, meminta kepadaNya dan merintih di hadapanNya.  Sebab itulah Allah berikan kita sedikit kesusahan agar kita tidak terpedaya dan lalai dalam kehidupan yang sementara ini.

Begitulah hebatnya Allah s.w.t.  Disebalik dugaan, musibah dan ujian itu tersembunyi pelbagai nikmat dan rahmat yang besar.  Hanya hati yang celik sahaja mampu melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.  Ada ketikanya kita rasakan sesuatu itu baik untuk kita tetapi sebenarnya tidak dan begitu juga sebaliknya.  Oleh itu berserahlah kepada Allah dengan penyerahan yang sebenar-benarnya.  Teruslah berfikiran positif dengan mencari hikmah, kebaikan dan kekuatan atas segala ujian, keburukan dan kelemahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin