Ada manusia, rasa ditinggalkan Allah SWT.
Dia
merasakan, Allah telah berpaling daripadanya. Hidupnya sentiasa sukar,
dan kesenangannya tidak pernah lama. Derita, derita dan derita sahaja
yang diterimanya. Bila dia merasakan dia baru sahaja bahagia, akan
datang pula satu lagi cabaran yang menggegarkan kehidupannya.
Akhirnya
dia kelelahan. Kekuatannya kontang. Lantas dia merosot jatuh, terlutut
dengan tangisan. Rasa tidak berguna lagi kehidupan. Rasa lebih baik
dirinya dijemput kematian segera. Kerana dia kini benar-benar rasa tidak
berkemampuan. Derita yang sangat derita, dan kini dia tidak lagi mampu
bertahan.
Tetapi, benarkah Allah meninggalkan?
Kebersihan iman
Keimanan
adalah keyakinan. Sekiranya iman kita bersih, maka kita akan kekal
yakin kepada Allah SWT. Sebab itu kita mampu mengikuti syariatNya,
perintahNya, walaupun kadangkala macam sedikit sukar dan membebankan.
Orang
Nasrani sekadar ke gereja seminggu sekali, kita perlu solat lima kali
sehari. Agama lain kalau puasa sekejap sahaja, kita pula perlu menjalani
ibadah puasa 30 hari lamanya. Perempuan lain pakai apa yang mereka
suka, Islam ketat mengarahkan wanitanya menutup aurat dan hanya boleh
mendedahkan muka dan kedua telapak tangan sahaja.
Keimanan,
adalah apa yang memampukan kita melakukan semua itu. Kalau diikutkan
kewarasan akal biasa, mungkin kita awal-awal lagi sudah mencerca Allah
SWT kerana mengarahkan perkara-perkara yang sedemikian. Tetapi keimanan
adalah apa yang meningkatkan kewarasan akal kita dari biasa, kepada luar
biasa. Hingga kita faham bahawa, Allah tidak akan memberikan kita
perkara yang sia-sia. Semua itu pasti ada hikmahnya. Itulah dia
kewarasan kita. Bukan maddi(material) semata-mata.
Jadi,
keimanan yang bersih akan membawa kepada kefahaman bahawa segala dugaan
dan cabaran, halangan dan kesukaran, semuanya adalah pemberian Allah
SWT. Dan msutahil Allah memberikannya sekadar untuk bermain-main dengan
kita.
Ada tujuan.
Dan
itu adalah bukti, ujian dan halangan, kesukaran dan cabaran, bukanlah
petanda Allah meninggalkan kita. Bahkan, sebaliknya. Kita boleh melihat,
itulah tanda Allah ‘sedang memandang’ kita.
Tujuan ujian
Kita kembali kepada Allah SWT, dalam tujuanNya menurunkan cabaran dan kesukaran.
“Patutkah
manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata:
Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan
demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu
daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang
diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan
nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”
Surah Al-Ankabut ayat 2-3.
Nyata, tujuan ujian
hakikatnya adalah ‘tapisan’. Dunia bukan pentas penerimaan hadiah di
mana kita mendapat natijah. Tetapi dunia hakikatnya adalah pentas
pertandingan, untuk menguji ‘peserta-peserta’ di dalamnya. Pentas
penerimaan hadiah adalah di akhirat sana.
Dan ujian bukan semata-mata ‘tapisan’, tetapi ujian juga datang sebagai ‘pembalasan’ ataupun ‘pembersihan’ ataupun ‘peringatan’.
“Telah
timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan
sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang
demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan
perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka
kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Ar-Ruum ayat 41.
Jadi,
ayat di atas jelas menunjukkan betapa kadangkala bala yang menimpa itu,
hakikatnya adalah akibat daripada perbuatan kita. Ini termasuklah
dosa-dosa yang kita lakukan. Ada sebahagian manusia itu, Allah hapuskan
terus bila diturunkan bala ke atas mereka. Sebagai contoh, Kaum Nuh yang
majoritinya tenggelam lemas dalam banjir besar. Tetapi wujud sebahagian
yang lain, Allah hidupkan selepas menerima ujian, ataupun ujian itu
diciptakan memang untuk tidak menghilangkan nyawanya, bertujuan
memberikannya ‘tamparan peringatan’ akan keadaan dirinya.
Ujian
juga, hakikatnya adalah satu bentuk ‘panggilan’ Allah SWT, agar
hamba-hambaNya yang selama ini alpa, merapat kepadaNya. Lihatlah firman
Allah SWT:
“Dan apabila mereka dirempuh serta
diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup,
pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan
kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah
menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka
yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya).
Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami
melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak
mengenang budi.” Surah Luqman ayat 32.
Jelas bukan? Ujian daripada Allah itu, nyata bukan kosong. Tetapi ada tujuannya. Mustahil sia-sia.
Allah bukan tidak menjawab, tetapi Dia Maha Tahu bila hendak menjawab
Lama
bertahan kadangkala membuatkan kita kecewa. Lebih menyakitkan hati,
apabila kita cuba meluahkan penderitaan kita, orang lain hanya tahu
menyatakan sabar sahaja. Sedangkan yang kita perlu adalah ‘tindakan’,
bukan sekadar bicara-perkataan.
Tetapi apabila
kita balik kepada hakikat ujian tadi, dan tujuannya, bukankah hati sudah
sedikit tenang? Nyata di dalam ujian itu juga yang ada hanyalah
kebaikan-kebaikan sahaja.
“Yalah, aku faham semua itu, tetapi aku manusia.”
Ya,
saya faham. Saya juga manusia. Sebab itulah saya bermula dengan
kebersihan iman, dan mengajak kita memahami hakikat ujian. Sebab saya
sendiri pernah gugur dan jatuh. Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali.
Tersungkur, saat-saat merasakan diri ini ditinggalkan. Pernah hendak
cuba menjerit ke langit dan memarahi Allah, pernah juga terfikir untuk
merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Saya pernah bersedih
hingga ke tahap itu. Dan saya yakin, esok lusa akan ada lagi ujian-ujian
yang lebih hebat dari yang pernah saya lalui, yang akan membuatkan saya
terlutut semula.
Tetapi, ada kelainan apabila
kita memahami apakah itu ujian? Mengapakah diturunkan ujian? Apakah
tujuan ujian? Ada perbezaannya apabila kita memahaminya. Apatah lagi
apabila kita punya keyakinan terhadap Tuan Punya Ujian.
Akhirnya,
lama-kelamaan, saya melihat bahawa putus asa itu sebenarnya berlawanan
dengan kewarasan akal. Akhirnya saya berjaya melihat bahawa, menjerit ke
langit itu berlawanan dengan kewarasan akal. Begitu juga merajuk dengan
dunia dan menghentikan kehidupan. Sebab sebenarnya, kita ada satu lagi
pilihan. Itulah dia terus bertahan.
Allah bukan
tidak menjawab segala doa, segala solat hajat, segala aduan, segala
permintaan. Dia Maha Mendengar, dan tiada tempat pengaduan yang lebih
baik daripada Dia. Tinggal, Dia itu juga bukan sekadar Maha Mendengar,
bukan sekadar Maha Pemakbul Doa, tetapi Dia juga adalah Yang Maha Tahu
Atas Segala-galanya. Dia Maha Tahu bilakah waktu yang sesuai untuk
menjawab doa kita, untuk memakbulkan permintaan kita. Dia Maha Tahu
kemampuan kita, sampai bilakah kita mampu bertahan. Dia Maha Tahu,
apakah manfaatnya ujian yang Dia turunkan kepada kita.
Sebab itu, lihatlah firman-firmanNya berkenaan dengan ‘kelewatan’ pertolonganNya. Semua punya bonus.
“Adakah
patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum
sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada
orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan
(kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh
ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang
beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?
Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu
bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat
214.
Bagaimana agaknya, orang-orang yang
teruji, sampai rasa tidak punya lagi harapan, dan pada saat itu
sampailah pertolongan yang selama ini diharapkan? Bukankah kekuatannya
akan lebih tertingkat? Bukankah dia akan menjadi yang lebih bersyukur?
Bukankah keimanannya akan melonjak?
“Sesungguhnya
Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan
perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan
sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak
mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa)
bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling
undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram
kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah
menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa
orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan
yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.” Surah
At-Taubah ayat 25-26.
Saat-saat sebahagian
manusia telah berputus asa dan berundur, dan sebahagian lain pula kekal
bertahan dalam keadaan kekalahan, bukankah apabila Allah turunkan
pertolongan pada saat itu akan berlakunya peningkatan terhadap yang
kekal percaya? Bukankah telah tertapis daripada golongan pejuang itu
mereka yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agama Allah?
Sebab itu, Allah Maha Tahu bilakah hendak menjawab doa-doa hambaNya.
Dia tahu waktu dan ketikanya.
Yang tinggal adalah kita. Apakah mahu kekal bertahan dan percaya? Atau mengalah, menjadi yang rugi selama-lamanya?
Penutup: Dan ada orang itu, kekal teruji hingga ke akhirnya.
Ada
di dalam sejarah, manusia-manusia yang mati dalam keadaan tidak
mencapai kemenangan perjuangannya. Seperti Nabi Yahya yang dipenggal
kepalanya, seperti Nabi Zakaria yang dibelah tubuhnya, seperti tuk guru
kepada remaja dalam cerita Ashabul Ukhdud yang di kerat dua dari
kepalanya, seperti Khubaib ibn ‘Adi RA yang mati dilapah-lapah Abu Jahal
jasadnya, seperti Mus’ab bin Umair RA yang mati kudung kedua belah
tangannya, seperti Anas bin Nadhr RA yang mati dengan 80 tusukan pada
jasadnya hingga wajahnya tidak dikenali sesiapa kecuali adiknya yang
mampu mengenalinya dari cincin di jarinya, seperti Hamzah RA yang mati
dimamah jantungnya, dan seperti ramai lagi manusia yang telah berlalu di
zaman ini(Asy-Syahid Hassan Al-Banna, Asy-Syahid Syed Qutb) dan juga
zaman terdahulu yang mati sebelum menikmati kesenangan hidup.
Apakah Allah tidak menjawab doa mereka?
Tidak. Allah menjawab doa mereka. Dengan syurgaNya.
“Iaitu,
kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan
menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian
itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat
yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu,
dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang
baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar.” Surah As-Saff
ayat 11-12.
Mereka adalah bukti-bukti, buat mereka yang kini teruji dan hampir hilang percaya.
Jadi bagaimanakah kita?
Apakah benar Allah meninggalkan kita?
Hakikatnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya.
Tetapi hamba-hambaNyalah yang sering meninggalkan Dia.
Kita ini ingin tergolong dari kalangan mana?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan