Rumah tangga perlu dibina berasaskan
kepada nilai-nilai murni yang cukup sempurna kerana rumahtangga yang sempurna
dan bahagia akan mampu menjamin lahirnya suami, isteri, ibu bapa dan anak-anak
yang berkualiti. Untuk itu seharusnya suami isteri membuat persediaan
secukupnya berkenaan ilmu rumahtangga untuk diaplikasikan dalam kehidupan
berkeluarga. Betapa tidak, rata-rata ibu bapa tidak begitu serius dalam
mengendalikan urusan rumah tangga mereka. Cukuplah sekadar menyediakan makan
pakai serta menguruskan persekolahan anak-anak tanpa mementingkan unsur kasih
sayang dan merapatkan hubungan antara kesemua ahli keluarga. Kesannya
berlakulah kes perceraian yang bukan sahaja melibatkan golongan muda bahkan
yang sudah tua. Malah yang lebih menyedihkan, kerosakan rumah tangga ini
menyebabkan pelbagai isu serius timbul seperti penderaan terhadap isteri, anak,
sumbang mahram dan seumpamanya.
Mengawal Sikap
Kebijaksanaan suami isteri dalam
mengendalikan rumah tangga adalah aspek yang paling penting dalam menjaga
kerukunan sebuah keluarga kerana di antara unsur yang boleh mengganggu hubungan
kasih sayang ialah kegagalan pihak suami atau isteri dalam menjaga rahsia
rumahtangga di mana banyak sekali rumah tangga yang kucar-kacir disebabkan
suami atau isteri yang bersikap suka menjaja dan menyebarkan rahsia pasangannya
kepada orang lain.
Hakikat Rahsia
Hakikat rahsia rumahtangga yang
dimaksudkan sebenarnya adalah terbahagi kepada beberapa bentuk yang perlu
diketahui kedudukannya seperti:
1. Rahsia
khusus: Rahsia-rahsia khusus adalah hal peribadi yang
diminta secara khusus oleh suami atau isteri kepada pasangannya supaya
dirahsiakan. Iamam al-Ghazali ada mencatatkan di dalam kitabnya Mukasyafatu
al-Qulub tentang beberapa tafsiran ulama mengenai perintah Allah kepada
orang-orang mukmin supaya menjaga dan di mana antara amanah itu ialah “satu
perkataan atau ayat” yang diamanahkan supaya dijaga dan dirahsiakan. Maka wajib
menjaga amanah tersebut. Begitu juga sesuatu yang dibisikkan kepada pasangan
dengan permintaan supaya ia menjadi rahsia antara mereka berdua, maka ia
tergolong dalam amanah yang wajib dijaga.
2. Rahsia Yang
Menyentuh Keselamatan: Mungkin ada orang yang memusuhi pasangan kita
berniat jahat dan hendak mengkhianati dan menganiayainya. Musuh itu mungkin
menyamar dengan meminta daripada kita
segala maklumat, latar belakang dan
sebagainya. Dalam keadaan ini kita sebagai pasangannya harus cerdik dan bijaksana.
Tersalah memberi maklumat kepada musuh sesungguhnya akan mengundang bahaya
kerana sejarah ada mencatatkan tentang kisah isteri Sam’un al-Ghazi yang
mendedahkan rahsia kekuatan suaminya kepada pihak musuh hingga menyebabkan
nyawa suaminya terancam. Oleh itu janganlah terlalu jujur atau memberi segala
maklumat sehingga mendedahkan “rahsia” keselamatan pasangan. Seboleh mungkin
cubalah mengesan helah orang yang berniat jahat terhadap pasangan melalui tutur
kata atau perilaku mereka.
3. Rahsia Harta
Benda: Harta benda dan kewangan pasangan juga adalah rahsia
yang wajib dijaga dan dipertahankan oleh isteri. Dalam hal ini, isteri
terutamanya yang berfungsi sebagai pengurus rumah tangga tentulah orang yang
paling berperanan dalam menjaga rahsia rumah tangga yang dibina kerana
Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik isteri
adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila suami melihatnya dan
apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya
dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah.” (at-Thabrani)
Dalam konteks ini, rumah tangga dan
segala isinya adalah dikatakan “harta” dan benteng rahsia keluarga. Adalah
menjadi tanggungjawb suami isteri menjaganya dengan sebaik-baiknya. Sehubungan
itu, Islam melarang keras orang yang mencuri-curi pandang ke dalam rumah orang
lain tanpa mendapatkan keizinan daripada tuan rumah. Sabda Rasulullah s.a.w. :
“Jika ada orang yang menjengok-jengok rumahmu tanpa izin, lalu engkau
melontarkan batu kepadanya sehingga pecah matanya, tidaklah engkau berdosa.”
(Bukhari dan Muslim)
4. Rahsia Bilik
Tidur: Inilah rahsia yang paling utama dan benteng terakhir
rahsia rumah tangga di mana rahsia yang berkaitan hubungan kelamin suami isteri
ini hendaklah disembunyikan dan hanya menjadi rahsia antara pasangan kerana
adalah haram dan berdosa hukumnya sekiranya salah seorang dari pasangan
menghebahkan hubungan mereka kepada pengetahuan, pendengaran dan penglihatan
orang lain meskipun anak-anak sendiri. Itulah sebabnya mengapa Islam
mensyariatkan agar dipisahkan tempat tidur anak-anak sejak mereka berusia tujuh
tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam dan meminta izin
terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa mereka terutamanya pada tiga
masa seperti yang disebut di dalam al-Quran iaitu sebelum Subuh, sekitar waktu
Zuhur dan selepas Isyak kerana pada waktuwaktu ini kemungkinan suami isteri
sedang bersama atau pun mereka sedang berehat, bersantai atau tidur.
5. Rahsia
Berhubung Soal Maruah: Maruah melibatkan aurat, aib dan kelemahan
seseorang. Firman Allah S.W.T. yang maksudnya: “Adapun wanita wanita yang
solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) dan memelihara kehormatan
dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka.”
(An-Nisa: 34) Dalam hal ini banyak perkara boleh berlaku sekiranya pasangan
gagal menjaga maruah dirinya seperti:
i. Isteri atau suami berlaku curang terhadap pasangannya.
ii. Pasangan mencari hiburan di luar rumah.
iii. Pasangan menduakan suami atau isteri.
iv. Pasangan menceritakan rahsia rumah tangganya kepada orang lain.
6. Rahsia
Berhubung Nafkah: Dalam hal ini suami adalah wajib hukumnya untuk
memberi nafkah atau perbelanjaan untuk isteri dan anak-anaknya. Pemberian ini
adalah mengikut kemampuan, tidak sampai dilabelkan sebagai suami yang bakhil
dan kedekut atau pun suami yang terlalu boros dan bermewah-mewah. Pokok
pangkalnya seseorang itu wajib memberikan nafkah menurut kemampuannya. Oleh itu
permasalahan sara hidup hendaklah dibincangkan sebaiknya dengan pasangan agar
tidak menganiayai diri atau pun umpatan orang lain lantaran kegagalan kita
menyimpan rahsia tersebut.
Jika Sudah
Terpaksa
Sikap saling memahami dan berlapang
dada (sabar) adalah yang paling utama mesti ada di dalam jiwa setiap individu
yang menjadi suami atau isteri. Tidak seharusnya mana-mana pihak, suami atau
isteri bertindak meluahkan perasaan dan menceritakan rahsia pasangan kepada
orang luar sebelum cuba menyelesaikan masalah itu dengan jalan perbincangan
melainkan tidak ditemui jalan penyelesaian lain sehingga rahsia rumah tangga
terpaksa diluahkan kepada pihak ketiga.
Contohnya sebagaimana peristiwa yang telah berlaku di zaman Rasulullah SAW di mana
seorang wania mengadu kepada baginda bahawa dia telah dipukul oleh suaminya.
Pada awalnya, Rasulullah memutuskan bahawa suaminya boleh dikenakan qisas
(pukul dibalas pukul), tetapi pada ketika itu juga telah turun wahyu yang
membolehkan suami memukul isterinya dalam keadaan tertentu iaitu dengan
tujuan mendidik (bukan memukul untuk menyakitkan atau memukul kerana geram).
Secara tidak langsung, wanita tadi telah membocorkan rahsia rumah tangganya
dengan menceritakan keburukan suaminya kepada pihak ketiga iaitu Rasulullah
s.a.w.
Maka dalam kes seumpama ini, tidak
menjadi kesalahan bagi isteri (atau suami) untuk membuka rahsia rumah tangganya
kerana ia dibuat demi kepentingan atau kebaikan rumah tangga itu sendiri. Iaitu
apabila timbul
masalah dalam hubungan suami isteri
yang tidak dapat diselesaikan melalui perbincangan bersama, dan pihak suami
atau isteri merasakan bahawa dia sudah tidak mampu menghadapinya, maka satu
jalan penyelesaian perlu diambil dengan melibatkan ‘orang luar’, dengan kata
lain, rahsia rumah tangga terpaksa dibuka ke pengetahuan seseorang. Maka
beberapa perkara harus diambil kira iaitu:
i) Merujuk
Kepada Orang Yang Sesuai
Andainya sudah bulat tekad untuk
membawa soal dalaman rumah tangga kepada orang lain, maka haruslah dirujuk
kepada orang yang tepat kerana bukan sebarangan orang boleh menjadi tempat
mengadu masalah apalagi jikalau ia melibatkan perkara sulit. Maka pastikanlah
bahawa orang yang diadu itu adalah orang yang amanah, boleh dipercayai,
memiliki sifat adil mudah dipengaruhi emosi, tenang dan berwatak pendamai. Jika
tidak, dia mungkin menjadi penghasut dan pengusut masalah. Tidak kira sama ada
ia merupakan teman rapat atau pun seorang kaunselor yang berpengalaman, yang
penting di boleh membantu dalam memberi pandangan dan nasihat, atau menjadi
orang tengah dalam membetulkan hubungan dua hala antara suami isteri yang
tergendala.
ii) Membuka
Rahsia yang sesuai
Kita harus ingat bahawa orang yang
diadu itu tetap merupakan ‘orang luar’ dalam konteks sesebuah rumah tangga.
Oleh itu apa jua rahsia yang mahu diceritakan kepadanya harus dibataskan kepada
hal-hal yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi sahaja. Tidak lebih
daripada itu. Jangankan disebabkan pengaruh emosi, kita membuka segala rahsia
pasangan.
iii) Merujuk
kepada Hakam
“Hakam” adalah wakil daripada
kedua-dua pihak suami dan isteri di mana pihak lelaki diwakili seorang hakam,
begitu juga dengan pihak wanita. Adakalanya mahkamah sendiri yang akan melantik
hakam tersebut di mana kedua-dua hakam ini berfungsi sebagai pendamai untuk
membantu menyelesaikan kes yang
dihadapi.
Hal ini disebutkan melalui firman
Allah SWT yang maksudnya: “Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara
kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki
dan seorang hakam dari keluarga perempuan.” (An-Nisa’: 35)
Kedua-dua hakam ini akan melakukan
‘soal selidik’ ke atas suami atau isteri dalam sesi berasingan, untuk
mengetahui punca dan kedudukan masalah. Di sinilah pentingnya peranan hakam
yang dipilih itu yang mesti memiliki sifat sebagai orang yang boleh dipercayai,
bijaksana dan adil, boleh menyimpan rahsia, bijak bertindak dan tidak
menyebelahi mana-mana pihak. Dalam hal ini, suami mahupun isteri harus memberi
kepercayaan kepada hakam di mana sedikit sebanyak rahsia rumah tangga mereka
terpaksa diluahkan.
Kemudian kedua-dua hakam ini
akan bertemu untuk mencari penyelesaian. Andainya didapati tidak ada lagi titik
temu antara kedua-dua suami isteri, kedua-dua hakam harus sepakat untuk membuat
keputusan memisahkan mereka dengan cara baik di mana ia perlu dirujuk kepada
mahkamah.
iv) Merujuk
kepada mahkamah
Ini merupakan peringkat terakhir di
mana jalan penyelesaian melalui perbincangan dan melalui kaunselor atau orang
tengah “hakam” tidak lagi membuka sebarang harapan untuk perdamaian. Di sini
mahkamah boleh
membuat keputusan ke atas masa depan
rumah tangga tersebut di mana rahsia rumah tangga terbabit terpaksa disingkap
di hadapan hakim atau mahkamah.
Mengambil Iktibar:
Teladanilah kisah-kisah yang pernah
berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. seperti kebijaksanaan saiditina Khadijah
r.a. dalam menjaga rahsia kerasulan Rasulullah iaitu selepas menerima wahyu
pertama di Gua Hira’ di mana beliau telah bertindak bijak dengan menceritakan
peristiwa itu hanya kepada orang tertentu untuk mendapatkan pandangan dan tidak
merujuk kepada sebarangan orang tetapi memilih orang yang telah dikenal pasti
layak menjadi tempat rujuk dan boleh menyimpan rahsia. Orang itu adalah
sepupunya sendiri, Waraqah bin Naufal, seorang alim yang masih berpegang pada
ajaran tauhid. Rahsia ini disimpan kemas sehinggalah Rasulullah s.a.w. sendiri
menerima perintah untuk pergi ke tengah masyarakat menyampaikan amanah wahyu
yang diterimanya.
Kesimpulannya, biar apa pun masalah yang dihadapi termasuklah hal rumah tangga, selaku seorang Islam hendaklah kita sentiasa mengingati Allah dan memohon bantuan daripadanya. Kerjakanlah solat istikharah dan solat hajat sebelum membuat apa jua keputusan agar diberi hidayah dan kekuatan. Di samping itu ambillah iktibar daripada hitam putih kehidupan masyarakat sekeliling kita. Bak kata pepatah “Yang baik, jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan