Jumaat, 29 November 2013

HORMATILAH GURU ANDA DI SEKOLAH.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala, Empunya seluruh alam, Pentadbir seluruh alam, Pencipta seluruh alam. Tiada tuhan melainkan Dia. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, juga ke atas ahli keluarga baginda yang mulia serta barisan para sahabat baginda yang terpuji.
Dalam dunia ‘moden’ di mana umat Islam rata-ratanya sudah semakin jauh daripada tradisi-tradisi dalam arena keilmuan Islam – yang secara pastinya jauh lebih baik dan lebih dekat kepada kebenaran – untuk menjaga hubungan antara seorang guru dan seorang murid itu memang sangat sukar. Malah, ramai yang tewas dengan hasutan nafsu dan syaitan sehingga meruntuhkan adab-adab yang seharusnya dipelihara antara guru dan murid, sehingga menyebabkan cahaya ilmu Allah itu sukar menusuk ke dalam hati. Inilah yang dimaksudkan oleh Waqi’, guru kepada Imam Syafie, apabila berwasiat kepada Imam Syafie supaya “meninggalkan maksiat”. Hal “maksiat” yang dimaksudkan oleh guru Imam Syafie bukanlah semata-mata merujuk kepada perilaku yang umum dimaklumi tidak baik seperti zina, minum arak dan sebagainya, tetapi merujuk juga kepada “maksiat hati” yakni perkara-perkara seperti hasad dengki, sangka buruk dan sebagainya. Apatah lagi jika “maksiat hati” itu sasarannya adalah kepada seorang guru yang mengajarkan ilmu pengetahuan; sudah tentu terlebih besar darjat kesalahannya.
Dalam hal adab antara seorang anak murid dan guru, kisah antara Nabi Musa ‘alayhissalam dan Nabi Khidir ‘alayhissalam merupakan contoh tersohor yang sangat baik.
Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah Al-Kahf ayat 65-82 yang lebih kurang maksudnya:

65. Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami Yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.
66. Nabi Musa berkata kepadanya: bolehkah aku mengikutmu, Dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?"
67. Ia menjawab: "Sesungguhnya engkau (Wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.
68. Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?
69. Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, Insya Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu".
70. Ia menjawab: "Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu".
71. Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar".
72. Ia menjawab: "Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?"
73. Nabi Musa berkata: "Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)".
74. Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!"
75. Ia menjawab: "Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?"
76. Nabi Musa berkata: "Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; Sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku".
77. Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: "Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!"
78. Ia menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.
79. Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.
80. Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.
81. Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.
82. Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".
Peristiwa yang dirakamkan di dalam ayat Al-Qur’an di atas merupakan satu pengajaran daripada Allah Subhanahu wa ta’ala kepada Nabi Musa ‘alayhissalam. Antara pengajaran-pengajaran penting yang boleh diperolehi daripada kisah Nabi Musa ‘alayhissalam dan Nabi Khidir ‘alayhissalam:
1. Boleh jadi seorang murid itu lebih mulia dan lebih soleh daripada seorang guru, tetapi itu tidak melayakkan seseorang murid itu untuk membantah atau tidak menghormati gurunya.
2. Seseorang murid perlu bersabar dengan tindakan gurunya, dan tidak terlalu gopoh dalam menghukum atau menilai perlakuan gurunya sedangkan ia tidak mempunyai pemahaman atau pengetahuan yang mendalam tentang apa yang dilakukan.
3. Seseorang murid yang yang tidak menyempurnakan syarat-syarat hubungan guru dan murid, seperti menghilangkan adab dan rasa hormat, akan “terhalau” daripada hadrat gurunya.
4. Seorang murid yang hendak mengambil manfaat daripada gurunya hendaklah mengikuti perjalanan gurunya dengan penuh sabar dan taat.
5. Seorang murid perlulah mengikut perjalanan gurunya dengan penuh sabar dan rendah diri dan tidak terlalu cepat (terburu-buru dan tidak sabar) ingin memahami sesuatu perkara kerana kefahaman itu datang daripada Allah.
Bersabarlah dalam melalui perjalanan bersama seorang guru. Tanggalkan segala pakaian kemuliaan, tanggalkan gelaran ‘Dr.’-mu itu, tanggalkan segala pengalaman-pengalaman yang telah dilalui, dan berhadaplah dengan sang guru lagak seorang anak kecil menghadap ayahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin