Rabu, 19 Oktober 2011

ASAL USUL MAYARAKAT SIAM.

ASAL-USUL MASYARAKAT THAI DI MALAYSIA
ARTIKEL INI DIPETIK DRP WEB PERSATUAN BELIATHAI MALAYSIA YG AKAN DIBUBARKAN PD 1 NOVEMBER 2007. - SENGAJA AKU POSTKAN DI SINI AGAR GENERASI BARU BERPELUANG MENGENALI & TIDAK LUPAKAN ASAL-USUL KITA. PENGENALAN Satu cara yang difikirkan paling sesuai dapat memperkenalkan masyarakat Thai ialah dengan mendefinisikan masyarakat Thai itu sendiri sebagai suatu entiti yang di kenali. Linguistik misalnya, ia seharusnya melangkaui penyediaan kamus bahasa semata-mata dengan merujuk kepada nada bunyi juga. Kedua, daripada segi ethnologi dan folkloristik. Ethnik Thai merupakan penduduk minoriti di Malaysia. Sebagai komuniti kecil dan terpisah-pisah, mereka membentuk ruang sosial dan ekonomi tersendiri dan berbeza di utara Semenanjung Malaysia; Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, dan Terengganu. Beberapa penulisan bersifat etnologi telah memberi maklumat berguna terutama adaptasi sosial dalam sekitaran sosio-budaya Melayu dominan. Antara pengkaji awal; C. Archaimbault, Louis Golomb, Mohamed Yusoff Ismail, dan Robert Winzeler. Satu perkara yang jarang disentuh, tetapi sering disebut dalam penulisan tadi, berkenaan asal dan masa ethnik Thai ini mewujudkan perkampungan mereka.

arram sunag- 10-21-2007

KOMUNITI THAI KELANTAN Mengikut sejarah, pertalian Kelantan-Siam dikatakan bermula sejak pertengahan abad ke 13. Waktu itu orang-orang Siam sudah mula menyumbangkan pengaruh kekuasaannya ke selatan lembah Sungai Chao Phraya, menurun ke kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu...(Nik Mohamed dlm. Alias Mohamed 1977). Walau bagaimanapun, pertalian ini berubah menjadi perlindungan apabila Long Muhammad menjadi Sultan Muhammad I pada tahun 1800/1801. Baginda menghantar Pak Wan Mahmud sebagai utusan menghadap Maharaja Siam dan sebagai tanda perhubungan setia Sultan Muhammad mengirim bunga mas ke Siam tiga tahun sekali (Cetera Kelantan dlm. Alias Muhammad 1977: 24). Pada tahun 1832 Sultan sekali lagi menghantar utusan ke Ligor dan dari Ligor ke Bangkok mengadap Maharaja Siam kerana bimbang akan ancaman dari Terengganu yang berpakat dengan Pattani. Kepulangan utusan itu membawa bersama suatu persetiaan antara negeri Kelantan dengan Kerajaan Siam diwujudkan dan Kelantan hendaklah menghantar ufti bunga emas tiap-tiap tiga tahun sekali ke Siam sebagai balasan di atas kesanggupan Siam mengawasi musuh-musuh dari luar (Saad Shukri dlm. Alias Muhammad 1977; 24). Kekuatan pengaruh Siam dapat dilihat melalui tindakan Raja Siam yang telah memperkenankan Long Senik Mulut Merah menjadi Raja Kelantan pada tahun 1837 dengan gelaran Sultan Muhammad II apabila Sultan Muhammad I mangkat pada tahun 1835 (Alias Muhammad 1977: 15). Apa yang jelas, hanya pada akhir kurun ke 18, Siam dikatakan telah menguasai Kelantan dan ini berakhir hingga tahun 1909 apabila negeri itu bersama-sama Kedah, Perlis dan Terengganu dipindahkan ke tangan British dalam perjanjian Anglo-Siamese (Alias Muhammad t.th. 2). Menurut Perjanjian Siam-Inggeris 1909, Kerajaan Siam bersetuju menyerahkan segala haknya keatas Negeri Kelantan kepada British. Dengan perjanjian ini maka Kelantan telah kehilangan sebuah jajahan yang menurut Kitab Tarikh Kelantan (dlm. Alias Muhammad t. th. 18) adalah seperti berikut: "Pada masa negeri Kelantan bersetia dengan Siam adalah lebih kurang 15,000 oang Siam yang mendiami tempat-tempat di sebelah kanan mudik Sungai Tabal itu. Tetapi oleh sebab Surat Setia di antara kerajaan Siam dengan Kerajaan Inggeris yang berkenaan dengan perkara penyerahan negeri Kelantan, Kedah, dan Terengganu tidaklah diperbuat oleh Kerajaan Siam, bahawa Sungai Tabal itu sempadan jajahan Siam dengan jajahan Kelantan serta ditolakkan sebuah daerah di dalam Legeh yang dibawah bendera Siam kepada Kelantan iaitu sebelah ulu negeri Kelantan dan setengah tanah dalam jajahan Reman yang di bawah benderanya jua kepada negeri Perak." Golomb (1976: 15), meletakkan kira-kira satu peratus daripada 700,000 penduduk keseluruhan Kelantan adalah minoriti Thai. Beliau telah mengira dan mendapati terdapat 29 petempatan orang Thai di Kelantan yang mengandungi satu hingga lebih 250 rumah termasuk satu kampung yang terletak hanya selepas sempadan Negeri Terengganu dan satu di Wilayah Narathiwat. Saya menjangkakan kampung tersebut ialah Bukit Yong/Tok Chek (Tok Motong). Pada masa ini hanya terdapat dua perkampungan Thai di Terengganu iaitu Bukit Keluang (Pok/Pak Kiang) dan Batu Bala. Setelah dikira, Golomb menyatakan terdapat 20 buah biara Thai di 14 perkampungan Thai dan tiga buah di kampung majoriti penduduk Cina (Golomb 1976: 19). Mereka ini terdapat di Kampung Tenong, Kulim dan Malai. Tetapi, semasa saya menjadi bikhu selama empat bulan di Wat Cheng Buddhavas, Kelantan, saya dapati hanya dua buah biara sahaja dibangunkan di perkampungan Cina; Kampung Tenong dan Wakaf Bharu (Kulim). Saya mengecualikan Kampung Balai kerana majoritinya ethnik Thai yang membangunkan perkampungan ini bersama-sama orang Cina (Cina Kampung). Sebelum 1990-an hanya terdapat 19 buah biara sahaja yang betul-betul wujud. Ini berlaku di Kampung Malai di mana satu daripada dua biaranya telah tidak digunakan sehinggalah pada 1990-an biara tersebut telah dibina semula dan dibangunkan. Biara tersebut kini dinamakan Wat Photikyan Phut Thak Tham (Wat Tai undercooked/Biara Hilir). Pengelompokan Thai Kelantan yang tinggi menurut Golomb adalah sekitar bandar Tumpat iaitu sepanjang sempadan Thailand. ASAL THAI KELANTAN Asal Thai Kelantan adalah tidak jelas. Persoalan siapakah orang Thai pertama datang dan bagaimanakah mereka datang telah lama mendapat perhatian. Beberapa bukti telah dikemukakan tetapi tidak satupun mendapat rumusan tepat. Ethnik Thai, tidak seperti orang Cina, tidak banyak mendapat perhatian semasa era kedatangan imigran pada abad ke 18 dan 19, mungkin kerana mereka tidak terlibat dengan aktiviti sebagaimana aktiviti orang Cina seperti perlombongan emas, perniagaan dan perdagangan. Perbincangan seterusnya adalah berdasarkan tulisan Louis Golomb (1976: 15 & 16). Beliau telah menggunakan pendekatan linguistik untuk mengesan asal-mula komuniti Thai di Kelantan. Menurutnya, kepadatan petempatan Thai dan dialek Tumpat-Tak Bai membayangkan mereka daripada punca yang sama. Berdasarkan pendekatan ini, Golomb menyimpulkan kebanyakan penduduk Thai Kelantan berasal dari daerah Tak Bai. Semua, kecuali tiga kampung Thai di Kelantan berkongsi dialek tempatan yang sama. Pengecualian ini, termasuk dua komuniti pinggir pantai menghala ke Terengganu. Saya berpendapat dengan penuh yakin perkampungan tersebut ialah Balai dan Semerak. Dua petempatan ini dengan koloni kecil imigran pedalaman, bercakap dalam dialek yang berbeza ketara daripada segi sistem bunyi berbanding Tumpat-Tak Bai. Perbezaan dialek petempatan tepi pantai ini menerangkan migrasi yang berdikari, mungkin dengan bot di sepanjang pinggir pantai dari kawasan utara Thailand. Sebenarnya dialek Thai Kelantan tidak merujuk kepada daerah Tak Bai semata-mata, malahan merangkumi keseluruhan Wilayah Narathiwat. Menurut Golomb lagi, penduduk asal merupakan sekumpulan orang muda yang di kenali sebagai nakleng yang mengembara mencari kawasan pemburuan baru. Dalam kumpulan tersebut terdapat juga ahli menora yang mempersembahkan tarian tersebut di setiap tempat yang disinggahi. Kajian ini mempunyai persamaan dengan kajian Mohamed Yusoff (1993: 19) di Kampung Aril, Jajahan Kota Bharu. Menurutnya, Aril asalnya didiami oleh orang Melayu tetapi telah bertukar menjadi hutan belukar kerana kehadiran babi hutan yang mengancam dan merosakkan hasil tanaman mereka. Kebetulan kumpulan nakleng melintasi kawasan tersebut dan ditawarkan oleh ketua kampung untuk membuka semula kampung tadi dan sekaligus mewujudkan perkampungan Thai di Aril. Semasa menulis mengenai pengaruh Siam dan Buddha terhadap kepercayaan Orang Melayu di Kelantan, Mohamed Yusoff (1996: 24) menyatakan beberapa perkampungan Siam di Kelantan telah dibangunkan semenjak lebih daripada seratus tahun yang lepas. Malahan sebelum inipun, beliau telah menyatakannya sebagai: Written records concerning the establishment of Siamese villages in Kelantan are not readily available and the dates of their foundation still remain a matter of speculation, but lemon tradition indicate that these settlements are over 100 years old. In some places Siamese villagers are known to predate their Malay neighbours. The migration of Siamese settlers from southern Thailand was a regular occurance until the turn of the century. The prevailing social and political circumstance of the period obviously facilated Siamese migration into Kelantan. Most significantly, Siamese migrants faced very cilantro resistance from the existing Malay peasantry since the former did not compete with the latter for agricultural land (Mohamed Yusoff 1990: 56). Jika dilihat daripada segi masa, pengkaji sebelum ini menganggarkan perkampungan Thai sudah wujud lebih daripada 100 tahun. Manakala ada pengkaji lain menganggarkan lebih daripada 200 tahun. Wang Gungwu (dlm. Winzeler 1985) menyebut, pada akhir abad ke 18 ada lelaki Cina yang mengahwini gadis Thai. Malangnya, beliau seolah-olah menarik balik kenyataan tersebut dengan menyatakan mungkin gadis yang dikahwini itu bukan Thai asal tetapi dibawa dari tempat lain. Pendekatan linguistik juga pernah digunakan oleh Winzeler (1985). Beliau mengemukakan hujah menarik berkenaan asal Thai Kelantan. Menurutnya, mereka mendiami berdekatan sempadan yang di huni oleh masyarakat pra-moden Thai di Wilayah Selatan Thailand. Ada bukti menerangkan hampir keseluruhan penempatan Thai (melainkan beberapa kampung terletak di timur jauh lembangan Kelantan) mempunyai hubungan dengan rumpun di sebelah sempadan di Wilayah Narathiwat dan kemungkinan kesemua berasal daripada enklaf yang lama wujud dalam wilayah Melayu mewujudkan perbezaan dialek, Tak Bai misalnya, satu Jajahan Narathiwat mempunyai perbezaan dialek dengan Wilayah Selatan lain-lain dialek Thai. Walau bagaimanapun ini tidaklah bermakna penutur dialek Tak Bai berasal daripada penempatan asal (original settlers), ia mungkin, malahan menyerupai, yang mereka adalah keturunan daripada migran kemudian yang telah diasimilasikan ke dalam komuniti sedia ada. Setengah maklumat mencadangkan penyelerakan dan pergerakan pada masa lepas adalah perkara biasa dalam bentuk petempatan Thai. Jika asal orang Kelantan dan Tak Bai tidak jelas, sejarah mereka adalah sedikit kurang. Satu persoalan ialah tentang hubungan antara pembangunan etnik lepas dan abad ke 19 dan 20 pada perluasan metropolitan Thai dan penggabungan dalam wilayah berkenaan. Menurut sejarah, sebelum ini pada abad ke 19 pemerintah Thai telah lama menuntut sebagai tuan kepada Kelantan dan negeri utara Melayu, kecuali kes Patani yang menjadi sebuah kerajaan Melayu (Winzeler 1985: 68). Ini berlaku sebelum penyerahan hak Bangkok kecuali Patani kepada Great Britain pada tahun 1909, yang pada masa itu petempatan Thai telah lama wujud. Cuma persoalannya sama ada ia berkembang hasil daripada keterlibatan kerajaan Thai. Graham (dlm. Winzeler) membuat banyak rujukan tentang orang Thai, ia mengundang banyak kekeliruan. Beliau menyatakan terdapat dua kampung (tidak di kenal pasti) boleh dikaitkan dengan pelanggaran Thai pada 60 tahun sebelum ini (1840-an), tetapi tidak menyumbangkan dengan banyak kepada jumlah penduduk Thai atau sebarang pergerakan ketenteraan lain. Di sini tidak ada bukti yang mengaitkan usaha kerajaan Bangkok mempromosi kemasukan orang Thai ke wilayah ini, atau tindakan mereka sendiri bermigrasi di bawah penguasaan kerajaan Thai. Menurut Mohamed Yusoff (1993: 18) kewujudan perkampungan Thai di Kelantan tidak ada kaitan dengan polisi kolonial kerajaan Siam. Walaupun, Siam mempunyai minat yang tinggi ke atas negeri Melayu, tetapi ia bukan bertujuan mewujudkan kota-kota Siam, kerana tujuannya menghalang pengaruh Burma dan Inggeris. Malahan, tidak ada bukti yang menunjukkan perkampungan Thai dibangunkan atas perintah Bangkok (Kershaw dlm. Mohamed Yusoff 1993: 18). Persoalan kedua, tentang saiz populasi Thai di Kelantan sebelum dan selepas perlindungan British pada tahun 1909. Menulis pada tahun 1907, Graham (dlm. Winzeler) menganggarkan bilangan penduduk Thai adalah 15,000 orang dan mencatitkan konsentrasi mereka adalah di persisir pantai negeri. Jika anggaran ini adalah benar, populasi Thai telah berkurang lebih daripada satu-setengah (one-half) dan berkurang kepada satu perempat daripada anggaran penduduk kini lebih daripada dua kali ganda jumlah 300,000 yang beliau kemukakan. Graham juga mencatatkan terdapat lebih daripada 40 biara Thai, sedangkan kini tinggal separuh daripadanya. Kemerosotan yang besar berlaku kepada orang Thai pada banci pertama pada tahun 1911, apabila kurang daripada 5,000 orang direkodkan. Satu kemungkinan besar kekurangan Thai Kelantan ialah mereka meninggalkan Kelantan apabila Bangkok melepaskannya kepada kerajaan British. Berdasarkan kiraan Graham, tulisan sebelum penyerahan Kelantan kepada British, orang Thai hidup dengan aman dan bahagia. Walaubagaimanapun, tidak ada bukti pergerakan keluar daripada negeri atau akibat daripada ketidaksenangan di bawah kawalan British. Kemungkinan yang selesa ialah Graham memasukkan sekali bilangan ethnik Thai di Thailand apabila sempadan Kelantan dan Thailand ditetapkan pada tahun 1909.

arram sunag- 10-21-2007

KOMUNITI THAI KEDAH Perbincangan mengenai orang Thai Kedah sering kali dikelirukan oleh istilah Sam sam. Sam sam merupakan hasil daripada percampuran antara Melayu dengan Siam; Melayu, Cina dan Siam; atau antara Siam dengan keturunan asal Langkasuka, atau Ligor yang lain. Pada abad ke 18 dan ke 19, petani penutur-Thai dari selatan Thailand telah bergerak masuk ke utara Kedah. Mereka ini di kenali sebagai Sam sam (Banks 1983: 22). Mereka ini sangat miskin dan terbahagi kepada dua kumpulan agama; Buddha dan Islam. Pada tahun 1900-1920-an Sam sam menduduki Perlis, Padang Terap dan Kubang Pasu (Cheah Boon Kheng 1981b: 3). Dalam perangkaan penduduk tahun 1911 terdapat seramai 22,852 orang Thai dan Sam-sam di Kedah (Zaharah dlm. Noor Aini 1982: 219). Seorang pengkaji, Archaimbault (1957) telah melakukan penyiasatan yang baik untuk mengenali orang Sam sam ini. Pada tahun 1956, beliau telah membuat kerja lapangan di kalangan penganut Buddha di Kampung Naka, Padang Pusing, Titi Akar, Begia dan Kalai, dan di kalangan orang Islam di Ko Klang, Gua Musang dan Ta Kuan di Perlis. Maklumat daripada respondennya menunjukkan Sam sam telah bergerak dari Nakhorn Sithammarat dan Songkhla satu atau dua abad yang lepas. Menurut sejarah/catatan tahunan Pathalung (dlm. Archaimbault 1957: 75), krisis ekonomi yang teruk di sekitar Songkhla pada 1831 telah menolak penduduknya keluar secara besar-besaran. Sebelum itu, W. W. Skeat (dlm. Cheah Boon Kheng 1981a: 99) sewaktu melawat Perlis menyebut; The Sam sam were “always Malays who had turned Siamese in everything but their religion; they seldom, if ever, become Buddhists. “Malaysising Siamese” were, however, called Ma’lap (Arabic - “converts” or “proselytes” and often turned Muslim because they had a Malay wife, but “their hearts remained untouched, though their children usually grew up to be convinced Muslims. Neither “Malaysising Siamese” nor Sam sam were particular about their diet and ate “unclean” things such as tortoises (kura-kura) and generally gave up attendance at the mosque. Kenyataan W. W. Skeat ini turut disokong oleh Tunku Abdul Rahman (dlm. Cheah Boon Kheng 1981a: 99 & 1981b: 3) yang pernah menjadi pegawai daerah Kuala Nerang yang menyatakan Sam sam tidak mengambil berat hal-hal berkaitan agama. Beliau juga menjelaskan Sam sam hanya boleh di kenali melalui percakapan/loghat mereka dan hanya terdapat di Kampung Tolah, Kuala Nerang, Kedah; manakala yang berasal dari Perlis dan Setul bukanlah Sam sam. Walau bagaimanapun, tulisan dalam kajian ini tidak merujuk kepada Sam sam , sebaliknya berkenaan orang Thai yang sebenarnya. Menurut Gullick (1983: 35), orang yang bertanggungjawab merancang dan menguasai Kedah pada tahun 1821 merupakan Gabenor Siam di Wilayah Nakhon Sithammarat. Beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab mengawasi penghantaran ufti oleh Kedah dan Kelantan. Gabenor ini lebih di kenali sebagai Raja Ligor, tetapi harus ditekankan, Raja Ligor adalah Siam dan bukannya Melayu. Sebenarnya, Siam telah menyerang Kedah selama tiga kali iaitu pada tahun 1821, 1831-32, dan 1838-39. Orang Melayu yang marah dengan serangan itu, telah bertindak balas dengan sungguh-sungguh apabila Siam menyerang semula pada 1831-32 dan 1838-39 (Kobkua 1986: 37). Malahan, menurut Kobkua (1986: 42) lagi, ketika di bawah Siam, Kedah dibahagikan kepada empat kawasan: Kedah, Setul-Lingu, Kubang Pasu, dan Perlis. ASAL THAI KEDAH Ghulam-Sarwar (1982: 53) secara tidak sengaja mengaitkan perkampungan di Kedah dengan imigran Thai. Kajian asalnya Nora Chatri; dikatakan ia dibawa bersama imigran ketika zaman keagungan pengaruh Siam, dimainkan di Naka, Jitra, Kodiang, Baling, dan daerah Pedu. Berdasarkan kajian Noor Aini (1982), walaupun penduduk Thai di Baling dilahirkan di Baling, namun ibubapa dan nenek-moyang mereka berasal dari Thailand. Sebahagian besar daripada ibubapa mereka datang dalam kurun ke 19 dan sering berkunjung ke selatan Thai seperti di Songkla, Pattani dan lain-lain daerah untuk melawat kaum keluarga. Namun satu lagi perkara yang harus ditekankan ialah bahawa walaupun kebanyakan daripada mereka datang dari selatan Thai namun mereka adalah orang-orang Thai jati dan bukan Sam sam. Menurut responden hampir seratus peratus dari penduduk Thai di Baling menganuti agama Buddha dan ciri-ciri kebudayaan Thai dan bukan pula berbangsa Melayu. Namun Zaharah Haji Mahmud, menjelaskan perbezaan antara: the pure Thai, that is those ethnically and culturally Thai who come mainly from the Menam Valley and the Samsam who are Thai speaking peoples, usually Muslim but not necessarily so.... the Samsam posses ethnic and cultural traits similar to the indegenous Malays. Kenyataan Zaharah menimbulkan satu kerisauan baru kepada pendokong teori orang Thai masuk dari selatan. Beliau membuat kesimpulan bahawa kebanyakan orang Thai Jati berasal dari Lembah Menam Chao Phraya sedangkan yang berasal dari Selatan (Satun, Yala dan Narathiwat) adalah Sam-sam. Jadi, pendapat bahawa orang Thai jati di Baling berasal dari Selatan Thai merupakan kes yang berlainan daripada apa yang dikatakan oleh Zaharah. Permasalahan ini cuba diselesaikan oleh Noor Aini secara bijak. Menurutnya, ada kemungkinan orang Thai Baling yang datang dari selatan ini adalah mereka yang suatu waktu pernah berpindah dari Lembah Menam ke Selatan dan berpindah pula ke Baling. Pada tahun 1909 kerajaan Thai telah menyerahkan negeri Kedah yang di bawah naungannya sejak sebelum 1821 lagi kepada kerajaan Inggeris. Penyerahan ini telah memberi kesan terhadap komposisi penduduk negeri Kedah di waktu itu hinggalah ke hari ini. Akibat daripada penyerahan itu, terdapat ramai penduduk Thai yang tinggal di kawasan sempadan terutamanya di negeri Kedah telah berpindah keluar ke negeri Thai semula. Menurut banci penduduk pada tahun 1911, bilangan penduduk Thai jati di negeri Kedah hanyalah seramai 8,135 dan Samsam pula seramai 14,717 orang sahaja (m.s. 200 & 202). Manakala pada akhir kurun ke 19 penduduk Thai di negeri Kedah, adalah seramai 30,000 orang. Bancian penduduk pada tahun 1921 pula tidak langsung dapat mencatitkan bilangan penduduk Thai di negeri Kedah. Noor Aini (1982) menyimpulkan kedatangan orang Thai ke Kedah dan Baling kepada tiga peringkat. Pertama, antara tahun 1821 sehingga 1843 dimana kemasukan begitu pesat. Peringkat kedua ialah antara tahun 1843 sehingga 1909 di mana kemasukan berkurangan. Peringkat ke tiga adalah kemasukan selepas 1909 di mana kemasukan menjadi begitu kecil jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Ketika kerajaan Thai memerintah Negeri Kedah (1821-1843), orang Thai yang tinggal dalam kawasan sempadan telah berpindah, terutama ke kawasan yang berhampiran dengan sempadan. Antara kawasan ini termasuklah Baling yang terletak kira-kira 15 batu dari sempadan. Walaupun selepas tahun 1843 negeri Kedah telah diperintah semula oleh Sultan Kedah dan kemasukan orang Thai ke Kedah telah berkurangan, namun masih terdapat orang Thai yang memasuki kawasan di Kedah yang berhampiran dengan sempadan. Kampung-kampung orang Thai yang terdapat di Baling dewasa ini terdiri daripada Kampung Wat Dalam, Wat Luar, Baling Dalam, Tas, Serako, dan Kampung Pegang. Menurut responden, tarikh pembukaan kampung-kampung ini tidaklah dapat diberikan dengan tepat. Namun begitu, mereka percaya kampung-kampung ini dibuka sebelum kurun ke20 lagi. Ini adalah berdasarkan kepada kenyataan bahawa ibubapa dan saudara mara mereka yang dikatakan berasal dari Thai itu telah tinggal di kampung-kampung tersebut sejak sebelum tahun 1900 lagi.

arram sunag- 10-21-2007

KATA AKHIR Di Kedah, walaupun perbincangan diganggu oleh istilah Sam sam; namun jika diteliti maknanya, Sam sam tidak semestinya wujud di Kedah dan Perlis sahaja, malahan juga terdapat di Kelantan dan Terengganu. Jadi, saya berpendapat ia wajar diketepikan kerana perbincangan yang terlalu keatasnya bukan sahaja mengundang kekeliruan, malahan agak terkeluar daripada tujuan asal kajian. Berdasar penulisan terdahulu, sumber utama adalah cerita lisan. Penulisan awal lebih menyakinkan kerana jarak masa responden menuturkan kembali kisah lebih hampir dengan jangkaan mereka mula bertapak. RUJUKAN Alias Muhammad. 1977. Intelijensia Melayu Kelantan: satu pandangan awal. Kota Bharu: Mohd Nawi Book Store. Alias Muhammad. t. Kelantan: politik dan dilemma pembangunan. Kuala Lumpur: Utusan Melayu. Archaimbault, C. 1957. A preliminary investigation of the Sam sam of Kedah and Perlis, terjemahan oleh Peacock, B. A. V. Journal of Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 30: 75-92. Banks, David J. 1983. Malay kinship. Philadelphia: Institute for the Study of Human Issues. Cheah Boon Kheng. 1981a. Social banditry and rural crime in North Kedah, 1909-1929. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 54: 98-130. Cheah Boon Kheng. 1981b. Jenayah-jenayah di sempadan Kedah-Siam di antara tahun-tahun 1900-1920-an. Konvensyen Sejaran Negeri Kedah. Anjuran Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Wisma Negeri, Alor Setar. 28-1 Disember 1981. Ghulam-Sarwar Yousof. 1982. Nora Chatri in Kedah: a preliminary report. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 55: 53-61. Golomb, Louis. 1976. Ethnicity and socioeconomic adaptation in a Kelantanese Thai enclave. Stanford University, Ph. D. Gullick, J.M. 1983. Kedah 1821-1855: years of exile and return. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 56: 31-86. Ishii, Yoneo. 1993. Sejarah Sangha Thai: hubungan Buddhisme dengan negara dan masyarakat, terjemahan Mohamed Yusoff Ismail. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Kerajaan Malaysia. 1995. 1991 Banci penduduk dan perumahan Malaysia: laporan penduduk negeri, Kelantan; Terengganu; Pahang; Johor; Melaka; Negeri Sembilan; Selangor; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Perak; Kedah; Pulau Pinang; Perlis; Sarawak; Wilayah Persekutuan Labuan; dan Sabah. Kuala Lumpur: Jabatan Statistik. Kobkua Suwannathat-Pian. 1986. The 1839-41 settlement of Kedah: the Siamese compromise. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 59: 33-48. Mohamed Yusoff Ismail. 1990. Budhism among the Siamese of Kelantan: minority religion in a Muslim state. Jurnal antropologi dan sosiologi 18: 55-69. Mohamed Yusoff Ismail. 1990a. Membuat pahala sebagai ritus kebiaraan di kalangan penganut agama Buddha di Kelantan. Sarjana 6: 51-67. Mohamed Yusoff Ismail. 1995. Buddhisme dalam persekitaran Islam: adaptasi sosial dan budaya biara Buddhis di Kelantan. Dlm. Mostafa Kamal Mokhtar et. al. (pnyt.). Karya Darma II: kemanusiaan dalam pembangunan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohamed Yusoff Ismail. 1996. Pengaruh Siam dan Buddha terhadap sistem kepercayaan tradisional Orang Melayu Kelantan. Akademika 49: 23-37. Noor Aini Saad. 1982. Kedatangan orang-orang Thai ke Baling, Kedah, hingga 1950. Dlm. Kratoska, P.H. (pnyt.) Penghijrah dan penghijrahan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Winzeler, Robert L. 1985. Ethnic relations in Kelantan: a study of the Chinese and Thai as ethnic minorities in a Malay state. Singapore: Oxford University Press, East Asian Social Science Monographs. <1> Istilah biara telah diperkenalkan di Malaysia oleh Mohamed Yusoff (1990, 1995, & 1996) yang diambil daripada perbendaharaan Indonesia. Penganut agama Buddha di Indonesia bertutur dalam bahasa Indonesia; berbeza dengan penganutnya di Malaysia yang bertutur dalam bahasa ibunda; ini menjadikan peristilahan agama di Indonesia lebih menyeluruh. Kebiasaannya dalam istilah bahasa Malaysia, biara disebut kuil; manakala di Kelantan ia disebut ketik atau wat. Biara berasal daripada istilah Pali vihara. Sebenarnya terdapat perbezaan antara biara dan kuil. Istilah kuil lebih mirip kepada temple atau monastery dalam bahasa Inggeris, manakala biara lebih merujuk kepada tempat tinggal golongan bikhu. Dalam biara terdapat bangunan-bangunan seperti; boot (tempat pentahbisan dan upacara keagamaan), mae tik (tempat tinggal ketua sami dan upacara agama), rong tham (dewan sembahyang), kut (tempat tinggal bikhu), khrua (dewan makan), rong rian (sekolah) Thai, rong sop (tempat menyimpan mayat), bua (tempat menyimpan abu/tulang mayat), tempat rekreasi dan sebagainya berdasarkan inisiatif dan kepandaian ketua bikhu biara tersebut. <2> Biara ini telah dimajukan semula oleh seorang bikhu dari Thailand (bikhu mengembara atau phra chudong) dengan bantuan kewangan orang kampung dan masyarakat Cina sekitar Kelantan. <3> Hokkien = to mix <4> Malay = sama-sama (together) <5> Sumber ini merupakan gabungan daripada setiap laporan yang berasingan tetapi sengaja disatukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin