Nabi Ayub as menggambarkan sosok manusia yang paling sabar, bahkan
bisa dikatakan bahawa beliau berada di puncak kesabaran. Sering orang
menisbatkan kesabaran kepada Nabi Ayub. Misalnya, dikatakan: seperti
sabarnya Nabi Ayub. Jadi, Nabi Ayub menjadi simbol kesabaran dan
cermin kesabaran atau teladan kesabaran pada setiap bahasa, pada
setiap agama, dan pada setiap budaya. Allah s.w.t telah memujinya
dalam kitab-Nya yang berbunyi:
"Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah
sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)."
(QS. Shad: 44)
Yang di maksud al-Aubah ialah kembali kepada Allah s.w.t. Nabi Ayub
adalah seseorang yang selalu kembali kepada Allah s.w.t dengan zikir,
syukur, dan sabar. Kesabarannya menyebabkan beliau memperoleh
keselamatan dan rahsia pujian Allah s.w.t padanya.
Al-Quran al-Karim tidak menyebutkan bentuk dari penyakitnya, dan
banyak cerita-cerita dongeng yang mengemukakan tentang penyakitnya.
Dikatakan bahawa beliau terkena penyakit kulit yang dahsyat sehingga
manusia-manusia enggan untuk mendekatinya. Dalam cuplikan kitab
Taurat disebutkan berkenaan dengan Nabi Ayub: "Maka keluarlah syaitan
dari haribaan Tuhan dan kemudian Ayub terkena suatu luka yang sangat
mengerikan dari ujung kakinya sampai kepalanya." Tentu kita menolak
semua ini sebagai suatu hakikat yang nyata. Kami pun tidak mentolerir
jika itu dianggap sebagai perbuatan seni semata. Perhatikanlah ungkapan
dalam Taurat: "Kemudian syaitan keluar dari haribaan Tuhan kita,"
sebagai orang-orang Muslim, kita mengetahui bahawa syaitan telah
keluar dari haribaan Tuhan sejak Allah s.w.t menciptakan Adam as.
Maka, kapan syaitan kembali ke riba Tuhan? Kita berada di hadapan
ungkapan seni, tetapi kita tidak berada di hadapan suatu hakikat.
Lalu, bagaimana hakikat sakitnya Nabi Ayub dan bagaimana kisahnya?
Yang popular tentang cubaan Nabi Ayub dan kesabarannya adalah riwayat
berikut: para malaikat di bumi berbicara sesama mereka tentang
manusia dan sejauh mana ibadah mereka. Salah seorang di antara
mereka berkata: "Tidak ada di muka bumi ini seorang yang lebih baik
daripada Nabi Ayub. Beliau adalah orang mukmin yang paling sukses,
orang mukmin yang paling agung keimanannya, yang paling banyak
beribadah kepada Allah s.w.t dan bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya dan
selalu berdakwah di jalan-Nya." syaitan mendengarkan apa yang
dikatakan lalu ia merasa terganggu dengan hal itu. Kemudian ia pergi
menuju ke Nabi Ayub dalam rangka berusaha menggodanya tetapi Nabi
Ayub adalah seorang Nabi di mana hatinya dipenuhi dengan ketulusan
dan cinta kepada Allah s.w.t sehingga syaitan tidak mungkin
mendapatkan jalan untuk mengganggunya.
Ketika syaitan berputus asa dari mengganggu Nabi Ayub, ia berkata
kepada Allah s.w.t: "Ya Rabbi, hamba-Mu Ayub sedang menyembah-Mu
dan menyucikan-Mu namun, ia menyembah-Mu bukan kerana cinta, tapi
ia menyembah-Mu kerana kepentingan-kepentingan tertentu. Ia
menyembah-Mu sebagai balasan kepada-Mu kerana Engkau telah
memberinya harta dan anak dan Engkau telah memberinya kekayaan dan
kemuliaan. Sebenarnya ia ingin menjaga hartanya, kekayaannya, dan
anak-anaknya. Seakan-akan berbagai nikmat yang Engkau kurniakan
padanya adalah rahsia dalam ibadahnya. Ia takut kalau-kalau apa yang
dimilikinya akan binasa dan hancur. Oleh kerana itu, ibadahnya dipenuhi
dengan hasrat dan rasa takut. Jadi, di dalamnya bercampur antara rasa
takut dan tamak, dan bukan ibadah yang murni kerana cinta."
Riwayat tersebut mengatakan bahawa Allah s.w.t berkata kepada iblis:
"Sesungguhnya Ayub adalah hamba yang mukmin dan sejati imannya.
Ayub menjadi teladan dalam keimanan dan kesabaran. Aku
membolehkanmu untuk mengujinya dalam hartanya. Lakukan apa saja
yang engkau inginkan, kemudian lihatlah hasil dari apa yang engkau
lakukan."
Akhirnya, syaitan pergi dan mendatangi tanah Nabi Ayub dan berbagai
tanaman dan kenikmatan yang dimilikinya. Kemudian syaitan itu
menghancurkan semuanya. Keadaan Nabi Ayub pun berubah dari puncak
kekayaan ke puncak kefakiran. Kemudian syaitan menunggu apa tindakan
Nabi Ayub. Nabi Ayub berkata: "Oh musibah dari Allah s.w.t. Aku harus
mengembalikan kepada-Nya amanat yang ada di sisi kami di mana Dia
saat ini mengambilnya. Allah s.w.t telah memberi kami nikmat selama
beberapa masa. Maka segala puji bagi Allah s.w.t atas segala nikmat yang
diberikannya, dan Dia mengambil dari kami pada hari ini nikmat-nikmat
itu. Bagi-Nya pujian sebagai Pemberi dan Pengambil. Aku dalam keadaan
redha dengan keputusan Allah s.w.t. Dia-lah yang mendatangkan manfaat
dan mudarat. Dia-lah yang redha dan Dialah yang murka. Dia adalah
Penguasa. Dia memberikan kerajaan kepada siapa yang di kehendaki-Nya,
dan mencabut kerajaan dari siapa yang dikehendaki-Nya; Dia memuliakan
siapa yang dikehendaki-Nya dan menghinakan siapa yang dikehendaki-
Nya." Kemudian Nabi Ayub sujud dan Iblis tampak tercengang melihat
pemandangan tersebut.
Lalu syaitan kembali kepada Allah s.w.t dan berkata: "Ya Allah, jika Ayub
tidak menerima nikmat kecuali dengan mengatakan pujian, dan tidak
mendapatkan musibah kecuali mendapatkan kesabaran maka hal itu
sebagai bentuk usahanya kerana ia mendapatkan anak. Ia mengharapkan
dengan melalui mereka kekayaannya meningkat dan melalui mereka ia
dapat menjalani kehidupan yang lebih mudah." Riwayat mengatakan
bahawa Allah s.w.t membolehkan bagi syaitan untuk berbuat apa saja
kepada anak-anak Ayub. Kemudian syaitan menggoncangkan rumah yang
di situ anak-anaknya tinggal sehingga mereka semua terbunuh. Dalam
keadaan demikian, Nabi Ayub berdialog kepada Tuhannya dan menyeru:
"Allah memberi dan Allah mengambil. Maka bagi-Nya pujian saat Dia
memberi dan mengambil, saat Dia murka dan redha, saat Dia
mendatangkan manfaat dan mudarat. Kemudian Ayub pun sujud dan iblis
lagi-lagi tampak tercengang dan merasa malu."
Iblis kembali menemui Allah s.w.t dan mengatakan bahawa Ayub dapat
bersabar kerana badannya sehat. Seandainya Engkau memberi kekuasaan
kepadaku, ya Rabbi, untuk mengganggu badannya nescaya dia akan
berhenti dari kesabarannya. Riwayat mengatakan bahawa Allah s.w.t
menginzinkan syaitan untuk mengganggu tubuh Ayub. Dikatakan bahawa
syaitan memukul tubuh Nabi Ayub dari kepalanya sampai kakinya
sehingga Nabi Ayub sakit kulit di mana tubuhnya membusuk dan
mengeluarkan nanah, bahkan keluarganya dan sahabat-sahabatnya
meninggalkannya kecuali isterinya. Namun lagi-lagi Nabi Ayub tetap
bersabar dan bersyukur kepada Allah s.w.t. Beliau memuji-Nya pada hari-
hari kesehatannya dan ia tetap memuji Allah s.w.t saat mendapatkan
ujian sakit. Dalam dua keadaan itu, Nabi Ayub tetap bersabar dan
bersyukur kepada Allah s.w.t.
Melihat pemandangan itu, amarah syaitan semakin meningkat namun ia
tidak mengetahui apa yang harus dilakukannya. Di sini syaitan
mengumpulkan para penasihatnya dari pakar-pakar dan ia menceritakan
tentang kisah Ayub dan meminta mereka mengeluarkan
pendapat—setelah ia menyampaikan rasa putus asanya saat menggodanya
atau mencuba menghilangkan sifat sabarnya dan syukurnya.
Salah seorang syaitan berkata: "Sungguh engkau telah mengeluarkan
Adam bapak manusia dari syurga, lalu dari mana engkau mendatanginya?
Oh, yang engkau maksud adalah Hawa?" Terbukalah di hadapan Iblis
suatu ide yang baru. Lalu ia pergi ke isteri Ayub dan memenuhi hatinya
dengan rasa putus asa sehingga ia pergi ke Ayub dan berkata padanya:
"Sampai kapan Allah s.w.t menyiksamu? Di mana harta, keluarga, teman
dan kaum kerabat? Di mana masa jayamu dan kemuliaanmu dahulu?"
Mendengar perkataan isterinya itu, Nabi Ayub menjawab: "Sungguh
engkau telah dikuasai oleh syaitan. Mengapa engkau menangisi kemuliaan
yang telah berlalu dan anak yang telah mati?" Perempuan itu berkata:
"Mengapa engkau tidak berdoa kepada Allah agar Dia menghilangkan
cubaan darimu dan menyembuhkanmu serta menghilangkan
kesedihannmu?" Nabi Ayub berkata: "Berapa lama kita merasakan
kebahagiaan?" Isterinya menjawab: "Delapan tahun." Ayub berkata:
"Berapa lama kita mendapat penderitaan?" Isterinya menjawab: "Tujuh
tahun." Ayub berkata: "Aku malu jika aku meminta agar Allah s.w.t
melepaskan penderitaanku ketika aku melihat masa kebahagiaanku.
Sungguh imanmu tampak melemah dan keputusan Allah s.w.t membuat
hatimu menjadi sempit. Seandainya aku sembuh dan kembali kepada
kekuatanku, nescaya aku akan memukulmu dengan seratus kali pukulan
dari tongkat. Sejak hari ini, aku tidak memakan dari makananmu dan dari
minumanmu atau memerintahkanmu untuk melakukan suatu urusan.
Maka pergilah kau dariku."
Akhirnya, isteri Nabi Ayub pergi sehingga Nabi Ayub tinggal sendirian
dalam keadaan sabar menanggung penderitaannya. Penderitaan yang
seandainya ditimpakan kepada gunung nescaya gunung tidak akan mampu
menahannya. Kemudian Nabi Ayub berdoa kepada Allah s.w.t dalam
keadaan penuh kasih sayang dan meminta belas kasih kepada-Nya. Beliau
berdoa agar Allah s.w.t menyembuhkannya. Dan akhirnya, doanya
dikabulkan oleh Allah s.w.t. Demikianlah riwayat yang popular berkenaan
dengan penderitaan Nabi Ayub dan kesabarannya.
Menurut hemat kami riwayat ini palsu kerana ia sesuai dengan teks
Taurat yang menjelaskan sakitnya Nabi Ayub. Begitu juga kami tidak
menerima jika dikatakan bahawa penyakitnya sangat buruk sekali yang
menyebabkan masyarakat lari darinya sebagaimana dikatakan oleh
dongeng-dongeng kuno. Bagi kami, riwayat semacam itu bertentangan
dengan kedudukan kenabian. Yang perlu kita perhatikan dan perlu kita
pastikan adalah apa-apa yang telah disampaikan oleh Al-Quran berkenaan
dengan cerita Nabi Ayub. Al-Quran adalah kitab satu-satunya yang pasti
benar yang tiada kebatilan di depan dan di belakangnya.
Allah s.w.t berfirman:
"Dan (ingatlah kisah) Ayub ketika ia menyeru Tuhannya: ('Ya
Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau
adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.'
Maka Kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan
penyakit yang ada padanya dan Kami kembalian keluarganya
kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu
rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang
menyembah Allah." (QS. al-Anbiya': 83-84)
Kita telah memahami bahawa Nabi Ayub adalah hamba yang soleh dari
hamba-hamba Allah s.w.t. Allah s.w.t menginginkan untuk mengujinya
dalam hartanya, keluarganya, dan badannya. Hartanya hilang sehingga ia
menjadi orang fakir setelah sebelumnya ia termasuk orang yang paling
kaya. Kemudian ia ditinggalkan oleh isterinya dan keluarganya sehingga
ia merasakan erti kesunyian dan kesendirian lalu ia ditimpa penyakit
dalam tubuhnya dan ia merasa menderita kerananya, tetapi beliau tetap
sabar menghadapi semua itu dan tetap bersyukur kepada Allah s.w.t.
Sakit yang dideritanya cukup lama sehingga beliau menghabiskan waktu-
waktu dan hari-harinya dalam keadaan sendirian bersama penyakitnya,
rasa sedihnya, dan kesendiriannya. Demikianlah Nabi Ayub merasakan
segi tiga penderitaan. Segi tiga penderitaan dalam hidupnya, yaitu sakit,
kesedihan, dan kesendirian. Di saat beliau mendapat cubaan seperti itu,
pada suatu hari datang pada beliau salah satu pemikiran syaitan. Fikiran
itu berputar-putar di relung hatinya; fikiran itu mengatakan padanya,
wahai Ayub penyakit ini dan penderitaan yang engkau rasakan oleh
kerana godaan dariku. Seandainya engkau berhenti sabar dalam satu hari
saja nescaya penyakitmu akan hilang darimu. Kemudian manusia-manusia
berbisik-bisik dan berkata: Seandainya Allah s.w.t mencintainya nescaya
ia tidak akan merasakan penderitaan yang begitu hebat. Demikianlah
pemikiran yang jahat itu. syaitan tidak mampu untuk mengganggu
seseorang kecuali dengan izin Allah s.w.t sebagaimana Allah s.w.t tidak
menjadikan cinta-Nya kepada manusia identik dengan kesihatan mereka.
Sesungguhnya Allah s.w.t menguji mereka sebagaimana yang
dikehendaki-Nya.
Fikiran syaitan itu berputar di sekitar hati Nabi Ayub seperti berputarnya
lalat di musim panas di sekitar kepala manusia, namun beliau mampu
menghilangkan fikiran ini dan sambil tersenyum kepada dirinya beliau
berkata: "Keluarlah hai syaitan! Sungguh aku tidak akan berhenti
bersabar, bersyukur, dan beribadah." Akhirnya, fikiran jahat itu dengan
rasa putus asa keluar dari akal Nabi Ayub. Nabi Ayub duduk dalam
keadaan marah kerana syaitan berani untuk mengganggunya. Beliau
membayangkan bahawa boleh jadi syaitan berani menggodanya dengan
memanfaatkan kesendiriannya, penderitaannya, dan penyakitnya.
Isteri Nabi Ayub datang dalam keadaan terlambat dan mendapati Nabi
Ayub dalam keadaan marah. Isterinya itu menutupi kepalanya dengan
suatu kain tertutup. Isteri Nabi Ayub menghadirkan atau menghidangkan
makanan yang baik untuknya. Nabi Ayub bertanya padanya: "Dari mana
engkau mendapati wang?" Nabi Ayub telah bersumpah akan memukulnya
seratus kali pukulan dengan tongkat ketika beliau sembuh, tetapi
kesabarannya sungguh sangat luas seperti sungai yang besar. Dan di
waktu sore, setelah mengetahui kehalalan makanan yang dihidangkan,
beliau pun memakannya. Kemudian Nabi Ayub keluar menuju ke gunung
dan berdoa kepada Tuhannya.
Allah s.w.t berfirman:
"Dan ingatlah akan hamba Kami Ayub ketika ia menyeru Tuhannya:
'Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan seksaan'
(Allah berfirman): 'Hentamkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk
mandi dan untuk minum. Dan Kami anugerahi dia (dengan
mengumpulkan kembali) keluarganya dan (Kami tambahkan) kepada
mereka sebanyak mereka pula sebagai rahmat dari Kami dan
pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran. Dan ambillah
dengan tanganmu seikat (rumput), maka pukullah dengan itu dan
janganlah kamu melanggar sumpah. Sesungguhnya Kami mendapati
dia (Ayuh) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba.
Sesungguhnya dia sangat taat (kepada Tuhannya)." (QS. Shad: 41-44)
Bagaimana kita memahami perkataan Nabi Ayub, "Sesungguhnya aku
diganggu syaitan dengan kepayahan dan seksaan."? Nabi Ayub ingin
mengadukan kepada Tuhannya perihal keberanian syaitan padanya di
mana syaitan membayangkan bahawa ia dapat mengganggunya. Nabi
Ayub tidak percaya bahawa sakit yang dideritanya adalah datang kerana
pengaruh syaitan.
Demikianlah pemahaman yang sesuai dengan kemaksuman para nabi dan
kesempurnaan mereka. Allah s.w.t memerintahkan beliau untuk mandi di
salah satu mata air di gunung. Allah s.w.t memerintahkannya agar beliau
minum dari mata air ini. Kemudian Nabi Ayub melaksanakan perintah ini
dan mandi serta minum. Belum lama beliau minum pada tegukan yang
terakhir sehingga beliau merasakan sehat dan sembuh sepenuhnya dari
penyakitnya. Kemudian suhu panas dalam tubuhnya pun kembali normal
seperti biasanya. Allah s.w.t memberikan kepada Ayub dan keluarganya
dan orang-orang yang seperti mereka suatu rahmat dari sisi-Nya sehingga
Nabi Ayub tidak kembali sendirian. Allah s.w.t memberinya berlipat-lipat
kekayaan dan kemuliaan dari sisi-Nya sehingga Ayub tidak menjadi fakir.
Nabi Ayub kembali mendapatkan kesehatannya setelah lama merasakan
penderitaan dan sakit; Nabi Ayub bersyukur kepada Allah s.w.t. Beliau
telah bersumpah untuk memukul Isterinya sebanyak seratus pukulan
dengan tongkat ketika beliau sembuh. Sekarang beliau sembuh maka
Allah s.w.t mengetahui bahawa beliau tidak bermaksud untuk memukul
Isterinya. Namun agar beliau tidak sampai melanggar janjinya dan
sumpahnya, Allah s.w.t memerintahkannya agar segera mengumpulkan
seikat ranting dari bunga Raihan yang berjumlah seratus dan hendaklah
beliau memukulkan itu kepada isterinya dengan sekali pukulan. Dengan
demikian, beliau telah memenuhi sumpahnya dan tidak berbohong. Allah
s.w.t membalas kesabaran Ayub dan memujinya dalam Al-Quran
sebagaimana firman-Nya:
"Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah
sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)."
(QS. Shad: 44)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan