Pada suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah menerima wahyu daripada
Allah supaya pergi ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang
ajaib yang akan ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman. Setelah bersiap
sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi pantai yang di nyatakan di dalam
wahyu. Baginda di iringi oleh kaum jin, manusia dan binatang.
Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk
mencari sesuatu seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari
,baginda belum lagi menjumpai apa-apa. Kata salah seorang daripada
mereka "Mungkin tersalah tempat". Tetapi baginda menjawab "Tidak, di
sinilah tempatnya". Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya
menyelam ke dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib.
Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi
Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa benda
yang ajaib. Tanya Nabi Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga dasar
laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit
yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar laut. Setelah puas
menyelam dan mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi
Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib
dan ia melaporkan kepada Nabi Sulaiman.
Perdana Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke
telinga Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya.
Setelah mendapat izin Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus
menyelam ke dalam laut. Tidak lama kemudian Asif menjumpai sebuah
kubah yang sangat cantik. Kubah tersebut mempunyai empat penjuru,
setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat daripada
mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu
ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada
zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air
tidak masuk ke dalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas.
Dengan kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah
tersebut naik ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi
Sulaiman melihat kubah tersebut dengan penuh takjub di atas kebesaran
Allah. Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut, setelah
menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di dalamnya.
Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat
ke darat kerana asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi
salam kepada pemuda tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam
dengan perasaan terkejutnya apabila melihat orang ramai sedang berada
di situ. Nabi Sulaiman memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu
bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman. Pemuda itu bertanya "Dari
manakan mereka ini dan bagaimana mereka datang?". Pemuda itu merasa
hairan dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya
telah berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa
mereka datang kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban
yang dikurniakan Allah kepadanya.
Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke
dalamnya untuk melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya.
Keindahan yang terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi
Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada
di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda tersebut
menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya
selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula
seorang yang buta. Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia,
ibunya memanggilnya dan memaklumkan bahawa ibunya telah rela di
atas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah
supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada Allah.
Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula
meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah
memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas
khidmat yang diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum
meninggal dunia supaya anaknya di letakkan di suatu tempat yang
tidak dapat diganggu oleh syaitan.
Doa kedua dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu
hari ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah
kubah yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi
menghampiri kubah tersebut .
Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut.
Sebaik sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia
bergerak dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama
kemudian muncul satu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia
adalah malaikat yang di utuskan Allah. Malaikat itu memaklumkan
bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada orang
tuannya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama mana dia suka,
segala makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia
memerlukannya. Malaikat itu memaklumkan bahawa dia diperintahkan
Allah untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut. Semenjak dari itu
pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah sehingga hari ini.
Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu
berada di dalam kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak
menghitungnya tetapi ia mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi
Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi Sulaiman menghitung ". Ini bermakna kamu
telah berada di dalam kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun".
Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak berubah malah sentiasa muda
walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun lamanya". Nabi Sulaiman
bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya". Jawab
pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain daripada
nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini". Nabi Sulaiman
bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu" Jawab pemuda
itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman pun
memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat
asalnya.
Setelah kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata
kepada kaumnya "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan
oleh Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah berikan kepada
orang yang taat kepada orang tuanya dan betapa seksanya orang yang
menderhaka kepada kedua ibu bapanya". Nabi Sulaiman pun berangkat
pulang ke tempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana telah
memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan