Amalan berpuasa telah lama menjadi ritual
agama-agama penting di dunia. Tatkala amalan ini menjadi perhatian dunia
apabila umat Islam seluruh dunia berpuasa serentak pada bulan Ramadhan, amalan
berpuasa ini telahpun lebih awal menjadi amalan lazim masyarakat bukan Islam
terdahulu seperti di zaman Mesir kuno,Yunani Greek, bangsa Romawi dan China
kuno. Dan ritual ini masih dipraktikan oleh sesetengah agama seperti Kristian,
Judaism, Buddhism, Hindusim, Jainism dan sebagainya.
Amat benarlah perintah Allah bahawasanya puasa
itu telahpun disyariatkan kepada umat-umat terdahulu. Firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke
atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu
daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” [al-Baqarah 2:183]
Konsep puasa difahami oleh agama-agama umumnya
sebagai satu kaedah penyucian jiwa dan raga manusia, selain sebagai langkah
penyatuan dan ketakwaan kepada Tuhan. Secara konseptualnya puasa difahami
sebagai suatu tindakan ‘menahan diri daripada melakukan sesuatu’. Justeru
walaupun amalan berpuasa ini terdapat dalam agama-agama lain, puasa dari segi
syariat dan pengisiannya adalah berbeza-beza.
Menahan diri daripada melakukan sesuatu bagi
sesetengah agama merujuk kepada makan dan minum, atau salah satu darinya untuk
beberapa waktu, atau juga terhadap sesuatu tindakan seperti menahan diri
daripada berkahwin. Melihat kepada agama-agama samawi, kewujudan dan pemahaman
tentang puasa juga wujud dalam bentuk-bentuk dan cara-cara yang berbeza.
Yahudi
(Judaism)
Puasa dalam agama Yahudi (Judaism)
Dalam agama Yahudi, amalan berpuasa telah wujud
dalam beberapa hari berdasarkan kalender bulan Yahudi. Hal ini ada disebutkan
di dalam Bible apabila Jesus dirujuk kepada amalan pengikut Yohanes:
Orang-orang berkata kepada Jesus, "Pengikut
Yohanes dan pengikut orang Farisi sering berpuasa dan berdoa. Tetapi
pengikut-pengikut-Mu makan dan minum." [Luke 5:33]
Bilakah mereka berpuasa?
Pihak synagogue juga berkuasa menyuruh penganut
Yahudi untuk berpuasa apabila ditimpa musibah. Namun amalan berpuasa yang wajib
ialah pada hari yang dinamakan Yom Kippur (Hari Penebusan atau Pembersihan Dosa),
satu-satunya puasa yang diperintahkan dalam
hukum Taurat (Mosaic Law). Setelah menfokuskan 10 hari untuk tujuan
bertaubat sejak Rosh Hashanah (Tahun Baru mengikut kalender Yahudi), diikuti
dengan berpuasa pada hari Yom Kippur untuk memastikan taubat dan diampunkan
dosa-dosa tahun sebelumnya kerana mengikut kepercayaan mereka pada hari Yom
Kippur itulah nasib semua penganut Yahudi ditentukan untuk tahun berikutnya.
Selain Yom Kippur, ada yang menambah empat hari
tambahan puasa masing-masing satu hari di bulan
Ab, Tammuz, Tebeth dan Tishri. Ini bertujuan untuk berkabung atas
bencana yang menimpa kaum Yahudi.
Bagaimana mereka berpuasa?
Terdapat
segolongan penganut Yahudi ortodoks yang berpuasa seperti mana puasa Nabi
Yahya, Nabi Musa dan Nabi Ilyas yang berpuasa selama empat puluh hari lamanya.
Ada juga yang hanya berpuasa pada hari Isnin dan Khamis secara sukarela.
Adapun
pada hari Yom Kippur, golongan Yahudi berpuasa sejak terbenamnya matahari
sehinggalah terbenamnya matahari keesokkan harinya menjadikan mereka berpuasa selama
lebih kurang 25 jam.
Dalam berpuasa, mereka tidak sahaja menahan diri
daripada makan dan minum, mereka juga dilarang berkerja, bersetubuh dan mandi,
malahan menggunakan minyak sapuan atau krim (ointment) dan kasut kulit juga adalah
dilarang.
Kristian
Puasa dalam agama Kristian
Memandangkan amalan berpuasa juga telah diamalkan
oleh agama-agama sebelum zaman kedatangan Jesus, amalan berpuasa juga dilakukan
oleh Jesus dan Nabi-nabi terdahulu. Hal ini banyak direkodkan dalam Bible (Perjanjian
Lama), dalam satu laporan Jesus didakwa berkata:
Dan apabila kamu berpuasa, janganlah muram mukamu
seperti orang munafik. Mereka mengubah air mukanya, supaya orang melihat bahawa
mereka sedang berpuasa. Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya mereka sudah
mendapat upahnya.Tetapi kalau kalian berpuasa, cucilah mukamu dan sisirlah
rambutmu, supaya tak ada yang tahu bahwa kalian berpuasa, kecuali Bapamu yang
tidak kelihatan itu saja. Dia melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan akan
memberi upah kepadamu."(Mathew 6:16)
Bilakah mereka berpuasa?
Dalam agama Kristian waktu berpuasa tidak
ditetapkan secara spesifik oleh agama, contohnya mazhab Kristen Protestan tidak
mewajibkan untuk berpuasa, sedangkan Kristen Katolik mewajibkan untuk berpuasa
pada waktu-waktu tertentu.
Amalan berpuasa dalam agama Kristian pada masa
ini telah mengalami perubahan apabila tidak ada pengkhususan terhadap amalan
berpuasa apabila ia dianggap perbuatan sukarela. Ada mazhab Kristian yang
menganggap Bible hanya memperkenalkan puasa sebagai sesuatu yang baik, berguna
dan digalakkan. Namun tradisi pernah membuktikan penganut Kristian (Katolik)
berpuasa selama 40 hari bermula dari “Ash Wednesday” sehingga hari “Easter”. Mereka juga berpuasa pada hari “Good Friday”,
“Rogetion Days”, “Ember Day” dan hari-hari lain secara sukarela.
Bagaimana mereka berpuasa?
Perbezaan ini berpunca daripada kefahaman bahawa
terdapat perbezaan jelas antara amalan berpuasa yang tercatat dalam kitab
Perjanjian Lama dan kitab Perjanjian Baru di dalam Bible yakni perbezaan tujuan
berpuasa sebelum kedatangan dan selepas kedatangan Jesus. Justeru amalan
berpuasa dalam agama Kristian boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk mengikut
mazhab Kristian yang ada, baik dengan menahan diri dari makan dan minum, hanya
memakan daging, hanya memakan sayur dan air putih, berpuasa dengan tidak
bersuara dan juga berpuasa sehingga 40 hari 40 malam lamanya. Berikut
disertakan contoh-contoh berpuasa seperti mana yang dilaporkan di dalam Bible:
a) Puasa hanya dengan tidak memakan yang lain
seperti hanya makan sayur dan minum air putih (Daniel 10:3)
b) Puasa dalan rangka berkabung selama 21 hari atau
3 minggu (Daniel 10:2)
c) Puasa untuk mendengar suara Tuhan (Acts 13:2-3)
d) Puasa tanpa makan dan minum (Matthew 11:18)
e) Puasa 3 hari 3 malam tidak makan dan tidak minum
(Est 4:16)
f) Puasa tidak makan dan semalaman berbaring di
tanah (2 Sam 12:16)
g) Puasa selama 3 hari 3 malam tidak makan, tidak
minum dan tidak melihat ( Acts 9:9, Yunus 1:17)
h) Puasa 7 hari 7 malam tidak bersuara (2:13)
i) Puasa selama 40 hari 40 malam (Exodus 24:16,
Exodus 34:28, 1 Kings 19:8, Jonah 3:4-5, Matthew 4:2)
Hindu
Puasa dalam agama Hindu
Golongan beragama Hindu berpuasa pada hari ekadasi
ini dengan tujuan dan kepercayaan bahawa hari tersebut dapat menghilangkan
semua dosa sekaligus merubah nasib hidup mereka, bahkan dapat meningkatkan
kekuatan dalaman mereka. Bagi yang tidak mempunyai kekuatan untuk berpuasa
tanpa makan dan minum, mereka dibenarkan memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan
meminum susu.
Bilakah mereka berpuasa?
Dalam kitab Vedic, golongan beragama Hindu sangat
dianjurkan untuk melakukan puasa pada hari Ekadasi. Ekadasi merupakan bahasa
Sanskrit yang bermaksud hari kesebelas, Eka bererti satu dan Dasa bererti
sepuluh, yakni hari kesebelas yang dihitung mulai dari sehari setelah purnama
(bulan purnama) menjadikannya dua hari dalam sebulan. Hal ini membuktikan
bahawa agama Hindu juga memiliki kalender mereka yang berpandukan kepada bulan.
Bagaimana mereka berpuasa?
Terdapat pelbagai tatacara puasa dalam agama
Hindu, ianya disesuaikan dengan cara ddan pilihan masing-masing, Dilaporkan ada
26 macam cara dan sejarah di sebalik puasa Ekadasi ini.Ada penganut agama
Hindu yang berpuasa pada siang hari dan
menfokuskan diri untuk bersembahyang atau bermeditasi pada malamnya.
Buddha
Puasa dalam agama Buddha
Puasa dalam agama Buddha disebut sebagai
Uposatha, puasa bukanlah merupakan suatu perbuatan wajib dalam agama Buddha,
sekiranya ada penganut agama Buddha yang berpuasa.
Bilakah mereka berpuasa?
Ia selalu dilakukan berdasarkan kalender agama
Buddha yang juga bergantung kepada peredaran bulan, berpuasa dilakukan pada
bulan cerah dan bulan purnama atau hari 1 dan 15 kalender Buddhist. Uposatha difahami dengan maksud hari yang
dilalui dengan berpuasa.
Bagaimankah mereka berpuasa?
Uposatha
(puasa) dilakukan dalam dua cara.
Cara
pertama yang dinamakan sebagai Uposatha-sila atau uposatha atthasila, iaitu
lapan aturan yang telah ditetapkan iaitu:
1.
Bertekad akan melatih diri menghindari pembunuhan makhluk hidup.
2.
Bertekad akan melatih diri menghindari mengambil barang yang tidak diberikan
(mencuri).
3.
Bertekad akan melatih diri menghindari seks (memuaskan seksual)
4.
Bertekad akan melatih diri menghindari berbicara atau berucap yang tidak benar
(berbohong)
5.
Bertekad akan melatih diri menghindari segala makanan dan minuman yang dapat
melemahkan kesedaran (alkohol, ubat-ubat yang terlarang).
6.
Bertekad akan melatih diri menghindari makan setelah tengah hari sehingga watu
subuh (saat matahari berdiri tegak sehingga subuh kesokan harinya)
7.
Bertekad akan melatih diri menghindari menyanyi, menari, bermain muzik, pergi
melihat hiburan, memakai bunga-bungaan, wangi-wangian, serta alat- alat
kosmetik yang bertujuan untuk memperindah/ mempercantik diri.
8.
Bertekad akan melatih diri menghindari tempat tidur dan tempat duduk yang
mewah.
Puasa
(uposatha)penganut agama Buddha hanya layak dinyatakan sah, apabila berjaya
mematuhi kesemua lapan larangan, panduan serta aturan tersebut seperti yang
tertulis di atas. Jika salah satu larangan tersebut dilanggar—baik secara
sengaja atau tidak— bererti puasa yang dilakukan itu tidak dianggap sempurna.
Cara
kedua ialah dengan menjadi vegetarian,
iaitu tidak memakan makanan daripada makhluk hidup, dalam erti kata daging
dan hanya memakan sayur-sayuran atau buah-buahan. Makanya tiada hari atau waktu
tertentu dalam aspek larangan kerana mereka yang vegetarian bebas untuk makan
sayur-sayuran pada bila-bila masa.
Kesimpulan
Kajian
ringkas ini cuba mengupas ritual puasa yang wujud dari sudut pelbagai agama
yang ada dalam cubaan mengetengahkan persamaan serta perbezaan ketara yang
wujud antara agama lain dan ajaran Islam seperti mana yang pernah Nabi Muhammad
Sallallahu’alaihi Wa Sallam lakukan (melalui hadis-hadis) dalam mengetengahkan
kepada umat Islam ciri-ciri ritual puasa agama lain sebagai pengetahuan tambahan
dalam beramal. Hal ini ketara dalam sabda Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi Wa
Sallam apabila cuba membezakan puasa umat Islam dan agama lain.
"Perbezaan
antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian)adalah makan sahur
". [Hadith Riwayat Imam Muslim no.1096]
“Agama ini akan sentiasa menang selama mana manusia menyegerakan berbuka, kerana
Yahudi dan Nasrani (Kristian) mengakhirkannya ". [Hadith Riwayat Imam Abu
Daud no. 2353]
Dengan
rasa penuh hormat terhadap kajian ringkas berkenaan ritual puasa yang terdapat
dalam agama-agama lain selain Islam dan selaku seorang Muslim, penulis
berpandangan jenis dan cara puasa dalam agama-agama lain ini mempunyai beberapa
persamaan dari sudut konsep berpuasa seperti mana yang dipraktikkan dalam
ajaran agama Islam. Namun konsep puasa dalam Islam dilihat lebih luas dengan tidak
hanya difahami melalui definisi lahiriahnya sahaja yakni menghindari makan,
minum, persetubuhan antara suami isteri dan perkara-perkara yang boleh
membatalkan puasa dengan sengaja dari bermulanya terbit fajar sehingga
terbenamnya matahari. Ajaran Islam juga menyuntik keseimbangan dalam aspek
rohani atau spiritual dan fizikal melalui perintah kewajiban berpuasa sepanjang bulan
Ramadhan (bulan ke 9 dalam kalender Islam) berserta dengan tawaran-tawaran
pahala beganda serta pengampunan dosa.
Dengan
hanya melihat bulan ke-9 dalam kalender Islam (bulan Ramadhan) ini sahaja sudah
boleh dianggap suatu mukjizat, mengambil negara-negara di utara bumi sebagai
contoh, sekiranya utara bumi menyambut bulan berpuasa itu pada musim sejuk,
waktu fajar adalah lebih pendek menjadikan tempoh berpuasa adalah lebih pendek
sesuai dengan suasana sejuk yang dialami pada musim tersebut, hasilnya waktu
Subuh lebih lewat dan waktu Maghrib yang lebih awal. Adapun sekiranya bulan
berpuasa di utara bumi sewaktu musim panas, lain pula waktunya apabila waktu
siang menjadi lebih panjang berbanding waktu malamnya yang singkat. Hal ini membuktikan bahawa musim sejuk atau
panas membantu dalam memberi kesesuaian kepada mereka yang sedang berpuasa
sesuai dengan musim yang dialaminya.
Dari aspek
pembersihan spiritual dan fizikal pula, apa yang ditekankan dalam kewajiban
berpuasa dalam ajaran agama Islam boleh diertikan sebagai suatu manifestasi
dalam bentuk keimanan, kepercayaan serta tingkah laku mendidik seorang manusia
dalam kehidupan beragama. Elemen-elemen galakan seperti keberkatan bersuhur
(makan dan minum sebelum terbit fajar sebagai persediaan menghadapi waktu berpuasa
pada siang hari),mengelak daripada berkata dusta, meninggalkan perbuatan keji
dan sia-sia, menyegerakan berbuka puasa
dan menunaikan solat secara berjemaah pada malam hari atau dikenali sebagai
solat terawih serta banyak lagi senarai amalan-amalan bagi meraih pahala pada
bulan puasa, semua amalan ini dianggap komprehensif dalam menjana program pembentukan nilai-nilai murni baik
secara spiritual, fizikal dan mental seorang manusia.
Apabila disoal
definisi puasa, bila (waktunya) dan bagaimana seorang Muslim itu berpuasa
barangkali dijawab sama antara seorang Muslim dengan yang lainnya. Namun puasa seorang
Muslim itu hanya dapat dilihat dari aspek luaran berdasarkan definisi zahir
maksud puasa yang telah disebutkan di atas, Tetapi masih ada yang digambarkan hanya mendapat lapar dan
dahaga, manakala ada pula yang berjaya kenal erti takwa. Ritual ini juga diangkat Tuhan sebagai ibadah
yang dilakukan khusus kepadaNya dalam bentuk penghambaan (pengabdian) diri ini yang
bakal memperoleh ganjaran besar yang hanya diketahui Tuhan jumlah ganjaran
sebenarnya bagi seorang Muslim yang berpuasa.
Kini setelah kita
mengetahui kewujudan ritual puasa ini dalam agama-agama lain berserta dengan
perbezaan-perbezaan yang wujud, hal ini dapat memberi kita peluang melihat
konsep kehidupan beragama dengan lebih luas seperti mana saranan dalam kitab
suci al-Quran yang turut menceritakan kewujudan agama-agama lain dengan metod
pencarian serta proses mendekatkan diri kepada Tuhan yang berbeza-beza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan