Sabtu, 10 Mei 2014

SEKS BEBAS DI KALANGAN REMAJA.

Satu dapatan kontroversi yang pernah tersiar di dada akhbar suatu ketika dulu, memaklumkan kepada masyarakat bahawa hanya seorang sahaja daripada 887 orang pelajar remaja perempuan bermasalah yang ditemu ramah mengaku belum pernah mengadakan hubungan seks. Sama ada kita percaya ataupun tidak, itulah angka yang diberitahu kepada kita oleh seorang pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) yang menjalankan kajian tentang hubungan seks sebelum kahwin bagi remaja-remaja perempuan yang dikenal pasti berisiko tinggi terbabit dalam kes-kes seperti itu   

Bagi sesetengah pihak, dapatan kajian seperti di atas, jika benar sekalipun, sepatutnya tidak didedahkan kepada umum, kerana dibimbangkan akan mengundang keresahan di kalangan masyarakat, terutamanya ibu bapa. Justeru, tidak pelik sekiranya terdapat pihak-pihak tertentu yang seolah-olah mempertikaikan kredibiliti kajian tersebut, termasuk meragui data-data yang dikemukakan, kaedah dan metodologi pengumpulan data, dan jumlah sebenar yang terlibat, malah mempersoalkan makna seks dalam kajian itu sendiri.

Lupakan dahulu tentang kesilapan taip yang berlaku dalam kajian tersebut, kerana isu remeh-temeh tersebut bukannya persoalan kita di sini. Lupakan dahulu jumlah sebenar yang terlibat dengan andaian terdapat sebahagian daripada responden tersebut bercakap bohong. Namun yang menjadi persoalannya di sini ialah hakikat bahawa hubungan seks di kalangan remaja sememangnya berlaku, telah dan sedang berlaku. Kenapa dan mengapa gejala ini boleh berlaku? Jawapannya, pasti bukan sehala sahaja, kerana isu ini saling berkaitan dengan isu-isu yang lain.

Secara fitrahnya manusia diciptakan untuk saling mengenali pasangan masing-masing. Bagi remaja lelaki, perasaan ingin mengetahui anggota sulit perempuan pastinya meluap-luap sesudah bergelar akil baligh. Kalau dahulu remaja lelaki selalu dilihat mengendap orang perempuan mandi di sungai atau perigi, namun kini dengan teknologi yang canggih, alternatif kepada perbuatan tersebut berlambak-lambak.

Di pasar malam, video lucah boleh didapati dengan begitu mudah dan murah sekali. Di internet, akses kepada laman web lucah bukanlah sesuatu yang sukar, walaupun kerajaan mendakwa telah berusaha untuk menghalangnya. Dan kini, dengan wujudnya telefon bimbit berkamera, gambar wanita bogel dan aksi-aksi yang mengghairahkan boleh sahaja dirakam dan kemudiannya disebarkan melalui Perkhidmatan Pesanan Multimedia(MMS).

Bagi remaja perempuan pula, keinginan yang sama seperti remaja lelaki juga mungkin wujud. Namun biasanya dalam keadaan terkawal, serta diimbangi perasaan takut untuk mencuba dan sifat semula jadi mereka yang pemalu. Bagaimanapun, golongan ini mudah menjadi mangsa keadaan lantaran pergaulan bebas dengan rakan-rakan lelaki yang kebiasaannya akan mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kejujuran teman wanita mereka.

Banyak kes yang kita dengar remaja perempuan diberi minum air yang telah dicampurkan dengan pil kuda bagi mengkhayalkan dan meransang keinginan seks mereka. Ketika dalam keadaan tidak sedar atau separuh sedar itulah, remaja tersebut menjadi mangsa rogol dan rakaman aksi bogel. Akhirnya mereka menjadi mangsa touch 'n' go dan terperangkap dalam lingkaran ganas yang mengelilingi mereka.

Sebahagian daripada remaja terbabit mengambil sikap berdiam diri lantaran malu dengan peristiwa yang berlaku. Manakala sebahagian yang lain pula mungkin terpaksa dan dipaksa untuk terus terlibat dalam kegiatan tidak bermoral. Bagaimanapun, tidak mustahil terdapat sebahagian daripada mereka yang mulai seronok dan gian dengan apa yang berlaku, lalu tidak segan-segan menjadi 'Minah Rempit' dan perempuan simpanan bagi teman lelaki mereka.

Selain itu, desakan hidup untuk kelihatan bergaya dan menarik juga sedikit sebanyak turut menyumbang kepada hubungan seks di kalangan remaja perempuan. Siapa yang tidak mahu memiliki telefon bimbit pintar, memakai pakaian dan perhiasan yang berjenama terkenal, serta menikmati juadah di hotel-hotel dan restoran-restoran lima bintang. Semuanya ini mudah diperoleh oleh remaja-remaja terbabit lantaran kini semakin banyak terdapatnya 'sugar daddy' yang masing-masing diketahui mempunyai masalah dengan isteri di rumah.


BILA SEMUA ORANG TIDAK BERETIKA

Di zaman yang serba canggih ini, risiko untuk mengandung akibat hubungan seks luar nikah mungkin sudah tidak menjadi suatu yang membimbangkan lagi bagi remaja-remaja perempuan yang berisiko tinggi tersebut. Mereka mungkin telah dipujuk oleh teman lelaki mereka yang berjanji untuk menggunakan kondom semasa melakukan hubungan seks tersebut.

Jika ditakdirkan mengandung juga, jangan bimbang, sekarang ini terdapat pil yang boleh menggugurkan kandungan yang boleh didapati dengan mudah di farmasi-farmasi dan kedai-kedai ubat Cina. Jika petugas di farmasi A enggan menjual pil tersebut kerana kegagalan anda mengemukakan preskripsi doktor, pergi sahaja ke farmasi X. Jika gagal mendapatkan pil tersebut melalui pintu hadapan, sekali lagi jangan bimbang, pintu belakang ternganga luas.

Kemudian, jika pil yang dimakan gagal menggugurkan kandungan haram tersebut, jangan panik, doktor-doktor palsu yang berkhidmat di klinik-klinik swasta bersedia sepanjang masa membantu anda, asalkan anda sedia membayar perkhidmatan yang ditawarkan. Bukan setakat doktor-doktor palsu sahaja, malah doktor-doktor yang kononnya tulen, tetapi tidak pernah serik melacurkan etika kedoktoran mereka juga bersedia mengatasi masalah kehamilan remaja-remaja perempuan terbabit.

Dalam hal ini kita dapati ibu bapa mungkin lansung tidak mengetahui bahawa anak gadis mereka sebenarnya sudah tidak sunti lagi. Oleh itu, pendedahan kajian ini kepada umum sekurang-kurangnya akan menyedarkan ibu bapa tentang kemungkinan anak-anak mereka juga mungkin terlibat dalam kes-kes seperti ini. Maklumlah ibu bapa sekarang ini tidak mempunyai banyak masa untuk mengawasi pergerakan dan kegiatan anak-anak mereka kerana kedua-duanya sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Maka jelaslah kepada kita sekarang ini bahawa masalah ini saling berkait rapat dengan masalah-masalah yang lain. Justeru, penyelesaian kepada masalah ini mestilah secara menyeluruh, bukannya terarah kepada para remaja sahaja. Dalam hal ini, terdapat cakap-cakap yang menyarankan agar pendidikan seks atau reproduktif diperkenalkan di sekolah-sekolah sebagai sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah ini.
Kempen 'Seks Selamat' dengan mengedarkan kondom kepada masyarakat, sebenarnya menggalakkan zina



PENDIDIKAN SEKS: MODEL BARAT VS ISLAM 

Bagaimanapun, kita mempunyai sebab untuk merasa bimbang seandainya kurikulum pendidikan seks tersebut sebahagian besarnya diambil dari Barat. Hal ini kerana pendidikan seks dalam Islam bukan sahaja setakat mengajar para pelajar supaya menjauhkan diri daripada melakukan zina, malah mendekati zina pun sudah dianggap sebagai satu kesalahan dan dosa besar. Begitu juga, tidak memadai jika kita hanya memberitahu para remaja bahawa penyakit AIDS boleh dielakkan jika mereka memakai kondom jika mereka memakai kondom semasa melakukan hubungan seks.

Pendidikan seks dalam Islam yang biasanya dibincangkan dalam kitab-kitab fikah sebenarnya sudah lengkap dan menyeluruh. Pertama sekali ibu bapa diingatkan agar memisahkan tempat tidur mereka dengan anak-anak, dan tempat tidur antara anak-anak lelaki dengan anak-anak perempuan, iaitu selewat-lewatnya ketika anak-anak berusia tujuh tahun. Anak-anak juga hendaklah dididik supaya mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum memasuki bilik tidur ibu bapa mereka.

Kemudian, anak-anak tadi diajar tentang tanda-tanda baligh bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan, dan tanggungjawab mereka setelah mencapai umur tersebut. Mereka juga diajar tentang batas-batas aurat bagi lelaki dan perempuan, serta batas-batas pergaulan antara kedua-duanya. Selain itu, mereka juga diminta menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang tidak baik, di samping bertanggungjawab menjaga kehormatan diri masing-masing.

Islam juga menekankan tentang peri pentingnya perkahwinan, serta memudahkan jalan kearah perkahwinan dengan memberi perhatian terhadap keberkatan di sebalik mas kahwin yang rendah, pemilihan bakal isteri dan suami yang berasaskan kepada agama, dan tanggungjawab yang wajib dipikul sama ada oleh isteri mahupun suami. Sebelum itu, Islam tidak lupa mengajar umatnya tentang adab-adab semasa bertunang, termasuk mengharamkan meminang anak gadis yang telah disunting.

Oleh itu, pendidikan seks dalam Islam bukan sahaja merangkumi hubungan antara lelaki dengan perempuan, tetapi turut melibatkan ibu bapa, masyarakat, pemerintah, dan yang pentingnya, tanggungjawab masing-masing, pihak terhadap diri, pasangan mereka, dan Allah s.w.t Sehubungan ini, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran disarankan agar menyusun semula kurikulum yang sedia ada, termasuk memikirkan semula kaedah pengajaran dan pembelajaran berkaitan pendidikan seks dengan mengambil kira perkembangan yang berlaku pada hari ini.
"Pendidikan seks dalam Islam bukan sahaja merangkumi hubungan antara lelaki dengan perempuan, tetapi turut melibatkan ibu bapa, masyarakat, pemerintah, dan yang pentingnya, tanggungjawab masing-masing pihak terhadap diri, pasangan mereka, dan Allah s.w.t"

Sekali lagi, jangan kita berbalah tentang angka, kerana sebelum ini pun kita telah acap kali berbalah tentang angka. Hasilnya, bukan sahaja punca kepada masalah tersebut gagal ditangani, malah angka tersebut pula semakin bertambah tahun demi tahun. Jangan tanya orang lain, tanya diri kita sendiri. Apakah yang telah kita lakukan bagi mengubah angka-angka tersebut menjadi sifar?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin