PERKARA
paling menakutkan untuk kita bayangkan ialah jika negara jatuh bankrap
yang sudah pasti akan membawa rakyat kepada suatu kehidupan yang
memeritkan, terpaksa menganggur dan harga barang melambung.
Itulah gambaran diberikan Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang
menjangka hutang negara meningkat 100 peratus berbanding Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) 2019 jika dasar pemberian subsidi diteruskan.
Menurut
MRS, Malaysia mungkin akan bankrap dalam tempoh sembilan tahun akan
datang jika polisi yang diamalkan sekarang diteruskan dengan mengambil
kira jumlah pembiayaan subsidi ditanggung kerajaan mencecah lebih RM70 bilion setahun.
Subsidi boleh dimansuhkan jika rakyat mampu membeli barangan keperluan asas pada harga sebenar.
Malangnya, sebahagian besar rakyat masih tergolong dalam kelompok berpendapatan sederhana dan miskin.
Golongan
ini masih memerlukan bantuan daripada kerajaan dalam bentuk subsidi
untuk meneruskan kehidupan kerana kos sara hidup tinggi, terutama mereka
yang tinggal di bandar besar.
Kerajaan
seharusnya bersedia menyemak semula pendapatan semua sektor pekerjaan
di negara ini kepada nilai munasabah supaya masyarakat boleh berkompromi
sekiranya subsidi ditarik semula.
MRS
ditubuhkan untuk mengkaji langkah sesuai dalam merasionalisasikan
pemberian subsidi agar kesan pemansuhan atau pengurangannya tidaklah
sehingga menjejaskan kehidupan rakyat disampaing berupaya mengukuhkan
ekonomi negara.
Langkah
yang seperti ini sangat penting untuk memastikan negara kekal berdaya
saing sekali gus mewujudkan iklim pelaburan yang telus dan mapan.
Mengikut cadangan makmal itu, pemberian subsidi antara aktiviti perdagangan yang tidak menguntungkan.
Ia menimbulkan kesan ke atas ekonomi Malaysia yang sedang membangun.
Pengumuman
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengenai
bahana yang akan menimpa negara dalam tempoh sembilan tahun akan datang
jika negara masih mengekalkan subsidi termasuk antara kesan jangka panjang yang dijangkakan jika polisi itu diteruskan.
Kalau benar disebabkan subsidi negara boleh jatuh bankrap, rakyat sudah tentu rela ia dihapuskan.
Ini
kerana tiada rakyat yang mahu negaranya bankrap sekali gus lebih teruk
menjejaskan berbanding kehidupan yang dilalui sekarang.
Bagaimanapun
timbul persoalan dalam isu tingkat pendapatan, apakah dengan apa yang
diperolehi majoriti hari ini, rakyat Malaysia mampu hidup selesa dalam
keadaan kos hidup mencanak sedangkan tangga gaji di takuk lama?
Usaha
kerajaan melalui Model Ekonomi Baharu (MBE) dilihat cuba menumpukan
peningkatan pendapatan per kapita rakyat menjelang 2020 dan
mempertingkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah serta
sederhana rendah kepada 40 peratus sepanjang MBE dilaksanakan.
Bagaimanapun, apakah kadar pergerakan gaji atau pendapatan rakyat seiring dengan pergerakan kos hidup secara purata tahunan?
Jika
kenaikan pendapatan per kapita rakyat selari dengan penghapusan subsidi
secara berperingkat oleh kerajaan, mungkin ia tidak akan menjejaskan
kehidupan rakyat secara keseluruhannya.
Bagaimana jika penghapusan subsidi tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat?
Apakah kerajaan boleh beri jaminan jika subsidi dihapuskan, negara lebih kompetitif dan pendapatan rakyat akan meningkat?
Atau
adakah kerajaan perlu cari jalan memastikan negara kompetitif dan
pendapatan rakyat meningkat serta kemudian baru hapuskan subsidi
berperingkat?
Kenyataan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi media semalam,
bahawa kerajaan sedang mencari jalan melindungi dan mengurangkan kesan
kenaikan kos hidup (dalam konteks ayat beliau merujuk kepada kenaikan
tol dan tarif elektrik) secara tidak langsung menjawab persoalan itu
bahawa kerajaan pada masa ini belum menemui sebarang mekanisme sesuai
untuk mengatasi masalah itu.
Atas
sebab itulah, di sebalik tindakan mengurangkan atau menghapuskan
subsidi yang sebagaimana disebut perdana menteri bahawa sesuatu yang
tidak mungkin dapat dielakkan, rakyat di mana-mana juga menjerit dan membantah kerana berasa hidup semakin terhimpit.
Inilah
yang meresahkan sebahagian besar rakyat yang ber-pendapat kerajaan
harus mencari langkah paling sesuai untuk menangani masalah ekonomi
sebagaimana yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana
menteri pada era kemelesetan ekonomi 1987 dan 1997, bukan dengan terus
meletakkan beban kepada rakyat.
Lebih-lebih lagi isu pembaziran, ketirisan, rasuah dan kecekapan masih menjadi isu pentadbiran kerajaan.
Sedangkan
negara semaju Amerika Syarikat (AS) pun masih memberi subsidi dalam
pelbagai sektor industri dan perkhidmatan sebagai mekanisme perlindungan
industri negaranya.
Subsidi tanaman jagung, kerajaan AS memberi sebanyak AS$73 billion sepanjang tempoh 2006 hingga 2009.
Walaupun
ia menyebabkan barangan komoditi negara sedang membangun terjejas,
tetapi dari segi pertanggungjawaban AS terhadap industri dan rakyat,
tidak boleh dipertikaikan.
Dalam
konteks negara kita, bolehkah kerajaan memberik statistik pulangan dari
segi daya saing dan gandaan yang bakal diperolehi daripada langkah
penghapusan subsidi? Bolehkah kerajaan mengunjurkan peningkatan
pendapatan rakyat hasil tindakan ini?
Kalau
kenaikan tepung tahun depan sebanyak 20 sen dan tahun seterusnya 25
sen, maka sehingga 2015, harga tepung akan meningkat kepada RM1.20 iaitu
lebih 50 peratus kenaikan. Ini belum dikira lain-lain barang kawalan. Apakah ini selaras dengan unjuran pendapatan per kapita rakyat ditetapkan MBE bagi tempoh sama?
Kalau pendapatan kita tinggi, secawan kopi berharga RM10 pun tidak menjadi masalah, satu kepala bufet RM100 pun tidak berbeban.
Sama
juga dengan harga minyak, bagi yang mampu dan mempunyai kereta yang
cukai jalannya RM2,000 atau RM10,000 pun tidak menjadi masalah jika
minyak RM2.50 seliter.
Sejauh manakah MRS yang akan dilaksanakan membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana?
Sementara
itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk
Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu menubuhkan jawatan kuasa yang
serius dan komited memantau kenaikan harga barangan untuk menyekat
kenaikan harga.
Katanya, bukan rakyat yang patut berjimat cermat tetapi kerajaan harus mengurus perbelanjaan lebih efektif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan