Rabu, 12 Oktober 2011

PANDUAN KES PELAJAR-PELAJAR SEKOLAH.

Terima kasih pada teknologi terkini yang membolehkan kita, khususnya ibu bapa melihat sendiri bagaimana ganas dan buruknya perlakuan buli membabitkan pelajar sekolah. Sebenarnya isu buli bukan baru. Malah boleh dikatakan seusia dengan institusi sekolah beraliran Inggeris sejak sebelum merdeka. Bermula dengan ritual yang dianggap sebagai tradisi hubungan antara pelajar senior-junior, buli kemudian menyimpang kepada gengsterisme dan jenayah.
Kes buli dan deraan boleh berlaku di mana-mana sekolah berasaskan kepada wujudnya peluang, niat pelaku serta sokongan kelompok. Deraan atau buli biasanya tidak wujud secara perseorangan. Misalnya seorang pembuli sangat jarang secara individu membuli pelajar lain kecuali dia mendapat sokongan kumpulannya. Kesempatan melihat perlakuan ganas pelajar di Internet sememangnya mencemaskan. Ia tidak sekadar menengking atau memaki hamun tetapi kini sampai ke tahap mencedera sehingga ada yang membawa kematian.
Dalam kes-kes buli sehingga menyebabkan kematian sebelum ini, pelaku mengaku mereka sekadar suka-suka dan tidak terniat sampai ke tahap membunuh. Malangnya apabila nasi telah menjadi bubur, mereka akan menerima hukuman. Maka pendidikan berkaitan keselamatan diri sangat penting. Sebagai contoh apabila sekolah melaksanakan minggu suai kenal untuk pelajar baru di asrama, dua perkara pokok perlu ditekankan ialah kasih sayang dan perkongsian.
Selain itu, keselamatan sekolah kita juga merujuk kepada masalah keracunan makanan. Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat 448 kes keracunan makanan pada tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, 31% berlaku di sekolah rendah dan selebihnya di sekolah menengah. Malah dua bulan pertama bagi tahun 2009 telah mencatatkan kes keracunan makanan di sekolah sebanyak 31 kes yang melibatkan tiga buah sekolah rendah. Kes-kes ini nampaknya semakin meningkat tanpa sebarang kenyataan yang tegas daripada Kementerian Pelajaran tentang cara menanganinya.
Tahap keselamatan sekolah juga diragui apabila wujud kes kelakuan pelajar lelaki dan kes guru lelaki mencabul kehormatan pelajar perempuan. Walaupun ia dikatakan kes terpencil tetapi tidak bermakna ia tidak akan meningkat jika tiada usaha membendungnya dilakukan oleh pihak sekolah. Soalannya sekarang, apakah kes-kes keselamatan sekolah ini boleh diatasi? Apakah langkah segera, jangka pendek serta jangka panjang yang harus diambil oleh pihak sekolah?
Di pihak Kementerian Pelajaran, apakah pula dasar dan peraturan yang boleh disemak semula agar tahap keselamatan sekolah menjadi keutamaan dan dilihat sedang melakukan tindakan yang sewajarnya?
Berikut mungkin beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan. Sebagai langkah segera, pihak sekolah perlu mengenal pasti kawasan dan masa yang berpotensi untuk sesuatu perlakuan yang boleh menggugat keselamatan di sekolah berlaku. Sebagai contoh adakah tandas, stor, padang dan bilik darjah selamat untuk pelajar tinggal berseorangan atau boleh dijadikan tempat untuk pelajar melakukan buli dan sebagainya? Apakah ada peluang untuk orang luar mencerobohi kawasan sekolah selain melalui pintu utama?
Guru kaunseling misalnya perlu mempunyai pemerhatian yang tajam untuk membuat jangkaan dan menyiasat pelajar yang mengalami perubahan tingkah laku yang mendadak, penurunan markah akademik atau mula mengasingkan diri daripada rakanrakan. Para pengawas sekolah merupakan mata dan telinga pihak sekolah untuk memantau perjalanan serta aktiviti pelajar secara harian dan ini sangat berkesan.
Bagi jangka pendek, pihak sekolah perlu melengkapkan pengetahuan tentang keselamatan diri kepada para semua pelajar khususnya pelajar perempuan. Pengetahuan ini meliputi waktu di sekolah, di luar sekolah sewaktu pergi dan pulang dari sekolah dan juga sewaktu aktiviti ko-kurikulum. Selain taklimat dan pesanan lengkap, ada baiknya pihak sekolah meletakkan papan tanda keselamatan dan bahan bacaan berkaitan petua keselamatan di bawah plastik alas meja kantin sekolah dan papan kenyataan.
Bidang kuasa pihak sekolah juga harus dikembangkan untuk mengawasi bas-bas sekolah yang beroperasi di luar kawasan sekolah. Ini penting kerana pemilik dan pemandu kenderaan bas perlu dipantau supaya mereka lebih berhati-hati tentang keselamatan pelajar. Sepatutnya pemantauan keselamatan pelajar tidak terhenti apabila pelajar keluar dari kawasan pagar sekolah sahaja. Perkara ini perlu dilihat semula agar keselamatan pelajar lebih terjamin. Bagi sesi sekolah petang, sepatutnya ada guru atau pengawal keselamatan yang bertugas memastikan setiap pelajar meninggalkan sekolah dengan selamat.
Pemerhatian penulis menunjukkan ada pelajar yang ditinggalkan di luar pagar sekolah walaupun hari mulai gelap kerana pihak sekolah bertindak mengunci pintu pagar tanpa memberikan peluang untuk pelajar berada di dalam kawasan sekolah atas dasar keselamatan pelajar. Adalah lebih baik jika satu kawasan kecil berdekatan pondok pengawal sekolah diwujudkan supaya pelajar yang masih menunggu ibu bapa dapat berkumpul di ruangan tersebut. Selain itu, kementerian sepatutnya mempunyai dasar dan etika yang lebih jelas berkaitan batasan guru lelaki dan pelajar perempuan.
Walaupun tidak dinafikan ramai guru lelaki yang berjiwa murni dan tidak terlintas melakukan perbuatan yang tidak senonoh pada pelajarnya, ia tidak bermakna semua guru mempunyai sifat sedemikian. Etika ini penting kerana sekiranya sudah berlaku perlakuan yang tidak bermoral, pelajar yang menjadi mangsa akan berhadapan trauma seumur hidup.
Peranan pihak sekolah sangat penting dalam menguruskan keselamatan sekolah. Biarlah sebagai pentadbir, kita merancang untuk mengelakkan sesuatu yang buruk menimpa pelajar kita. Ini tentunya lebih baik daripada terpaksa membawa pelajar kita ke hospital atau ke balai polis. Adalah sesuatu yang sangat menyedihkan apabila terpaksa berdepan dengan ibu bapa pelajar untuk memberitahu bahawa anak mereka menjadi mangsa buli, dicabul atau terlibat dalam kemalangan di sekolah. Ia merupakan situasi yang paling sukar.
Isu keselamatan sekolah bukan hanya di dalam sekolah. Ia juga bukan sesuatu yang ringan dan boleh dipermudahkan. Anak-anak ini pewaris generasi kita. Kebanyakan tindakan serta perbuatan salah laku pelajar di dalam sekolah tidak diasaskan oleh pemikiran yang matang dan benar.
Sementara itu, jenayah di luar kawasan sekolah pula lebih berbahaya dan tidak dapat diramal bila dan bagaimana bentuknya. Oleh itu menyediakan perancangan kontingensi keselamatan di sekolah adalah sangat penting dan mendesak sekali ketika ini. Mungkin di sini pihak kerajaan melalui Institut Latihan Keselamatan dan Kesihatan Kebangsaan boleh berperanan untuk membina satu senarai semak tahap keselamatan sekolah di Malaysia yang boleh dijadikan asas kepada pembinaan budaya sekolah selamat di negara ini. Semoga sekolah menjadi lebih selamat untuk anak-anak kita belajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin