Pada masa Seri Maharaja Karna Diraja pula tidaklah
ada tempat-tempat baru dibuka. Baginda lebih suka belayar di laut sambil
melihat-lihat daerah-daerah di bawah jajahan takluknya. Dalam masa
pelayaran itu, sempat pula baginda menyinggahi beberapa tempat seperti
Pulau Langkawi dan Kuala Bara. Urusan pemerintahan ditinggalkan di bawah
jagaan Menteri Empat.
Waktu pemerintahan Seri Paduka Maharaja Kerma, istana
baru pula telah dibina di Bukit Meriam - jalan Pantai Merdeka. Di sini,
lanjut juga usianya hingga beberapa keturunan. Agaknya, raja-raja
ketika itu sentiasa mencari tempat yang istimewa untuk membangunkan
istana yang tetap. Bagaimanapun, di Bukit Meriam ini cuma sempat hingga
tujuh orang raja sahaja, iaitu sampai kepada Tunku Muzzil Syah atau
Tunku Mathal Syah yang memerintah dari tahun 634H-679H.
Pada masa pemerintahan Paduka Maharaja Kerma, satu
perubahan telah berlaku. Disebabkan kota Bukit Meriam terletak jauh dari
Kuala Sungai Merbok - tempat pangkalan diraja dan menjadi susah
berpangkalan di tepi pantai, maka Maharaja Kerma telah berpakat dengan
orang-orang dan rakyatnya mengorek kuala baru. Maka itulah dibina Kuala
Muda yang ada sekarang ini.
Aliran Sungai Merbok yang panjang itu telah dialihkan
ke kuala yang baru dikorek. Maka, itulah sebabnya Sungai Merbok tidak
mempunyai ulu yang panjang lagi seperti Sungai Muda, padahal kuala itu
amat besar. Dengan itu, pangkalan diraja yang bertempat di Sungai Batu
Langgaran di Sungai Merbok terpaksa ditinggalkan begitu sahaja.
Pada masa pemerintahan Maharaja Derma Raja pula telah
berlaku satu peperangan. Inilah peperangan pertama semenjak pembukaan
negeri Kedah. Disebabkan negeri Kedah bertambah maju dan ramai orang
dari utara berpindah ke negeri itu, menyebabkan timbul iri hati pihak
pemerintah di sana terutama di bahagian Teneserim. Maka angkatan negeri
itu pun dikerah menyerang Kedah. Peperangan berlaku di Padang Jangan
(Padang Besar) - sempadan antara Perlis dengan Siam.
Angkatan Maharaja Derma Raja diketuai oleh paduka adindanya yang bernama Maharaja Putera.
Berita peperangan itu telah sampai ke pengetahuan
Raja Ligor. Raja Ligor telah mengarahkan bala tenteranya membantu Kedah.
Dan dengan bantuan itu menyebabkan raja dan angkatan Teneserim terpaksa
berundur.
Untuk membalas budi Raja Ligor, Maharaja Derma Raja
telah menghantar Bunga Emas dan Bunga Perak yang tiap-tiap sepohonnya
mengandungi empat cabang ke Ligor. Barang-barang lain termasuklah dua
kayu kain khas berkepala benang emas, dua belas buah perisai, dua belas
buah utar-utar (perisai kecil berbentuk bundar daripada tembaga atau
besi) dan dua belas kayu kain putih.
Apabila menerima balasan surat, Raja Ligor telah
menggesa raja Kedah supaya berbuat demikian tiap-tiap tiga tahun sekali.
Tidaklah diketahui pula sama ada ini sebagai ufti tanda tunduk ke
Ligor, tetapi di dalam buku itu dinyatakan perkara menghantar bunga emas
dan perak tiap-tiap tiga tahun sekali itu telah menjadi adat.
Pada masa Maharaja Maha Dewa memerintah, selain dari
orang-orang besar empat, lapan dan enam belas, baginda juga telah
melantik beberapa orang ketua bagi membantu baginda memerintah di daerah
Pulau Langkawi, Tanjung Dawai dan Kuala Bara. Baginda tetap bersemayam
di Bukit Meriam.
Putera baginda yang bernama Seri Paduka Maharaja
Derbar Raja pula ialah raja Kedah yang pertama menerima agama Islam
dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah. Dan nama ngeri dari Qalha dan
lain-lain nama itu bagi negeri Kedah diubah kepada nama Negeri Kedah
Darul Aman. Baginda telah diislamkan oleh Syeikh Jaafar Aumiri yang
berasal dari Yamen kira-kira dalam tahun 531H dan bersamaan tahun Masihi
(lebih kurang) 1360M.
Pada tahun hijrah 575 (1406M), Sultan Muzaffar Syah pun mangkat dan dimakamkan di Langgar, Bujang, Kedah.
Puteranya yang bernama Tunku Muazzam Syah dilantik pula menjadi sultan. Baginda tetap bersemayam di Bukit Meriam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan