Sejarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat
Di dalam tahun 1939 dipercayai Balai Bomba telah dipindahkan ke bangunan yang ada sekarang ini di Jalan Raja, Alor Setar. Bangunan tersebut yang mempunyai ruang jentera, pejabat dan 2 unit kuarters. Sebelum ini bangunan tersebut digunakan oleh Polis, Bahagian Trafik disediakan dengan kemudahan Bilik Kawalan dengan satu talian telefon bernombor 221 bagi panggilan kecemasan dan biasa.
Semasa Perang Dunia Kedua pada tahun 1941 Balai Bomba berkenaan masih di tempat yang sama. Bantuan keanggotaan dan pengawasan adalah dibawah Polis Alor Setar. Pada masa ini sebanyak 2 buah jentera Bomba iaitu sebuah jentera jenis Dennis No. K 2209 dan sebuah jentera water tender 500 gelen bernombor K 8437. Semasa Malayan Union dalam tahun 1946 Balai ini mempunyai keanggotaan seramai 4 orang Fireman dan seorang pemandu iaitu Encik Yaakob bin Lebai Amin dengan diketuai oleh Leading Fireman Encik Abu Bakar bin Haji Saad yang juga menjalankan tugas pemandu.
Di dalam tahun 1949, Perkhidmatan Bomba telah diletakkan di bawah Pentadbiran “Town Board” di mana Balai Bomba Alor Setar telah tertakluk di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Alor Setar dimana “Chairman” Town Board adalah berkuasa penuh kepada Perkhidmatan Bomba ini.
Pada tahun 1951, jawatan “Station Officer” diwujudkan dan Encik Kassim bin Mansor yang berpangkat “Superintendent” telah menjawat jawatan tersebut. “Station Officer” bukan sahaja bertanggunjawab kepada Balai Bomba Alor Setar malah dipertanggungjawabkan sebagai Penyelia Perkhidmatan Bomba Negeri Kedah. Pada masa ini keanggotaan telah bertambah mempunyai 3 orang leading fireman iaitu Encik Yaakob, Encik Ghaffar dan Tuan Syed Zain dan terdapat seramai 15 orang fireman.
Bagi menampung keperluan keanggotaan ini, maka pada penghujung tahun 1952 penambahan 3 blok quarters (quarters sekarang) telah didirikan dengan pendaftaran PWD 129, PWD 564 dan PWD 565.
Pada tahun 1958 sebuah jentera baru jenis Bedford No. K 5281, 500 gelen telah dibekalkan bagi menggantikan jentera Bedford yang sediada yang telah rosak.
Di dalam tahun 1961 Balai ini telah mendapatkan penambahan sebuah jentera dari jenis Wheel Escape Ledder (KA 1681) diikuti pula pada tahun 1964 gantian sebuah lagi jentera baru jenis Bedford No. KA 5603. Sepanjang perkhidmatan ini beberapa kebakaran besar telah berlaku di antaranya pada tahun 1951, sebahagian dari Pekan Kuala Kedah telah musnah dan diikuti pula pada tahun 1969 sekali lagi kebakaran berlaku di mana hampir keseluruhan Pekan Kuala Kedah telah musnah.
Di dalam tahun yang sama juga, kebakaran di “ Pekan Cowboy” Alor Setar telah memusnahkan sebanyak lebih kurang 112 buah rumah kedai. Selepas Penyatuan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan pada tahun 1977 Encik Kassim bin Mansor telah tamat perkhidmatannya dan tempat beliau telah digantikan oleh Encik Abd Majid bin Othman.
Sehingga ke hari ini Balai Bomba Alor Setar telah mempunyai 3 jentera bomba jenis water tender 400 gelen, sebuah jentera penyelamat dan sebuah jentera Skylift. Keanggotaannya seramai 127 orang diketuai oleh Penguasa Bomba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan