Jumaat, 24 Jun 2011

BENARKAN GURU MEROTAN PELAJAR YANG BERMASALAH DISPILIN.

Kementerian Pelajaran memperluaskan kuasa guru disiplin kepada semua guru termasuk merotan dalam usaha menangani masalah buli, gengsterisme dan ponteng sekolah.

Presiden NUTP, Ismail Nihat berkata, pemberian kuasa tersebut mampu meningkatkan kesungguhan para guru untuk bekerjasama membanteras gengsterisme atau buli seterusnya menggerunkan pelajar yang bermasalah disiplin daripada terlibat dengan gejala itu.

Beliau berkata, kuasa yang secara menyeluruh dan saksama serta bukan hanya terhad kepada guru disiplin itu juga membolehkan guru biasa tidak lagi teragak- agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka termasuk dalam melaksanakan hukuman merotan.

``Sebelum ini para guru biasa yang tanpa kuasa sedemikian merasakan masalah disiplin terserah penuh kepada guru besar atau guru disiplin dan dengan itu mereka tidak berani mengambil tindakan.

``Ini mendorong pelajar sekolah berkelakuan sewenang-wenangnya sehingga mereka tidak takut langsung kalau melanggar disiplin di hadapan guru-guru biasa,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Ismail mengulas kenyataan bekas Ketua Jemaah Nazir Sekolah, Kementerian Pelajaran, Datuk Abdul Rahim Tahir dalam Utusan Malaysia hari ini berhubung salah laku pelajar sekolah dengan gengsterisme yang banyak melibatkan pelajar miskin.

``Secara umumnya atau lebih 50 peratus kes buli dan gengsterisme melibatkan pelajar daripada golongan keluarga berpendapatan rendah manakala golongan kaya, lebih terdedah dengan ponteng atau menagih dadah,'' kata beliau.

Jelas Ismail, selain memperluaskan kuasa disiplin itu termasuk hak merotan, para guru biasa juga disarankan supaya sentiasa didedahkan dengan pengetahuan asas undang-undang oleh kementerian.

``Ini perlu diambil kira kerana kita sedia maklum para ibu bapa pada zaman sekarang sangat mudah mengambil tindakan undang-undang apabila mendapati anak mereka dikenakan hukuman seperti dirotan.

``Apabila para guru mengetahui dengan jelas tentang sejauh mana tindakan mereka di sekolah itu tidak terheret kepada kes undang-undang, tentu mereka mampu mencegah masalah disiplin dengan lebih berkesan,'' katanya.

``Kita tidak akan bataskan hanya kepada guru-guru tertentu (guru besar dan guru disiplin) untuk melaksanakan hukuman tapi semua guru besar diberi kuasa untuk menentukan siapa sahaja melaksanakan hukuman itu,'' katanya.

Semua guru besar di seluruh negara telah diberi kuasa penuh untuk mengarahkan guru-guru menjalankan hukuman rotan terhadap pelajar bermasalah dan terlibat dalam gangsterisme berkuat kuasa serta-merta pada 7 Oktober tahun lalu.

Arahan Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Musa Mohamad turut mengumumkan pemberian kuasa penuh kepada guru besar berbuat demikian berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah), Pindaan 1959.

Mengenai kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Mohd. Khir bahawa guru-guru tidak mampu memantau pelajar ponteng sepanjang masa kerana beban dan jadual tugas yang padat, Ismail mengakui ia juga ada kebenarannya.

Di Sungai Petani, Kedah, semalam, Mahadzir berkata, tugas guru di sekolah mungkin terjejas sekiranya terpaksa berada di luar kawasan sekolah pada masa yang sama untuk menangkap pelajar ponteng seperti yang dilakukan oleh polis sekarang.

Kata Ismail: ``Beban tugas seperti yang dikatakan itu mungkin melibatkan kerja-kerja perkeranian yang terpaksa ditanggung oleh guru selain tugas tetap mereka.''

``Tugas itu termasuk mengisi borang itu dan ini dan ada kala terheret berurusan dengan pihak luar sekolah seperti mengadakan pelbagai program anjuran kementerian atau jabatan tertentu,'' jelasnya.

Sementara itu Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, Sahul Hamid Mydin Shah ketika diminta mengulas isu peluasan kuasa guru disiplin berkata, arahan dalam pekeliling Kementerian Pendidikan tidak memberi takrif yang jelas berhubung pemberian kuasa merotan.

Beliau berkata, arahan tersebut hanya menyatakan semua guru biasa turut menjadi guru disiplin tetapi tidak pula menjelaskan bahawa kesemuanya diberikan kuasa untuk merotan.

``Ini mengakibatkan kebanyakan guru biasa enggan melaksanakan hukuman tersebut kerana tanpa takrif yang jelas, mereka berasa bimbang atau ragu-ragu sama ada bebas daripada risiko selepas itu.

``Antaranya, apakah mereka juga boleh diheret ke dalam masalah lain seperti diserang oleh ibu bapa pelajar terbabit yang tidak berpuas hati atau lebih teruk, sehingga menghadapi tindakan undang-undang,'' katanya.

Menurut Sahul Hamid, keadaan ini diperkuatkan dengan ketiadaan jaminan diberikan oleh Kementerian Pendidikan ketika itu bahawa guru yang merotan pelajar, akan dilindungi sepenuhnya daripada tindakan undang-undang.

Sehubungan itu beliau meminta Kementerian Pelajaran sekarang menyatakan takrif pemberian kuasa merotan itu dengan sejelas-jelasnya supaya semua guru boleh melaksanakan hukuman itu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin