Akhir-akhir ni heboh diseluruh negara Malaysia pasal sausage yang diproses dengan menggunakan usus babi. Isu ini amat sensitif kepada orang Islam, terutamanya apabila ianya melibatkan babi. Maka jabatan-jabatan ugama Islam dan badan-badan dakwah pun sibuk membuat kenyataan di media massa meluahkan kesalan mereka. Usul-usul telah dikuatkan untuk mengetatkan lagi pengunaan tanda halal pada makanan dan tempat-tempat makan.
Pasal babi pula, pantang disebut perkataan babi dalam apa jua keadaan. Orang Islam tak nak dengar perkataan babi. Kotor. Najis. Tidak boleh sentuh babi, kena samak – basuh tujuh kali termasuk sekali dengan air selut/tanah. Walau pun apa perasaan manusia terhadap babi, Allah menyebut perkataan babi dalam Al-Quran pada ayat-ayat 2:173, 5:3, 5:60, 6:145 dan 16:115.
Berbalik kepada isu sausage yang sediakan dengan menggunakan usus babi, haramkah ianya di makan? Perlukah kita kepada tanda halal untuk meghalalkan makanan kita? Apakah panduan kita sekiranya kita berada di Germany, Switzerland, Brazil atau negara-negara yang tidak ada tanda halal? Tidakkah ayat-ayat Allah memadai dan mencukupi sebagai panduan, di mana saja seseorang berada.
Sekarang mari kita cuba faham apa kata al-Quran bersabit dengan makanan.
Ramai orang yang mengakui Islam bercakap pasal makanan halal tanpa betul-betul memahami kriteria yang dijelaskan dalam Quran. Mereka selalunya menggunakan kriteria dan definasi yang direka-reka manusia, bukan hanya definasi Allah yang dijelaskan dalam al-Quran.
Quran (16:112-116) meceritakan bagaimana Allah tidak senang dengan mereka-mereka yang mengharamkan benda-benda yang tidak diharamkan. Mengharamkan apa yang tidak disebut dalam al-Quran adalah menokok tambah apa yang Allah tidak kata. Ianya boleh dikatakan cuba lebih memandai daripada Allah. Orang Islam, yang tunduk patuh, memegang hanya kepada ayat-ayat Allah, hanya undang-undang dan tegahan-tegahan daripada Allah, bukan daripada manusia. Allah tidak lupa. Apa yang tidak disebut, sengaja Allah tidak sebut. Allah tidak kehabisan perkataan.
Katakanlah, "Sekiranya laut adalah dakwat untuk Kata-Kata Pemeliharaku, tentulah laut itu habis sebelum Kata-Kata Pemeliharaku habis, walaupun Kami mendatangkan pengisian semula yang serupa dengan itu." (18:109)
Allah dengan jelas sebut dalam al-Quran apa yang ditegah daripada dimakan. Lihat 2:173, 5:3, 6:145 dan16:115. Daripada ayat-ayat ini kita tahu apa yang boleh dimakan dan apa yang ditegah. Tidak perlu kepada mana badan untuk menokok tambah atau meletak apa-apa tanda.
Hanyalah benda-benda ini yang Dia mengharamkan kamu: bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain Allah. Namun begitu, sesiapa yang terpaksa, dengan tidak menginginkan, dan tidak menderhakai, maka tidaklah berdosa kepadanya; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih. (2:173)
Perhatikan Allah menggunakan perkataan “HANYA benda-benda ini….”. Perhatikan juga Allah menggunakan perkataan “daging babi” dan tidak keseluruhan babi. Ianya spesifik kepada daging babi. Terpulanglah kepada kita untuk mendefinasikan apa “daging babi”. Kita mesti ingat Allah tidak kehabisan perkataan (18:109 diatas) dan boleh memberikan kita beratus-ratus ayat untuk menjelaskan pasal makanan. Allah berkehendak sendiri untuk menjelaskan yang mana spesifik, khusus dan yang mana am. Bila Allah sebut “bangkai” ianya am kepada mana-mana bangkai termasuk bangkai ayam atau kambing.
Kita tidak perlu mengagak untuk memahami KEMURAHAN Yang Amat Pemurah. Pemelihara kita tahu yang ramai orang Islam akan hidup di kalangan penganut ugama lain dan akan berkongsi makanan. 1400 tahun dahulu Allah telah memberitahu Nabi Muhammad,
Pada hari ini, benda-benda yang baik dihalalkan bagi kamu, dan makanan orang-orang yang diberi al-Kitab adalah halal bagi kamu, dan dihalalkan bagi mereka, makanan kamu…. (5:5)
Ayat ini diturunkan pada ketika mana Allah sudah memberitahu bahawa “orang-orang yang diberi al-kitab” sudah mengubah kitab-kitab. Kita boleh makan makanan mereka dan sebaliknya asalkan syarat-syarat yang ditetapkan dipatuhi.
Allah telah memberi syarat penting kepada mereka-mereka yang tunduk patuh apabila hendak makan.
Mereka menanyai kamu mengenai apa-apa yang dihalalkan bagi mereka. Katakanlah, "Benda-benda yang baik adalah dihalalkan bagi kamu; dan daripada binatang berburu yang kamu mengajari, dengan melatih anjing untuk memburu, dengan mengajarnya seperti Allah mengajar kamu, maka makanlah apa yang ia menangkapkan untuk kamu, dan ingatlah (sebutlah) nama Allah padanya. Takutilah Allah; sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan." (5:4)
Makanlah daripada apa yang padanya diingatkan (disebut) nama Allah, jika kamu mukmin pada ayat-ayat-Nya (6:118).
Mengapakah dengan kamu, bahawa kamu tidak makan daripada apa yang padanya diingatkan nama Allah, padahal Dia telah menjelaskan kepada kamu apa yang Dia mengharamkan kamu, kecuali kamu terpaksa padanya? Tetapi, sesungguhnya ramai orang menyesatkan dengan keinginan mereka tanpa sebarang pengetahuan; Pemelihara kamu, Dia sangat mengetahui orang-orang yang mencabul (6:119).
Dalam ayat-ayat tersebut, Allah meletakkan tanggung jawab, sebagaimana biasa, keatas individu. Adalah tanggung jawab individu untuk menyebut nama Allah pada masa makan. Perhatikan di sini bahawa Allah menyebut MAKAN dan tidak SEMBELIH pada masa menyebut namaNya. Ianya tiada kena mengena dengan penyembelihan.
Allah tidak meletakkan perbezaan diantara daging yang disediakan oleh orang Islam, Kristian, Yahudi atau lain-lain. Semuanya adalah sama dan boleh dimakan, sekiranya nama Allah disebut semasa makan. Allah maha pemurah untuk menyenangkan kehidupan hamba-hambaNya, bukan untuk menyusahkan sebagaimana ramai yang menokok tambah apa yang telah dijelaskan dalam Quran.
Mengapakah dengan kamu, bahawa kamu tidak makan daripada apa yang padanya diingatkan nama Allah, padahal Dia telah menjelaskan kepada kamu apa yang Dia mengharamkan kamu, kecuali kamu terpaksa padanya? Tetapi, sesungguhnya ramai orang menyesatkan dengan keinginan mereka tanpa sebarang pengetahuan; Pemelihara kamu, Dia sangat mengetahui orang-orang yang mencabul (6:119)
Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mengharamkan benda-benda yang baik yang Allah menghalalkan bagi kamu, dan jangan mencabul; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang mencabul. (5:87)
Maka jangalah kita cuba memandai-mandai untuk mengharamkan apa yang tidak disebut dalam Quran, samaada pada bentuk makanan atau pun cara penyediaan makanan.
Katakanlah, "Adakah kamu memikirkan rezeki yang Allah menurunkan untuk kamu, dan kamu membuat sebahagiannya haram, dan sebahagiannya halal?" Katakanlah, "Adakah Allah memberi izin kepada kamu, atau kamu mengada-adakan terhadap Allah?" (10:59)
Teringat penulis semasa berada di negara Eropah suatu ketika dahulu di mana kebanyakan “orang Islam” selalu menyemak pada senarai bahan buatan (ingredients) sebelum makan. Makanan yang mempunyai bahan E471 dianggap haram dimakan kerana dikatakan bahan tersebut dibuat daripada lemak binatang yang tidak pasti samada disembelih atau tidak. Bagi yang percaya kepada Allah, ayat-ayat Allah yang disampaikan di sini sudah memadai dan jelas untuk dibuat pertimbangan.
Berbalik kepada tanda halal yang dikeluarkan oleh satu jabatan ciptaan manusia, ianya tidak memastikan bahawa makanan itu halal. Kriterianya menggunakan hukum Allah yang dicampur adukkan dengan hukum ciptaan manusia. Kriteria manusia lebih diutamakan daripada kriteria yang dijelaskan Allah. Bagi mereka yang tidak membaca dan memahami Quran, mereka perlu kepada satu kriteria dan tanda ciptaan manusia… tapi untuk mendapat keridhaan Allah.
Untuk memudahkan rujukan pembaca, disenaraikan di sini ayat-ayat Quran berkaitan dengan makanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan