Khamis, 23 Jun 2011

PETUA MENJAGA GIGI YANG SIHAT.

BOLEHKAH anda mengembalikan masa silam? Kunci kepada gigi yang sihat
dan cantik ialah keseimbangan gaya hidup sihat dan tabiat kesihatan
gigi yang baik mampu menghalang tiga tanda awal penuaan di mulut, iaitu
penyakit gusi, pereputan gigi dan penyahwarnaan.
Ikuti petua penjagaan gigi ini dan anda akan mengekalkan senyuman yang menarik sepanjang hayat:
1. Memflos gigi sebelum memberus
2. Berus gigi dua kali sehari
3. Gunakan berus gigi yang betul
4. Dapatkan pemeriksaan gigi dua kali setahun
5. Kunjungi doktor gigi anda sebelum mengandung
6. Berhenti merokok
7. Kurangkan minuman bergas, kopi dan alkohol
8. Tingkatkan pengambilan kalsium
9. Amalkan pengambilan vitamin C dan D
10. Tidur sekurang-kurangnya lapan jam setiap malam

* Flos dan berus gigi dua kali sehari, gunakan berus gigi yang betul
Amalkan memflos sebelum memberus gigi. Memflos membantu menanggalkan sisa makanan yang terlekat di celah gigi.
Sekiranya sisa ini tertinggal di permukaan gigi, ia akan menyebabkan masalah gigi seperti kaviti, penyakit gusi dan gingivitis.
Adalah lebih baik untuk memflos sebelum memberus bagi membuang plak dan menanggalkan sisa makanan dari permukaan gigi.
Memberus ialah kunci kepada kesihatan gigi yang baik, memerangi penyakit gusi dan senyuman menawan sepanjang hayat.
Pastikan anda memberus gigi dua kali sehari sekurang-kurangnya
selama dua minit pada sebelah pagi dan malam dengan memberi perhatian
kepada garisan gusi menerusi pergerakan secara membulat.
Adalah penting untuk memilih berus gigi yang betul, maka pilih berus
gigi yang dapat membersihkan gigi di samping selesa dan mudah
digunakan.
Anda juga disyorkan untuk memilih berus gigi yang telah terbukti secara klinikal boleh menanggalkan plak dengan berkesan.
* Dapatkan pemeriksaan gigi dua kali setahun dan sebelum mengandung
Anda dinasihatkan berjumpa doktor gigi dua kali setahun untuk
pembersihan gigi secara profesional bagi menjaga kesihatan gigi dan
memastikan senyuman menawan dapat dikekalkan sepanjang hayat.
Amat penting bagi wanita yang mengamalkan pil perancang keluarga
atau yang mengandung serta yang mengalami menopaus berjumpa dengan
doktor gigi kerana mereka lebih cenderung mendapat masalah gigi seperti
penyakit gusi, pereputan gigi dan kaviti.
Wanita mengandung boleh mengalami gingivitis yang disebabkan perubahan hormon dan pertambahan aliran darah dalam badan.
Sebelum mengandung, semua wanita perlu melalui pemeriksaan berkala
untuk penyakit gusi. Mereka juga perlu melalui pemeriksaan gigi berkala
sepanjang tempoh mengandung bagi mengesan dan merawat sebarang penyakit
berkaitan gigi dan gusi.
* Berhenti merokok, kurangkan minuman berkarbonat, kopi dan alkohol
Merokok adalah penyumbang utama kepada penuaan gigi. Menurut Pusat
Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), lebih 22 juta wanita di negara
berkenaan merokok.
Selain mengotorkan gigi, merokok juga merencatkan penyerapan kalsium
ke dalam tubuh dan boleh menyebabkan penyakit berbahaya seperti kanser
mulut.
Jadi, berhenti merokok dan nikmati faedah kesihatan selain senyuman yang menawan tanpa ancaman rokok.
Walaupun minuman tertentu mengandungi kandungan fosforus yang tinggi
untuk kesihatan gigi, terlalu banyak fosforus juga boleh mengurangkan
kandungan kalsium di dalam tubuh.
Ini akan membawa kepada masalah gigi seperti pereputan gigi dan
penyakit gusi. Minuman yang mengandungi bahan tambahan seperti gula
jagung dan pewarna makanan juga boleh menjadikan gigi yang putih
berseri menjadi pudar dan dinyahwarnakan.
Maka, adalah lebih baik untuk memilih minuman seperti susu yang
boleh meningkatkan kekuatan gigi dan membina enamel yang lebih kuat
serta memberi anda senyuman yang kekal menawan.
* Tingkatkan pengambilan kalsium, vitamin C dan vitamin D
Selepas usia 30 tahun, wanita akan mengalami pengurangan kepadatan tulang sebanyak 25 peratus.
Tingkatkan kandungan kalsium dengan meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran hijau yang tinggi kandungan kalsium.
Makanan ini akan membantu mengurangkan pembentukan asid dalam air liur yang boleh menyebabkan penghakisan enamel gigi.
Vitamin C dan D pula dapat membantu meningkatkan penyerapan mineral berguna untuk gigi seperti kalsium dan fosforus.
Ini juga dapat membantu mengekalkan kesihatan tulang dan juga tisu
gusi dan merupakan antara cara paling mudah untuk mengekalkan kesihatan
gigi dan menentang penyakit gusi.
* Tidur sekurang-kurangnya 8 jam setiap malam
Tidur membolehkan badan anda berehat dan juga merawat sebarang kerosakan yang berlaku akibat jangkitan atau kecederaan fizikal.
Lebih-lebih lagi, anda akan berupaya memberikan senyuman menawan sekiranya telah mendapat rehat secukupnya.
Mengikut Yayasan Tidur Kebangsaan Amerika Syarikat, golongan wanita lebih terdedah mengalami insomnia berbanding lelaki.
Kurang tidur akan menyebabkan sistem ketahanan (imuniti) badan
menjadi lemah dan ini akan memberi ruang kepada jangkitan kuman pada
mana-mana bahagian badan, termasuk di dalam mulut.
- Rencana ini disediakan pakar pergigian dan Oral-B Sempena Kempen
Malaysia Bebas Plak Oral-B. Artikel ini akan diterbitkan setiap dua
minggu sekali.


Back to top

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin