Isnin, 10 Oktober 2011

KIAMAT SEMAKIN SUDAH SAMPAI


Ramai di antara kita yang tertanya-tanya bilakah Hari Kiamat itu dan apakah tanda-tanda akan berlakunya Hari Kiamat. Jawapannya ialah hanya Allah sahaja yang tahu tentang bila Hari Kiamat akan berlaku. Jika korang rasa tahun 2012 di mana Planet Nibiru akan menghentam bumi sebagai Hari Kiamat, korang dah boleh jatuh ke hukum syirik, sebab korang percaya sesuatu selain dari Allah. Kena banyak-banyak taubat. Tetapi, walau bagaimanapun, ada hadis soheh yang mengatakan tanda-tanda sebelum berlakunya Hari Kiamat ini. Tanda-tanda Hari Kiamat boleh dibaca di bawah.
Malapetaka yang melanda dunia hari ini memberikan satu isyarat kepada kita bahawa usia dunia sudah semakin lanjut ibarat seorang tua yang pernah digambarkan di dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Jika ketika itu usia dunia diumpamakan dengan seorang wanita tua yang sudah bongkok, bagaimanakah pula wanita tua itu di waktu ini?
Fenomena ketidakstabilan alam yang berlaku saban hari waktu ini seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar, peperangan, pembunuhan, kemalangan maut dan kesuburan maksiat semakin menjadi-jadi.
Sebagai contoh banjir kilat yang melanda di tengah-tengah kesibukan kotaraya Kuala Lumpur. Meskipun kecanggihan teknologi yang digunakan didakwa boleh membendung kejadian ini dari berlaku namun kuasa Allah tiada siapa dapat menghalangnya.
Sebagai seorang muslim yang beriman, kacau bilau yang berlaku tidak seharusnya dibiarkan berlalu tanpa sebarang iktibar dan renungan. Mengaitkan apa yang berlaku hanya dengan perubahan cuaca global dan faktor alam semulajadi hanya membutakan iman kita.
Jika diteliti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w pastinya terdapat panduan yang boleh memberikan penjelasan mengenai suasana yang berlaku hari ini.
Sabda Rasulullah s.a.w, “Hari kiamat tidak akan berlaku hinggalah harta benda menjadi melimpah ruah kemudian timbulnya bermacam fitnah dan banyaknya berlaku al-Harj. Sahabat bertanya baginda: Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Pembunuhan! Pembunuhan! Pembunuhan! Sebanyak tiga kali”. (Riwayat Ibnu Majah)
Perkataan al-Harj jika dilihat di dalam konteks hadis ini ia merangkumi makna yang lebih luas iaitu peperangan, huru-hara dan kacau bilau yang berlaku. Sebabnya semua suasana ini boleh membawa kepada hilangnya rasa selamat dan keamanan hidup manusia. Dalam erti kata lain ia membunuh kesejahteraan hidup manusia.
Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w pernah bersabda, “Barang siapa yang mahu melihat gambaran hari kiamat seolah-olah ia melihat dengan matanya sendiri, maka bacalah (surah-surah): (Apabila matahari digulung) dan (Apabila langit terbelah) dan (Apabila langit berkecai/terbelah)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tarmizi).
Ketiga-tiga ayat yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w di atas ialah surah At-Takwir, Al-Infitar dan Al-Insyiqaq. Di dalam surah Al-Takwir Allah s.w.t menyatakan bahawa pada hari kiamat matahari yang gagah di langit akan digulung, bintang-bintang akan jatuh berguguran, gunung-ganang yang nampak gagah hancur berkecai. Allah juga menyatakan bahawa laut yang luas akan menjadi panas meluap-luap.
Di dalam surah Al-Infitar pula Allah menambah lagi penjelasan tentang fenomena kiamat dengan menyatakan akan terbelah dan terburainya langit kemudian bumi akan memuntahkan apa yang dikandungnya.
Begitu juga di dalam surah Al-Insyiqaq, Allah menjelaskan sekali lagi bahawa langit akan terbelah manakala bumi akan menjadi rata akibat kehancuran gunung-ganang dan bukit-bukau.
Menariknya di dalam ketiga-tiga surah ini dijelaskan bahawa ketika berlakunya suasana kacau bilau ini barulah manusia teringat akan apa yang telah dilakukan dan diabaikan. Di saat itu barulah timbul kesedaran dan keinsafan. Namun semuanya telah terlambat kerana pintu taubat sudah tertutup.
Setiap manusia akan berdepan dengan mahkamah Allah yang tiada langsung peluang untuk menipu dan berbohong. Setiap wajah akan tunduk memandang bumi, menunggu perbicaraan di Mahkamah Allah. Apakah selamat atau sebaliknya?
Membaca ketiga-tiga surah bukan sahaja boleh memberikan ilmu tentang fenomena kiamat malah boleh menimbulkan kegerunan dan ketakutan terhadap situasi dahsyat yang akan berlaku.
Cuba lihat matahari yang gagah di atas langit yang akan bergulung-gulung. Bayangkan pula langit yang kukuh akan terburai dan memuntahkan bintang-bintang hingga gugur ke bumi. Apakah ia tidak menggerunkan kita?
Perkara yang paling menakutkan apabila Allah bertanya: (Apakah yang memperdayakanmu hingga sanggup derhaka (waktu di dunia) kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia). (Al-Infitar: 6).
Ayat ini seolah-olah satu tempelak terhadap manusia yang tidak mahu insaf meskipun peluang diberikan seluas-luasnya ketika hidup di dunia.
Gambaran ketakutan ini dinyatakan oleh Allah dengan menggunakan bahasa kiasan. Firman Allah, Dan apabila unta-unta bunting ditinggalkan. (At-Takwir: 4).
Unta adalah harta paling berharga di tanah Arab pada zaman baginda s.a.w. Unta merupakan kenderaan kelas pertama yang terdapat ketika itu. Apa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah, ketika berlakunya kiamat setiap manusia akan takut dan risau dengan nasib diri sendiri hingga lupa kepada harta benda dan kemewahan yang dimiliki.
Begitulah sebahagian dari gambaran panjang lebar yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. tentang fenomena hari kiamat di dalam ketiga-tiga surah di atas. Bagi seorang yang beriman pencarian tentang bila berlakunya hari kiamat adalah merupakan kerja sia-sia, malah ia boleh membawa kepada kesesatan akidah.
Justeru apabila Nabi s.a.w ditanya oleh Jibril a.s tentang bila berlakunya kiamat, Baginda menjawab: “Yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya. Kerana baginda s.a.w hanya dimaklumkan tentang tanda-tandanya sahaja”. Tarikh berlakunya kiamat hanya menjadi rahsia Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.
TRAGEDI KIAMAT - Al- Ustaz Hj Taib Azamuddin Mohd Taib

Apabila tiba masanya yang telah ditentukan oleh Allah, maka sangkakala ditiupkan dan pengsanlah seluruh mahluk didunia. Kejadian yang amat mengejutkan ini berlaku berturut-turutan. Kemudian dibunyikan sangkakala dikali kedua, semua manusia dan seluruh mahluk bangun dan sedar kembali dari pengsan bagi menghadapi ke muka pengadilan.

* Peristiwa kiamat yang digambarkan dalam al-Quran merupakan satu tragedi yang paling dahsyat daripada apa yang dapat digambarkan. Satu gerakan bumi yang menakutkan, kencang dan cepat, kerana di waktu itu bumi akan digulung dengan suatu tarikan kuasa Allah SWT. ( Tafakur sejenak ) -
Bayangkan , sedangkan sejarah Tsunami yang berlaku pun amat mengerikan. "
Bayangkan keadaan kiamat dimana bumi digulung dengan amat pantas ".
' ALLAH HU AKBAR ' - Allah Maha Besar diatas segala-galanya.

* Sabda Rasullullah S.A.W yang diriwayatkan dari Mu'adz bin Jabal r.a bermaksud :-

" Jika datang hari kiamat, hari kerugian atau penyesalan, maka umatku akan dihalau oleh Allah SWT dari kubur mereka menjadi 12 golongan.

Golongan Pertama.

Mereka dihalau dari kubur tidak bertangan, tidak berkaki, kemudian dipanggil kehadapan Allah. Mereka terdiri daripada orang-orang yang menyakiti jiran tetangga & mati sebelum bertaubat.

Golongan kedua.

Mereka dibangkitkan dari kuburnya dengan rupa binatang atau babi,dihadapkan kehadapan Allah untuk pengadilan. Mereka ini adalah orang-orang yang memudah-mudahkan kefarduan sembahyang dan mati sebelum sempat bertaubat.

Golongan ketiga

Dibangkitkan dari kubur dengan perut besar dipenuhi ular dan kala. Mereka ini adalah orang-orang yang tidak mahu membayar zakat

Golongan ke Empat

Dibangkitkan dari kubur dengan darah mengalir dari mulut, isi perutnya terburai keluar disamping api menyala-nyala dari mulut mereka. Mereka ini adalah orang-orang yang berdusta dan melakukan penipuan dalam perniagaan, mati sebelum sempat bertaubat.

Golongan ke Lima

Dibangkitkan dari kubur dalam keadaan busuk lebih daripada bangkai, Mereka ini adalah orang-orang yang merahsiakan kemaksiatan dan kejahatan yang mereka lakukan, mati sebelum sempat bertaubat.

Golongan ke Enam

Dibangkitkan dari kubur dalam keadaan lehernya terputus-putus. Mereka ini adalah orang-orang yang menjadi saksi palsu dan pendusta, mati sebelum sempat bertaubat.

Golongan ke Tujuh

Dibangkitkan dari kubur dalam keadaan tidak berlidah, mulutnya mengalir darah dan nanah. Mereka ini adalah orang-orang yang melarang orang lain untuk memperkatakan kesaksian sesuatu kebenaran, mati sebelum sempat bertaubat.

Golongan ke Lapan

Dibangkitkan dari kubur dalam keadaan terpusing dengan kaki keatas kepala, farajnya keluar nanah yang panas mendidih. Mereka ini adalah orang-orang yang melakukan zina dan mati sebelum sempat bertaubat.

Golongan ke Sembilan

Dibangkitkan dari kubur dalam keadaan wajahnya hitam pekat, matanya terjojol keluar dan perut berisi api. Mereka ini adalah orang-orang yang memakan harta anak yatim

Golongan ke Sepuluh

Dibangkitkan dari kubur dalam keadaan kulitnya berbelang-belang dan berkudis. Mereka ini adalah orang-orang yang menyakiti hati kedua ibu bapa

Golongan ke Sebelas

Dibangkitkan dari kubur dalam keadaan yang buruk rupa, bergigi besar, bibir terkeluar keparas dada, lidahnya terkeluar dan perut membuncit keparas paha. Mereka ini adalah orang-orang yang minum arak

Golongan ke Dua Belas

Dibangkitkan dari kubur dengan muka berseri-seri, melintasi Siratulmustakim secepat kilat. Mereka ini adalah orang-orang yang mengerjakan amal Solleh, melarang melakukan kemaksiatan, menunaikan sembahyang lima waktu dan mereka mati dalam taubat

* Tafakur dan imaginasikan peristiwa ini, kembalilah kepada jalan yang benar mengikut hukum Allah dan bertaubatlah sebelum terlambat.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin