SAFAR BUKAN BULAN BALA DAN KHURAFAT
Kini kita
berada dalam bulan Safar. Bulan kedua dalam taqwim Islam yang
diperkenalkan oleh Saidina Umar RA. Dinamakan Safar kerana orang-orang
lelaki Arab keluar rumah untuk berdagang, menggembara dan menjalankan
kegiatan ekonomi di luar tempat tinggal. Rumah-rumah menjadi kosong dan
dipenuhi kaum perempuan dan kanak-kanak.
Sejarah juga
mencatatkan bahawa beberapa peperangan berlaku dalam bulan ini iaitu
peperangan Al Abwa dalam tahun dua hijrah, perang Bani Qainuqak dan Zi
Amin pada tahun ketiga hijrah dan Peperangan Khaibar pada tahun keempat
hijrah.
Demikian fakta
sejarah, namun hakikatnya dalam masyarakat kita hari ini, bulan Safar
dikaitkan dengan bala bencana dan musibah hingga menerbitkan beberapa
amalan khurafaat dan tahyul dengan harapan dapat menangkis dan menolak
musibah tersebut.
Amalan-amalan
khurafat bulan safar seperti mandi safar, membuat ancak, melarang
mengadakan kenduri kahwin dan percaya adanya burung hantu sebagai tanda
kematian masih berurat nadi dalam kehidupan masakini. Amalan, fahaman
dan kepercayaan seperti ini bukan sahaja bercanggah dengan syariat
Islam tetapi juga boleh menyebabkan rosaknya akidah.
Nahas dan bala
bencana bukan hanya berlaku dalam bulan Safar. Kepercayaan seperti ini
perlu ditolak kerana Allah Taala telah memberi amaran kesan dalam surah
At Taubah ayat 51 yang bermaksud:
”Katakanlah
(Wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun
melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung
yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah
jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawaqal”
Menurut Garis
Panduan Khurafat dan Azimat yang dikeluarkan oleh JAKIM, Khurafat
bermaksud cerita atau perbuatan yang direka dan bersifat karut,dusta dan
menyimpang dari ajaran Islam. Ia masih berlaku dalam masyarakat kerana
faktor sejarah dan kerapuhan iman.Sejarah telah menulis bahawa agama
Hindu telah lebih dahulu bertapak di negara ini berbanding Islam. Ini
menyebabkan kepercayaan kepada kubur keramat, pokok besar, azimat,
tangkal dan makhluk halus terus bertapak dalam masyarakat..
Pada zaman
jahiliyah, orang arab akan merujuk kepada tukang tilik tentang masa
depan mereka.. Syed Muhamad Qutb dalam bukunya Jahiliyyah Qarnil Isyrin
menyatakan bahawa ia masih berlaku dalam zaman mencabar yang dipenuhi
ICT dan serba canggih ini.Berpindah rumah hanya boleh pada hari Rabu,
memulakan kerja perlu pada hari Selasa atau Sabtu, meramal nasib dengan
memuja keramat adalah beberapa contoh jahiliyah moden yang masih wujud
dewasa ini.
Percaya kepada
pokok, kubur, telaga yang mempunyai kuasa selain Allah boleh membawa
syirik dan bertentangan kepada kepercayaan tauhid kepada Allah. Percaya
kepada sial, majal, memuja jin dengan meminta pertolongan darinya
seperti dilakukan sesetengah bomoh dan dukun dengan amalan menurun
adalah syirik dan menyesatkan. Mereka yang bersahabat dan menggunakan
jin seperti tukang sihir dan tilik nasib adalah tergolong di kalangan
orang yang bodoh dan menzalimi diri sendiri sebagaimana ditegaskan Allah
dalam Surah Yunus ayat 106 yang bermaksud:
”Dan janganlah
engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah yang tidak
mendatangkan manafaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan
mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka
jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim(terhadap diri sendiri
dengan perbuatan syirik itu)”
Terdapat
sebahagian umat Islam yang masih percaya bahawa Hari Rabu terakhir bulan
Safar merupakan hari turunnya ribuan bala yang menimpa umat. Oleh itu
mereka dilarang keluar rumah dan melakukan aktiviti sosial harian kerana
ditakuti akan ditimpa musibah. Malah anak-anak pula diminta mandi air
tolak bala atau mandi di pantai yang lebih dikenali sebagai Mandi
Safar.Sesunguihnya ia adalah kepercayaan karut dan bertentangan dari
ajaran Islam.
Malah perbuatan
pesta mandi laut telah mengundang kepada dosa lain seperti wujudnya
pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batas. Wujud juga ibubapa
yang tidak mahu mengadakan kenduri perkahwinan pada bulan ini kerana
ditakuti pasangan akan menjadi tidak bahagia atau tidak mendapat zuriat.
Kepercayaan seperti ini boleh menjadi syirik kerana kita lebih
mempercayai bulan dan bukan kuasa Allah.
Sebenarnya
nahas dan bala bencana tidak hanya berlaku dalam bulan Safar. Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud:”Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada
sempena(baik atau buruk) melalui burung berterbangan, tidak ada sial
pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah
setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana
kamu melarikan diri daripada singa yang bengis” Hadis riwayat Bukhari)
Sesungguhnya
mempercayai perkara yang disebutkan menjadikan umat Islam semakin
mundur, malas berusaha dan hanya berserah kepada takdir. Di kala umat
lain berlumba-lumba meneroka ilmu dan mencapai kejayaan, umat Islam
seolah-olah berundur dan tertinggal ke belakang.
Kita menjadi
tidak produktif kerana tidak dibenarkan keluar rumah pada hari Rabu
terakhir bulan Safar. Kesemua kegiatan ekonomi terbantut. Minda kita
menjadi jumud dan tidak berkembang kerana mempercayai fahaman karut
tersebut.Malah dalam kontek hubungan kita dengan Allah Taala, kita telah
melakukan satu dosa besar tanpa disedari iaitu syirik. Ingatlah
peringatan Rasululullah SAW tentang tujuh perkara yang membinasakan yang
perlu dijauhi di mana syirik merupakan perkara yang terletak di nombor
satu.
Amalan
penggunaan azimat, tangkal sebagai pelindung diri seperti kebal, ilmu
pengasih, ilmu pelembut hati yang dicampuradukkan dengan sihir juga
adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud:”Dari Ibn Mas’ud:rasulullah SAW bersabda:Sesungguhnya
jampi mentera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik” Hadis
riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Sungguhpun
jampi mentera diharuskan sebagaimana diceritakan oleh para sahabat yang
bertanya kepada Rasulullah, Syeikh Yusof Qardawui telah menggariskan
tiga syarat seperti yang terdapat dalam bukunya Fatawa Al Muasirah
1) Ia mesti didasarkan kepada Allah SWT dan nama-namaNya
2) Ia mestilah dituturkan dalam bahasa Arab dan kata-kata yang boleh difahami maksudnya
3) Beriktikad bahawa ianya tidak memberi kesan dengan sendirinya tetapi dengan takdir Allah SWT
Aqidah murni
menjadi sendi dalam masyarakat, tauhid menjadi paksi dan rohnya. Oleh
itu, agenda memperkukuh akidah merupakan tugas setiap individu. Ilmu
agama yang cetek perlu didalami kerana ia merupakan benteng paling
berkesan dari terjebak ke lembah khurafat dan syirik.
Cari maklumat, rujuk guru dan kitab. muktabar agar ia menjadi pendinding dari amalan yang sia-sia dan dilaknati Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan