BIASANYA apabila seorang kanak-kanak perempuan buat pertama kali datang darah haid, dia dikatakan sudah baligh dan bergelar gadis. Pada masa itu setiap ibu akan berasa bangga kerana anak gadisnya telah dewasa.
Dari sudut perubatan, ia menandakan bermulanya fasa di mana organ reproduktifnya akan mula berfungsi dan berkembang.
Ia bermakna organ reproduktif iaitu rahim dan ovari berkembang dan bertambah matang. Ia juga mula berfungsi agar penghasilan hormon wanita seimbang serta setimpal. Ini bagi memastikan ovari dan kitaran haid seimbang dan lancar.
Di samping itu, penghasilan hormon wanita iaitu estrogen akan menjadi lebih tinggi. Ini untuk memastikan perkembangan seksual sekunder seperti pembesaran buah dada, pertumbuhan bulu ketiak, pertumbuhan bulu pubis serta bentuk badan wanita.
Jika ada gangguan pada sistem tersebut, maka timbullah berbagai-bagai gejala yang tidak menyenangkan.
Ini termasuk pendarahan haid yang banyak, senggugut, kitaran haid yang tidak tetap dan banyak lagi.
Oleh itu maklumat yang betul tentang haid serta pendidikan seksual pada masa ini penting. Ini bagi membolehkan para remaja memahami segala perubahan yang bakal mereka alami.
Maklumat tersebut boleh diperoleh sama ada secara formal atau tidak formal. Jika ia dapat diterapkan dengan baik maka mereka akan lebih menghargai diri masing-masing.
Oleh itu keluarga terutama ibu, guru, kakak, ibu saudara serta kawan rapat memainkan peranan penting untuk memberi maklumat yang betul tentang pengetahuan seksual.
Setelah datang haid, seseorang wanita mahupun gadis tidak akan lari dari masalah haid. Salah satu gejala yang mungkin di alami ialah menorrhagia.
Menorrhagia
Menorrhagia merupakan satu gejala yang bermaksud haid yang keluar sangat banyak pada setiap bulan.
Kebiasaannya, darah haid yang keluar tidak melebihi 80ml pada setiap 21-35 hari kitaran untuk selama dua hingga tujuh hari.
Kehilangan darah haid yang terlalu banyak boleh berlaku apabila haid keluar terlalu banyak dan melimpah.
Jumlah hari yang terlalu lama dan kitaran haid terlalu singkat menyebabkan kedatangan haid terlalu kerap atau tidak tetap.
Oleh yang demikian, menorrhagia boleh didefinisikan sebagai haid yang melebihi 80ml setiap bulan.
Sebenarnya gejala ini merupakan salah satu masalah kesihatan di negara yang membangun.
Didapati hampir dua pertiga daripada wanita yang mempunyai masalah menorrhagia akan juga mengalami masalah iaitu masalah kekurangan zat besi.
Di New Zealand umpamanya, satu dalam lima wanita yang berusia 54 tahun ke atas terpaksa melalui pembedahan pembuangan rahim atau histerektomi akibat daripada masalah ini (Paul et al 1988).
Jika ia berlaku pada remaja pula sudah tentu boleh menjejaskan pembelajaran di sekolah.
Ini kerana kehilangan darah yang banyak dan berpanjangan boleh menyebabkan remaja tersebut akan menjadi anemia, pucat dan letih sehingga mengganggu pembelajaran beliau.
Sehubungan itu, remaja yang mempunyai masalah tersebut juga disarankan untuk cepat mendapat bantuan perubatan.
Punca
- Dysfunctional Uterine Bleeding (DUB).
Hampir 60 peratus dari gejala ini disebabkan oleh DUB. Ini boleh terjadi sama ada dalam kitaran anovulatory atau ovulatory.
Biasanya, jika gejala ini timbul pada wanita peringkat umur yang ekstrem iaitu pada remaja atau peri menopaus, berkemungkinan besar ia adalah kitaran anovulatory.
Ini terjadi disebabkan kitaran ovari yang belum begitu matang untuk berfungsi (pada remaja) atau kitaran ovari yang hampir gagal atau tamat usia untuk berfungsi (pada wanita perimenopaus).
Manakala jika gejala ini berlaku pada peringkat umur reproduktif, sebabnya masih tidak diketahui tetapi mungkin berkaitan masalah receptor tertentu dalam rahim.
- Masalah ginekologi
Dianggarkan 35 peratus dari gejala ini disebabkan masalah ginekologi seperti radang pada rongga pelvis, penyakit endometriosis, fibroid atau polip pada rahim, endometrial hyperplasia iaitu peringkat prakanser dinding rahim (endometrium), kanser rahim atau ketumbuhan pada ovari.
- Penyakit endokrin
Kurang lima peratus pula disebabkan penyakit endokrin seperti penyakit tiroid (hipotiroid), penyakit darah seperti Von Willebrand's Disease ataupun apabila seseorang itu mengambil ubat seperti warfarin.
- Penggunaan kaedah merancang keluarga
Bagi mereka yang menggunakan kaedah merancang keluarga seperti alat dalam rahim (IUCD), hampir 50 peratus daripada mereka mempunyai haid dua kali ganda lebih banyak.
Tetapi, keadaan ini adalah normal bagi pengguna IUCD. Biasanya rawatan yang disyorkan ialah bergantung kepada punca atau gejala tersebut.
Walaupun begitu, bagi wanita yang berumur 35 ke atas pengambilan contoh dalam rahim iaitu endomertrial sampling atau pengambilan sampel tersebut melalui histeroskop disyorkan sebelum memulakan rawatan.
Ini bagi memastikan gejala yang dialami bukan disebabkan oleh kanser rahim (endometrial hyperplasia).
- Rawatan hormon
Contoh rawatan hormon yang boleh diberikan termasuk Levonogestrel IUCD, progestogen dos tinggi seperti norethesterone, medroxyprogesterone selama tiga minggu setiap kitaran haid dan pil perancang.
- Anti-fibrinolitic - seperti tranexamic acid yang cuma di ambil semasa haid saja
- Nonsteriodal anti - inflammatory seperti
mefenamic acid (ponstan) boleh membantu
- Danazol.
Rawatan pembedahan konservatif termasuk:
- Endometrial ablation - Ia adalah kaedah memus nahkan lapisan endometrium menggu nakan pembedahan krio, laser atau gelombang mikro.
- Endometrial resection - Ia adalah kaedah di mana lapisan
endometrium tersebut dikikis atau dipotong.
Bagaimanapun, kaedah rawatan sama ada ubat-ubatan atau pembedahan konservatif bukanlah jaminan kejayaan 100 peratus.
Ada kalanya apabila rawatan ubat-ubatan gagal, pembedahan pembuangan rahim adalah disyorkan.
Begitu juga hampir 40 peratus daripada pesakit yang telah melalui pembedahan konservatif tersebut terpaksa melalui pembedahan histerektomi selepas lima tahun rawatan.
Oleh itu setiap wanita harus prihatin pada setiap perubahan pada diri masing-masing.
Jika anda mendapati terdapat perubahan pada haid, pergilah berjumpa doktor untuk mendapat kepastian, mengenal pasti penyakit dan mendapatkan rawatan yang berkaitan.
Ini adalah kerana jika diperhatikan gejala menorrhagia sendiri boleh disebabkan oleh berbagai-bagai sebab termasuk kanser.
Sukar untuk mengenal pasti penyebab sesuatu masalah berdasarkan kepada gejalanya saja. Oleh itu beberapa pemeriksaan lain harus dijalankan untuk mengenal pasti penyebabnya sebelum memulakan rawatan.
Jika anda menangguhkan pemeriksaan ia boleh memudaratkan kesihatan dan jika ia kanser mungkin segala rawatan yang disyorkan sudah tidak berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan