Masyarakat melahirkan kebimbangan terhadap senario yang melanda remaja akhir-akhir ini yang seolah-olah terkeluar daripada bendungan norma sosial . Berita yang dipaparkan dalam media massa mula menunjukkan peningkatan yang ketara terhadap kes seks bebas , mengandung luar nikah dan isu remaja perempuan yang terlibat dengan pergaulan bebas seperti aktiviti bohsia dan bohjan serta hilang dara pada usia yang begitu muda. Menurut Laporan Kementerian Kesihatan berkaitan dengan isu Seksual dan Reproduktif Remaja 2003 yang berdasarkan hasil penelitian lebih 250 penyelidikan dan bahan bertulis, peratusan tinggi remaja telah melibatkan diri dalam hubungan seks luar nikah dan hubungan seks berisiko tinggi tanpa perlindungan sewajarnya, termasuk melawat pelacur untuk mendapatkan pengalaman seksual kali pertama. Suatu kajian yang dilakukan oleh Persekutuan Persatuan Perancangan Keluarga Malaysia juga mendedahkan suatu kes di mana seorang remaja seawal usia sembilan tahun telah terjebak dalam hubungan seks.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilaporkan berkata, mata pelajaran mengenai perlakuan seks, onani dan cinta mungkin menjadi sebahagian daripada sukatan pelajaran di sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, selain beberapa isu berkaitan seperti kehamilan, perkahwinan serta penyakit seksual berjangkit. Usaha membuat penafsiran terperinci draf mengenai pendidikan seks di sekolah juga sedang dilakukan. Ura-ura memperkenal mata pelajaran Seks oleh sebuah kementerian di negara ini telah diwar-warkan dalam akhbar dan televisyen . Usaha ini mendapat sokongan daripada kepimpinan negara , beberapa badan bukan kerajaan dan sebagainya. Namun begitu terdapat juga pendapat yang menentang usaha ini.
Matlamat pengenalan mata pelajaran Pendidikan Seks ialah menjadikannya sebagai satu bentuk pendedahan awal di kalangan remaja di sekolah berkaitan dengan isu seksualiti. Ia juga berikutan dengan usaha mengelak remaja melibatkan diri dengan seks bebas dan memberi kesedaran kepada mereka tentang seks sihat .
Isu
Dua pertubuhan bersetuju pendidikan seks dimulakan di sekolah tahun depan tetapi bercanggah berhubung pendekatan dan cara pelaksanaannya. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bersetuju ia diajar di sekolah rendah dan menengah, manakala Kongres Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menegaskan ia sepatutnya tidak membabitkan sekolah rendah kerana masanya belum sesuai. Fokus terhadap isu pendidikan lain nampaknya lebih berat berbanding isu ini di sekolah rendah. Bagaimanapun, kedua-dua pertubuhan itu sepakat subjek terbabit tidak perlu dijadikan subjek khusus, sebaliknya hanya diselitkan dalam mata pelajaran lain bagi mengelak beban guru bertambah . Ini kerana tumpuan kepada masalah lebih besar yang dihadapi seperti kelemahan menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira di kalangan murid yang belum lagi selesai
Namun demikian pengenalan mata pelajaran Pendidikan Seks mula meresahkan ibu bapa. Ini kerana kebanyakan daripada mereka berasa risau . Mereka menganggap isu seks jika dibicarakan secara berdepan atau terbuka , ianya bakal melanggar tradisi dan adat ketimuran dalam masyarakat di negara ini. Isu ini boleh dianggap sebagai isu “ taboo ” dan tidak boleh dibicarakan secara terbuka atau sebaris dengan isu-isu yang lain yang melibatkan pendidikan .
Masyarakat melihat mata pelajaran Pendidikan Seks ini dari sudut yang berbeza. Pengenalan mata pelajaran Pendidikan Seks ini dilihat akan menggalakkan lagi perlakuan seks bebas dalam kalangan remaja .Ini juga bertentangan dengan prinsip bahawa perlakuan seks hendaklah dibincangkan selepas perkahwinan berlangsung dan bukan semasa mereka masih lagi dalam golongan atau peringkat remaja lagi. Jadi perkiraan kesesuaian masa atau peringkat umur juga menjadi satu isu yang agak besar
Pengenalan mata pelajaran Pendidikan Seks ini juga menjadi satu isu yang sangat besar dari segi sukatan pelajaran . Masyarakat mempunyai tanggapan sendiri akan sukatan yang bakal digunakan . Pihak kementerian dilihat gagal memberi penjelasan secukupnya bagi memberi gambaran sebenar tantang bagaimana dan apa yang akan diajarkan dalam mata pelajaran Pendidikan Seks ini di sekolah.
Masyarakat juga mempunyai tangggapan tersendiri tentang bahan yang akan digunakan sebagai alat bantu mengajar dalam mengendalikan subjek ini. Kebanyakan anggota masyarakat beranggapan alat seperti kondom , pil perancang , dan perlakuan seks akan dipertontonkan kepada anak-anak mereka dalam sesi pengajaran dan pembelajaran .Jika ini benar , sudah tentu ia menjadi suatu yang melampaui batas atau melanggar tatasusila budaya Melayu dan adat ketimuran yang dipertahan selama ini .
Pengenalan mata pelajaran Pendidikan Seks ini dianggap tidak sesuai untuk usia semuda 13 tahun . Ini kerana pada usia tersebut pelajar tidak sesuai didedahkan dengan bahan dan perlakuan seks. Masyarakat menganggap ianya akan mengganggu tumpuan pelajar terhadap mata pelajaran yang lain yang lebih memerlukan tumpuan .
Ibu bapa pelajar di kawasan pedalaman dan di luar bandar lebih tersentuh dengan isu ini . Ini kerana rata-rata ibu bapa yang datang dari keluarga yang berlatarbelakangkan akademik yang rendah mempunyai tahap pemikiran yang tidak terbuka . Ini berbeza pula dengan ibu bapa di bandar yang berlatarbelakangkan akademik tinggi dan taraf sosio ekonomi yang tinggi akan menerima pengenalan mata pelajaran Seks ini dengan lebih terbuka. Kemarahan ini wujud kerana ibubapa bimbang sekiranya anak-anak diajar tentang pendidikan seks, rasa ingin tahu mereka tentangnya akan membuak-buak, lantas dengan ilmu yang mereka perolehi itu, mereka akan mencubanya sendiri. Mereka bimbangan tentang anak-anak akan bereksperimen dengan ilmu yang mereka perolehi dari pendidikan seks ini . Namun ada yang menentang kebimbangan ini. Mereka berpendapat ada banyak perkara yang kita belajar di sekolah tetapi ia tidak menyebabkan kita mencubanya. Misalnya, di sekolah kita diajar tentang tenaga elektrik, tetapi tiada seorang murid pun yang bereksperimen dengan perkara ini dengan cara yang boleh memudaratkan mereka. Ini kerana mereka bukan sahaja diajar tentang tenaga elektrik dan kegunaannya, tetapi juga tentang potensinya untuk mendatangkan mudarat. Malah, pelajar juga diajar tentang langkah berjaga-jaga dalam menangani tenaga eletrik agar ia tidak memudaratkan. Dengan ilmu yang menyeluruh tentang sesuatu perkara seperti ini, para pelajar akan terbimbing dengan apa yang boleh dan tidak boleh dalam berhadapan dengan sesuatu elemen yang dipelajari.
Kita sepatutnya melihat isu pendidikan seks ini dari perspektif yang sama. Pendidikan seks bukan hanya mengajar anak-anak bagaimana melakukan hubungan seks. Tetapi ia merangkumi ilmu-ilmu lain yang sehubungan dengannya seperti fungsi reproduktif manusia, penjagaan kesihatan, bila masa yang sesuai untuk melakukannya, kesan-kesan darinya dan berbagai perkara lagi. Dengan mengetahui segala-galanya ini, mereka akan menjadi lebih terbimbing apabila berhadapan dengan seks dan seksualiti. Namun demikian apa yang berlaku ialah remaja mendapatkan pengetahuan tentang hal seks ini melalui bahan bacaan picisan seperti majalah , internet , filem lucah dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, ada ibubapa yang merasa lega jika sekolah dapat memberikan pendidikan seks ini kepada anak-anak mereka. Ini kerana mereka sendiri tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya di samping wujudnya rasa malu untuk menerangkan perkara tersebut. Jadi, jika tugas itu dapat diambil oleh pihak sekolah, ibubapa ini amat mengalu-alukannya. Ia bukan sahaja dapat meringankan beban mereka tetapi juga memastikan bahawa anak-anak mendapat ilmu yang berkaitan dari sumber-sumber yang bertangungjawab dan bukannya bergantung kepada majalah, internet atau rakan sebaya.
Termasuk di dalam pendidikan seks ini ialah pengajaran tentang nilai-nilai yang seharusnya wujud bersama hubungan seks tersebut. Misalnya, nilai masyarakat Malaysia bahawa hubungan seks hanya patut berlaku selepas berkahwin, juga hubungan tersebut perlu disertakan dengan rasa kasih sayang, tanggungjawab dan seumpamanya. Bagi mereka yang menyokong idea agar pendidikan seks diajar di sekolah, selain merasakan ilmu tersebut perlu, mereka juga merasakan jika tidak diajarpun, anak-anak itu akan memperolehnya dari sumber-sumber yang lain seperti internet dan rakan sebaya. Ada yang berpendapat bahawa ibubapa adalah orang yang terbaik untuk mendidik anak-anak mereka dengan ilmu ini. Ini kerana selain menerangkan hal-hal yang berkaitan dengan seks, mereka juga menjadi “contoh hidup” (living example) untuk anak-anak tadi. Misalnya, ikatan perkahwinan menghalalkan hubungan seks antara ibu dan bapa; hubungan seks itu pula wujud diiringi dengan nilai-nilai cinta, kasih sayang dan rasa tanggungjawab; hubungan intim itu menghasilkan anak-anak yang bukan sahaja menguatkan kasih sayang antara keduanya tetapi juga yang hadir bersama tanggungjawab-tanggungjawab tertentu dan sebagainya.
Sehubungan dengan isu pendidikan seks ini,pandangan sudut agama Islam yang ada dalam masyarakat perlu diambil kira. Ramai kalangan agama melihat, orang yang lebih sesuai untuk melakukannya ialah ibubapa sendiri. Dalam buku yang bertajuk Pendidikan Anak-anak Dalam Islam yang ditulis oleh Abdullah Nasir Ulwan, beliau menyebut bahawa pendidikan anak-anak dalam Islam ini meliputi tujuh komponen dan salah satunya ialah pendidikan seks. Adalah menjadi tanggungjawab kedua ibubapa untuk memberikan pendidikan seks ini kepada anak-anak mereka. Abdullah menyebut bahawa pendidikan seks bermaksud mengajar anak secara berterus-terang sejak ia mula berakal dengan faktor-faktor yang berkait rapat dengan seks. Pendidikan seks ini perlu diberi secara bertahap mengikut perkembangan umur anak-anak. Misalnya, pada usia 7 – 10 tahun anak-anak perlu diajar tentang adab meminta izin dan adab-adab penglihatan. Pada usia 10 – 14 tahun pula, mereka perlu dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh menimbulkan nafsu berahi. Pada usia 14 – 16 tahun, mereka perlu didedahkan kepada adab-adab perhubungan seks. Pada usia baligh/dewasa mereka perlu diajar untuk memelihara diri (terutamanya bagi anak-anak yang belum mampu untuk berkahwin).
Kaedah pengajaran mata pelajaran Pendidikan Seks ini juga menjadi isu yang dibincangkan . Terdapat kata-kata gurauan yang bertanya sama ada terdapat sesi amali dalam mata pelajaran seks ini. Masyarakat keliru akan metodologi atau kaedah pengajaran subjek ini sama ada ia menjurus kepada hubungan seks atau tingkahlaku sosial antara jantina .Ibu bapa bertanggapan bahawa pengenalan alat seks seperti kondom seolah-olah menggalakkan lagi seks bebas dan perlakuan zina sebelum alam perkahwinan .
Cara atasi
Kementerian pendidikan wajar memberi penjelasan bagi mengatasi masalah kekeliruan yang timbul. Ianya boleh dilakukan melalui penjelasan sidang akhbar , pengenalan sukatan yaang telus , penerangan melalui media sama ada media cetak mahupun media elektronik. Melalui Pusat Perkembangan Kurikulum sukatan pelajaran mata pelajaran Seks perlu diteliti dan diperhalusi supaya tidak menimbulkan kekeliruan semasa proses pengajaran dan pembelajaran guru dijalankan .Guru tersebut hendaklah diberikan kursus yang mantap agar penyampaian dapat berjalan dengan lancar dan berkesan . Modul itu bolehlah merangkumkan pelbagai aspek seperti perkembangan manusia, perhubungan antara jantina , perkahwinan dan kekeluargaan, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya
Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran ini boleh diajar atau diterapkan melalui 2 pendekatan iaitu sebagai satu mata pelajaran khusus ataupun sebagai sisipan dalam beberapa mata pelajaran lain . Contohnya subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan , Pendidikan Moral, Biologi dan Pendidikan Islam . Di sini peranan guru begitu jelas agar tidak dibebani dengan tugas mengajar mata pelajaran Pendidikan Seks ini secara berseorangan malahan berganding bahu bersama guru lain. Guru PJPK boleh boleh mengajar sistem tumbesaran fizikal dan fungsi anggota badan . Guru Biologi boleh mendedahkan tentang sistem pembiakan dan organ pembiakan . Guru Pendidikan Islam boleh menasihatkan anak muridnya agar menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan .Ia juga boleh menimbulkan isu berkaitan dengan pemakaian yang sopan , malu untuk mendedahkan aurat serta malu melihat perbuatan yang tidak senonoh. Aspek nilai menghargai maruah diri perlu ditekankan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan .
Sebagai persediaan awal guru-guru perlulah dilatih dengan ilmu seksualiti secara mendalam agar tidak berlaku sebarang kekeliruan jika berhadapan dengan para pelajar .
Badan agama dan kerohanian boleh melakukan kursus praperkahwinan sebagai persediaan bagi menuju alam perkahwinan . Ianya boleh dijadikan satu panduan kepada bakal pengantin agar tidak berlakunya seks sebelum nikah .
Pihak sekolah boleh mengadakan kursus keibupabapaan melalui PIBG . Ianya boleh diajadikan satu landasan bagi mendedahkan dan memberi pengetahuan bagaimana cara untuk menyampaikan pendidikan seks ini secara sebaik-baiknya .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan