Rabu, 3 Disember 2014

HARI KIAMAT DAN SUASANA DI ALAM PADANG MASYAR.

3-flower-clip-art-outline-sSetelah tiba Hari Kiamat, roh manusia akan berpindah dari alam kubur ke alam yang keempat iaitu Alam Masyar. Sekelian manusia, dari manusia pertama yang dicipta (Nabi Adam as) sehingga kepada manusia terakhir yang dilahirkan sejurus sebelum kedatangan kiamat, akan berkumpul di satu tempat yang dinamakan Padang Masyar. Tempat itu dinamakan sebagai 'Padang' kerana ia adalah suatu tempat yang sangat luas dan lapang tanpa ada sebarang tumbuhan mahupun bangunan. Padang Masyar akan dipenuhi manusia sejauh mata memandang tanpa ada tempat kosong walau sedikitpun. Gambaran manusia berkumpul pada satu masa yang sama jelas dilihat pada setiap Hari Wuquf di Padang Arafah. Ini adalah petanda besar yang diberi ALLAH swt kepada kita hamba-NYA supaya yakin akan kedatangan hari di mana kita semua akan berkumpul dengan sebenar-benarnya berkumpul.

Gambaran manusia berkumpul di Padang Arafah adalah petanda bahawa manusia akan berkumpul
kelak di Padang Masyar.

Hari itu dinamakan sebagai Hari Hasyr yang bererti hari manusia akan berkumpul atau berhimpun sebelum dihisab. Lamanya manusia akan berhimpun dan menunggu tidak ada penjelasan yang jelas sama ada dari al-Qur'an mahupun hadith Nabi saw. Walau bagaimanapun dalam ayat 45 surah Yunus diterangkan kiraan masa di akhirat ialah satu saat hidup di alam dunia bersamaan dengan satu hari di akhirat kelak.

Surah Yunus ayat 45, maksudnya; "Dan (ingatlah) masa Tuhan menghimpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama mereka sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang mendustai hari menemui ALLAH untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk."

Sebuah hadith Nabi Muhammad saw mengatakan bahawa manusia akan menunggu di Padang Masyar selama 40 waktu. Tidak dinyatakan dengan jelas adakah ia 40 hari atau 40 minggu atau 40 bulan atau 40 tahun. Jika satu saat hidup di alam dunia bersamaan dengan satu hari di Masyar, bererti satu minit (60 saat) hidup di dunia bersamaan dengan dengan 60 hari akhirat. Cubalah kira berapakah lamanya masa berjalan di alam sana. Berapa lamakah masa 40 hari atau 40 tahun di Alam Masyar itu?

Apakah yang ditunggu oleh manusia di Padang Masyar?
Manusia dihimpunkan di Padang Masyar untuk dihisab segala amalan baik buruk mereka semasa hidup di Alam Dunia. Sebelum perhisaban berlaku, sekalian manusia akan berdiri menunggu tanpa ada batas waktu yang diketahui.

Suasana Padang Masyar

Alam Masyar adalah alam ghaib yang tidak dapat digambarkan keadaannya dengan sebenarnya melalui gambaran kehidupan dunia. Namun sebagai persediaan kita diberi gambaran melalui al-Qur'an dan hadith Nabi saw. Kesimpulannya keadaan di sana adalah seperti berikut :-

  • terlalu panas ( matahari sejengkal di atas kepala)

  • terlalu gelap (cahaya diangkat)

  • tiada air

  • tiada makanan

  • tiada tempat berlindung

Penerangan ini hanyalah gambaran dunia supaya senang kita fahami. Keadaan sebenar di Masyar hanya ALLAH yang Maha Mengetahui. Tidak dapat digambarkan bagaimana suatu alam yang ada matahari tetapi dalam keadaan gelap. Inilah alam ghaib yang dinamakan Alam Masyar. Keadaannya sangat panas dan gelap. Tiada tumbuhan atau bangunan untuk dijadikan tempat berlindung. Tempatnya kering kerana tiada air dan makanan. Inilah Padang Masyar tempat manusia berkumpul setelah dibangkitkan dari kubur. Mereka berkumpul untuk diadili dan diberi balasan atas apa jua usaha mereka semasa hidup di Alam Dunia.

Keadaan manusia di Alam Masyar.

Dalil tentang alam kiamat atau Alam Masyar adalah dari kitab suci al-Qur'an. Antara surah-surah yang menceritakan keadaan manusia di hari akhirat ialah surah al-Waqi'ah, surah an-Naba', surah Infitar, surah al-Insyiqaq, surah al-Ghasyiah, surah al-Qari'ah dan banyak lagi ayat-ayat yang menceritakan dengan jelas keadaan manusia di sana. Silalah membacanya.

Secara ringkas manusia akan menjadi seperti berikut:-

  • menjadi 3 golongan - golongan kanan, golongan kanan dan golongan terdahulu

  • muka menjadi hitam atau putih

  • muka tunduk kerana merasa hina

  • ada yang bergembira, ada yang berdukacita

  • ada yang berada dalam kegelapan

  • ada yang mempunyai cahaya di hadapan dan kanannya.

  • semua merasa menyesal

  • berlutut ketakutan

  • tidak boleh berkata-kata untuk membela diri

Pemandangan keadaan manusia pada hari itu adalah amat dasyat dan hebat. Sekelian manusia tidak berpakaian tetapi tidak siapa pun yang peduli akan keadaan itu  kerana masing-masing merasa bimbang, cemas dan takut akan nasib diri sendiri sehingga tidak menghiraukan keadaan orang lain. Inilah azab yang akan dirasa oleh manusia di Padang Masyar kelak.

Maksud Firman ALLAH swt :-

Surah Hud ayat 5,  "Pada datangnya Hari Kiamat itu, tiadalah seorang pun dapat berkata-kata untuk membela diri atau memohon pertolongan melainkan dengan izin ALLAH. Maka ada di antara mereka yang celaka, dan ada pula yang berbahagia."

Surah al-Jaathiyah ayat 28, "Dan pada Hari Kiamat, engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan; tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya serta dikatakan kepadanya; 'Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang telah kamu kerjakan' . "

Begitulah suasana di Padang Masyar tatkala manusia menunggu untuk dibicarakan di Makhamah Agung ALLAH swt.

*** Nota Tambahan:
Manusia akan melalui beberapa peringkat kejadian setelah terjadinya Hari Kiamat. Ia adalah seperti berikut:-

  • Hari Kebangkitan

  • Hari Perhimpunan

  • Hari Pembahagian Kitab Catitan Amal

  • Hari Pengadilan

  • Hari Pembalasan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin