Perkahwinan
dapat diibaratkan seperti sebuah kapal yang belayar di tengah samudera
kehidupan untuk menuju ke sebuah destinasi yang abadi iaitu kematian.
Memang, jarang sekali kematian dikaitkan dengan perkahwinan tetapi
itulah yang sering kita harapkan daripada pelbagai ucapan dan ungkapan
iaitu semoga perkahwinan itu berakhir hanya dengan kematian dan bukannya
perceraian atau terburai di tengah jalan.
Kita
selalu mengucapkan kepada pasangan pengantin semoga berbahagia ke akhir
hayat atau semoga kekal perkahwinan mereka sehingga ke anak cucu.
Maksudnya semoga perkahwinan kalian itu kekal sehingga mati. Jika
begitulah kehendaknya maka bagaimanakah seharusnya kita perlu bersedia
dan bersiap diri sebelum menuju ke alam rumahtangga dan menjadi seorang
suami kepada seorang wanita dan bapa kepada anak yang akan dilahirkan ?
Ramai
lelaki tidak berfikir panjang dan bersedia bersungguh-sungguh untuk
bernikah sebaliknya membiarkan diri mereka dikuasai oleh nafsu dan
kehendak yang meluap-luap untuk segera menikmati keseronokan alam
rumahtangga dan menjalani kehidupan baru sebagai suami isteri. Perbuatan
ini selalu membawa penyesalan dan penderitaan yang berpanjangan baik
kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Membina rumah dari kayu dan
papan pun boleh membawa bahaya dan musibah jika ianya tidak kukuh,
kurang persediaan dan salah perancangan inikan pula jika membina sebuah
kehidupan yang menampung pelbagai nyawa, hati dan perasaan tanpa
persediaan, kemahiran dan pengetahuan yang mencukupi.
Bukan
sahaja bahaya, bahkan derita, sengsara dan juga iman kerap kali menjadi
mangsa dan dikorbankan oleh nafsu dan hasutan syaitan yang gemar
mempermainkan pasangan-pasangan muda sehingga terjadi perceraian atau
pergaduhan tanpa henti dan kehidupan masing-masing penuh dengan duka
serta masa depan yang suram.
Perkahwinan
ialah antara ibadah yang paling disukai oleh iblis dan syaitan untuk
dirosakkan kerana kesannya bukan sahaja kepada individu terbabit bahkan
mampu menjadi krisis yang besar dan mengundang pelbagai dosa sampingan
yang lain seperti permusuhan, perebutan hak, fitnah dan sebagainya.
Imam
Muslim rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis daripada Jabir ra yang
menyebutkan bahawa Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda
yang bermaksud :“Sesungguhnya
iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan. Kemudian dia
mengirimkan bala tenteranya untuk menghasut manusia melakukan kejahatan.
Orang bawahan yang paling hampir kedudukannya dengan iblis adalah yang
menimbulkan fitnah paling besar kepada manusia. Seorang daripada mereka
datang dan berkata, ‘Aku telah melakukan ini dan itu.’ Lalu Iblis pun
menjawab : ‘Engkau belum melakukan apa-apa lagi yang besar.” Nabi sallallahualaihi wasallam melanjutkan, “Lalu
datanglah seorang daripada mereka dan berkata, “Aku telah mengikuti
manusia sehingga aku tidak meninggalkan mereka melainkan dalam keadaan
aku telah berhasil memisahkan seorang suami dan isterinya.’’ Lalu iblis
pun memanggilnya agar dia dekat dengan Iblis dan berkata, “Sebaik-baik
fitnah adalah usaha yang telah engkau lakukan.” (Hadis Sahih riwayat Muslim)
Perkahwinan
adalah amat berkait rapat dengan aqidah seperti baju dengan jarum.
Walaupun baju adalah sejenis pakaian dan diperbuat daripada kain
manakala jarum pula adalah besi yang berasal daripada logam namun
hubungkait antara keduanya amat sinonim kerana tanpa jarum maka baju itu
tidak akan dapat dijahit sama sekali.
Begitulah aqidah dan perkahwinan.
Aqidah
ialah ikatan antara seorang hamba dengan tuhannya dan syaitan pasti
akan melonggarkan ikatan tersebut dan berusaha merungkaikannya. Di sisi
orang yang beriman, perkahwinan akan menjadi alat untuk mengukuhkan
ikatan tersebut apabila hubungan suami isteri, kasih sayang dan hubungan
kekeluargaan yang terbina dapat menjadi nikmat dan kekuatan kepada diri
masing-masing di dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Namun
bagi mereka yang lemah imannya maka perkahwinan akan menjadi alat
kesukaan syaitan yang dipermainkan untuk menyesatkan manusia. Waktu itu,
suami isteri, anak-anak akan bertukar menjadi fitnah dan penyebab
kerosakkan dan pemutus hubungan dengan tuhannya.
Berapa
ramai pasangan yang bergaduh dan bercerai kemudian menjadi berputus asa
terhadap rahmat Allah dan semakin jauh daripadaNya ? Berapa ramai pula
alim ulama dan pendakwah yang mengabaikan perjuangan kerana masalah
rumahtangga dan isu kekeluargaan yang menimpa dirinya ?
Itulah fitnah yang perlu diawasi oleh orang yang beriman.
Oleh
yang demikian, persediaan sebelum perkahwinan adalah amat mustahak
dimiliki oleh setiap pasangan khususnya bakal-bakal suami dan lelaki
yang akan menjadi ketua keluarga dan pemimpin dalam kehidupan isteri dan
anak-anaknya.
Al-Quran
dan As-sunnah telah memberitahu kita tentang pelbagai persediaan yang
perlu dilakukan oleh para pemuda sebelum melangkah masuk ke alam
perkahwinan. Di antara semua senarai persediaan yang banyak itu terdapat
10 persediaan yang paling penting untuk diperhatikan dan diusahakan
oleh anak-anak muda sebelum menyahut gelaran sebagai seorang suami.
1. Memiliki aqidah yang sahih
Aqidah
yang sahih bermaksud ikatan kepercayaan dan pegangan di antara seorang
hamba dan Allah SWT yang terjalin secara benar dan sah disisi agama
melalui pertunjuk Al-Quran dan As-sunnah yang sahih. Hal ini menjadi
asas dan perkara yang paling penting dan utama dimiliki oleh seorang
muslim sebelum melakukan sebarang urusan keagamaan yang lain.
Firman Allah SWT : “Dan
janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik dengan wanita-wanita
mukmin sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba lelaki yang mukmin itu
adalah lebih baik dari orang lelaki yang musyrik, walaupun dia menarik
hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedangkan Allah mengajak kamu ke
syurga dan keampunan dengan izin-Nya.” (Al-Baqarah : 221)
Sebelum
bernikah dan mendirikan rumahtangga maka hendaklah seseorang anak muda
atau lelaki itu berusaha membersihkan aqidahnya dari sebarang kesalahan
dan kesilapan dan berusaha memperkukuhkan keimanan dan keyakinannya
kepada Allah SWT menurut ajaran Al-Quran dan As-sunnah.
Buah
dari aqidah yang benar ialah tauhid yang tulus dan suci serta bersih
daripada syirik dan kekufuran. Inilah yang mesti dimiliki sebelum
memasuki gerbang pernikahan agar pasangan atau isteri serta ahli
keluarga terselamat dari kesesatan dan diredhai oleh Allah SWT.
2. Mempunyai tujuan dan perancangan hidup
Perkahwinan
ialah alat atau wasilah dan bukanlah merupakan matlamat hidup
seseorang. Apa yang berlaku dalam perkahwinan ialah dua insan menjadi
pasangan dan hidup bersama secara halal. Perkahwinan
tidak akan mengubah hidup seseorang menjadi lebih baik atau lebih buruk
sebaliknya perkahwinan adalah alat yang bergantung kepada cara
seseorang itu menggunakannya untuk mencapai sesuatu tujuan.
Daripada Amirul Mukminin, Umar bin Khattab ra yang berkata : Aku mendengar rasulullah salallahu alaihi wasalam bersabda : “Sesungguhnya
setiap amal itu dengan niat dan setiap amalan itu dibalas menurut apa
yang ia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan rasul-Nya
maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan rasul-Nya dan barangsiapa yang
hijrahnya itu untuk tujuan dunia yang akan diperolehinya atau kerana
perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu ialah kepada apa
yang diniatkan olehnya.” (hadith riwayat Muslim)
Seperti
kereta ia adalah kenderaan yang boleh dipandu ke mana-mana yang kita
mahu tetapi kitalah yang mesti menetapkan arah tuju dan destinasinya.
Kereta itu tidak boleh bergerak sendiri atau membawa kita ke mana-mana
jika kita tidak memandunya atau tidak mengetahui arah tuju yang harus
diambil. Perkahwinan ialah seperti kereta yang tidak akan bergerak ke
mana-mana tanpa mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas.
Maka
adalah penting bagi suami dan seorang bapa untuk memimpin keluarganya
menuju ke sebuah destinasi dan matlamat tertentu dengan menggunakan
perkahwinan dan keluarganya sebagai kenderaan. Oleh itu sebelum
melangsungkan pernikahan hendaklah dipastikan kita memiliki matlamat dan
tujuan jelas yang mahu dicapai dari perkahwinan ini agar ianya dapat
membantu kita memimpin dan memandu perkahwinan menuju ke matlamat yang
dimahukan.
3.Mempunyai asas kekuatan jiwa dan kawalan diri
Kekuatan
jiwa bermaksud kekuatan hati dan keperibadian yang dimiliki oleh
seseorang yang dapat menyebabkan dia mampu mengawal dirinya dan kuat
menghadapi dugaan dan cabaran dalam kehidupan. Antara asas kekuatan jiwa
yang paling mustahak untuk dimiliki oleh seseorang lelaki sebelum
melangkah ke alam perkahwinan ialah seperti kesabaran dan kawalan diri
dari melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Kita
perlu memahami bahawa dalam perkahwinan, suami mempunyai kedudukan yang
tinggi dan penting. Kebahagiaan isteri dan neraka mereka adalah
bergantung kepada sikap suami dan kekuatan peribadi sang lelaki dalam
mengawal diri. Jika suami seorang yang pemarah, kaki pukul dan gagal
mengawal diri maka banyak bahaya dan kemudharatan dikhuatiri akan
menimpa pihak isteri yang boleh mengakibatkan kehancuran rumahtangga dan
pelanggaran hukum Allah SWT.
Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda :
“Tidak
boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang
kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” (hadis hasan riwayat
Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi)
Adalah
haram menikahi seorang wanita dengan niat untuk melakukan kemudharatan
terhadap dirinya atau dalam keadaan tidak bersedia dan tidak mampu untuk
memenuhi keperluannya sehingga menyebabkan kesusahan dan mudharat
kepada agama, nyawa, akal dan maruah serta hartanya yang dipelihara oleh
Islam. Oleh yang demikian persediaan kekuatan jiwa dan kawalan diri
sebelum berkahwin ialah wajib dimiliki oleh setiap lelaki muslim agar
diri mereka layak menjadi pemimpin dan ketua keluarga yang berkemampuan
menegakkan hukum Allah SWT dalam rumahtangga mereka.
4. Mampu membaca kitab Allah dan sunnah rasul-Nya
Tidak
ada petunjuk selain petunjuk Allah dan Rasul-Nya dan petunjuk tersebut
hanya akan dapat diperolehi jika kita mampu membaca dan memahami isi
kandungan kitab Allah SWT dan sunnah rasul-Nya. Sebagai ketua keluarga,
lelaki Muslim bertanggungjawab membawa ahli keluarganya ke jalan Allah
SWT dan menyelamatkan mereka dari menjadi bahan bakar api neraka.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai
orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api
neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (At-Tahrim : 6)
Adalah
menjadi syarat yang penting bagi seorang bapa dan wali kepada perempuan
untuk memastikan calon suami kepada anak-anak gadis mereka mampu
membaca kitab Allah dan boleh merujuk kepada sunnah rasululullah
salallahualaihiwassalam. Sekurang-kurangnya dia mampu menguasai bacaan
Al-Quran dengan baik dan boleh menjadi Imam dalam keluarganya, mampu
membuka tafsir dan merujuk kitab-kitab tafsir atau kitab terjemahan
untuk mempelajari maksud-maksud ayat-ayat Allah SWT dan mengambil
pelajaran daripadanya.
Juga
dia mampu untuk membaca hadith-hadith rasulullah
salallahualaihiwassalam dan boleh mencari rujukan dan pelajaran dari
hadith-hadith tersebut walaupun dengan bantuan kitab-kitab terjemahan
dan buku-buku hadith yang ringkas seperti hadith 40 karya Imam Nawawi
atau Riyadhus Solihin bagi mengajarkan ahli keluarganya kehidupan
menurut sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.
5. Mengetahui tentang halal dan haram dan cara beribadah (fardhu ain)
Seorang
lelaki yang telah mukallaf dan berhasrat untuk bernikah wajib
mengetahui perkara yang halal dan haram dalam agama serta cara untuk
menunaikan ibadah kepada Allah SWT yang disebut sebagai ilmu fardhu ain
sebelum dirinya layak untuk bernikah dan menjadi ketua keluarga. Hal ini
amat penting kerana tanpa mengetahui apa yang halal dan haram,
bagaimana dia akan mampu untuk membimbing isterinya dan menunaikan
kewajipannya sebagai suami mahupun sebagai hamba Allah ?
Hubungan
suami isteri seperti apa yang dibenarkan dan diharamkan, cara bersuci,
cara solat dan seluruh perkara yang melibatkan halal dan haram menurut
Islam perlu diketahui oleh seorang mukallaf sebelum menjejakkan kakinya
ke alam perkahwinan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Yang
menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari
mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik
dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka
beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka". (Al-A'raf : 157)
Apa yang perlu diketahui oleh seorang lelaki itu sebelum bernikah ialah
perkara-perkara asas dan hukum halal dan haram yang telah jelas dari
Al-Quran dan As-sunnah. Hal ini tidak semestinya dihafal atau dikuasai
di dalam kepala tetapi bermaksud dia mampu mencari rujukan, membaca buku
atau boleh mendapatkan pengetahuan tentang halal dan haram apabila
berdepan dengan sesuatu situasi. Namun adalah lebih baik seorang Muslim
itu bersedia dan mengetahui tentang apakah perkara yang dihalalkan dan
diharamkan oleh Allah SWT kerana hal itu termasuk dalam perintah untuk
menuntut ilmu dan mencari petunjuk.
6. Mempunyai kesihatan yang baik
Kesihatan yang baik ialah merupakan perintah agama dan menjadi salah satu sifat dan kelebihan kepada orang yang beriman. Islam
amat mementingkan penjagaan makan, kesihatan diri seperti kebersihan
dan kecergasan badan. Ini boleh dilihat di dalam sebuah hadith yang
menyebut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah." (Hadis Riwayat Muslim)
Persediaan
kesihatan sebelum bernikah bermaksud menjaga diri daripada penyakit
berjangkit, virus dan kuman berbahaya serta apa-apa yang boleh
memudharatkan pihak isteri dan keluarga yang akan dibina. Selain
daripada itu hendaklah seorang lelaki muslim menjaga kesihatannya
seperti bersenam, menjaga pemakanan agar dirinya tetap sihat dan segar
untuk pernikahan dan tidak menjadi beban kepada keluarga atau isterinya
selepas bernikah.
Ada
orang yang tidak menjaga kesihatannya sehingga mendapat penyakit
berbahaya dan menyusahkan seperti jantung, kencing manis, darah tinggi
dan sebagainya. Hal ini akan menganggu hubungan suami isteri dan menjadi
beban dalam perkahwinan apabila ianya tidak dijaga dan diselia dengan
baik. Kesihatan adalah rezeki dan anugerah daripada Allah SWT tetapi
hendaklah dicapai dengan usaha dan disiplin diri dalam menjaga makan dan
minum serta rajin bersenam dan memelihara kebersihan diri.
7. Mempunyai pengetahuan tentang seks dan mampu melakukannya dengan betul
Hubungan
seks ialah salah satu di antara tujuan penting perkahwinan iaitu untuk
memuaskan fitrah dan nafsu di jalan yang halal. Oleh yang demikian
mana-mana pasangan yang hendak mendirikan pernikahan perlulah mengetahui
ilmu asas dan persediaan untuk memenuhi fitrah masing-masing secara
halal dan baik serta bersedia baik dari segi fizikal dan emosi.
Sebagai
seorang lelaki muslim, dia perlu bersedia untuk memenuhi keperluan
fitrah dirinya dengan cara yang betul dan bersedia untuk memenuhi
keperluan isterinya pula dengan cara yang baik dan berkesan. Persediaan
itu termasuk mengetahui biologi dan fitrah wanita seperti kitaran haid,
penyakit-penyakit kelamin seperti masalah keputihan, isu hubungan badan
seperti ransangan dan membangkitkan rasa ghairah sebelum jimak agar
tidak wujud kesakitan kepada pihak isteri dan mampu menjadikan hubungan
seks sebagai nikmat dan kegembiraan bukan masalah dan kesedihan.
Syeikhul
Islam, Ibn Taimiyyah ra menyebutkan bahawa hendaklah seorang suami itu
melakukan hubungan seksual dengan isterinya menurut cara yang mampu
memenuhi keperluan isterinya selama ianya tidak membawa mudharat kepada
fizikalnya.
Dalam
hal ini para lelaki Muslim hendaklah bertanyakan kepada orang tua atau
mereka yang arif tentang petua dan panduan yang boleh membantu mereka
melayari perkahwinan dan memberi kepuasan kepada pihak isteri.
Dari
‘Ummul Mu’minin ‘Aisyah ra berkata: Rasulullah Salallahualaihiwassalam
bersabda : “Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik terhadap
keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap
keluarganya.” (Riwayat tirmidzi)
Keperluan
seksual lelaki dan perempuan adalah berbeza serta cara masing-masing
mencapai nikmat dan keseronokan juga adalah tidak sama maka hendaklah
pihak lelaki dan bakal suami mempelajari dan menguasai pengetahuan ini
agar dapat memberikan layanan yang terbaik kepada isteri masing-masing.
8. Mempunyai pekerjaan dan pendapatan serta tempat tinggal
Termasuk
diantara syarat-syarat asas untuk mendirikan rumahtangga ialah pihak
suami atau lelaki itu mempunyai kemampuan untuk memberikan nafkah dan
memenuhi keperluan asas keluarganya serta menyediakan tempat tinggal
yang selamat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Tempatkanlah
mereka (para isteri) di mana kamu tinggal menurut kemampuan kamu dan
janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka.”
(At-Talaq : 6)
Tidak
disyaratkan untuk memiliki rumah yang besar atau mewah tetapi hendaklah
ianya mampu melindungi keselamatan isteri dan auratnya serta dapat
memberikan perlindungan dari hujan dan panas serta tidak
memudharatkannya untuk menetap di dalamnya.
Oleh
yang demikian maka para lelaki Muslim dan bakal suami hendaklah
memiliki pekerjaan dan pendapatan yang mampu untuk membiayai sara hidup
dan kehidupan isterinya bersama keluarga sebelum mendirikan pernikahan
dengan cara bekerja atau berniaga.
Hal
ini kerana Islam mementingkan persediaan dan pekerjaan
bersungguh-sungguh bukan hanya meminta-minta dan mengharapkan bantuan
atau sedekah tanpa usaha gigih yang bercanggah dengan sikap Islam.
Firman
Allah SWT : “Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan Kami jadikan
siang untuk mencari penghidupan (sara hidup dan rezeki).” (An-naba :
10-11)
Diriwayatkan
dari Zuba'ir bin Al Aawam dari Nabi SAW yang bersabda dengan bermaksud:
"Sekiranya salah seorang daripada kamu membawa tali lalu pergi ke bukit
untuk mencari kayu, kemudian dia memikul kayu tersebut untuk ke pasar
dan menjualnya demi menjaga kehormatannya, maka nescaya hal yang
demikian itu adalah lebih baik baginya daripada perbuatan meminta-minta
kepada orang lain, baik dia diberi atau pun ditolak." (Hadith riwayat
Bukhari)
9. Memiliki kekuatan untuk menjaga dan melindungi keselamatan isteri dan keluarga
Islam
menjadikan lelaki sebagai pemimpin wanita kerana kekuatan dan kelebihan
yang ada pada kaum lelaki untuk memelihara dan melindungi wanita.
Sebelum bernikah, seseorang wanita itu akan berada dibawah pemeliharaan
walinya yang bertanggungjawab ke atasnya. Namun apabila dia sudah
menikah maka tugas untuk melindungi dan menjaga keselamatan dirinya,
agamanya dan memelihara dirinya daripada bahaya dan fitnah adalah
terletak di atas bahu suaminya.
Daripada Abdullah ibn Amru ibn As ra bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Dan bagi isteri kamu itu mempunyai hak ke atas kamu.” (Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh
yang demikian hendaklah bakal suami dan lelaki muslim yang akan
bernikah bersedia menyiapkan diri dengan kekuatan dan kemampuan fizikal
dan mental serta persediaan yang perlu untuk melindungi isterinya
daripada bahaya dan gangguan manusia dan syaitan.
Nabi
SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang terbunuh kerana membela
harta yang dimilikinya maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang
terbunuh kerana membela dirinya dari dibunuh oleh orang lain, maka
matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana
mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya adalah mati syahid, dan
sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya daripada
diceroboh, matinya juga adalah mati syahid.” (Hadith riwayat Abu Daud
dan Tirmidzi)
Di
dalam hadith di atas menyebutkan bahawa mempertahankan keluarga
termasuk di antara penyebab kepada mati syahid sebagai menunjukkan
bahawa ianya adalah kewajipan dan tugas yang besar di sisi agama. Untuk
melaksanakan tugas mempertahankan keluarga seperti yang disarankan oleh
hadith di atas maka hendaklah lelaki Muslim atau bakal suami itu
memiliki kekuatan dan persediaan.
Kekuatan
di sini bukan sahaja bermaksud kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan
mental dan kebijaksanaan serta kemampuan baik dari sudut kewangan,
kepandaian atau memiliki hubungan ramai dengan pihak yang mampu
menghulurkan bantuan untuk membantu melindungi isteri dan keluarganya
daripada sebarang bahaya dan fitnah.
10. Memiliki kemahiran asas dalam hidup
Rumahtangga ialah seperti kenderaan yang tidak
berguna jika kita tidak tahu memandunya atau tidak tahu ke mana mahu
dituju dengannya. Oleh yang demikian adalah penting bagi seorang pemandu
yang mahu memandu keluarganya agar tahu dengan selok-belok kehidupan
serta mempunyai kemahiran yang asas dalam pelbagai pengetahuan hidup
seperti komunikasi, pertukangan, memperbaiki perkakasan rumah dan
elektrik, menyelia kenderaan dan automotif atau mampu mengendalikan
kecemasan dan rawatan cemas apabila diperlukan.
Hidup
ini adalah misteri dan penuh dengan ujian dan dugaan. Kita haruslah
mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang boleh membantu kita di
dalam mendepani cabaran kehidupan apabila tibanya saat-saat yang
memerlukan. Malang tidak pernah berbau seperti kata orang maka tidak
rugi bahkan menjadi kewajipan untuk memiliki sekurang-kurangnya satu
atau dua kemahiran asas dalam hidup yang dapat menjadi bekalan dalam
memimpin keluarga dan rumahtangga.
Baginda
rasulullah salallahualaihiwassalam sendiri amat mengalakkan umatnya
belajar menunggang kuda, berenang dan memanah di zaman baginda. Pada
hari ini kemahiran yang penting ialah seperti kemahiran IT, kaunselling,
motivasi dan kemahiran pertukangan dan memperbaiki alatan elektrik dan
menyelia kenderaan jika rosak di tengah jalan.
Antara
kemahiran asas yang penting ialah kemahiran komunikasi dan kemahiran
mendidik isteri dan anak-anak dengan berkesan atau kemahiran memujuk
para isteri dan anak-anak apabila berlakunya masalah dan pergaduhan.
Komunikasi boleh memberi kesan yang besar kepada perkahwinan jika tidak
dijaga dengan baik dan diabaikan. Kemahiran bertukang dan berkebun pula
boleh memberikan manfaat kepada pendapatan, manakala kemahiran seperti
pengetahuan tentang kesihatan dan perubatan boleh membantu keluarga
apabila berlakunya kecemasan dan kemalangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan