(Dengan
nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para
pengikut Baginda)
Tiada
seorang pun dalam kehidupan insan, selain daripada kedua ibubapa yang
lebih berjasa dan layak dihormati melebihi daripada guru. Tetapi guru
adalah pewaris ilmu dan pewaris ilmu ialah ulama, sementara ulama pula
adalah pewaris para nabi. Begitulah kedudukan ilmu, guru dan ulama
adalah saling berkaitan. Mari renungkan firman Allah ini:
Tafsirnya: “Allah
menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti),
bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang
sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan
malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan
menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Surah ali-‘Imran:18))
Perhatikan dalam ayat ini, bagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala memulakan
dengan nama-Nya, kemudian dengan para malaikat-malaikat-Nya dan
kemudiannya dengan ahli ilmu – ini sudah cukup membuktikan betapa
tingginya martabat ilmu dan ahli ilmu itu.
Imam At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Abu ’Umamah al-Bahili Radhiallahu ‘anhu telah berkata: Bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Kelebihan
orang alim (ulama) atas ahli ibadat adalah seperti kelebihanku ke atas
orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi:
Sesungguhnya para malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut
dalam lubangnya berserta ikan bersalawat (berdoa) untuk orang-orang
yang mengajar kebaikan kepada manusia.”
(Hadits riwayat At-Tirmidzi)
Abu
al-Aswad berkata: Tiada suatu pun yang lebih mulia daripada ilmu;
raja-raja adalah pemimpin bagi rakyat sedangkan para ulama adalah
pemimpin kepada raja.
Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma pula berkata: Nabi Sulaiman ‘alaihissalam
diberikan dua pilihan antara harta dan kekuasaan, Baginda memilih ilmu
lalu Baginda pun dikurniakan juga dengan harta serta kekuasaan.
Kelebihan Mengajar Ilmu Yang Bermanfaat
Dalam Islam, mengajarkan ilmu yang bermanfaat itu adalah suatu amalan yang dipandang tinggi, sangat mulia dan satu kerjaya yang suci di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta Rasul-Nya.
Firman Allah Ta‘ala dalam Surah An-Nahl ayat 43 dan Surah Al-Anbiya’ ayat 7:
Tafsirnya: “Maka bertanyalah kamu kepada Ahlu’dz Dzikri jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah An-Nahl: 43 dan Al-Anbiyaa’: 7)
Ahlu’dz Dzikri bermaksud
orang-orang yang mengetahui tentang Kitab-Kitab Allah. Ayat ini menjadi
dalil bahawa orang-orang yang tidak mengetahui sesuatu perkara
hendaklah bertanya kepada orang-orang yang mengetahuinya.
Imam Ath-Thabarani meriwayatkan dalam kitabnya Al-Kabir bahwasanya Mu‘awiyyah Radhiallahu ‘anhu telah berkata bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Wahai
manusia! Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan feqh
itu dengan mempelajari ilmu feqh. Dan barangsiapa yang dikehendaki
Allah kebaikan untuknya, nescaya diberikannya kefahaman dalam agama, dan sesungguhnya di antara hamba Allah yang takutkan Allah hanyalah para ulama.”
(Hadits riwayat Ath-Thabarani)
Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Akan
datang kepada kamu beberapa kaum untuk mencari ilmu, maka apabila kamu
melihat mereka hendaklah kamu katakan kepada mereka: Selamat datang,
selamat datang, mengikut wasiat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
dan hendaklah kamu mengajar mereka.”
(Hadits riwayat Ibnu Majah)
Amirul Mukminin Sayyidina Umar Ibnu Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu pula
berkata: Kematian seribu ahli ibadat yang bangun beramal ibadat
sepanjang malam dan berpuasa sepanjang siang lebih ringan dari kematian
seorang alim yang mahir tentang apa yang Allah Ta‘ala halalkan dan apa yang diharamkan olehNya.
Yahya bin Mu‘az berkata: Para ulama lebih menyayangi umat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam
daripada ayah-ayah serta ibu-ibu mereka. Lalu ditanyakan kepadanya:
Bagaimana pula begitu? Lalu Yahya menjawab: Ibu-bapa menjaga
anak-anaknya daripada neraka (kesusahan) dunia, sedangkan para ulama
menjaga mereka daripada neraka akhirat.
Sebahagian
ulama berkata: Para ulama umpama pelita zaman. Tiap seorang daripada
mereka merupakan pelita yang menyinari ahli zamannya.
Adab Ulama Menghormati Guru
Sesuai
dengan ketinggian darjat dan martabat guru itu, maka tidak hairanlah
bahawa para ulama sangat menghormati guru mereka. Di antara cara mereka
memperlihatkan penghormatan mereka terhadap guru ialah:
1. Mereka merendah
diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat
guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan guru dalam setiap
urusan mereka.
Mereka
mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang
tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang
mahir.
Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan khidmat tersebut.
2.
Mereka memandang guru dengan perasaan penuh hormat dan takzim serta
mempercayai kesempurnaan keahlian dan kepakarannya dalam bidang
perguruannya. Ini lebih membantu mereka sebagai pelajar untuk
memperolehi manfaat daripada guru mereka dan akan mengukuhkan lagi apa
yang didengar dan diajarkan oleh guru.
Ulama-ulama
salaf sangat memuliakan dan menggagungkan guru-guru mereka. Ini jelas
termaktub dalam kisah-kisah tentang akhlak mereka dalam majlis-majlis
ilmu dan kesopanan mereka terhadap guru-guru mereka. Sebagai contoh:
- Mughirah berkata: Kami menghormati Ibrahim an-Nakha‘ie sepertimana kami menghormati raja.
- Imam
Asy-Syafi‘e pula berkata: Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik
perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak terdengar (bunyi
belekan kertas tersebut).
- Rabie‘ berkata: Demi Allah aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Asy-Syafi‘e memandang kepadaku.
- Sayyidina Ali Karramallahu wajhah berkata:
Antara hak seorang alim ke atasmu ialah memberi salam ke atas orang
ramai secara umum dan mengkhususkan gurumu dengan penghormatan yang
khusus dan istimewa.
3.
Mereka sentiasa mendampingi guru supaya mendapat berkat serta beroleh
ilmu yang akan tercurah daripadanya pada bila-bila masa serta
menjadikannya qudwah (ikutan).
Imam
Asy-Syafi‘e misalnya, sejak pertemuannya dengan gurunya iaitu Imam
Malik pada tahun 170 Hijrah, hampir tidak pernah meninggalkan gurunya
sehingga gurunya itu wafat pada tahun 179 Hijrah. Ini kerana Imam
Asy-Syafi‘e tidak pernah meninggalkannya kecuali ketika pergi ke Makkah
untuk menjenguk ibunya ataupun pergi ke pusat ilmu dan feqh. Itu pun
setelah beroleh keizinan serta restu daripada gurunya. Jika direstui,
Imam Malik akan menyiapkan bekal dan memberikannya wang perbelanjaan
sambil mendoakan keselamatannya.
4. Mereka tidak menggunakan ganti nama diri seperti “engkau” dan “awak” dan tidak memanggil atau meneriaki guru dari jauh.
Al-Khatib
berkata: Hendaklah dia berkata “Wahai guru, apakah pendapat kamu
mengenai hal ini?” dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya
dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang
menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun
ustaz atau syeikh kami.
Maksudnya
di sini, mereka memanggil guru dengan gelaran yang penuh adab serta
penghormatan. Jika nama guru tersebut Muhammad misalnya, maka mereka
akan memanggilnya dengan nama ustaz, cikgu, guru kami dan sebagainya dan
tidak menyebutkan namanya kecuali disertakan dengan gelaran yang penuh
penghormatan seperti Ustaz Muhammad, Cikgu Muhammad dan sebagainya
meskipun sewaktu ketiadaan guru itu.
5.
Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan
guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan
suatu perbuatan yang keji, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan
guru yang merupakan pembimbing serta qudwah! Perbuatan ini akan
menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan
penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas
mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Sesungguhnya, menuntut ilmu itu adalah satu bentuk ibadah dan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bukannya untuk bermegah-megah ataupun untuk berbantah-bantah dengan ilmu tersebut.
Dalam satu hadits riwayat Imam Al-Hakim, Ka‘ab bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa
mencari ilmu untuk menyaingi para ulama atau untuk bertengkar dengan
orang-orang bodoh atau supaya hati manusia menghadap kepadanya maka ia
akan masuk neraka.”
(Hadits riwayat Al-Hakim)
6.
Mereka berterima kasih kepada guru atas segala tunjuk ajar serta
bimbingannya terhadap segala kebajikan dan tegahan serta tegurannya ke
atas segala kekurangan atau kemalasan dan sebagainya bagi memperbaiki
diri dan mengganggap teguran, asuhan, didikan serta keprihatinan guru
itu sebagai rahmat dan kurniaan yang tak terhingga kepada mereka oleh
Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Jika
bimbingan serta teguran yang diberikan oleh guru itu sudah diketahui,
maka mereka tidak menunjukkan yang mereka sebenarnya sudah
mengetahuinya, bahkan mereka menghargai dan berterima kasih atas
bimbingan serta keprihatinan guru tersebut terhadap mereka.
7.
Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar
sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu
tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga
dari tidur ataupun selesai dari berehat.
Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadits. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu ‘Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu ‘Abbas pun menjawab: Jangan.
8.
Mereka tidak mendatangi guru di luar daripada majlis ilmu yang umum (di
luar dari jadual waktunya untuk mengajar dan sebagainya) kecuali dengan
izinnya, sama ada guru mereka itu sedang bersendirian mahupun sedang
bersama dengan orang lain.
Jika
tidak ada izin daripada guru itu sedangkan guru itu mengetahui bahawa
mereka sedang meminta izin untuk mendatanginya, maka mereka akan beredar
dan tidak mengulangi isti’zan (permohonan izin) mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan