Sabtu, 5 November 2011

KEMPEN BUDI BAHASA.



KEBIMBANGAN mengenai lunturnya budi bahasa, sopan santun dan nilai murni di kalangan masyarakat terutamanya anak-anak muda kian menebal ekoran pelbagai kes menggemparkan yang berlaku di negara kita.
Paparan di media massa tidak pernah lepas daripada berita kezaliman ibu bapa terhadap anak-anak, tindakan anak-anak terhadap ibu bapa, tindakan drastik cucu terhadap datuk dan nenek, tipisnya rasa hormat golongan muda kepada golongan tua dan sebagainya.
Kes seorang datuk meninggal dunia manakala nenek mengalami kecederaan yang berlaku di Jempol akibat perbuatan seorang cucu berusia 19 tahun baru-baru ini merupakan satu antara pelbagai kes di negara kita yang membabitkan remaja.

Di sekolah pula, sudah banyak kes murid bertindak ke atas guru mereka sampai ada yang sanggup menendang guru dan mencederakan orang yang selama ini memberi ilmu kepada mereka. Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam statistiknya antara 2008 hingga Jun 2010 berlaku pelbagai kes kezaliman dan salah laku remaja kepada orang yang lebih tua daripada mereka. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 91 kes penderaan dilakukan anak terhadap ibu kandung; 24 kes ke atas mentua; lima kes ke atas ibu saudara dan satu kes ke atas ibu tiri.
Manakala di pihak orang tua pula, pelbagai kes penderaan dilakukan ke atas anak-anak sampai ke peringkat kes membuang bayi. Kisah penderaan sampai anak-anak kecil mengalami kecederaan serius dan kes yang membawa maut bukan isu baru di negara kita.
Di jalan raya, kita pernah digemparkan dengan kes buli sesama pengguna jalan raya, merebak kepada pergaduhan dan kematian dan terakhirnya kita dapati kes ragut melibatkan pejalan kaki juga turut berlaku di jalan raya. Di jalan raya juga, kita sering melihat pelbagai tingkah laku negatif pengguna jalan raya sehingga pemandu kita dianggap tergolong dalam mentaliti kelas tiga dan cukup merisaukan. Di samping adanya Mat Rempit, pengguna jalan raya juga sering melanggar pelbagai peraturan di jalan raya yang bukan hanya menyusahkan diri mereka sendiri, tetapi turut mengheret pengguna jalan raya yang lain. Di sungai, longkang tepi jalan dan di tepi pantai pula tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai lubuk tempat membuang sampah dan segala macam benda yang tidak diperlukan. Di tempat awam pula, ada barang yang sengaja dirosakkan termasuk dengan tujuan untuk mencari keuntungan. Semua ini berlaku kerana kurangnya kesedaran sivik terhadap harta benda awam. Di pejabat, sering kali juga kita mendengar pelanggan dimaki-hamun petugas kaunter. Layanan tidak baik petugas kaunter atau pegawai yang bertugas walaupun pelanggan membuat kesilapan adalah tidak wajar berlaku, apatah lagi jika pelanggan di pihak yang benar.
Kempen budi bahasa yang dilancarkan pada 11 Januari 2005 merupakan satu kempen yang hakikatnya berusaha memperbaiki sikap negatif masyarakat kita sama ada dalam keluarga, sesama anggota masyarakat, harta benda dan alam sekitar. Kempen ini merupakan agenda lima tahun kerajaan dalam usaha melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudi bahasa dan ramai yang menyambut baik kempen ini dan berharap kempen ini berterusan dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menggerakkan semula kempen Rumahku Syurgaku memandangkan kempen ini dianggap berjaya dan perlu diaktifkan demi mencapai misinya untuk melahirkan masyarakat penyayang dan harmoni.
Demi meneruskan kelangsungan institusi keluarga yang bahagia di samping terhindar daripada sebarang gejala tidak sihat, pelbagai pihak mesti meneruskan usaha menyemai sikap positif dalam menjalani kehidupan seharian mereka.
Manakala dalam hidup bermasyarakat bagi sebuah negara yang menuju pembangunan pesat, segala tingkah laku negatif individu mesti dibuang jauh-jauh supaya negara kita tidak dilabel dengan pelbagai gelaran tidak baik. Kempen yang telah dan sedang digerakkan di negara kita mesti dihayati dan dipraktikkan terutamanya kempen yang menekankan pentingnya nilai murni dalam kehidupan seharian. Kempen Cintailah Sungai Kita, Budi Bahasa Budaya Kita dan Masyarakat Penyayang sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan kita sudah begitu prihatin mengenai kepentingan amalan baik dalam hidup bermasyarakat, tetapi malangnya kempen itu tidak dihayati dan dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat. Televisyen perlu lebih banyak menyiarkan rancangan bercorak keagamaan, moral dan mengurangkan rancangan hiburan melampau, filem ganas yang tidak sesuai untuk anak-anak muda. Iklan mengenai peri pentingnya budi bahasa, nilai murni dan hubungan baik antara masyarakat mesti dipertingkat dengan harapan generasi muda dapat menjadikannya sebagai panduan. Ibu bapa dan warga tua mesti memainkan peranan lebih aktif memantau anak remaja mereka supaya tidak terjebak dengan gejala tidak sihat. Remaja mesti ditanam dengan nilai murni supaya dapat mereka praktikkan apabila mereka berdepan dengan orang ramai.
Di samping pendidikan agama dan moral, pendidikan akademik sangat penting untuk anak-anak. Jika anak-anak tercicir dalam pendidikan, mudah bagi mereka menjadi liar dan terlibat dengan aktiviti tidak sihat.
Sebagai institusi pendidikan, sekolah dan pusat pengajian lain mesti mempertingkat kefahaman pelajar tentang nilai murni menerusi pelbagai subjek diajar. Pelbagai aktiviti luar mesti diperbanyakkan termasuk mendedahkan kepada mereka mengenai kebejatan sosial dan mereka perlu dijelaskan tentang punca berlakunya masalah tersebut, kesannya dan bagaimana cara mengatasinya. Golongan muda pula mesti menyedari bahawa mereka juga mempunyai peranan besar untuk merealisasikan hasrat menjadikan masyarakat kita terkenal di peringkat lebih jauh. Mereka mesti mempunyai rasa hormat kepada alam sekitar, negara, masyarakat di sekeliling, apatah lagi ibu bapa.
Mereka mempunyai tanggungjawab untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas daripada sebarang masalah dengan cara tidak membabitkan diri dengan aktiviti tidak sihat. Menghormati orang yang lebih tua adalah satu nilai murni dan dengan adanya rasa hormat tentunya memudahkan mereka menghormati yang lain termasuk undang-undang yang telah ditetapkan.
Kesimpulannya, amalan budi bahasa, hormat-menghormati tidak kira peringkat usia, pangkat dan kedudukan akan melahirkan masyarakat menepati aspirasi negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin