Soalan
Sesungguhnya
permasalahan ini amat berat. Perkahwinan seumpama ini pada hari ini
sememangnya amat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk
menutup malu. Bila dapat tahu anak mengandung anak luar nikah,
cepat-cepat dikahwinkan. Berdasarkan kenyataan ini , perkahwinan ini
adalah tidak sah! Maka pasangan tersebut akan hidup dalam zina sepanjang
hayat. Mohon ustaz huraikan jawapan tuan imam dan tulisan ini.
Jawapan UZAR
Telah
agak lama saya terima soalan sebegini dan agak kerap juga. Jika ia
hanya sekadar soalan ilmu yang bersifat amat jarang berlaku, ia tidaklah
mengapa tetapi yang amat saya bimbangi adalah berdasarkan kekerapan
soalan ini diajukan menimbulkan andaian bahawa kes begini sering berlaku
dalam masyarakat kita.
Ini
bermakna, agak ramai wanita dan lelaki yang telah terlanjur sebegini
dan kemudian baru terfikir hukum bagi menyelesaikannya.
Sebagai manusia biasa, saya agak geram bila diajukan soalan ini. Hinggakan agak kerap juga saya menjawab dengan mudah iaitu.
"Hukumnya sememangnya menyukarkan, jadinya lain kali jangan berzina" demikian jawapan semasa geram saya.
"Ini
kerana jika sememangnya tiada "manual panduan yang normal" hukum yang
mudah bagi menjawab keadaan sedemikian, sama seperti seorang yang datang
mengadu kepada seorang mekanik kereta apabila kerosakan enjin
keretanya"
Setelah
diselidiki , didapati enjin rosak dengan amat fatal, apabila ditanya
apa sebab enjinnya seteruk ini rosaknya, maka si empunya kereta
memberitahu :-
"Kerana saya letak minyak tar dalam tangki petrol"
Saya
kira sudah tentu mekanik itu juga merasa ‘bengang' dengan perangai
‘kurang cerdik' tuan punya kereta. Kemudian apabila diberitahu kos untuk
membaiki enjin itu adalah mahal dan sukar,tuan punya kereta mulalah
membebel dan marah-marah serta menuntut kos pembaikan yang mudah dan
murah.
"mana
boleh murah dan senang kalau gini, dah hang yang teruk sangat jaga dan
guna kereta. Kalau nak murah..LAIN KALI JANGANLAH MASUKKAN MINYAK TAR
DALAM TANGKI PETROL NI OK !" kata mekanik meradang apabila diminta
membaiki kerosakan berat itu dengan kos murah.
Inilah
seolah-olahnya radangan saya juga di peringkat awal dulu. Dah berzina
hingga mengandung, barulah sibuk ingin memikirkan hukum halal haram dan
kesannya. Maka sudah tentu penyelesaiannya juga agak sukar sebenarnya.
Bagaimanapun, bagi memberikan penghargaan kepada pasangan yang telah bertawbat, maka inilah jawapannya:-
Apabila
seorang lelaki dan wanita itu telah bertawbat dengan tawbat yang benar,
dan berkahwin semasa si wanita itu sedang mengandungkan anaknya secara
pasti. Perkahwinan itu adalah sah menurut Mazhab Syafie dan perlulah
didaftarkan sebaiknya.
Mazhab
Hanbali menjadikan tawbat sebagai syarat untuk diterima pernikahan
tersebut. Ia berdasarkan tafsiran mereka dari surah an-Nur ayat ke 3.
Bagaimanapun majority ulama tidak menjadikan tawbat sebagai syarat sah
pernikahan penzina tersebut.
HUKUM KAHWIN SEMASA ‘IDDAH DAN HAMIL
Adapun berkenaan hal ‘iddah' dan bolehkah berkahwin semasa tempoh ‘iddah.
Hukum
asal bagi perkahwinan dan perceraian normal, adalah diwajibkan menunggu
tamatnya ‘iddah wanita sebelum diizinkan untuk berkahwin baru.(
Al-Ikthiyar li Ta'lil al-Mukhtar, 3/78).
a) Tempoh Iddah Wanita Dicerai Dalam Keadaan Suami Masih Hidup
Tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan (jika tidak mengandung) adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT :-
Ertinya : "Dan wanita-wanita yang tercerai ( iddahnya ) adalah tiga kali suci " ( al-baqarah : 228 )
b) Tempoh Iddah Wanita Mengandung
Tempoh ‘iddah bagi wanita mengandung, adalah sehingga ia selesai bersalin. Ia berdasarkan firman Allah SWT :-
وأولات الأحمال أجلهنّ أن يضعن حملهنّ
Ertinya : " Wanita-wanita yang hamil tempoh iddahnya adalah sehingga melahirkan kandungannya" ( At-Talaq : 3)
c) Tempoh Iddah Wanita Yang Bercerai Kerana Suami Mati
Tempohnya adalah 4 bulan sepuluh hari, jika tidak mengandung. Ia berdasarkan firman Allah :-
والذين يتوفون منكم ويذرون أزواجاً يتربصن بأنفسهنّ أربعة أشهر وعشراً
Ertinya
: Dan bagi mereka yang meninggal dari kalangan kamu dan meninggalkan
pasangan (isteri-isteri) hendaklah menunggu (tempoh iddah) nya 4 bulan
sepuluh hari" ( Al-Baqarah : 234 )
Ulama
telah bersepakat bahawa perkahwinan semasa iddah adalah dilarang dalam
Islam ( Nizam al-Usrah Fil Islam, Dr Md Uqlah, 1/ 287), Ia berdasarkan
firman Allah :
ولا تعزموا عقدة النكاح حتى يبلغ الكتاب أجله
Ertinya
: "Dan jangan kamu melangsungkan aqad nikah sehinggalah sampai tempoh
yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh iddah) " (Al-Baqarah : 235 )
Bukan
saja nikah, malah meminang seorang wanita semasa dalam tempoh ‘iddahnya
juga adalah haram. Jika meminang pun tidak dibenarkan semasa iddah
apatah lagi bernikah, sudah tentu lebih besar larangannya. Ia
berdasarkan firman Allah.
Demikian
tadi hukum yang standard bagi seluruh umat Islam. Secara mudahnya,
inilah hukum normal bagi keadaan normal. Sebagaimana manual dan panduan
bagi sesebuah kereta yang rosak normal. Dengan mudah boleh dijumpai
penyelesaiannya oleh si mekanik.
Kes Zina Bermasalah
Bagaimanapun
dalam kes ‘iddah bagi individu yang ‘termengandung' akibat zina dan
hukum si wanita ini berkahwin dengan lelaki samaada pasangan zinanya
atau lelaki lain bagi menutup malunya dengan segera atau apa jua sebab
lain.
Ulama berbeza pandangan dalam hal ini.
Mazhab Maliki, Syafie dan At-Thawry
berpendapat bahawa tiada hukum ‘IDDAH bagi wanita berzina. Menurut
aliran mazhab ini, perbuatan berdosa dan haram seperti zina tidak akan
diiktiraf, Hasilnya, tiada hukum boleh terbina di atas sesuatu yang
tidak sah seperti zina. ( Rawdah at-Tolibin, 7/113 ; Bidayatul Mujtahid,
ibn Rusyd, 2/21)
Pandangan
ini juga diriwayatkan telah dipegang sebelumnya oleh beberapa sahabat
Nabi yang utama seperti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a , Umar
Al-Khattab r.a dan Ali Bin Abi Talib r.a.
Ia berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a :
Ertinya : "..penzina (muhsan) tidak lagi layak kepada sesuatu kecuali rejaman batu sehingga mati"
Dan juga sebuah lagi dalil iaitu :
لا يحرم الحرام الحلال , إنما يحرم ما كان من نكاح
Ertinya
: Sesungguhnya perbuatan yang haram tidak akan mengharamkan yang halal (
iaitu perhubungan hasil zina tidak akan membawa sebarang kesan kepada
hubungan semendaan) , sesungguhnya hanya akan menjadi haram kerana
persemendaan jika dari nikah yang sah" ( Riwayat Ibn Majah, Al-Bayhaqi :
As-Sayuti : Dhoif)
Hasil
dari dalil-dalil itu, jelas bahawa zina yang haram tidak membawa
sebarang hukum ‘iddah, hanya nikah yang sah terdapat ‘iddah. Justeru,
perkahwinan penzina wanita yang sedang mengandung itu dengan pasangannya
adalah sah menurut mazhab ini dan juga disepakati oleh Imam Abu
Hanifah.
Lagi Displin Khas
Bagaimanapun,
jika wanita penzina melakukan zina dengan ramai lelaki sehingga ia
tidak pasti yang berada di dalam kandungannya adalah dari lelaki
tertentu. Pernikahannya itu masih sah menurut seluruh mazhab yang telah
disebutkan di atas tetapi dengan SYARAT : MEREKA TIDAK BOLEH BERSETUBUH
SEHINGGALAH SI WANITA ITU TELAH BERSALIN!. Jika mereka bersetubuh, maka
berdosalah mereka walaupun perkahwinan telah sah.
Ia berdasarkan sebuah hadith yang ertinya :
"Tidaklah
halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, untuk
menyiram benih kepada tanaman lelaki lain ( iaitu jika wanita sedang
mengandungkan benih lelaki lain)" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi :
Hadith Hasan)
Sekiranya
wanita itu berkahwin dengan satu-satunya lelaki dan pasti pula ia
adalah benih lelaki tersebut. Di ketika itu, ia dibenarkan untuk bersama
selepas pernikahan dan pernikahan itu juga sah.
Jawapan di
atas juga ada benar sebahagiannya jika dilihat dari perspektif mazhab
Hanbali dan beberapa ulama kontemporari, yang mana mereka mengiktiraf
mengandung hasil zina boleh membawa hukum ‘iddah, hasilnya, haram
bernikah dengan wanita yang sedang ‘iddah dan berlakulah segala satu
macam kerumitan sebagaimana yang digambarkan dalam jawapan tuan imam
ini.
Kesimpulan
Bagi
saya jawapan yang lebih utuh dalam keadaan masyarakat yang amat
bermasalah hari ini adalah sah pernikahan dengan syarat si pasangan
bertawbat dan jika wanita itu berkahwin dengan pasangan yang bukannya
pemilik benih kandungannya, wajiblah ia menjauhi wanita itu sehinggalah
ia bersalin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan