Soalan:
Bagaimanakah cara untuk melepaskan interest bagi kereta yang sudah habis tempoh pembayarannya, tetapi terlibat dengan bunga (riba) melalui bank?
Bolehkah saya jual kereta tersebut semula dan wang dari hasil jualan tersebut diserahkan pada Baitulmal orang ramai bagi anggaran bunga yang dibayar pada intersetnya, atau ada cara lain?
Mohon tuan jelaskan mengenai kegiatan-kegiatan pada masa sekarang yang selalunya ada kait-mengait denagan riba seperti dalam masalah insuran dan lain-lain, dan bagaimanakah untuk kita menjauhi dan menghindarkan diri daripadanya?
Bagaimanakah cara kita menyimpan atau meminjan wang di bank yang boleh kita selamat daripada masalah riba?
Jawapan:
Motokar yang dibeli dengan melalui riba itu dan telah dibayar harga motokar dan telah dibayar riba itu, maka motokar itu kepunyaan Awang, hanya yang salah melalui riba, maka hendaklah Awang bertaubat dari menggunakan riba pada membeli motokar itu, dan tiadalah mustahak dijual motokar itu kerana Awang telah bayar harganya dan telah bayar riba bank kepada bank.
Sayugia dan wajib dijauhkan riba. Riba adalah suatu dosa besar. Allah tiada memerangi melainkan memerangi orang yang bermusuh dengan wali-wali Allah dan memerangi orang-orang yang makan riba, segala urusan cara riba dan makan dari hasil riba hendaklah dijauhi jika hendak selamat agama dan selamat dari mati dalam sû al-khâtimah yakni mati dalam keadaan jahat atau keadaan kufur.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi khabar berkenaan perkara bank dan manusia sekalian atau kebanyakan berurusan dengan bank.
Kebanyakan bank memakan riba dari segala perkara perniagaan dan urusan harta benda, semua harta-benda manusia keluar dari bank dan sampai dengan jalan bank, sama ada dengan jalan perniagaan dan lain-lain, dan orang-orang makan gaji, menerima gaji melalui bank. Jadi riba telah rata dan tiada halal atau hampir tiada halal dalam dunia.
Diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Al-Hakim dari hadis sahabat Abu Hurairah telah berkata: “Telah ersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
لِيَأتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لاَ يَبْقَى أَحَدٌ إِلاَّ أَكَلَ الرِّبَا , فَمَنْ لَمْ يَأْكُلُهُ أَصَابَهُ مِنْ غُبَارِهِ
(رواه أبى داود وابن ماجه والحاكم)
Maksudnya: “Demi akan datang kepada manusia suatu masa tiada seorang pun melainkan ia makan riba, barangsiapa tiada makan riba, maka ia kena debu angin riba.”
(Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Hakim)
Berkata Al-Hassan bin’Arafah dalam suatu risalahnya menurut sanadnya daripada sahabat, Hudzaifah telah berkata: “Telah bersabdab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
لاَ تَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى يُعِزَّ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ فِيهِ ثَلاَثَةً دِرْهَمًا مِنْ حَلاَلٍ , وَعِلْمًا مُسْتَفَادًا , وَأَخًا فِى اللهِ.
Maksudnya: “Tiada bangkit Hari Kiamat sehingga Allah jarangkan ada padanya tiga perkara iaitu wang dari sumber halal, ilmu yang berguna (sekarang banyak ilmu yang menjauhkan dari kebahagiaan akhirat), dan kawan ikhlas kerana Allah.”
Menurut riwayat Al-Imam Abu Nu’man dalam Al-Hilyah dari hadis sahabat, Ibnu Umar telah berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam :
أَقَلُّ مَا يُوجَدُ فِى أُمَّتي فِى آخِرِ الزَّمَانِ دِرْهَمٌ حَلاَلٍ , وَأَخٌ يُوْثَقُ بِهِ
Maksudnya: “Kurang sangat didapati pada akhir zaman satu derham (wang perak) dari sumber halal, atau saudara atau kawan yang boleh dipercayai akannya.”
Sekarang banyak pecah amanah, diserahkan kepada seseorang wang, maka dia khianat pada urusannya pada mengawal wang dan ia makan wang itu dan pada membeli barang-barang ia tipu harga yang dibelinya, begitulah seterusnya.
Adalah ulama zaman dahulu tanggungkan hdis-hadis dalam perkara yang tersebut sebab kurang tahu halal haram dalam hukum-hukum urusan harta seperti membeli, menjual, tukar wang, hutang dan lain-lain. Maka dengan sebab itu mereka termakan riba dan makan riba. Perkara ini kiranya berlaku hanya pada kalangan peniaga dan orang-orang yang membuat urusan harta, dan tiada rata kepada semua orang padahal Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
لاَ يَبْقَى أَحَدٌ إِلاَّ أَكَلَ الرِّبَا
(رواه ابى داود وابن ماجه والحاكم)
Maksudnya: “Tiada tinggal seseorang pun daripada manusia melainkan dia makan riba.”
(Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Hakim)
Ini berlaku dengan sebab bank yang rata-rata harta melalui bank yang makan riba melainkan sedikit sangat harta yang halal. Dari itu orang yang berdaya hendaklah mendirikan bank cara Islam.
Ini semuanya telah dikhabarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan ini suatu perkhabaran mu’jizat daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkhabar sebelum berlaku perkara itu.
Telah datang hadis bahawa sebab banyak gempa bumi itu ialah sebab riba dan banyak urusan riba, dan makan harta dari riba. Ini semuanya dengan sebab bank menjalankan riba, dan sebab kacau-bilau dan tiada tenteram hal manusia itu sekarang ini. Kita mohon daripada Allah selamat dari riba dan dari bencana dari riba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan