Asal Usul Mandi Bunga
Mandi bunga memang merupakan ritual orang Melayu yang mempunyai unsur-unsur yang sudah tersinkretis antara kepercayaan Dinamisme, Hindu-Buddha dan ‘Popular Islam’.
Dinamisme ialah kepercayaan adanya ‘tenaga tak berperibadi’ dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda-benda hidup, perkataan yang diucap atau ditulis, dalam tanda-tanda yang dirakamkan dan sebagainya (O.K Rahmant S.H,1983:8). Dalam bidang antropologi, tenaga ini juga biasa disebut sebagai ‘mana’ dengan meminjam istilah rumpun suku Polynesia. Ia dikenali sebagai ‘sahala’ oleh orang Batak dan ‘kesakten’(kesaktian) oleh orang Jawa. Untuk orang Melayu, ‘mana’ dikenali sebagai ‘semangat’ (rujuk konsep ‘lemah semangat’ dan ‘kus semangat’). Di kalangan orang Melayu, ‘mana’ bagi raja-raja dikenali sebagai ‘daulat’ dan ‘tulah’ sedangkan bagi orang-orang ‘agama" (mulanya pawang dan dukun, kemudian sami dan ‘Tok Ca’, akhirnya alim-ulama’) dipanggil dengan ‘berkat’ dan ‘keramat’.
Dalam kepercayaan Hindu, tumbuh-tumbuhan mempunyai banyak kegunaan di dalam serba-serbi ritual yang dijalankan. Limau berfungsi mengusir hantu dan syaitan, sedangkan bentuknya yang bulat-bujur melambangkan dunia sebagai ‘chakra’ di sebuah makrokosmos di dalam falsafah occultisme Hindu. Saya pernah melihat ketika Thaipusam, salah satu varieti Kavadi yang dibawa dengan tujuan mahu bertaubat dan bersyukur kepada dewa-dewi, mencucuk bahagian-bahagian badannya dengan set cangkuk-cangkuk besi yang tajam. Satu set cangkuk terdiri daripada dua cangkuk dihubungkan dengan seutas tali khas. Satu cangkuk akan dibenamkan menembusi kulit dan daging pembawa kavadi sedangkan satu cangkuk lagi akan dibenamkan dengan buah limau nipis yang akan dibiarkan berjuntai sambil berat buah limau itu akan menambahkan ‘efek’ cangkuk yang dibenamkan ke dalam badan yang pertama tadi (mungkin lebih sakit dan lebih susah maka lebih banyak pahala dan keampunan dosa yang diberikan??). Sesiapa yang sempat meneliti koleksi poskad tentang tema seperti ‘Malaysian Festival’ atau ‘Penang’ Insya-Allah akan dapat melihat sendiri, kalaupun tidak mahu memerhati dengan lebih dekat akan perarakan di Batu Caves atau Pulau Pinang. Mandi juga merupakan salah satu ritual yang popular di kalangan penganut Hindu, misalnya mandi untuk menyucikan dosa-dosa di Sungai Ganges atau mandi minyak pada pagi Deepavali.
Unsur-unsur ‘Islam’ (‘Popular Islam as been understood’, bukan Islam yang berteraskan al-Qur’an dan Sunnah yang sahih) akan ketara apabila bacaan mantera akan dimasukkan lafaz basmalah, dan diakhiri dengan hamdalah dan syahadah (Haron Daud,2001). Orang yang mandi akan disuruh berselawat, membaca surah-surah tertentu, malah ada yang disuruh menghadap kiblat dan mandi ketika azan bergema. Semua ini lebih ketara apabila mandi bunga dianggap sebagai suatu wasilah kepada ‘ikhtiar dan tawakkal’. Lebih pening lagi apabila bomoh sendiri berpesan ‘Allah sahajalah yang menolong awak, saya cuma berikhtiar’(??). Mandi Bunga juga cuba dirasionalkan sebagai ‘agama’ sebagaimana mandi-mandi lain yang disyari’atkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih seperti mandi junub, mandi kerana menganut Islam, mandi sunnat hari jumaat, mandi sunnat Hari Raya, dan sebagainya.
Unsur ‘Popular Islam’ juga ketara apabila teori ‘bau’ dapat difahami. Ada orang Islam yang percaya bahawa salah satu makanan makhlus halus khususnya jin dan roh ialah asap dan bau yang tertentu. Oleh itu, salah satu tujuan kemenyan dan setanggi akan dibakar dalam pelbagai upacara ialah untuk menguatkan kedatangan makhlus halus yang tertarik dengan ‘makanannya’. Sebaliknya makhluk halus yang jahat seperti hantu dan syaitan suka dengan ‘bau’ yang lain pula seperti darah dan benda-benda kotor sebagai makanan. Maka, kononnya apabila bau tertentu dihasilkan, makhluk yang suka kepadanya akan datang dan makhluk yang membencinya akan lari.
Oleh itu, aroma daun, bunga dan limau dalam mandi bunga akan menjauhkan makhluk jahat tertentu dan mendatangkan makhluk lain yang ‘baik’ (malaikat 44, jin Islam, roh wali-wali Allah, roh ‘Puteri Gunung Ledang’ dll ?) sebagai khadam atau ‘pendamping’.
[[[ Cuba fikirkan kenapa dalam majlis mawlid ada yang membakar kemenyan yang mahal-mahal (contohnya yang sekilo harganya sampai RM seratus lebih dibeli di Makkah) supaya ‘wangi’? Sekurang-kurangnya diusahakan agar ada bunga rampai daripada campuran daun pandan yang diracik, air mawar, minyak attar dan pelbagai bunga untuk ‘wangi’ ?]]]
Dan mengapa pula ketika pembacaan mawlid, antara pertukaran satu section ke section lain akan diselangi dengan korus ‘ATIRILLAHUMMA QABRAHUL KAREEM…’bermaksud Ya Allah, HARUMkanlah kubur baginda yang mulia .. yang diulang-ulangkan?? (Nak HARUM dengan apa melainkan dengan aroma bau yang wangi?). Saya pernah hadir ke majlis mawlid (in fact saya pun berzanji juga waktu tu) yang ketika sampai ke part menceritakan kelahiran Nabi maka semua hadirin akan bangun bermarhaban sambil dulang-dulang berisi bunga rampai diedarkan untuk para hadirin mengambil seorang sedikit bunga rampai tersebut. Syukurlah kalau semua ni sekadar ‘tradisi’, ‘adat kebiasaan’ atau ‘prop’ dalam suatu pertunjukkan ‘teater berunsur Islam tahunan’ yang sangat bersahaja. Akan tetapi kalau dikaitkan dengan hadirnya roh Rasulullah SAW maka apa akan jadi dengan kesahihan aqidah kita?? Mujurlah kita di Malaysia belum terpengaruh dengan amalan puak Brelvi di India yang sampai menyiapkan pelamin emas untuk kononnya diduduki oleh roh Nabi ketika majlis mawlid. Wallahul Musta’an.
Mandi Bunga dilakukan dengan tujuan untuk membuang sial pada pelakunya, menjauhkan gangguan makhluk halus serta sekaligus menaikkan seri dan mendatangkan tuah (‘ong’ kata orang cina) bagi dirinya (Amran Kassimin,1993:34). Daun, bunga dan limau dengan sifat tertentu (contoh daun bertemu urat, warna tertentu etc.) dan bilangan tertentu (contoh tujuh jenis bunga dipetik ketika pagi masih berembun) ditambah dengan mantera yang dibaca oleh bomoh akan mendatangkan ‘mana’ atau tenaga tak berperibadi yang tersendiri yang akan mendatangkan manfaat yang diinginkan. Wujud juga varieti mandi untuk ‘membuang sial’ yang lain dikenali sebagai mandi tolak bala, ‘mandi pengantin’ untuk bakal pengantin, ‘mandi bertabal’ untuk pertabalan raja yang baru dan sebagainya.
Kenapa orang lain yang kena bersihkan sisa mandian? Sebab ‘sial’ (‘sueh’ kata orang cina) itu sudah ‘tumpah’ ke bahan-bahan mandian, maka kalau orang yang mandi juga yang bersihkan sisa tersebut maka nanti ‘sial’ itu ‘hinggap’ semula, tuah yang dijemput akan lari dan apa yang dihajati tidak dicapai.
Secara peribadi, saya berpandangan bahawa limau bersama-sama sirih pinang adalah merupakan ‘tiang seri’ dan ramuan utama dalam adat-istiadat orang Melayu. Misalnya:
i. Air tepung tawar yang ‘basic’ terdiri daripada campuran air, bahan-bahan lain dan tidak ketinggalan limau purut yang dihiris (O.K Rahmat,1983:11)
ii. Kajian A.Aziz Bidin dan Aishah Muhammad (1998:180) terhadap tumbuhan ritual mendapati limau nipis digunakan sebagai pengeras bagi pelajar silat dan perubatan tradisional. Limau purut pula diperah dan dicampurkan dengan air bagi mengubat penyakit terkena buatan orang.
iii. Upacara ‘mandi-mandi’ atau ‘berlimau’ diadakan sebagai pakej adat perkahwinan Melayu selepas kedua-dua pengantin bersatu dengan pengantin berpakaian lengkap dan duduk di bawah kain yang diregangkan dengan pegangan dua orang di kiri dan kanan. Air dan campuran limau, sintuk dan sebagainya akan dijiruskan daripada atas menerusi kain tersebut (Syed Alwi,1986:41)
iv. Kajian Amat Juhari Moain (1990:105) di Sungai Dacing, Lenggeng Negeri Sembilan mendapati dalam upacara berdoa’ dan memanggil semangat padi, pawang akan mengambil limau-limau yang disediakan untuk ‘ditawarkan’ dengan cara menepung tawar, menjampi dan meludahnya tiga kali. Selepas itu, limau akan dipotong-potong dan dibawa ke sawah untuk ditempatkan di tapak semaian padi agar padi subur dan selamat dari bencana.
Demikianlah sedikit analisis tentang sebab dan teori mandi bunga, mohon dibetulkan mana yang salah. Adapun tentang kedudukannya di sisi aqidah dan syari’ah Islamiyyah , diserahkan kepada mereka yang lebih berilmu untuk menanggapinya, Insya-Allah.
Rujukan:
A.Aziz Bidin & Aishah Muhammad. (1998). Kegunaan Tumbuh-tumbuhan. dalam Wan Hashim Wan Teh & Ismail Hamid,ed. Nilai Budaya Masyarakat Desa : Kajian Etnografi Di Wang Kelian Perlis. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Amat Juhari Moain. (1990). Kepercayaan Orang Melayu Berhubung Dengan Pertanian. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Amran Kassimin. (1993). Istiadat Perkahwinan Melayu Yang Bukan Daripada Ajaran Islam. Kuala Lumpur: Dinie Publishers.
Haron Daud. (2001). Mantera Melayu : Analisis Pemikiran. Pulau Pinang : Penerbit USM.
O.K. Rahmat S.H. (1983). Pencemaran Akidah Di Nusantara. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Alwi Sheikh Al-Hadi. (1986). Adat Resam dan Adat Istiadat Melayu. Cetakan Ketujuh. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ceria Menawan: Mandi bunga ibarat magnet
Amalan tradisional, moden dilakukan kebanyakan wanita bertujuan naikkan seri wajah, tingkat keyakinan diri.
AMALAN mandi bunga bukan baru dalam masyarakat Melayu namun selalu disalah anggap dan dikaitkan dengan ritual membuang sial atau sesuai untuk wanita berusia yang belum menemui jodoh.
Kini, amalan itu mula mendapat tempat di kalangan wanita sama ada yang sudah berumah tangga atau belum berkahwin untuk kelihatan cantik dan menarik. Masih mengekalkan penggunaan bunga dan limau purut namun caranya diubahsuai mengikut peredaran semasa.
Tujuannya untuk menghilangkan tekanan, menyegarkan badan, mencantikkan kulit, menghilangkan bau badan dan menaikkan aura warna dalam badan untuk kelihatan ceria dengan wajah yang berseri.
Dua jenis mandi bunga yang masih diamalkan ialah melalui cara tradisional dan moden. Mandi bunga cara tradisional lazimnya dilakukan pengamal perubatan tradisional dengan bacaan ayat al-Quran bertujuan membantu mereka yang mempunyai masalah peribadi seperti lambat mendapat jodoh atau mengalami masalah rumah tangga.
Pasangan pengantin juga selalunya disaran melakukan amalan ini untuk mengusir anasir negatif dalam badan sebelum memulakan hidup baru, katanya.
Kini mandi bunga diperbaharui mengikut cara moden dan boleh dilakukan di kebanyakan salun kecantikan atau jika berkesempatan, mandi bunga juga boleh dilakukan sendiri di rumah.
"Tapi ramai orang kini terikat dengan kerjaya dan urusan seharian dan adalah lebih mudah jika mereka mendapatkan khidmat mandi bunga di salun kecantikan kerana selain ditawarkan pakej dengan harga berpatutan, pelanggan juga berpeluang memanjakan diri dengan pelbagai rawatan lain misalnya mandi lulur, mandi susu, sauna dan urutan.
"Pilihlah bunga berbau wangi dan seelok-eloknya mempunyai warna menarik kerana dari segi saintifik, aura warna dan bauan bunga mempunyai tenaga sendiri yang akan bertindak balas dengan tenaga dalam tubuh seperti kuasa magnet".
INFO: Bunga dan khasiat
Mawar merah - membuatkan seseorang menjadi lebih berani dan berkeyakinan tinggi.
Mawar putih - menyegarkan dan menyucikan badan supaya nampak lebih berseri.
Cempaka putih - melembut dan mewangikan badan.
Cempaka kuning - menyerikan wajah dan mewangikan badan.
Melur putih dan kuning - menyucikan dalaman.
Bunga kenanga - menaikkan seri dan senang didekati.
Limau purut - buang kotoran badan dan membuka pori supaya aura serta seri bunga dapat bergabung dengan aura badan dengan mudah.
Limau susu - melembutkan kulit.
Mandi bunga khurafat
Soalan :
Saya sering dilanda malang yang turut membabitkan orang lain. Jika saya keluar dengan keluarga atau kawan, sering berlaku perkara tidak diingini. Yang peliknya jika mereka pergi tanpa saya, tiada berlaku masalah. Kawan menganggap saya membawa malang. Ada yang menyuruh saya mandi bunga atau menjalani perubatan tradisional untuk membuang sial. Ini membuatkan saya lebih suka menyendiri di rumah dan tidak lagi keluar bersama mereka supaya tidak berlaku kejadian buruk.
Soalnya, apakah definisi sial atau malang dalam Islam? Adakah ia benar-benar wujud dan bolehkah saya menjalani rawatan tradisional (serta mandi bunga) untuk membuang sial itu? Apa perlu saya lakukan?
Jawapan :
Tiada istilah orang malang atau orang suci dalam Islam. Kepercayaan ini sebahagian daripada kurafat yang dibanteras Nabi sejak zaman jahiliah. Jika berlaku satu-satu keburukan dengan kehadiran saudara, ia secara kebetulan.
Tuhan tidak zalim untuk meletakkan malang dan sial pada seseorang. Cuba amalkan membaca doa keluar rumah yang diajar Nabi, di mana dalam doa ini meminta Tuhan melindungi kita daripada dizalimi atau menzalimi, memperbodohkan atau diperbodohkan.
Jika doa ini diamalkan, insya-Allah tiada malang berlaku. Tiada syariat dalam agama menyuruh amalan mandi bunga, Cuma bunga ada khasiat tersendiri, oleh itu jika mahu mandi bunga kerana khasiat bunga itu tidak menjadi kesalahan, tetapi jika mandi bunga dengan niat menghilangkan sial atau malang, ia satu kurafat.
MANDI BUNGA? SYIRIK? ATAU SATU USAHA UNTUK MENDAPAT JODOH?
HUKUM MANDI BUNGA
Soalan:
Assalamualaikum.... Ustazah, saya ingin bertanya mengenai mandi bunga. Ada yang mengatakan bahawa mandi bunga ini untuk menaikkan seri wajah. Ada juga yang mengatakan ia untuk mempercepatkan jodoh. Masalah saya, saya masih belum berpunya. Saya tertanya-tanya bila agaknya saya akan mendirikan rumah tangga. Apa pendapat ustazah mengenai mandi bunga? Patutkah saya melakukan mandi bunga untuk mempercepatkan jodoh? Bolehkan ustazah berikan apa-apa ayat yang patut dibaca tentang masalah saya ini? Terima kasih.
Jawapan:
Mandi bunga bukanlah suatu yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan salafussoleh terdahulu. Ia berasal daripada kepercayaan lama yang dipegang oleh orang Melayu, kononnya untuk membuang sial dan menaikkan seri wajah.
Melakukan mandi bunga atas dasar para pakar perubatan telah mengesahkan kebaikan dan khasiatnya kepada tubuh badan, bukanlah satu kesalahan. Yang salah ialah berjumpa bomoh atau pawang dan meminta dimandikan dengan membaca mentera tertentu untuk menaikkan seri wajah. Semua mentera yang dibaca oleh para bomoh itu kebanyakannya ada unsur syirik dan khurafat. Rasulullah s.a.w melarang umatnya berjumpa bomoh dan mempercayai kata-katanya. Oleh itu hindarilah dosa yang membawa kepada syirik kerana ia merupakan salah satu dosa yang tidak diampunkan.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang mendatangi tukang tilik atau bomoh, lalu percaya kepada apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhamad s.a.w." – Hadis sahih riwayat Abu Daud dan Ashab al-Sunan.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang mendatangi bomoh, kemudian bertanya kepadanya sesuatu, solatnya tidak akan diterima selama 40 hari." – Riwayat Muslim.
Tidak ada ayat tertentu yang boleh dibaca untuk mempercepatkan jodoh. Al-Quran mempunyai misi yang lebih besar daripada itu, iaitu sebagai petunjuk kepada sekalian alam dan menyelamatkan umat manusia daripada Neraka. Ia tidak akan membincangkan hal remeh-temeh seperti mencari jodoh atau menyerikan wajah.
Oleh itu, jika benar-benar ingin berkahwin kerana menghindari maksiat, mohonlah kepada ALLAH agar mempermudahkan jalan ke arah itu. Semoga ALLAH mempertemukan dengan seseorang yang soleh. Berdoa pada masa-masa doa dimakbulkan. Antaranya pada penghujung malam, ketika bermusafir, selepas solat Asar pada hari Jumaat, pada hujung solat sebelum salam, antara azan dan iqamah, ketika sujud, ketika hujan, ketika hampir berbuka puasa dan sebagainya.
Mintalah kepada ALLAH dengan bersungguh-sungguh tanpa rasa putus asa. Di samping itu, janganlah terlalu mengharap doa itu dikabulkan segera. Teruskan berdoa dengan penuh yakin dan bersangka baik dengan TUHAN. Insya-ALLAH DIA akan membuka jalan dan memudahkan jodoh .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan