Jika diperhatikan kesimpulan pengertian firman Tuhan daripada dalam Al Quran, hadis-hadis Nabi dan kupasan pemikiran alim ulamak terhadap bala bencana yang besar dan mega, adakah negara kita tercinta ini telah sempurna memiliki ciri-ciri atau penyebab bencana itu terhindar atau mendapat jaminan pemiliharan Tuhan terhadapnya? Atau adakah sudah selayaknya dan pada bila-bila masa sahaja bala bencana dan mala petaka itu akan ditimpakan?
Cubalah kita perhatikan kupasan maksud yang terangkum dan memberi pengertian mengenai bala bencana itu di mana diantara maksud firman Tuhan bahawa, Tuhan akan menggantikan kelompok sesebuah masyarakat atau kaum itu dengan mendatangkan bala bencana kerana mereka engkar dan menyombong diri. Tuhan juga terlebih dahulu akan menghantar atau mewujudkan terlebih dahulu orang atau kumpulan pendakwah yang datang untuk memberi peringatan dan menasihati agar bertaubat dan kembali kepada perintah Allah sebelum bencana dan malapetaka diturunkan.
Turunnya bencana dan malapetaka itu adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menghapus atau melupuskan mahupun mempupuskan hamba-hamba yang derhaka yang melapaui batas takdir dan ketentuan Tuhan. Kita hanya melihat Kelantan sebagai sebuah entiti politik yang kecil serta kerdil dengan pemikiran yang dangkal. Tetapi apakah tidak mungkin itu adalah salah satu daripada petunjuk Allah sebagai amaran dan peringatan untuk kita yang mempunyai akal agar memikirkannya?
Mereka yang melampaui batas adalah yang mempersiakan hukum-hakam agama dan mempersendakannya. Mereka menyombong diri dan engkar kepada perintah dan mempersenda peringatan dan petunjuk Tuhan. Mereka mencipta peraturan dan undang-undang sendiri bagi memuaskan nafsu mereka mengikut kepentingan diri. Mereka memperlekeh para ulamak dan melantik ulamak jahat yang sanggup mengeluarkan fatwa ciptaan yang sesuai dengan nafsu mereka. Mereka menzalimi orang yang lemah dan orang yang tidak berdaya dari segi material, fizikal dan mental. Mereka menindas orang miskin. Perempuan-perempuan mereka pula hilang sifat malu dan suka memperagakan hiasan diri. Mereka adalah kaum yang mengutamakan dan berlebih-lebih dalam hiburan. Mereka menjadikan Yahudi dan Nasrani dan orang kafir yang bermusuh kepada Allah sebagai teman dan pemimpin mereka. Mereka melindungi pelaku kesalahan dan penjenayah kroni mereka. Mereka gemar membuat fitnah dan merampas hak orang lain.
Tuhan juga memberi amaran dengan sengaja mengurniakan rezki yang melimpah ruah kepada sesebuah negara atau masyarakat yang pemimpinnya zalim sehingga mereka bertambah zalim dan mensia-siakan dengan sengaja rezki yang dikurniakan itu. Mereka akan tidak bersyukur kepada Tuhan sehingga yakin rezki yang melimpah ruah itu adalah hasil dari kepintaran dan kebijaksanaan mereka. Mereka secara sedar atau tidak akan menafikan bahawa kesenangan dan kemewahan mereka adalah rahmat daripada Allah.
Tuhan juga menimpakan bala bencana dan mala petaka di tempat-tempat berhampiran dengan mereka sebagai amaran dan pengajaran agar mereka segera kembali ke pangkal jalan dan bertaubat ke hadirat Allah. Tetapi jika segala petunjuk yang telah Tuhan janji dan adakan masih tidak dirasakan, tidak nampak dan sengaja dipermain-mainkan maka akan sampailah waktunya bencana dan mala petaka itu dihadapi dan ditanggung oleh kaum atau sesuatu bangsa yang menyombong diri itu. Itulah janji Allah dan janji Allah tidak pernah mungkir.
Menilik kepada negara kita Malaysia yang tercinta ini, maka dapatkah kita menidakkan bukti-bukti dan petunjuk Tuhan itu? Bolehkah kita menafikan bahawa mala petaka dan bencana alam yang akan melupuskan tamaddun, tidak relevan dengan diri dan bangsa kita? Adakah kita benar-benar yakin bahawa negara kita adalah sebuah negara yang kaya dan makmur dan dirahmati Allah? Adakah kita berani mengatakan bahawa kita adalah diredhai Tuhan kerana mengikut segala perintah dan petunjukNya? Adakah kita yakin, kita tidak akan dikenakan bencana atau mala petaka kerana kita tidak zalim, kita adil, kita tidak mempersendakan agama dan kita tidak pernah berasa sombong.
Perhatikan pula adakah mala petaka dan bencana besar telah Tuhan datangkan kepada negara-negara jiran kita sebagai amaran kepada kita yang angkuh? Di sebelah barat kita, adakah bencana tsunami Aceh itu tidak relevan sama sekali dengan kita? Di selatan pula, siri-siri letusan gunung berapi di pulau Jawa yang mengorban ratusan ribu nyawa itu adakah hanya merupakan kebiasaan sahaja kerana negara itu berada dalam jaluran lingkaran gunung berapi yang aktif? Di sebelah timur pula, peristiwa pembunuhan beramai-ramai orang Islam oleh penganut Kristian di Ambon dan di pulau-pulau berdekatan adakah itu hanya merupakan masalah dalaman negara tetangga kita?. Begitu juga peristiwa pembunuhan penganut Islam di Selatan Thai dan Bangsa Moro Filipina. Jauh sedikit dengan negara kita, bencana kemarau dan banjir besar di India dan Cina, Bangaladesh, Australia dan tsunami serta kebocoran dan radioaktif bahan nuklear di Jepun itu adakah masih tiada kesan pengajarannya kepada kita?
Segala bencana itu kelihatannya kita merujuk kepada keyakinan terhadap dunia fizikal dan sains. Kita tidak lagi merujuk petunjuk agama seolah-olah agama kita serupakan dengan dunia atau alam mitos dan lagenda. Adakah kita malu untuk menjadikan petunjuk Al Quran dan hadis Nabi sebagai pegangan atau sebenarnya kita telah sombong dengan ilmu metafizik dan sains yang telah kita kuasai?
Perhatikan semula ciri-ciri petunjuk dan alamat daripada Al Quran dan hadis nabi serta kupasan ilmu daripada para ulamak. Jika anda mengerti, faham dan yakin maka bersedialah menghadapinya kerana janji Allah tidak pernah bohong. Allah telah menyatakan bahawa apabila bala bencana dan mala petaka ditimpakan kepada sesuatu tempat atau umat yang melampaui batas maka semua termasuk yang beriman juga akan berhadapan dan merasai kesengsaraannya. Hanya tahap penderitaan dan kesengsaraan itu saja yang berbeza di antara orang yang beriman dengan orang yang fasik, lalai, kafir dan orang yang zalim. Mereka merasai kesengsaraan dalam kadar yang ditentukan. Kepada yang munafik, kafir dan zalim tidaklah sama dengan orang-orang yang beriman.
Mengintai kepada keadaan negara kita yang tercinta ini maka jika telah selayaknya menerima hukuman Tuhan kerana segala ciri-ciri untuk dihukum dengan musibah telah pun ada maka rasanya apakah bencana yang tidak terduga ini akan melanda kita. Bayangkan kemungkinan ribuan malah ratusan ribu nyawa manusia akan mati tenggelam kerana banjir besar yang mungkin sahaja boleh berlaku di Kuala Lumpur atau seluruh negara. Atau kebakaran besar di kota metropolitan Kuala Lumpur dan runtuhnya bangunan-bangunan tinggi yang bergentil-gentil berdekatan di antara satu sama lain itu sehingga meragut puluhan ribu nyawa. Musibah lain yang tidak mustahil seperti pertumpahan darah dan korban nyawa yang ratusan ribu melayang akibat peperangan disebabkan pencerobohan tentera asing atau persengketaan sesama sendiri juga boleh berlaku. Belum lagi kemungkinan wabak penyakit yang mengakibatkan maut menyeluruh. Atau bencana ribut taupan yang meragut ratusan ribu nyawa. Semua kebarangkalian ini adalah tidak mustahil di sisi Tuhan apabila Dia berkehendak dan murka kerana kesombongan bangsa Melayu atau Malaysia yang telah melampaui batas.
Maka ketika itu, untuk memerhatikan maksud peringatan Tuhan bahawa nikmat Tuhan yang mana lagi yang kamu dustakan adalah sudah terlambat. Seharusnya malah semestinya ketika inilah kita memperbetulkan landasan hidup dengan nilai tamadun manusia dunia dengan mengikut petunjuk Tuhan iaitu kembali mengamalkan peradaban tamadun dan perundangan Islam yang Tuhan redhai sementara kita masih berkuasa sebelum sifat kesombongan terus menguasai diri dan sebelum bencana dan mala petaka itu ditumpukkan ke atas kepala kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan