Sekiranya Pakatan Rakyat (Pakatan) berjaya merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Idris Haron menyifatkannya sebagai satu malapetaka kepada negara.
Merujuk kepada keputusan Pakatan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya perkara tersebut menjadi kenyataan, Idris percaya masa hadapan negara akan menjadi kelam kerana dipimpin oleh Ketua Pembangkang itu yang disifatkannya sebagai ‘diktator’.
“Saya nampak satu kekelaman untuk negara kita (sekiranya Pakatan merampas Putrajaya), masa hadapan yang gelap..orang yang tidak mempunyai niat suci, idealisme perjuangannya amat jijik dan kotor, menubuhkan parti hanya kerana kecewa tidak dapat jadi Perdana Menteri di zaman muda dan sebagainya.
“Orang seperti ini tidak ada keikhlasan dalam melaksanakan kerja. Kalau benar ia menjadi kenyataan, ia adalah merupakan satu malapetaka.
“Belum jadi kerajaan sudah menunjukkan authority (kuasa). Dan kalau jadi kerajaan esok, dia akan menjadi diktator. Dan saya percaya amat malanglah kalau beliau ke Putrajaya, negara kita ini akan dipimpin oleh diktator yang paling zalim dalam dunia di millennium (abad) ini. Itu saya percaya..Anwar Ibrahim akan menjadi seorang diktator,” katanya kepada Antarapos.
Merujuk kepada negeri-negeri yang dikuasai Pakatan, ahli Parlimen Tangga Batu ini menegaskan ketidakseimbangan mereka di dalam pentadbiran adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan bakal merugikan negara.
“Belum jadi kerajaan, tengok bagaimana (Anwar) mencaturkan negeri Selangor, tengok bagaimana negeri Kedah Menteri Besar tiada kuasa, tengok bagaimana Pulau Pinang, bercelaru..Timbalan Ketua Menteri boleh kata Ketua Menteri tokong..tak pernah berlaku di zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN),” ujar beliau.
Menurutnya lagi, idea liberalisme yang dibawa Anwar juga tidak lebih daripada satu strategi populis di dalam usaha beliau untuk memancing sokongan terutamanya daripada kalangan bukan Melayu di mana secara relalitinya ia tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat, sebaliknya pelbagai perkara negatif yang timbul melaluinya.
Melabelkannya sebagai tidak bertanggungjawab, idea liberalisme ini kata Idris akan menjadi satu ancaman kepada kesefahaman yang menjadi teras keharmonian masyarakat majmuk di negara ini yang terbukti sejak dari ia mencapai kemerdekaan 55 tahun yang lalu.
“Pertama kita mesti berpegang kepada kaedah Malaysia ini sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Kemajmukan masyarakat kita ini adalah terasas daripada kesefahaman iaitu mencari persamaan mengecil perbezaan. So (jadi) apa persamaan kita? Mudah sahaja iaitu kita ingin hidup dalam keadaan selamat, aman, makmur dan masa depan itu mesti lebih baik daripada masa-masa yang lalu.
“Dan terbukti sekian lamanya Islam dan Melayu mentadbir, 55 tahun merdeka tanpa sebarang ancaman, masalah ataupun sengketa.
“Hinggalah timbul beberapa puak yang tidak bertanggungjawab yang kononnya mereka adalah lebih baik daripada (kerajaan) yang ada sekarang, yang kononnya liberalisme adalah pendekatan yang baik pada hari ini yang mencetuskan ketidaksenangan beberapa pihak.
“Kita tidak pernah dengar kalimah Allah nak dimasukkan dalam bible, nak membahasa melayukan kitab injil dan sebagainya, tak pernah dengar ada orang nak kahwin sejenis, hari ini orang kampung sudah pandai cakap ‘Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual’ (LGBT) dan sebagainya. Mana datang semua ini kalau tidak hanya kerana kepentingan politik..kerana mereka tahu dalam kaedah ini, hanya sikap populis yang boleh meletakkan mereka ke satu tempat kejayaan,” tegas beliau.
Untuk memastikan masa depan negara tidak kelam di bawah pentadbiran Pakatan katanya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa akan terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Sebagai sebuah kerajaan yang berpijak di bumi yang nyata katanya, pemimpin-pemimpin BN sedar mereka akan dihukum oleh rakyat pada pilihan raya sekiranya prestasi mereka di dalam pentadbiran tidak memuaskan.
“Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib (adalah) kerajaan yang benar-benar ‘walk the talk’ (mengotakan janji), berpijak di bumi nyata..dan kita tahu kalau kita tidak berprestasi, secara objektif kita akan dihukum oleh rakyat,”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan