ISLAM agama yang mencakupi semua
aspek kehidupan termasuk perkara membabitkan pemakanan. Tidak dapat
dinafikan makanan dan minuman elemen penting dan berharga dalam
kehidupan bagi memastikan manusia dapat hidup dengan sejahtera,
menjalankan tugasan atau kegiatan hariannya dengan lancar dan memastikan
seseorang itu tidak hilang semangat kerana kelaparan.
Terdapat beberapa adab dan etika
yang perlu dipatuhi untuk memastikan kesihatan tubuh badan terpelihara.
Islam tidak menggalakkan umatnya makan sesuka hati, makan terlalu
kenyang dan sebagainya. Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah
mengikut sunnah Rasulullah SAW. Jika dikaji, amalan pemakanan Baginda
SAW amat bertepatan dengan ayat al-Quran yang bermaksud:
“… makan dan minumlah, janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).
Ada beberapa panduan yang diajarkan
Baginda SAW kepada umat Islam antaranya adalah seperti berikut:
Rasulullah SAW menyuruh umatnya agar membaca Bismillah ketika hendak
makan dan akhirinya dengan membaca Alhamdulillah. Hikmah membaca
Bismillah dan Alhamdulillah bagi seorang Muslim adalah peringatan bahawa
makanan yang hendak dimakan adalah nikmat, rezeki dan anugerah daripada
Allah SWT.
Rasulullah SAW hanya makan ketika
benar-benar lapar dan berhenti sebelum perut berasa kenyang. Rasulullah
SAW mengajar cara untuk makan dan minum iaitu sepertiga isi perut untuk
makanan, sepertiga lain untuk minuman dan sepertiga akhir adalah untuk
udara (nafas). Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan
buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga menjadi
lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur.
Cara Rasulullah SAW duduk ketika
makan adalah seperti duduk tahiyat awal tetapi lutut kanan dinaikkan.
Posisi ini bukan saja dapat memberi keselesaan pada perut, malah dapat
menjaga keseimbangan ruang dalam perut agar terbahagi kepada tiga
bahagian.
1/3 ruang untuk makanan, 1/3
bahagian untuk udara dan 1/3 lagi untuk air. Di samping itu, Nabi SAW
tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, seperti hadis yang
diriwayatkan daripada Abu Juhaifah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya aku tidak akan makan dalam keadaan bersandar.”
Antara sunnah Rasulullah SAW adalah makan menggunakan tangan kanan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Jika salah seorang antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan dengan menggunakan tangan kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (Hadis riwayat Muslim).
Baginda SAW memakan makanan dengan
tiga jari dan selepas selesai makan, Baginda SAW menjilat ketiga jari
tersebut sebelum membersihkannya.
Hikmahnya, kandungan enzim yang ada
pada tangan atau jari kita tadi akan lebih cepat bercampur dengan
makanan dan seterusnya memudahkan proses pencernaan.
Rasulullah SAW bersabda,
“Apabila seorang daripada kamu sudah selesai makan, jangan dibersihkan jarinya sebelum dia menjilatnya”. (hadis riwayat Muslim)
Perbuatan membasuh tangan dan
berkumur sebelum dan selepas makan adalah amalan sunnah yang juga
bertujuan untuk membersihkan gigi daripada sisa makanan dan bakteria.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Berkumur kalian selepas minum susu kerana di dalamnya mengandung lemak”. (hadis riwayat Ibnu Majah).
Di samping itu, Rasulullah SAW gemar
makan dalam dulang bersama-sama dengan sahabat Baginda. Ini secara
langsung akan menciptakan kemesraan dan meningkatkan rasa sayang
terhadap sesama kita. Malah, amalan makan satu dulang ini juga akan
dapat mengelakkan pembaziran.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Berkumpullah kalian dalam menyantap makanan (bersama-sama), kerana dalam makan bersama itu akan memberikan barakah kepada kalian” (Hadis riwayat Abu Daud)
Imam Abu Hamid al-Ghazali menyatakan
antara etika makan ialah membicarakan hal yang baik dan menceritakan
kisah orang yang salih ketika makan. Menurut al-Hafidz dan Sheikhul
Islam Ibn al-Qayyim ra, menyatakan Nabi SAW bercakap dan berbual ketika
makan.
Dalam kitabnya al-Zaad,
“Ada kalanya Nabi SAW bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu itu.” (Hadis riwayat Muslim). “Dan ada kala Nabi SAW mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya, ada ketika Nabi SAW sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah lauk pauk dan minuman.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Ketika makan jangan terlalu banyak
bercakap (melampau batas) atau bercakap dengan makanan penuh dalam
mulut. Jangan juga bercakap mengenai hal yang boleh menimbulkan rasa
jijik atau loya.
Rasulullah SAW juga ada memberi
panduan mengenai cara minum antaranya jangan minum berdiri, jangan
meniup air yang panas, jangan minum daripada bekas air yang besar,
jangan bernafas ketika sedang minum dan minum seteguk diselang seli
dengan bernafas.
Apabila kita minum daripada bekas
yang besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu,
kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita.
Apabila kita hembus, kita akan
mengeluarkan CO2 iaitu Karbon Dioksida yang apabila bercampur dengan air
(H20) dan akan menjadi H2CO3 iaitu sama dengan cuka yang menyebabkan
minuman itu menjadi asid.
Justeru, amalan pemakanan yang
dipamerkan Rasulullah SAW seharusnya diikuti dan dicontohi oleh semua
peringkat umur demi kesihatan yang mantap dan kelangsungan hidup yang
bermutu.
Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan orang yang memahami dan memanfaati nikmat kesihatan yang tidak ternilai ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan