Isnin, 9 September 2013

MANUSIA KEJAM KEPADA HAIWAN

Pada masa kini, isu penderaan haiwan semakin menjadi-jadi. Saban hari, ada sahaja isu yang membabitkan penyeksaan haiwan sama ada yang dilaporkan di dada akhbar mahupun yang terjadi di hadapan mata sendiri. Statistik yang dikeluarkan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) menunjukkan sebanyak 11,576 haiwan termasuk anjing dan kucing dihantar orang ramai ke pusat itu (Berita Harian, 2005). Kini, sebanyak sepuluh aduan mengenai penderaan haiwan dilaporkan pada setiap hari (Harian Metro, 2012). Hal ini menunjukkan semakin hari semakin hilang sifat kemanusiaan dalam diri pelaku. Haiwan-haiwan seperti kucing dan anjing sering menjadi mangsa kepada pelaku yang bertindak kejam menyeksa dan membunuh tanpa belas kasihan. Ke manakah hilangnya sifat perikemanusiaan? Apakah manusia semakin hilang sifat belas kasihan sehingga sanggup melakukan perbuatan sedemikian?

Kes penderaan kucing oleh pusat penjagaan haiwan Petknode di Selangor pada tahun 2011 pernah menjadi polemik dalam kalangan media massa. Penyebaran melalui laman sosial mengenai kucing yang kebuluran dan mati di pusat penjagaan tersebut mendapat perhatian ramai. Sebanyak 200 hingga 300 ekor kucing ditinggalkan tanpa pengawasan dan penjagaan daripada pemilik syarikat servis penjagaan haiwan tersebut. Kes penganiayaan ke atas kucing oleh seorang penjaja wanita yang berlaku pada tahun lepas juga turut menimbulkan kemarahan para pencinta haiwan. Wanita tersebut didakwa telah memukul, menendang serta menyakiti haiwan malang tersebut.

Selain itu, terdapat laporan akhbar mengenai warga Myanmar yang menjadikan kucing sebagai lauk seharian. Mereka mengetuk kepala kucing sehingga mati sebelum dimasak. Kulit kucing tersebut disiat dan mereka hanya mengambil organ dalaman iaitu hati dan jantung untuk digoreng (Sinar Harian, 2012). Kes penderaan haiwan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di luar negara kes ini semakin berleluasa ibarat “cendawan tumbuh selepas hujan.” Kes yang terbaru adalah mengenai 500 ekor kucing yang akan dijadikan hidangan eksotik di restoran-restoran di China. Daging kucing akan dicampurkan bersama daging ular untuk dimasak sejenis hidangan tempatan istimewa yang digemari penduduk tempatan di China (Kosmo, 2012)

Contoh-contoh penderaan haiwan yang dinyatakan ini menunjukkan isu ini sudah berterusan sejak sekian lama. Kes ini tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya kerana dianggap amalan biasa bagi sesetengah golongan. Penganiayaan haiwan yang dilakukan oleh warga asing mungkin kerana perbezaan agama dan budaya mereka. Namun, hal yang tidak dapat diterima adalah apabila masyarakat yang beragama Islam itu sendiri yang melakukan kes penderaan tersebut. Ke mana hilangnya akhlak masyarakat Islam yang sepatutnya berlandaskan al-Quran dan sunnah?

Jika dibincangkan isu ini dari perspektif tasawur Islam, prinsip-prinsip Islam dalam hubungan manusia dengan alam sekitar juga meliputi hubungan manusia dengan haiwan. Oleh itu, golongan yang melakukan penyeksaan ke atas haiwan ini sudah tentu menyimpang dari aspek tasawur Islam itu sendiri yakni mereka tidak menjaga hubungan dengan alam. Walaupun hubungan dengan Allah s.w.t perlu dijaga, namun hubungan dengan haiwan juga tidak sepatutnya dipandang ringan. Hal ini demikian kerana haiwan juga merupakan makhluk Allah s.w.t yang seperti juga manusia,  perlu  tunduk patuh kepada Allah s.w.t. Manusia tidak boleh membataskan kasih sayang hanya sesama manusia sahaja dan mengabaikan hubungan dengan makhluk lain yang ada di atas muka bumi ini. Hal ini berpandukan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sayangilah sesiapa sahaja yang ada di bumi, nescaya kalian disayangi sesiapa  sahaja     yang ada di langit.” (Hadis Riwayat at-Tabrani dan al-Hakim)

Golongan yang melakukan penganiayaan terhadap haiwan ini sudah tentu mempunyai akhlak yang tidak berpaksikan ajaran al-Quran dan sunnah. Hal ini kerana, akhlak baik yang mengikut panduan al-Quran dan sunnah akan membentuk dan melahirkan gerak laku yang mengikut acuan sistem akhlak tersebut. Menurut Ibnu Khaldun (1995), turun naiknya sesebuah negara dan tamadun, banyak bergantung kepada sejauhmana umat itu berpegang kepada nilai-nilai yang tinggi. Pandangan ini disokong oleh seorang penyair Arab bernama Ahmad Shauqi yang berkata:

“ Sesungguhnya sesebuah masyarakat itu akan ada selagi ada akhlaknya. Sekiranya akhlaknya tiada, masyarakat akan lenyap.” (Dipetik daripada Siti Norlina, et. al, 2004)

Pandangan tersebut menunjukkan pentingnya akhlak yang baik kerana senario semasa masyarakat Islam pada masa sekarang menunjukkan masalah keruntuhan akhlak semakin meruncing. Dalam konteks isu penderaan haiwan, golongan yang bertindak kejam menganiaya haiwan ini juga boleh dikatakan tidak berakhlak. Perkara ini adalah kerana ajaran Islam  menganjurkan supaya umatnya sentiasa mengamalkan sikap yang baik walaupun kepada haiwan. Oleh itu, manusia seharusnya berakhlak mulia dengan semua makhluk ciptaan Allah s.w.t kerana nilai-nilai akhlak adalah tinggi sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
                     
              "Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang mulia."
       (Hadis Riwayat  At-Tirmizi no. 2002, Abu Daud no. 4799 )

Dalam membincangkan hubungan manusia dengan haiwan, jika dinilai dari segi epistemologi Islam, telah dinyatakan beberapa adab dengan haiwan yang berpaksikan ajaran Islam. Haiwan menurut Islam adalah berdasarkan sumber-sumber ilmu Islam iaitu al-Quran dan hadis. Haiwan juga merupakan makhluk Allah s.w.t dan bersama-sama manusia tuhan menjadikan haiwan sebagaimana Firman Allah yang bermaksud:

“Dan tiada satu pun di antara haiwan melata di bumi atau pun burung terbang dengan dua sayapnya melainkan mereka juga umat-umat seperti kamu; tiada satu pun yang Kami lupakan di dalam Kitab, kemudian kepada tuhannya mereka dikumpulkan.” (al-An’am,6: 38)

Antara adab dengan haiwan menurut Islam adalah menjaga kebajikan haiwan dengan memberi makan dan minum apabila ia lapar dan haus. Terdapat hadis yang menyatakan ganjaran besar bagi sesiapa yang menjaga kebajikan haiwan. Antaranya ialah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa baginda bersabda yang bermaksud:

“Ketika seekor anjing berpusing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga, seorang pelacur daripada suku Bani Israil melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampunkan dia kerana perbuatannya itu.” (Shahih al-Bukhari, no. Hadis 3427)

Oleh itu, perbuatan mendera haiwan seperti contoh yang telah dinyatakan sebelum ini adalah merupakan tindakan yang tidak berlandaskan epistemologi Islam. Agama Islam menyuruh umatnya menjaga hal ehwal kebajikan haiwan. Hal ini bukan sahaja terhad kepada  menjaga kebajikan kucing peliharaan sahaja, malah umat Islam dianjurkan berbuat baik kepada semua haiwan. Dalam hal ini, anjing dan khinzir juga tidak terkecuali walaupun haiwan ini adalah dalam kategori Najis Mughallazoh (berat), mereka juga merupakan makhluk Allah s.w.t.


Dalam membincangkan adab dengan haiwan menurut Islam, terdapat contoh yang menunjukkan penyeksaan binatang dalam menyediakan hidangan yang secara jelasnya bertentangan dengan tasawur Islam. Hal ini berlaku dalam penyediaan hidangan makanan Perancis iaitu Foie Gras. “Foie Gras” ini bererti hati berlemak, dan hati ini biasanya diambil dari itik atau angsa. Sebelum menyediakan hidangan ini, itik atau angsa akan diberi makan secara paksa sehingga hati mengembang enam kali ganda daripada ukuran biasanya. Cara pemberian makan haiwan ini sangat sadis iaitu dengan memasukkan paip ke dalam mulut, lalu campuran jagung dan minyak dipaksa masuk ke dalam sistem pencernaannya menyebabkan lemak terkumpul ke hati itik atau angsa ini. Itik atau angsa ini diberi makan dalam keadaan disimpan dalam kotak kayu yang rapat sehingga tidak  boleh bergerak (Liyana Lunia, 2010).

Penyediaan hidangan tersebut jelas menyimpang dari tasawur Islam kerana menamatkan riwayat haiwan tersebut dengan begitu kejam sebelum menyediakan hidangan itu. Hal ini menyimpang dari ajaran Islam kerana agama Islam menuntut umatnya berbuat baik kepada haiwan. Malah, dalam hal menamatkan nyawa haiwan juga Islam memberi panduan lengkap cara melakukannya. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW daripada Abu Ya’la Syaddad Ibnu Aus r.a yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia menyelesakan binatang sembelihannya.” (Hadis riwayat Muslim, no. Hadis 1955)

Penyeksaan haiwan pada masa kini dilihat semakin berleluasa tanpa mengira tempat di dunia. Contoh lain sifat keperimanusiaan yang semakin terhakis dalam diri manusia pada masa kini adalah seperti yang berlaku di Korea Selatan. Hal ini dapat dilihat dalam penyediaan hidangan popular di negara tersebut iaitu hidangan sotong kurita hidup. Masyarakat Korea sering mengunjungi restoran yang menyediakan hidangan sotong kurita hidup. Sajian yang dikenali sebagai sannakji oleh warga tempatan itu dimakan bersama sedikit minyak, perasa dan sos. Sotong kurita daripada pelbagai saiz itu dimakan dengan cara badan dan kakinya dililit pada sepasang copstik sebelum dikunyah hidup-hidup. (Syalmizi Hamid, 2012)

Hidangan yang dimakan dalam keadaan sotong itu masih hidup dilihat sangat kejam. Keadaan ini sama sekali tidak bertepatan dengan tasawur Islam yang menitikberatkan dalam layanan yang baik terhadap haiwan. Dalam hal ini ditonjolkan oleh akhlak terpuji Rasulullah s.a.w dalam melayan makhluk tuhan ini. Rasulullah s.a.w menuntut manusia melayan haiwan dengan baik dan mengharamkan penganiayaan terhadap haiwan. Hal ini berdasarkan kepada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Berbuat ihsan pada setiap roh yang masih hidup terdapat ganjarannya” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Abdul Hayei Abdul Shukor dalam bukunya iaitu ‘Islam dan Manusia 1001 Kemusykilan’, manusia hendaklah bertanggungjawab terhadap kebajikan haiwan, terutama yang berada di bawah kawalannya. Jika haiwan itu merupakan peliharaan, berilah makan dan minum secukupnya, jagalah kepentingan hidupnya dengan penuh tanggungjawab. Jika haiwan itu mendatangkan bahaya kepada keselamatan manusia, maka hendaklah dibunuh sebelum ia membunuh manusia, tetapi hendaklah tertib dan hormat. Penyataan ini bertepatan dengan hadis yang membenarkan manusia membunuh haiwan iaitu dari Aishah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya:

“Terdapat lima jenis binatang merbahaya yang boleh dibunuh di luar tanah haram ataupun di dalam tanah haram iaitu ular, gagak, tikus, anjing gila dan helang.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini memberitahu bahawa umat manusia boleh membunuh haiwan seperti yang dinyatakan. Walau bagaimanapun, umat manusia tidak boleh sewenang-wenangnya menyeksa haiwan apatah lagi membunuh haiwan tanpa sebab. Dalam hal ini, Islam membenarkan umatnya membunuh haiwan yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Jika seseorang mengikut tasawur dan epistemologi Islam, maka tindakan menyeksa haiwan sudah tentu tidak berlaku dalam kalangan umat Islam pada masa kini. Walaupun kebanyakan masyarakat di luar negara yang sering bertindak menzalimi haiwan, umat Islam sepatutnya tidak berdiam diri. Tindakan yang paling kecil boleh dilakukan oleh umat Islam adalah mendoakan kesejahteraan semua makhluk Allah di muka bumi ini.

Justeru, hubungan manusia dengan haiwan juga perlu dititikberatkan kerana setiap sesuatu yang dijadikan oleh Allah .s.w.t itu adalah untuk kemudahan seluruh umat dan menjadi tanggungjawab umat untuk memanfaatkannya dengan memelihara martabatnya sebagai makhluk tuhan. Sebagai orang yang beriman, seseorang itu seharusnya melindungi, menyayangi, dan menjaga kebajikan haiwan kerana tidak cukup sekadar menjaga hubungan dengan Allah s.w.t dan hubungan dengan manusia sahaja tetapi hubungan dengan alam diabaikan.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin