Jika
anda menjalankan perniagaan dari rumah yang berkaitan dengan penyediaan
makanan, anda tentu sekali akan meluangkan banyak masa di dapur. Dalam
kesibukan, kadang kala kita terlalai akan cirri-ciri keselamatan yang
mudah. Contohnya, sedikit minyak atau air yang tertumpah di atas jubin
lantai boleh menyebabkan seseorang terjatuh dan patah tulang. Ataupun,
wayar yang terbiar di atas permukaan basah boleh mendatang bahaya besar.
Begitu juga sudip panas yang kelihatan tidak membahayakan boleh
menyebabkan tangan anda melecur. Untuk mengurangkan kemalangan seperti
ini, anda hendaklah merancang susun atur dapur anda dan buat peraturan
keselamatan yang mesti dipatuhi oleh semua orang yang memasuki dapur
anda. Berikut ialah beberapa kemalangan biasa dan panduan tentang
bagaimana untuk mengurangkan kejadian yang tidak diingini berlaku di
dapur anda:
Tergelincir dan Terjatuh
- Jika penyediaan makanan anda melibatkan banyak penggorengan, adalah lebih baik untuk mengasingkan dapur basah dan dapur kering secara bersebelahan supaya minyak yang tertumpah atau terpercik hanya terdapat di satu tempat. Kawasan ini seharusnya mudah dicuci setiap hari untuk mengelakkan minyak terkumpul dengan banyak dan menjadikan lantai licin.
- Cuba elakkan dari menggunakan jubin licin sebagai lantai. Jubin seperti ini memang cantik, tetapi agak bahaya. Hanya sedikit lapisan minyak atau air sabun boleh menjadikannya licin seperti ais. Jika anda sudahpun mempunyai lantai seperti ini di dapur anda, dapatkan pelapik getah seperti yang selalu digunakan di tandas awam. Hamparkannya di bahagian lantai yang selalu basah.
- Jika anda tumpahkan sesuatu di atas lantai, bersihkannya serta-merta. Sediakan mop untuk tujuan ini dan pastikan ianya dicuci dengan air sabun serta-merta selepas digunakan untuk mengelakkan minyak terkumpul dan tersebar ke kawasan lain apabila ianya digunakan semula.
- Jika anda terpaksa meletakkan anak anda di dapur semasa anda memasak, pastikan dia berada di kawasan khas yang dikepung dengan pagar keselamatan.
Elektrik
Berhati-hati
dengan peralatan elektrik di dapur; ia boleh menyebabkan kejutan
elektrik atau menyebabkan rumah anda terbakar jika tidak diawasi.
- Berhati-hati dengan wayar elektrik. Pastikan tiada bahagian yang terdedah atau terputus. Jika berlaku kerosakan, tukar wayar itu. Jangan ambil cara mudah dengan membalut bahagian itu dengan pita lekat.
- Jangan bebankan litar dengan menyambungkan terlalu banyak plag, wayar penyambung dan sebagainya. Jika anda memerlukan soket elektrik tambahan, dapatkan pakar untuk memasangnya.
- Jika rumah anda menggunakan pendawaian lama, adalah baik jika anda mendapatkan seorang yang pakar untuk memeriksa tahap kapasitinya untuk memastikan ia boleh menanggung keperluan elektrik daripada peralatan tambahan yang anda gunakan.
- Jangan guna peralatan elektrik berdekatan dengan sinki atau punca air yang lain. Jika hujung wayar alat itu jatuh ke dalam air, JANGAN sekali-kali cuba menariknya keluar, walaupun suisnya telah ditutup. Pertama sekali, tutup punca utama dan kemudian cabut plag dari soket. Jika anda mempunyai peralatan yang telah basah, jangan gunakannya sehingga ia telah diperiksa oleh juruelektrik yang bertauliah.
- Pastikan plag anda padan dengan soket. Jangan cabut pin ketiga untuk memadankannya dengan soket dua konduktor; ini boleh menyebabkan kejutan elektrik. Jangan paksa masuk sesuatu plag ke dalam soket jika ia tidak padan.
- Ground Fault Circuit Interrupters (GFCI) boleh membantu mengelakkan kejutan elektrik. Ia seharusnya digunakan di kawasan di mana air dan elektrik bertemu. Apabila GFCI mengesan kebocoran arus di dalam sesebuah litar elektrik, ia akan memutuskan aliran kuasa dengan cepat untuk mengelakkan kecederaan yang serius daripada kejutan elektrik. Selalulah menguji GFCI mengikut panduan yang diberikan oleh pengilang untuk memastikan ianya berfungsi dengan teratur.
Bahan Kimia
Anda harus lebih berhati-hati jika anda ada menyimpan bahan kimia di dapur.
Anda harus lebih berhati-hati jika anda ada menyimpan bahan kimia di dapur.
Berikut ialah beberapa isu penting mengenai keselamatan:
- Bahan pencuci longkang, peluntur dan asid kuat adalah berbahaya. Jangan sekali-kali campurkan bahan-bahan yang berlainan ini bersama kerana ia boleh menyebabkan letupan atau menghasilkan gas berbahaya. Pastikan bahan-bahan ini digunakan menurut panduan yang diberikan, dan pastikan bekasnya ditutup dengan rapi apabila tidak digunakan.
- Karbon monoksida terhasil daripada pembakaran bahanapi. Keracunan monoksida boleh berlaku melalui peralatan gas yang tidak dipasang dengan sempurna atau yang tidak mempunyai pengudaraan yang baik. Selalulah periksa peralatan anda secara profesional. Jangan gunakan briket arang atau yang seumpamanya untuk memasak atau pemanasan dalaman.
- Bahan kimia yang mudah meruap, seperti cecair pencuci, minyak tanah, minyak petrol dan sebagainya biasanya mudah terbakar, boleh menyebabkan kebakaran dan letupan dengan mudah, dan tidak seharusnya disimpan di dapur.
- Racun serangga dan racun tikus adalah berbahaya. Jika ia terkena tangan anda, cuci dengan segera. Apabila anda menggunakannya, pastikan tiada bahan makanan yang terdedah berhampiran. Pastikan ia dijauhkan dari kanak-kanak atau haiwan pelirahaan. Simpan dengan cermat, dan lebih baik bukan di dapur.
- Jika anda terpaksa menyimpan bahan kimia pencuci dan bahan beracun yang lain di dapur, simpan di rak bawah daripada rak makanan supaya jika berlaku kebocoran, bahan ini tidak masuk ke dalam makanan.
Dapur Gas, Penunu dan Ketuhar
- Pastikan silinder gas anda diletakkan di kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik untuk mengelakkan pengumpulan gas jika berlaku kebocoran. Cuba elakkan dari menyimpan silinder tambahan di dapur.
- Dapatkan seorang yang profesional untuk memeriksa sambungan paip gas anda dari masa ke semasa untuk memastikan ianya kalis bocor.
- Pastikan peralatan memasak yang diperbuat daripada kaca tidak dibiarkan di atas dapur. Ia mungkin meletup.
- Padamkan plet pemanas apabila tidak digunakan.
- Menggunakan surat khabar untuk menutup kawasan sekeliling dapur ialah perkara yang biasa dilakukan di kebanyakan rumah di Malaysia kerana ia menjimatkan masa daripada terpaksa membersihkan kesan minyak. Elakkan amalan ini kerana percikan kecil boleh menyebabkan kebakaran jika ia terjatuh di atas kertas. Juga pastikan tiada bahan mudah meletup berada berdekatan dapur.
- Jika anak-anak anda sering keluar masuk dapur, gunakan penunu yang paling jauh untuk dicapai oleh mereka dan elakkan dari meletakkan peralatan memasak dengan pemegangnya menghala ke luar di mana anak-anak kecil mudah mencapainya. Tentu sekali lebih baik untuk tidak membenarkan anak-anak masuk ke dapur semasa anda sedang memasak. Jika ini mustahil, pasangkan pagar keselamatan atau alat lain untuk menghalang anak kecil anda dari masuk ke kawasan memasak.
- Letakkan penutup periuk berdekatan untuk memadamkan api gris – jangan sekali-kali simbah air ke atas api gris. Selain itu, simpan baking soda berdekatan untuk memadamkan api makanan. Jika kebakaran berlaku di dalam ketuhar, matikan ketuhar dan tutup pintunya.
- Jangan buka pintu ketuhar gelombang mikro atau kendalikan makanan yang panas ketika anda mengendong anak.
- Gunakan sarung tangan ketuhar, pemegang periuk dan sebagainya untuk memegang peralatan panas dan bukannya menggunakan tuala kecil. Ini kerana hujung tuala yang tergantung boleh terbakar jika terkena api, atau menyebabkan melecur jika ia basah kerana kelembapan boleh bertukar menjadi stim.
Pisau dan objek tajam yang lainBerikut
ialah beberapa panduan yang dapat membantu anda mengelakkan kecederaan
semasa menggunakan pisau dapur dan objek tajam yang lain.
- Pastikan pisau anda sentiasa tajam. Pisau yang tajam memudahkan kerja memotong dan anda menggunakan sedikit sahaja tenaga untuk melakukannya. Jika pisau anda tumpul, anda terpaksa menolak dengan kuat untuk memotong, dan jika terpesong sedikit ia boleh mengenai tangan dan menyebabkan kecederaan.
- Jangan masukkan pisau kotor ke dalam alat pencuci pinggan kerana ia boleh merosakkan hujung pisau. Cuci pisau secara berasingan.
- Jangan letakkan pisau dengan hujungnya menghala ke atas. Hujung tajam ini sukar kelihatan, dan seseorang mungkin terkena hujung ini dan menyebabkan kecederaan.
- Apa saja jenis pecahan kaca adalah tajam dan berbahaya. Bersihkannya dengan cermat, dan pastikan anda tidak meninggalkan serpihannya pada span pencuci. Jangan buang pecahan kaca ke dalam beg sampah kerana ia akan menyebabkan kecederaan kepada orang yang mengangkat beg tersebut. Bungkuskannya dengan surat khabar lama atau kadbod. Jangan sekali-kali pecahkan kaca dengan sengaja dan membuangnya ke dalam beg sampah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan