Isnin, 9 September 2013

SEJARAH KERAJAAN ISLAM DI ARAKAN

Semasa Setiausaha MAPIM, Cikgu Hj Azmi bin Abd Hamid menulis surat menggesa supaya diambil tindakan terhadap kekejaman Ranggon terhadap rakyat Rohingya selepas tercetus konflik mutakhir 3 Jun 2012, jawapan dingin sahaja yang diperoleh. ASEAN, PBB, OIC, malah Aung Su Kyi hanya membisu dan tidak membalas sebarang surat yang dikemukakan oleh NGO Malaysia. OIC dan PBB hanya bersuara selepas sebulan penyembelihan rakyat Rohingya berlaku. PBB pula jelas menunjukkan sikap bacul apabila mengosongkan pejabat mereka di Myanmar ketika tragedi berdarah tersebut berlaku.
Aung San Suu Kyi sendiri tidak dapat memberi jawapan yang mengembirakan umat Islam bila merujuk isu terkini pasca 3 Jun 2012. Laman sesawang Islamic Geography melaporkan  Aung San Suu Kyi, pejuang demokrasi dan pejuang kebebasan rakyat Burma[2] yang mendapat anugerah Nobel Keamanan ketika ditanya tentang nasib kaum minoriti Muslim Rohingya , telah menjawab :“I do not know. We have to be very clear about what the laws of citizenship are and who are entitled to them. (Saya tidak tahu. Kita harus perjelas dulu tentang undang-undang kewarganegaraan  seperti apa dan siapa yang mempunyai hak untuk (status warganegara) tersebut.[3]
Jika anda boleh menemuramah pekerja asing Myanmar di Malaysia, mereka tidak dapat menerima langsung etnik Rohingya sebagai sebahagian daripada sejarah negara mereka. Malah sokongan massa dari kalangan etnik Shan yang beragama Buddha cukup utuh terhadap kempen menghapuskan etnik ini dari bumi Myanmar atas alasan ia bukan etnik asal Burma.  Walau bagaimanapun etnik Rakhine adalah yang paling ekstrim membenci Rohingya. Kaum Muslim pelbagai etnik di kawasan lain terutama Rangoon masih selamat dan tiada permasalahan besar. Soalnya dari mana munculnya etnik ini? Adakah mereka umpama Yahudi yang berkeliaran serata Eropah dan hanya bersatu pada tahun-tahun tertentu untuk menubuhkan negara pada 1948?
Adakah Rohingya sebegitu jalur sejarahnya? Penyelesaian tidak bertanggungjawab dinyatakan oleh Presiden Thein Sein awal bulan Julai 2012 iaitu Rohingya perlu dihantar keluar atau dimasukkan ke kem pelarian.
Ia tidak menghairankan memandangkan kenyataan media Kementerian Luar Negara Myanmar pada 1992 yang menegaskan pendirian mereka bahawa tiada nama etnik Rohingya dalam sejarah negara mereka[4].
Beberapa web Myanmar menyelar BBC dan CNN yang dikatakan menyokong Rohingya yang digelar terroris oleh rakyat Myanmar. Banyak kenyataan rasis dikeluarkan oleh rakyat Myanmar yang secara total menuduh Rohingya adalah Benggali dari Bangladesh. Istilah pengganas Benggali sebenarnya disuburkan oleh Parti Sosialis Burma sejak tahun 70an selepas beberapa siri penyingkiran rakyat Rohingya melalui tema ketenteraan sahaja tidak berjaya menarik sokongan rakyat.
Laman sesawang seperti http://myanmar-broadcasts-news.blogspot.com adalah antara laman yang mengherot pandangan dunia untuk menuduh kononnya Rohingya yang hanya mampu berkain pelikat itu sebagai pengganas yang ditakuti oleh Buddha.
Sejarah Burma ditulis oleh si pemenang politik malah menjadi agenda utama orientalis Barat. Tidak hairanlah banyak sumbangan Islam dan Timur terhadap kebudayaan dan peradaban Barat menjadi wap yang hilang di langit sejarah dunia sehingga yang tinggal adalah sejarah yang dibentuk berdasarkan bekas yang ditinggalkan oleh orientalis dan pengarang mereka.
Gejala minda tertawan (kerana sejarah ditulis oleh penjajah)  pernah diungkap oleh Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail ketika beliau mengupas Diskusi Intelek: Cheng Ho, Cina, Alam Melayu dan Perkaitannya di Panggung Percubaan UPM, Serdang sebelum ini[5].
Penanaman ideologi rasis dalam doktrin regim junta tentera
Laporan IHRC berkenaan isu Rohingya merekodkan sejarah bagaimana junta tentera memainkan isu konflik lama di Arakan sebagai bahan bagi meraih sokongan rakyat terhadap pemerintahan tidak popular mereka.
Junta tentera, yang dahulunya dikenali sebagai State Law Od Restorartion Council (SLORC) dan kemudian dikenali sebagai Majlis Keamanan dan Pembangunan Negeri (SPDC), telah menjadi terkenal kerana penindasan kejam penduduk Myanmar[6].
Buruh paksa, termasuk buruh bawah umur, dan pelbagai undang-undang zalim diperkenal oleh Junta yang menyebabkan pemerintahan junta dibenci. Malah, kerajaan junta tentera tiada sokongan massa.
Lantaran itulah isu Rohingya mampu menyatupadukan rakyat Myanmar menyokong agenda kerajaan Junta kerana mereka kononnya memiliki musuh yang sama.
Sejarah Sebelum Masihi
Sejarah sebelum Masihi yang dipetik dari laman wikipedia mencatatkan kerajaan bebas yang pertama telah ditubuhkan pada tahun 3325 SM oleh Raja Marayu. Agama Buddha diperkenalkan ke Rakhine dikatakan semasa hayat Buddha sendiri. Menurut Rakhine Tawarikh, Buddha semasa masih hidup, pernah melawat bandar Dhanyawadi pada 554 SM[7].
Orang Mon dipercayai menjadi kumpulan terawal yang berpindah ke Lembah Ayeyarwadi dan menguasai selatan Myanmar pada pertengahan tahun 900 SM. Orang Mon ini menjadi orang Asia Tenggara pertama menganut agama Buddha Theravada.
Islam muncul di Arakan
Sepanjang sejarah yang panjang, sebanyak 8 ibukota telah ditubuhkan dalam kerajaan Arakan dengan raja-raja yang bersilih ganti. Arakan telah dipengaruhi oleh kebudayaan Mongol, Burma, British, Thai, Mons, Tibet, Arab, Moor, Turki, Pathan, Mughal (India Islam), Asia Tengah, Banggali dan banyak lagi. Mereka datang ke Arakan sebagai peniaga, penceroboh, lanun, tahanan, pahlawan atau agamawan serta mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam pembangunan rakyat Arakan dari segi budaya dan perkauman[8].
Alpha
Raja Narameikhla (1404-1434), atau Min Saw Mon, mengasaskan Dinasti  Mrauk U Arakan pada tahun 1430, selepas 24 tahun dalam buangan di Bengal. Beliau kembali menguasai Arakan dengan bantuan tentera dari Kesultanan Bengal. Benggali yang datang bersamanya membentuk penempatan mereka sendiri di rantau itu.
Namun begitu, ada percubaan menafikan bahawa Narameikhla adalah seorang Muslim. Menurut Wikipedia, dikatakan Narameikhla telah  menyerahkan beberapa wilayah kepada Sultan Bengal dan Arakan pula telah diiktiraf kerajaan oleh Bengal. Apabila secara rasmi Arakan bernaung di bawah Bengal, raja-raja Arakan dikatakan menerima gelaran Islam, walaupun masih menganut  agama Buddha, dan disahkan penggunaan duit syiling Islam dari Bengal dalam kerajaan. Narameikhla mencetak syiling sendiri dengan aksara Burma pada satu sisi dan aksara Parsi di pihak yang lain. Arakan kekal bernaung  di bawah  Bengal sehingga 1531.
Sebenarnya pada tahun 1406 Masihi, Raja Narameikhla telah diserang oleh raja Burma dan Baginda terpaksa mengambil perlindungan dengan Sultan Nasiruddin Shah Bengal (Bangladesh). Dalam proses itu, beliau akhirnya  memeluk Islam 24 tahun kemudian.
Beliau memilih untuk menggunakan nama Sulaiman Shah dan kemudian dengan bantuan Bengal berjaya mendapat  kembali kerajaannya yang  hilang. Pada tahun 1420 Masihi, negara Islam yang pertama telah diisytiharkan di Arakan (wilayah Myanmar), di bawah kepimpinan Sulaiman Shah.
Sultan Jalaluddin Khan telah menghantar Wali Khan sebagai ketua 20,000 tentera Pathan untuk membantu  Narameikhla (Sultan Sulaiman) ke takhta.
Pada tahun 1431, Wali Khan mengguling Sultan Sulaiman dan menjadi pemerintah bebas pertama Islam dari Arakan. Beliau mula memperkenalkan bahasa Parsi sebagai bahasa rasmi Arakan.
Sultan Sulaiman sekali lagi melarikan diri ke Bengal untuk mendapatkan bantuan dari Sultan Bengal.
Akhirnya akibat hubungan 2 kerajaan Islam yang baik, pada 1433 Nadir Shah, Sultan Bengal telah menghantar Ketua Sindhi Khan bersama 30,000 askar untuk membantu Sultan Sulaiman. Setelah kejadian ini, Arakan bernaung di bawah Bengal. Arakan mula membayar cukai tahunan kepada Bengal dan Bahasa Parsi terus digunakan sebagai bahasa mahkamah. Insiden ini telah memberi kesan kepada penghasilan etnik Rohingya di Arakan. Hakikatnya Arakan tidak pernah dijajah secara paksa oleh raja Bengal kerana adalah suatu perkara biasa apabila kerajaan Islam kecil memohon perlindungan daripada kuasa yang lebih besar.
Menurut propaganda wikipedia juga, walaupun selepas Arakan (yang dikatakan kekal Buddha)  mencapai kemerdekaan daripada Sultan Bengal, raja-raja Arakan meneruskan adat mengekalkan hakmilik Islam.  Raja-raja mengekalkan fesyen Islam pemerintah Mughal, walaupun masih menganut Buddha. Mereka juga menggaji umat Islam yang berada dalam kedudukan yang berprestij dalam pentadbiran diraja.
Jika benar Dinasri Mrauk-U adalah kerajaan Buddha yang hanya bernaung di bawah Islam, mengapa tinggalan sejarah istana dan pemerintahan Mrauk-U tidak dijaga oleh kerajaan Myanmar hari ini seperti mana mereka menjaga sejarah dinasti-dinasti sebelumnya?  Tambah menghairankan ialah tinggalan Mrauk-U sebanrnya lebih mudah dijaga atau dipulihara kerana ia adalah dinasti terakhir Arakan.
Hal ini dikatakan kekal sehingga kehadiran Dinasti Konbaung  Burma pada 1784.
Sebenarnya Bangsa Rakhine yang tinggal di Arakan datang dari Barat, Parsi dan Indo Eropah. Rakhine yang beragama Islam diberi nama Rohingya.  Sebelum tahun 1784, Arakan ialah satu negara yang bebas selama 354 tahun dan mempunyai 243 orang raja.  Kawasan jajahan Arakan merangkumi hingga daerah Chittagong, Bangladesh sekarang.
Dalam Kerajaan Mrauk-U 1 dan 2, terdapat 18 orang raja yang mempunyai nama Islam antaranya:
1. Mun Saw Mwan ; dikenali Narameikhla ; Sulaiman Shah
2. Meng Khari ; Naranu ; Ali Khan
3. Ba Saw Pru ; Kalima Shah
4. Dawlya ; Mathu Shah
5. Ba Saw Nyo ; Mohammed Shah
6. Ran Aung ; Noori Shah
7. Salimgathu ; Sheik Abdullah Shah
Selepas Burma menjajah Arakan selama 41 tahun, mereka kemudiannya dijajah pula oleh British dan diserap masuk ke dalam India British dari 1825 hingga 1947 iaitu selama 122 tahun. Pada tahun 1948, Arakan kembali berada dalam jajahan Burma.
Jauh sebelum itu Islam telah  diperkenalkan di Arakan dalam tempoh beberapa dinasti Hindu, yang di dahului Dinasti Chandra  (788-957 M).
Peniaga-peniaga Parsi telah datang dalam tempoh 50 tahun kedatangan Islam (610-660-M).
Naungan raja-raja keturunan Bengal merangsang pembangunan pesat Bahasa Arab, Parsi, Rohingya, Bahasa Bengali dan Burma dalam kesusasteraan. Penganut agama Buddha yang berkelulusan bidang kajian Islam turut bertambah malah sejumlah besar mereka telah memeluk Islam.
Jika anda membuka laman http://en.wikipedia.org/wiki/Rakhine_people, tiada disebut langsung etnik Rohingya di Arakan. Rakhine yang menganut Islam yang dipanggil Rohingya seolah-olah cuba dipadam dari sejarah. Yang lebih lucu, Dinasti Mrauk-U iaitu salah satu Dinasti terakhir Arakan yang menerima Islam hanya dikatakan menjalin hubungan dengan kerajaan Mughal akan tetapi etnik yang menguasai Arakan adalah Rakhine yang beragama Buddha. Tidak logik jika kerajaan Buddha Rakhine mampu mendapat naungan dan hubungan istimewa dengan kerajaan Mughal di India melainkan sah ada etnik lain yang mengawal kerajaan Arakan selain rakhine Buddha iaitulah rahine yang beragama Islam (Rakhine-ya/Rohingya).
Jika merujuk pandangan Dr. Jacques P. leider pula, beliau menyokong teori bahawa rakyat etnik Rohingya tidak wujud. Kata beliau, negara di Asia Tenggara seperti Thailand dan Indonesia memang terdapat  masyarakat Islam. Di Arakan juga  telah ada masyarakat Islam sejak tahun 1400. Gelombang  kedua kehadiran muslim  ialah  ramai orang dari Bengal dan kawasan lain yang datang untuk menetap di Rakhine semasa penjajahan British.
Jelas beliau juga, istilah Rohingya muncul buat kali pertama pada akhir abad ke-18 dalam laporan seorang Inggeris yang pergi ke kawasan Chittagong dan Arakan. Beliau bernama Francis Buchanan-Hamilton.  Beliau juga seorang doktor perubatan dan istilah ini muncul dalam satu kertas yang telah diterbitkan olehnya.  Istilah itu kekal sebagai identiti kaum Islam di Arakan[9].

Manakala menurut Harun Yahya di dalam bukunya bertajuk “The Winter of Islam and the Spring to Come”, Myanmar mempunyai bilangan rakyat seramai 48 juta, 15% darinya terdiri dari kaum Muslimin (Rohingya).  Umat Islam tinggal di wilayah Arakan yang merupakan wilayah terkaya dari segi deposit minyak dan gas, dan penduduk di situ diIslamkan oleh pedagang-pedagang Arab.
Abad ke-18 Abad kebangkitan Buddha Indo China?
Kelemahan Empayar Mughal India (1526–1858)  adalah antara punca Buddha mampu menakluki kerajaan Arakan. Islam memerintah India selama 700 tahun. Hubungan sejarah Mughal dengan Arakan memang telah wujud. Contohnya pada 1660 M, putera Mughal, Shah Shuja melarikan diri ke Arakan. Shah Shuja dan pengikut-pengikutnya dan yang berjanggut Moor telah dibunuh oleh Raja Arakan pada 7 Februari 1661. Pada tahun 1665, Tentera Mughal telah menakluki Sandwip, Chittagong , Ramu. Maka Arakan Utara menjadi kawasan Mughol  Islam sejak 1666.
Kelemahan Islam di China selepas kejatuhan Dinasti Yuan dan Ming ((1368-1644M)) juga menaikkan semangat Sukhothai Buddha untuk menjajah Kerajaan Siam Ayutthaya Islam  pada 1767. Selepas kejatuhan Ayutthaya pada 1767, kerajaan Patani di bawah pemerintahan Sultan Muhammad (1776-1786) telah cuba untuk membebaskan diri daripada ancaman Thai (yang telah mengalahkan kerajaan Ayutthaya). Bagaimanapun, pada 1785 pasukan tentera Thai di bawah kepimpinanan Panglima Phraya Kalahum telah berjaya menewaskan Patani. Maka 3 kerajaan Islam jatuh ke tangan  bangsa Buddha (Arakan, Ayutthaya dan Patani)
Kerajaan Mughal India dan maharaja Yuan China yang beragama Islam mampu mengancam kerajaan IndoChina tetapi ia musnah apabila menjelang abad ke-18.
Kesultanan Mughal yang dibangun pada tahun 1526 dan berakhir pada tahun 1859 (perintah 333 tahun) dihapuskan kesultanannya oleh Inggeris, tidak berhasil memusnahkan keseluruhan warisan India. Ini dapat dilihat dari munculnya kembali pelbagai kekuatan seperti orang-orang Marata, orang Sikh dan orang Afghan.
Kebangkitan Buddha Sukhotai (Thai) dan Buddha Burma hanya berlaku sekitar 1700 apabila Dinasti Islam lemah di India dan China.
British mengusutkan keadaan
Kedatangan dan hubungan British – Burma ada kaitan dengan kedudukan British di India  yang telah mengambil alih India pada 1858) dan keadaan kucar kacir dalaman Burma sendiri.
Pada pertengahan kurun ke-18, Raja Alaungpaya telah menakluki Pegu, lalu mendirikan dinasti baru diberi nama Konbaung pada tahun 1752. Dengan pembentukan dinasti baru ini bermakna Alaungpaya telah berjaya menyatukan semula Myanmar. Pengganti-pengganti Alaungpaya kemudiannya telah meluaskan lagi wilayah mereka hingga membawa kepada sempadan Timur India. Pada tahun 1784, Raja Bodawpaya (1782-1819) iaitu anak Alaungpaya yang terakhir memerintah, berjaya menakluki Arakan sebuah kerajaan yang bebas[10].
Raja Arakan bernama Thamada terpaksa melarikan diri tetapi telah ditangkap pada Februari 1785 lalu dibawa ke Myanmar.
Selepas menakluki Arakan, tentera Myanmar melancarkan serangan ke atas Siam tetapi gagal. Tentera Myanmar hanya berjaya menawan Chiengmai dan itu pun dapat diusir oleh Siam. Penaklukan Arakan telah membimbangkan Inggeris kerana sempadan Myanmar telah mara ke Benggala. Selain itu, Raja Bodawpaya juga bercita-cita hendak menakluki China dan India terutama di kawasan Manipur dan Assam.
Burma adalah negara yang sering mengalami perpecahan. Keadaan sama juga berlaku pada zaman pemerintahan Raja Bodawpaya yang menaiki takhta Burma pada 1782 M. Arakan telah menjadi salah satu titik pemberontakan yang agresif saat itu sehinggalah Burma menjajah Arakan pada 1784 M.
Pemberontakan pejuang Arakan tidak berjaya malah mereka terpaksa melarikan diri sehingga ke India. Sebagai contoh pada 1794 M, terjadi satu perang pemberontakan, tentera Burma tidak mahu meninggalkan wilayah India melainkan British menyerahkan 3 pemimpin Aerakan kepada mereka.
British mengabulkan hasrat Burma dan menyerahkan 3 pemimpin tersebut walaupun sedar kedegilan dan sikap keras Burma akan membuka ruang kepada Perancis untuk mengukuhkan tapak di IndoChina, pesaing utama British.
Apabila Arakan terletak di bawah kekuasaan Burma, maka tindakan-tindakan terhadap orang Arakan telah dilakukan. Orang-orang Arakan telah dikerah secara paksa untuk bekerja sebagai buruh dan bertugas dalam perkhidmatan kerajaan. Dengan adanya tindasan dari pemerintah Burma, pada tahun 1794 telah terjadi satu pemberontakan dengan dibantu oleh orang-orang Arakan yang telah melarikan diri dan menetap di Chittagong. Pemberontakan itu dapat dikalahkan menyebabkan ramai orang-orang Arakan melarikan diri ke tanah jajahan Inggeris. Peristiwa itu dipandang berat oleh British yang kemudiannya masuk bgi menghalang kemaraan tentera Burma. British telah menghantar tenteranya ke sempadan di bawah pimpinan Kolonel Erskine. Dengan ini, pelarian orang-orang wilayah Arakan ke wilayah British telah menimbulkan persengketaan antara British dan Burma.
British terpaksa menghantar Michael Symes pada 1795 M untuk mengendurkan krisis Arakan-Burma. British mahu Residennya ditempatkan di Rangoon dan ia merupakan taktik biasa awal penjajahan British. Sebagai imbalannya, pelarian Arakan ke India diserah kembali kepada Burma. Kepten Hira Cox telah menjadi Residen British pertama di Ranggon dan British terpaksa menarik kembali Residennya yang ketiga kerana berlaku perselisihan faham berkenaan isu adat istiadat Burma.
British hanya campur tangan sekali lagi selepas munculnya pemerontakan besar Arakan pada 1811 M yang digelar pemberontakan Chin Byan (1811-1815).
Pada tahun 1798, timbul sekali lagi pemberontakan di Arakan tetapi gagal, menyebabkan  pelarian Arakan ramai memasuki Chittagong. Disebabkan ramai orang Arakan memasuki Chittagong dan mengancam pemerintah Burma di Arakan maka pada Januari 1802, pemerintah Arakan atas nama Kerajaan Burma mendesak British menyerahkan orang-orang pelarian Arakan kepada Kerajaan Burma.
Burma juga menggugat akan menyerang India sekiranya tuntutan itu tidak ditunaikan. Dengan adanya ancaman tersebut, maka British menyerahkan pasukan tenteranya untuk mengawal sempadan antara India dan Burma. Untuk menyelesaikan masalah pertikaian mereka maka British menghantar Kapten Syemes ke Burma pada Mei 1802 bagi mengadakan perdamaian.
Siapakah Chin Byan?
Pada tahun 1811, satu pemberontakan di bawah pimpinan Chin Byan telah meletus. Chin Byan secara diam-diam telah mengumpulkan kekuatannya di wilayah British lalu menyerang Burma dengan menawan Miohaung. Chin Byan telah meminta bantuan British dengan membuat satu perjanjian untuk meletakkan wilayah di bawah tadbirnya di bawah kedaulatan British[11].
Hal ini telah meruncingkan hubungan antara British dengan Burma. Untuk menyakinkan Kerajaan Burma bahawa British tidak terlibat dalam tindakan Chin Byan itu maka dalam September 1811, Kapten Canning diutus ke negeri Burma.
Pemerintah Arakan-Burma telah mengancam untuk menyerang Chittagong jika orang-orang pelarian Rohingya tidak diserahkan. Untuk mendapatkan kepercayaan Myanmar, pada akhir tahun 1812, Inggeris melumpuhkan sebahagian besar pasukan Chin Byan. Pergerakan Chin Byan tamat apabila Chin Byan meninggal dunia pada tahun 1815.
Chin Byan adalah seorang Muslim dan  dikatakan seorang pejuang jihad Wahabi (memperjuang semangat salafi)[12].  Menurut Helen James dari Australian National University, Australia, dalam tulisannya The Assassination Of Lord Mayo: The First Jihad?, memang terdapat ketumbukan pejuang mujahidin yang beraliran salafi di sekitar Arakan dan Bengal suatu ketika dahulu.
Matlamat agama
Menurut Dr. Jacques P. Leider dalam tulisannya bertajuk Arakan around 1830 – Social Distress and Political Instability in the Early British, matlamat agama  iaitu agenda mengintegrasikan antara Buddha-Islam adalah antara agenda penting penjajahan Burma ke Arakan. Malah Sami Buddha juga terlibat dalam usaha untuk menyatukan semua agama di bawah Buddha.
Selepas kalah berperang dengan British, Perjanjian Yandabo telah ditandatangani pada 1826 M. Hal ini menyebabkan   Burma terpaksa menyerahkan wilayah-wilayah Arakan, Tennaserim, Assam, Manipur dan Chacar kepada British selain terpaksa menanggung pelbagai pampasan dan menerima Residen British.
Ini adalah antara pintu mula Britih memisahkan Arakan dengan Burma dan mengisolisasikan budaya Islam daripada penganut Buddha selama 122 tahun lamanya.
Semasa Perang Dunia Kedua, Arakan telah diberikan autonomi di bawah pendudukan Jepun dan diberikan tentera sendiri yang dikenali sebagai Pasukan Pertahanan Arakan. Pasukan Pertahanan Arakan akhirnya menentang pula  Jepun awal pada tahun 1945.
Pada tahun 1948, Arakan menjadi satu bahagian dalam Kesatuan Myanmar. Sejurus selepas, keganasan berlaku di sepanjang garisan agama antara Buddha dan Muslim pada tahun 1974, perlembagaan baru Ne Win memberi status “negeri” kepada Arakan tetapi ia tidak bermakna apa-apa sejak junta tentera memegang kuasa semua di negara itu malah nama Arakan telah ditukar kepada “Rakhine” oleh junta tentera pada tahun 1989.
Sejarah hubungan Arakan dengan Bengal
Jika berbahas isu campuran genetik Benggali-Rakhine, kita boleh merujuk sumber daripada IHRC (Islamic Human Right Commission). Islam diamalkan secara meluas di Negeri Arakan dan terdapat juga beberapa Bama (Burma) memeluk Islam serta wujudnya umat Islam campuran India Burma warisan etno-budaya, yang dikenali sebagai Zerbadees[13].
Sepanjang sejarah, Arakan mengekalkan hubungan sosio-ekonomi dan komersial yang sangat dekat dengan Islam Bengal (kini Bangladesh). Semasa pemerintahan Islam di Arakan, dari 1430 kepada 153I, sebilangan besar umat Islam terutamanya dari Chittagong berhijrah dan menetap di Arakan.
Dari kira-kira 1580-1666 M, hampir satu abad, Chittagong adalah di bawah pemerintahan Arakan. Dalam tempoh ini, seburuk-buruk aktiviti lanun dan perdagangan hamba memuncak. Mereka merampas dan memusnahkan semua kampung-kampung dan penempatan di Tebing Ganges.
Hari ini kehadiran sebilangan besar Rohingya di Bangladesh bukan akibat sekali sahaja proses penghijrahan tetapi telah lama berlaku pada tahun Masihi 957, 1044, 1544, 1660, 1666, 1752, 1784, 1785, 1796, 1798, 1811, 1930, 1938, 1942, 1954, 1955, 1958, 1959, 1966, 967, 1973, 1978 dan l99l-92 .
Selepas tahun  1824, apabila British mengambil alih Burma, pelarian Arakan dikembalikan ke asal. Malah Rohingya yang tidak mahu berhijrah semula akan kekal di Bangladesh dan dikenali sebagai  ‘Roai’[14]. Tiada sempadan politik antara Arakan dan Bangladesh kerana British kelihatan mahu memisahkan kehidupan kaum Islam daripada kaum Buddha dan ini resepi umum penjajahan British.
Tiada sekatan untuk menyeberangi Sungai Naf dari Arakan ke Bengal seperti yang berlaku hari ini.
Konflik sepanjang pemerintahan British ; siapa mula?
Proses pelarian berlaku kerana konflik Arakan-Burma adalah suatu yang tradisi sejak penjajahan Burma 1784. Kini perlu kita fahami pula proses konflik sepanjang penjajahan British.
Muslim Rohingya dan setiap pribumi lain Arakan dan Rakhine Buddha tinggal sebelah menyebelah dalam keadaan aman damai sepanjang proses penjajahan Burma terhadap Arakan sehingga abad ke-19 kerana Rakhine juga adalah mangsa penjajahan Burma/British.
Hampir tiada pergaduhan besar melainkan selepas munculnya gerakan mahasiswa Thakin. Parti Thakin[15], yang bertujuan untuk mengakhiri pendudukan British Burma yang bermula pada tahun 1826, telah menimbulkan isu konflik  Buddha Rakhines terhadap Muslim Rohingya.
Apabila Myanmar telah dipisahkan dari India pada tahun 1937 dengan pemerintahan kolonial masih kekal, Thakin merampas kuasa di dalam Myanmar. Apabila British meninggalkan Burma sepanjang Perang Dunia II, ia menjadi peluang kepada Rakhine atas hasutan parti Thakin untuk membunuh secara berleluasa 100,000 Muslim Rohingya,  membakar  300 kampung dan  80,000 orang  terbuang ke Bengal.  Pada 28 Mac 1942, Rakhines menyerang umat Islam di Chanbilivillage Minbya Township dengan golongan wanita, lelaki dan kanak-kanak  disembelih dengan pedang dan lembing[16].
Berdasarkan maklumbalas Cikgu Hj Azmi Abd Hamid (MAPIM) yang telah menjengah ke Myanmar, pelarian memohon sekurangnya dihadiahkan mereka payung kerana mereka tiada langsung alat  apa yang boleh diertikan sebagai ‘bumbung’ sepanjang proses pelarian yang terkini pasca 3 Jun 2012
Siapa Rakhine siapa Rohingya?
Asalnya mereka adalah etnik yang sama. Agama yang memisahkan dua etnik ini.
Laman sesawang wikipedia mampu mengelirukan pembacanya jika si pembaca tidak dapat membezakan siapa Rakhine dan siapa pula Rohingya. Etnik mana yang menguasai Arakan dan etnik mana yang mewarisi pemerintahan dinasti terakhir Arakan yang beragama Islam.
Menurut laman itu,  negeri Rakhine (Arakan)  yang kini seramai 3.83 juta penduduk adalah penganut ajaran  Theravada Buddha, salah satu daripada empat kumpulan utama Buddha etnik Myanmar (yang lain Bamar, Shan dan lain-lain). Mereka dikatakan salah satu kumpulan pertama yang menjadi pengikut Buddha di Asia Tenggara. Budaya Rakhine adalah budaya  Burma tetapi dengan pengaruh India yang lebih, mungkin kerana pengasingan geografi dari tanah besar Burma.
Kesan pengaruh orang India dikatakan oleh wikipedia kekal dalam kebudayaan Rakhine, termasuk sastera, muzik, dan masakan. Jika dicari wajah Rakhine dalam internet kita akan mendapati mereka tidak berwajah India sebaliknya lebih mirip wajah Melayu. Manakala etnik Rohingya pula lebih mirip Benggali kerana perkahwinan campur sepanjang sejarah pengIslaman mereka (walaupun asalnya Rohingya juga daripada cabang bangsa Rakhine).
Bangsa rakhine Buddha sedang berdoa kerana takutkan ‘pengganas benggali(Rohingya)’
Nama Rohingya memang cuba dibuang daripada sejarah Arakan. Penulis berpendapat demikian selepas membaca pandangan  Aye Chan dari Kanda University of International Studies,  bahawa umat ​​Islam di Negeri Arakan boleh dibahagikan kepada empat kumpulan yang berbeza, iaitu ;
  • Benggali Chittagong dalam Sempadan Mayu,
  • Keturunan Komuniti Muslim Arakan dalam tempoh Dinasti Mrauk-U (1430-1784), kini hidup dalam Mrauk-U dan Kyauktaw
  • Warisan tentera upahan Islam dalam Ramree Pulau yang dikenali sebagai sebagai Kaman
  • dan umat Islam dari kawasan Myedu Myanmar Pusat, yang ditinggalkan oleh penceroboh Burma di Daerah Sandoway selepas penaklukan Arakan pada 1784[17].
Kata beliau, siapa pula Rohingya? Rohingya adalah umat Islam di kawasan Sempadan Mayu, hari ini dikenali sebagai Buthidaung dan  Maungdaw iaitu daerah terpencil di bahagian barat negara merentasi Sungai Naf iaitu  sempadan  Bangladesh.
Istilah “Rohingya”dikatakan beliau mula digunakan dalam tahun 1950-an oleh penduduk Bengali berpendidikan dari kawasan sempadan Mayu dan didakwa  tidak boleh ditemui di mana-mana sumber sejarah dalam bahasa apa-apa sebelum itu.
Pencipta istilah dikatakan daripada generasi kedua atau ketiga pendatang Bengali dari Chittagong di daerah moden Bangladesh. Namun beliau masih bersetuju bahawa memang wujud masyarakat Islam di Arakan sebelum negeri ini diserap ke dalam British India.
Perkataan “Rohingya” didakwa oleh Aye Chan pertama kali dilafazkan oleh Encik Abdul Gaffar, Ahli Parlimen dari Buthidaung, dalam artikelnya “Islam Sudeten,” yang disiarkan dalam harian Guardian pada 20 Ogos 1951.
Kita tidak seharusnya hairan jika sesuatu nama bangsa hilang dalam persuratan kerana agenda genosid bukan suatu agenda mematikan nyawa sahaja sebaliknya proses penghapusan jejak bangsa, warisan budaya dan tradisi juga cuba dihapuskan dan tulisan sejarah memang ditulis oleh golongan yang berhasrat menghapuskan warisan empayar Muslim di Arakan. Sebagaimana Barat berusaha memusnahkan tinggalan sejarah Pattani Darussalam, begitu juga Barat akan berusaha memastikan pemerintah tempatan seperti Burma menghapuskan segenap tinggalan sejarah dan ilmu tamadun Mrauk-U yang muslim itu.
Bagi versi Islam kita boleh merujuk buletin yang dikeluarkan oleh www.rohingya.com . Dalam tahun 957 M (jauh sebelum kehadiran Islam dalam Arakan),  pencerobohan Mongol (paganisme tanpa agama) melanda Arakan dan meletakkan orang Mongol sebagai  raja di Arakan. Campuran kahwin antara penduduk tempatan dan Mongol menghasilkan bangsa Rakhine. Mereka yang kini dikenali sebagai Rohingya bukan  berasal daripada orang asing tetapi adalah orang asli tempatan.
Di Arakan, Rakhine dan Rohingya telah dilahirkan dengan kedatangan orang-orang Aryan dari Timur Laut  dan berkahwin campur dengan penduduk tempatan melalui penilaian sejarah. Rohingya bukanlah satu nama baru atau baharu dicipta .
Rohingya adalah nama dalam sejarah yang telah mengalami perubahan. Sepertimana perubahan nama bandar daripada nama  ;
  • Akyab ke Sittwe,
  • Rangoon kepada Yangon,
  • Arakan dipanggil Rakhine[18],
  • Burma kepada Myanmar dan lain-lain lagi.
Selepas sejarah Islam muncul di Arakan, genetik kaum Rohingya menjadi rencam kerana mengalami campuran perkahwinan antara ;
  • Aryan tempatan  dan Mongol serta Hindu.
  •  Arab dan pedagang Parsi
  • Tentera Pathan army,  Turki.
  • Pengikut Shah Shuja daripada Empayar Mughal India[19].
  • Hamba-hamba Benggali.
Kesimpulan bagi tulisan ini, penulis boleh senaraikan beberapa plot tindakan anti Rohingya atau erti kata lain aktiviti anti Islam berlaku pada jangka waktu berikut:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


















KETURUNAN SIAM MALAYSIA.

Walaupun saya sebagai rakyat malaysia yang berketurunan siam malaysia,saya tetap bangga saya adalah thai malaysia.Pada setiap tahun saya akan sambut perayaan di thailand iaitu hari kebesaraan raja thai serta saya memasang bendera kebangsaan gajah putih.

LinkWithin