Dah tentu hangpa banyak dok baca pasai sejarah Hindu-Buddha Jawa no. Dak
pon sejarah Hindu-Buddha Bali Indonesia. Yang sebelah Siam punya tak
banyak dalam bahasa Melayu pasai depa guna bahasa Siam manakala yang
berbahasa Melayu banyaknya pun penganut Islam. Jadi, apa kejadahnya depa
nak menulih pasai ajaran Hindu-Buddha dalam bahasa Melayu? Jadi kat
sini kita bagi maklumat dalam bahasa Melayu. Dalam ni aku pakai bahasa
Melayu piawai saja la senang sapa-sapa rajin nak baca novel paham.
Sebenarnya perkembangan ajaran Buddha di Siam purba terbahagi kepada
empat zaman semuanya. Dalam bab kedua buku Buddha di Siam, ada
diterangkan mengenai sekumpulan bhikku yang dihantar oleh maharaja Asoka
ke kawasan ulu di Semenanjung Indo-China untuk menyebar ajaran Buddha
ke situ. Yang dimaksudkan dengan Semenanjung Indo-China tu adalah
Segenting Kera.
Kumpulan bhikku ni diketuai oleh dua orang bhikku, Yang Penyantun Sona
dan Uttara. Dalam perjalanan darat dari benua India itu, mereka melalui
Burma sebelum menyambung perjalanan lagi ke negara-negara purba di
sebelah barat laut benua Asia Tenggara.
Di sebelah Thailand ini, kota purba ada di Nakhon Prathom kira-kira 50
kilo ke barat kota Bangkok. Kota ini nampaknya mempunyai bukti carigali
yang ajaran Buddha mula-mula sekali bertapak di sini. Ada juga batu
besurat, rupa Buddha, dan juga tapak kaki Buddha dengan pagoda besar
yang kalau dipotong rentas atasnya akan kelihatan sama rekabentuknya
dengan stupa maharaja Asoka di pekan Sanchi di India sana.
Awalnya memang meragukan juga tentang bagaimana para penyebar ajaran
Buddha tersebut boleh dipahami oleh penduduk tempatan di tempat yang
mereka sampai. Tapi dalam hal dua orang suci yang sampai ke dalam
negara-negara purba di Thailand ini kemungkinannya memang sudah ada
peniaga-peniaga Hindu dan pelarian Hindu yang tinggal di sekitar kawasan
Semenanjung Tanah Melayu dan Segenting Kera. Setengah dari puak Hindu
ini memang pernah melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu dan
Segenting Kera kerana mengelakkan penaklukan maharaja Asoka serta
perang. Sewaktu itu maharaja Asoka belum menganut ajaran Buddha lagi,
dan baginda memang jahat.
Oleh itu, tak bersebab yang menyatakan bahawa sebaran ajaran Buddha
hanya terhad kepada orang Hindu sahaja kemudian melalui jurubahasa Hindu
baru orang-orang negara purba yang masa itu keturunan mereka dari
keturunan Mon-Kemir dan Lawa menganuti ajaran Buddha.
Sudah diketahui umum bahawa ajaran Buddha berkembang pesat di Segenting
Kera, sehingga ia pun termasuk dikenali sebagai sebahagian dari
Suwarnabumi atau Tanah Keemasan. Penduduk rantau ini, yang merupakan
rumpun jenis Mon-Kemir dan Lawa mempunyai raja-raja dan ketua mereka
merupakan orang Hindu atau berketurunan Hindu melalui keturunan atau
perkahwinan.
Hakikat ini memastikan bahawa kebudayaan Hindu dan ketamadunan Hindu
sudah bertapak lama di tanah ini. Makanya, ajaran Buddha Theravada telah
merebak ke seluruh Segenting Kera dan menarik perhatian etnik Burma dan
etnik Tai yang juga disepak keluar dari Tibet dan Yunnan. Ajaran Buddha
Theravada tidak berkesan di timur laut yang sekarang ini sebahagian
dari Vietnam Utara.
Zaman Funan
Kemunculan aliran Buddha Mahayana di benua India dalam kurun keenam
tahun Saka, menyebabkan penyebar ajaran dihantar lagi ke seberang laut
dan melalui jalan darat. Perjalanan jalan darat mereka melalui Bengal
(Bangladesh) dan Burma (Myanmar Utara), manakala perjalanan laut mereka
pertama sekali mendarat di Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Sumatera.
Selepas singgah di situ baharu lah mereka pergi ke Kemboja.
Semasa ini juga berlaku kemunculan kerajaan Funan, meliputi tanah
Kemboja dan juga kawasan timur laut dan tengah Thailand hari ini.
Penduduk negara Funan menganuti dua aliran ajaran Buddha. Ada yang
menganut aliran Theravada dan ada yang Mahayana. Dalam kurun ke-10 tahun
saka setengah bhikku negara Funan dilaporkan pergi ke China untuk
belajar dan menterjemah teks Buddha di sana. Antara bhikku Kemboja dari
negara Funan yang berani ke tanah China adalah bhikku Sanghapala dan
Mandarasena.
Negara Funan, dalam abad ke-11 tahun Saka mula merosot. Ia dikalahkan
oleh tanah jajahannya iaitu negeri Chenla. Kemudian negeri Chenla
merempas ibu kota dan menyerap negara Funan menjadi negara Chenla pula.
Halnya macam sekarang ini kata lah negeri Perak lawan dengan kerajaan
Pusat. Kerajaan Pusat di ibu kota kalah maka seluruh negara kemudian
diserap menjadi negara Perak. Macam tu lah kot. Selepas kejadian itu,
perkembangan ajaran Buddha di tanah Kemboja menjadi lembap.
Zaman Dwarawati
Semasa abad ke-11 tahun Saka, apabila ajaran Buddha sedikit sebanyak
terjejas selepas negara Funan dikalahkan dan menjadi jajahan; orang Mon
yang tinggal di wilayah dekat sungai Chao Phraya dalam Thailand hari ini
mengambil peluang untuk mengisytiharkan diri mereka merdeka dari
jajahan Kemboja Funan. Mereka bangkit membina kerajaan Dwarawata.
Sebab ia menjadi pusat tamadun dan budaya, negara baru itu mengalami
kepesatan mendadak dari segi kesenian dan keagamaan. Agak menarik juga
apabila negara ini menjaga dan memelihara ajaran Buddha menurut aliran
Theravada yang diwariskan oleh para penyebar ajaran yang dihantar oleh
maharaja Asoka. Disebabkan Dwarawata mempunyai hubungan rapat dengan
orang Hindu di lembangan Ganges, maka kebudayaan menurut acuan ajaran
Buddha kelihatan menyerupai kesenian yang ada dalam dinasti Gupta.
Ibu kota dan pusat negara Dwarawata kemungkinan besar terletak di Nakhon Prathom (Negara
Pertama). Tapi dalam abad ke-12 tahun Saka, negara Dwarawata mula
melebar sampai ke utara. Mulanya ke kota di Lopburi. Kemudian ke
negeri-negeri dalam wilayah Utara Thailand hari ini. Ada rekod
menunjukkan bahawa Ratu Jamadewi yang merupakan seorang Mon dari zaman
Dwarawata pernah menjadi pemerintah di kota Haripunjaya atau di kota
zaman ini sekitar 700 kilo dari utara Bangkok. Baginda pernah menjemput
500 orang bhikku yang terpelajar dengan kitab suci untuk mengajar
dharmma kepada orang ramai di Haripunjaya. Ini antara sebab mengapa
aliran Theravada dari Dwarawata mendapat tempat di wilayah-wilayah Utara
Thailand pada ketika itu. Orang Tai sendiri yang dihalau keluar dari
Yunnan juga tertarik menganut ajaran Buddha aliran Theravada hasil
pengaruh kerajaan orang Mon.
Penguasaan orang Mon ke atas rantau Utara Thailand bertahan selama
beberapa abad. Batu besurat dalam tulisan Mon purba ada ditemui di kota
di Nakhon Prathom sampai ke Lopburi dan Lamphun. Dalam abad ke-14 tahun
Saka, kerajaan Chenla yang tadi menyerap penjajahnya iaitu Funan mula
digantikan pula oleh kerajaan Kemir purba. Kerajaan ini baru lah
dikenali sebagai Kemboja Angkor. Ia mula meluaskan jajahannya sampai ke
sebahagian kerajaan Dwarawata. Mereka cuma tak berjaya menakluki
wilayah-wilayah Dwarawata di utara dan rantau timur laut sahaja.
Zaman Seriwijaya
Semasa kerajaan Dwarawata sedang berkembang pesat di tengah Siam purba,
di sebelah selatan Siam purba sudah ada beberapa negara kecil yang dua
antaranya disebut dalam rekod China purba sebagai Chih Tu (Tanah Merah)
dan Pan Pan.
Tanah Merah letaknya mungkin dekat-dekat dengan Saiburi (Kedah Utara).
Ada setengah ahli carigali mengesahkan bahawa negeri ini letaknya
berdekatan dengan kota Madrid dalam Burma. Aku rasa jajahan Kedah zaman
dulu luas la kot sampai ke sempadan Burma bawah. Penduduknya menganuti
ajaran Buddha. Yang Pan Pan itu katanya ahli carigali dekat kawasan kota
Surat Thani sekarang ini kira-kira 650 kilo dari selatan Bangkok.
Penduduknya pun menganuti ajaran Buddha aliran Theravada. Negara-negara
ini selalu berhubungan dengan negara Dwarawata di tengah Siam purba.
Dalam kurun ke-12 tahun Saka, muncul kerajaan Seriwijaya di pulau
Sumatera. Seriwijaya muncul menjadi empayar di sebelah selatan dan
meluaskan pengaruhnya sampai ke Semenanjung Tanah Melayu yang
bersempadan dengan negara Dwarawata. Walau bagaimana pun, dalam
negara-negara ini aliran Buddha Savakayana juga berkembang pesat. Ia
dicatat oleh penyebar ajaran Buddha dari empayar China purba iaitu E
Ching. Hal ini disebabkan oleh pemerintah negara-negara purba di selatan
ini pemerintahnya serta rakyatnya sangat tekun mengamalkan aliran
Savakayana.
Apabila wangsa Pala di Magadha-Bengal (Bangladesh) mula berkuasa, aliran
Mahayana terutamanya cabang Mantrayana mula diberi perhatian dan oleh
kerana negara Pala sering berhubung dengan negara setarafnya, iaitu
negara Seriwijaya yang mengawal negara-negara di Semenanjung Tanah
Melayu, maka aliran Mahayana cabang Mantrayana mula diterima oleh
Seriwijaya selama 500 tahun.
Bukti hal ini ada ditemui di wilayah Nakon Sri Tammarat yang dahulunya
dikenali sebagai negara Tamralinga. Ada batu bersurat bertulisan bahasa
Sanskrit bertarikh tahun Saka 1318 (715 M) menyebut tentang omkar kedaulatan
maharaja Seriwijaya. Dalam abad ke-15 tahun Saka, ada disebut tentang
seorang guru Buddha dari Bengal ke Tibet dikenali sebagai Dipangkar
Atisa yang tinggal selama 12 tahun di Dharmmakirrtti di Sumatera.
Kemudian pengaruh zaman Seriwijaya boleh juga dilihat di biara Borobudur
di tengah pulau Jawa bukan sahaja di Selatan Siam. Di Siam,
tempat-tempat pemujaan seperti candi atau pagoda yang menyimpan sharira
dan tinggalan Buddha di kota Chaiya dan juga candi paling dalam yang
menurut gaya candi Seri Lanka yang ada di kota wilayah Nakon Seri
Tammarat merupakan bukti dari pengaruh Seriwijaya yang menurut aliran
Mahayana pada ketika itu.
Bukti-bukti ini bersama yang lain-lain memaklumkan kita mengenai
pengaruh aliran ajaran Buddha dalam dua zaman apabila pengaruh
Seriwijaya melebar ke luar negaranya dari Sumatera sampai ke tanah
Kemboja dan juga jajahan Kemboja di kawasan lembangan sungai Chao
Phraya.
Zaman yang pertama dalam kurun ke-13 tahun Saka, dan zaman kedua di
pertengahan kurun ke-16 tahun Saka. Maharaja Suryawarman I (1546-1592
TS) dari Kemboja juga mempunyai keturunan kerabat diraja Seriwijaya dan
ini merupakan penyebab aliran Mahayana melebar di negara-negara dalam
Thailand dan Kemboja sejak abad ke-13 T.S.
Zaman Lopburi
Sekitar abad ke-15 sampai ke-18 T.S apabila pengaruh Kemboja mula
melebar ke negara-negara dalam Siam, zaman ini dikenali sebagai zaman
Lopburi. Setengah maharaja Kemboja, merupakan penganut ajaran Buddha
manakala yang lain merupakan penganut ajaran Brahmin. Walaupun ajaran
Buddha di benua Siam ada dua jenis aliran iaitu Theravada dan Mahayana
namun Mahayana juga yang mendapat sokongan maharaja-maharaja Kemboja
sebab mereka mendapat ilham dari aliran Mahayana yang sudah berpengaruh
lama sejak zaman Funan lagi.
Walaupun ajaran Buddha aliran Mahayana-Mantrayana menghadapi kejatuhan
semasa zaman Dwarawata, namun kejatuhan negara Dwarawata menyebabkan
aliran Mahayana-Mantrayana mula berkembang semula terutamanya di selatan
Siam apabila ia dianuti oleh kerajaan empayar Seriwijaya dan juga
dianuti dalam kerajaan empayar Angkor Kemboja yang menguasai kawasan
tengah dan timur laut Siam.
Kuil batu terkenal di kota Phimai dekat wilayah timur laut Siam
menunjukkan bukti bahawa aliran Mahayana memang berpengaruh di situ.
Kuil ni kemungkinan dibina dalam abad ke-16 T.S dengan phreang
tiga lapis mewakili aliran Buddha Mahayana. Phreang ni pagoda la tapi
gaya Kemboja. Di samping itu, ada banyak jenis tangkal Buddha ditemui
dekat kota-kota dalam Siam seperti di selatan Siam di Nakon Si Tammarat
kira-kira 800 kilo dari Bangkok, Lopburi, Suphanburi, dan Sawankhalok
yang kira-kira 500 kilo dari utara Bangkok. Tangkal ini semua dibuat
menurut ajaran Mantrayana dalam aliran Buddha Mahayana. Selepas itu, ia
mula dikaitkan dengan ilmu hitam mak nenek yang diletakkan bau-bau
ajaran Buddha di negara-negara berjiran.
Penutup
Komen aku pasai aliran Buddha Mantrayana ni, aku rasa nama lain dia adalah aliran Tantrayana atau aliran Wajrayana.
Di Tibet aliran ni memang aliran turun-temurun depa dan di Jepun pun
ada. Di pulau Jawa dalam Indonesia dengarnya depa pon beraliran
Mantrayana sampai ke abad ke-15 masehi yang ada cerita serat Dharmoghandul cerita pasai raja dengan pulau Jawa depa kena sumpah dengan pendita Hindu depa nama Sabdapalaon
sebab masuk Islam. Depa guna bahasa Sansekrit bukan bahasa Bali untuk
upacara agama. Aku simpan buku tokong Cina Buddha pun ada surat puja
depa pakai bahasa Sansekrit.
Ni zaman-zaman ni semua bukan zaman kerajaan orang Tai lagi. Ada beza
Tai dengan Thai pasai Thai ni istilah zaman moden. Manakala Tai merujuk
kepada jenis etnik Tai yang masuk ke empayar Siam sejak abad ke-7 masehi
jadi anak jajahan dalam empayar Kemboja wangsa Angkor. Zaman depa ni
bertembung dengan zaman Siam sebab Siam akan muncul dalam abad ke-13
masehi. Lepas tu pelabuhan Melaka muncul dalam abad ke-14. Bukan takdak
puak Melayu dalam empayar Siam. Ada puak Melayu tapi depa tak suka kat
puak Melayu yang ceroboh masuk tempat depa dari Palembang. Ni semua
cerita abad ke-12 masehi zaman tak masuk Islam lagi pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan