Peningkatan Kualiti Umat Cabaran Dakwah Semasa
KEHANGATAN semangat sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW tahun 1431H masih lagi kita rasai. Antara nilai utama yang perlu menjadi sumber pendorong menerusi sambutan Maulidur Rasul ialah untuk kita mengenang peranan utama baginda sepanjang pengutusannya iaitu bagi menyebarkan risalah Islam kepada seluruh alam.Peranan ini juga kita namakan sebagai tugas berdakwah iaitu menyeru dan mengajak manusia antaranya untuk mengesakan atau mentauhidkan Allah SWT sebagai Tuhan seluruh alam, memberi peringatan mengenai kebenaran hari pembalasan atau akhirat dan membina keupayaan manusia di dalam menyumbang kepada kemajuan hidup di dunia ini.
Semua itu boleh dicapai manusia menerusi jalan penghayatan berterusan terhadap nilai kebenaran yang dianjurkan oleh ajaran agama Islam. Tugas dan tanggungjawab menyampaikan dakwah boleh dilakukan dengan pelbagai pendekatan dan cara berasaskan tahap keupayaan diri dan cabaran sezaman. Dalam konteks pendakwahan Nabi Muhammad SAW, wujud beberapa petunjuk di dalam al-Quran berhubung pendekatan dan cara menyempurnakan tugas dakwah ini. Hal ini boleh kita telusuri, antaranya menerusi firman Allah Taala di dalam surah al-Jumuah, ayat 2-3:
"Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajar mereka kitab dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata. Dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."
Di dalam ayat ini, proses pendakwahan Nabi Muhammad SAW tercerna menerusi tiga cara iaitu menerusi proses pembacaan (tilawah), penyucian (tazkiyah) dan pengajaran (ta'lim). Pendekatan ini adalah antara cara dakwah dilakukan Baginda bagi menangani cabaran kehidupan masyarakatnya pada waktu itu yang berada di dalam keadaan kemunduran ilmu dan budaya. Fenomena masyarakat ini sering diistilahkan di dalam teks sejarah sebagai keadaan hidup 'jahiliah'.
Usaha menjayakan usaha mendidik umat daripada kejahilan kepada pencerahan ilmu pengetahuan adalah agenda besar kenabian yang kini diwarisi seluruh umat Islam. Menjayakan usaha ini menuntut kita umat Islam untuk terbabit di dalam menjaya dan meningkatkan dakwah Islamiah secara berterusan.
Pada masa kini, dakwah Islamiah sedang memasuki era baru peralihan zaman. Umat Islam sedang berada di dalam era yang dikenali sebagai 'masyarakat terbuka'. Arus globalisasi dan revolusi dalam bidang komunikasi dan teknologi maklumat menjadikan masyarakat terbuka sebagai satu realiti.
Selaku umat Islam yang berpandangan positif, era peralihan zaman ini harus dijadikan peluang untuk kita meningkatkan usaha penyampaian ajaran agama Islam kepada seluruh masyarakat. Kita perlu meningkatkan seluruh saluran dan ruang penghebahan untuk memastikan ajaran agama Islam tersebar seterusnya membangunkan masyarakat berasaskan panduan dan pedoman cahaya al-Quran dan al-Hikmah.
Untuk tujuan itu, bagi memanfaatkan era baru ini, kita ingin mencadangkan beberapa daya usaha dakwah yang perlu diperkasakan:
l Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan usaha di dalam bidang dialog peradaban. Realiti masyarakat terbuka memberi peluang luas untuk kita berkecimpung dan berinteraksi dengan masyarakat dunia yang pelbagai. Usaha dakwah menerusi dialog memberi ruang untuk kita memahami realiti kehidupan yang pelbagai dan berkongsi jalan kebenaran dengan seluruh masyarakat dunia.
Usaha dialog yang aktif juga akan menyumbang di dalam mengikis gejala 'Islamophobia' - rasa gerun dan takut kepada agama Islam dan penganutnya oleh sebahagian masyarakat dunia pada hari ini.
l Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan penguasaan di dalam bidang teknologi dakwah. Ini bagi membolehkan citra dakwah terjelma secara meluas di dalam pelbagai wajah baru yang dinamik. Penguasaan teknologi dakwah meliputi keperluan untuk usaha penyebaran Islam terhebah menerusi saluran komunikasi baru seperti informasi maya, seni elektronik dan imej bergerak.
Hal ini menuntut umat Islam dan pergerakan dakwah membudayakan amalan kreativiti dan inovasi di dalam usaha penyampaian ajaran Islam.
l Umat Islam dan pergerakan dakwah perlu meningkatkan bidang penyelidikan dan pembangunan berkaitan ajaran Islam di dalam pelbagai bidang. Hal ini amat penting bagi memastikan persoalan berkaitan dakwah dan ajaran Islam di abad ke-21 dapat dikupas dengan sempurna dan berkualiti sebagai panduan masyarakat mendepani cabaran kehidupan hari ini yang serba mencabar.
Ini menuntut umat Islam untuk meningkatkan usaha dalam bidang pengkajian ilmu secara ilmiah bagi membolehkan ajaran Islam dari sudut perundangan, ekonomi, politik dan kebudayaan sentiasa segar dari sudut falsafah dan amalannya sejajar dengan perkembangan zaman.
Usaha pemerkasaan tiga bidang dakwah ini adalah antara cabaran zaman umat Islam dan pergerakan dakwah semasa. Menangani cabaran ini menuntut kita umat Islam meningkatkan kualiti diri terutama di dalam bidang ilmu pengetahuan, keperibadian dan kepakaran.
Peningkatan kualiti diri umat Islam adalah asas. Ia akan dapat menyumbang di dalam membetulkan persepsi negatif sebahagian pandangan masyarakat dunia yang memandang ajaran agama Islam sebagai satu sumber kemunduran. Peningkatan ini secara langsung membantu mengubah persepsi negatif ini seterusnya membuktikan Islam bukan penghalang kemajuan di dalam segala bidang kehidupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan